Geografi dan demografinya menarik kerana berada 32 kilometer ke Kuala Lumpur atau Seremban, berhampiran Cheras, Kajang dan Bangi serta salah satu dari sembilan mukim di Hulu Langat. Ada juga yang keliru sama ada Semenyih terletak di Selangor atau Negeri Sembilan.

Kependudukan di Semenyih merangkumi pengundi Melayu (69.2%); Cina (16.8%); India (13.3%) dan lain-lain termasuk Orang Asli Temuan khususnya di Broga dan Sungai Tekala.

Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Semenyih meliputi kawasan sungai, hulu, kampung, pekan, bandar, kuala dan taman yang memberi gambaran bahawa penduduk di situ berstatus bandar, separa bandar dan luar bandar. Pengundi luar juga ramai kerana kawasan berhampiran menyediakan peluang pekerjaan dari kawasan didaftar sebagai pengundi.

Keputusan dua penjuru PRU 2008 menunjukkan bahawa calon BN, Datuk Johan Abd Aziz (11,588) menang dengan majoriti 1,140 undi di mana ketika itu calon parti Parti Sosialis Malaysia (PSM) Arutchelvan Subramaniams (10,448) bertanding atas tiket Pakatan Rakyat (PR).

Keputusan tiga penjuru PRU 2013 menunjukkan bahawa calon BN (17,922) menang dengan majoriti 4,757 undi tetapi wujud perpecahan undi antara calon PKR (13,165) dan PSM (5,568) yang jumlahnya adalah 18,733 melebihi 811 undi jika digabung berbanding calon BN, peratusan keluar undi meningkat hampir 7.4% berbanding 2008 (81.3%).

KELIRU

Keputusan empat penjuru PRU 2018 memberikan kemenangan kepada calon Pakatan Harapan (PH) dengan majoriti 8,964 undi pada peratusan keluar undi 87.45% dari 53, 257 pengundi.

Yang tidak pulangkan kertas undi adalah 55 manakala undi rosak pula 366 undi berbanding PRU 2013 di mana undi rosak adalah 701 dan tidak dipulangkan adalah 216. Jika digabungkan undi yang diperoleh calon BN (14,464), Pas (6,966) dan PSM (1,293), majoriti PH (23,428) adalah 705 undi.

Senario PRU 2008-2018 memberikan pelbagai gambaran perubahan pola pengundian di DUN Semenyih. Ia juga akan menjadi landasan mengurus persepsi masyarakat yang barangkali keliru.

Dan sebahagiannya berasa masih perlu ruang dan sebahagiannya pula bersifat revolusi? Adakah kesetiaan kepada logo parti atau calon memandangkan ia diuji pada PRU 2008 dan 2018. Bagaimana kepentingan jentera kerana parti bukan siasah masih menerima sokongan besar.

Yang jelas beberapa perkara wajar diberikan keutamaan oleh parti. Bagaimanakah persepsi boleh diurus dalam kedudukan semasa politik arus perdana tanah air?

Pertama: Calon menjadi semakin penting dalam semakan pengundi. Calon kitar semula jelas ditolak. Jenama produk bergantung tarikan produk itu sendiri.

Latar belakang calon yang disesuaikan dengan sikap, budaya dan nilai setempat, eko-alam kepelbagaian kelompok di Semenyih amat signifikan. Walaupun majoritinya pengundi Melayu, calon etnik Melayu yang bagaimana serasi di Semenyih, sempadan Selangor/Negeri Sembilan ini?

MAMPUKAH BN-PAS?

Kedua: Strategi memenangi pengundi Melayu kerana kawasan perkampungan tradisi masih berpihak kepada BN dan PPBM (Bersatu) dilihat mendominasi kawasan separa dan bandar yang direbut bersama calon Pas. Dengan keputusan Pas tidak bertanding dan prestasi koloborasi politik di Cameron Highlands, perpecahan undi pengundi Melayu kini tertumpu antara gabungan (PPBM, Amanah, PKR) dan (BN, Pas).

Mampukah penjenamaan BN+Pas mengharungi persaingan dengan Bersatu sebagai penyandang dan PKR penggemudi negeri Selangor?

Adakah pengundi Pas akan keluar beramai-ramai sekali lagi seperti di Cameron Highlands? Yang menarik, ke manakah pengundi protes UMNO kali ini selepas isu-isu PRU-14 sudah mula luntur. Adakah akan kembali memberi sokongan kepada calon BN atau kekal tegar dengan Bersatu atau masih tunggu dan lihat?

Ketiga: Strategi memenangi sokongan pengundi bukan Melayu terutama pengundi Cina dan India melihat kepada ketiadaan perubahan dalam keadaan hari ini?

Adakah mereka masih setia atau kekal fix kepada PH atau memilih untuk melakukan protes tidak keluar dan kemerosotan peratusan keluar undi. Jika ini berlaku, adakah masih memberi kelebihan kepada PH?

Keempat: Pengundi luar seringkali membuat keputusan untuk tidak pulang jika berada di luar kawasan kerana merasakan ia tidak kritikal untuk mengubah kedudukan negeri mahupun persekutuan.

Adakah wujud pendekatan baharu untuk memastikan ia tidak mengganggu peratusan keluar undi kerana tiga PRK di Selangor sebelum ini menunjukkan keputusan yang amat mengecewakan bagi SPR mahupun pendukung pendemokrasian tanah air.

Kelima: Adakah pengundi awal akan turut melakar sejarah seperti di Cameron Highlands yang majoritinya membuat keputusan untuk tidak bersama kerajaan pusat?

Keenam: Pengundi tidak berparti semakin membesar dalam kalangan pengundi muda. Misi menawan Putrajaya sudah dicapai dan pasca-PRU menunjukkan mereka reda apa +berlaku.

Adakah akan terus ‘senyap’ dan memerhati atau turut serta selepas 10 bulan PH menerajui kerajaan pusat? Atau melakukan sesuatu sebagai tanda protes?

FLIP-FLOP

Ketujuh: Jika PRU-14 tertumpu pada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, adakah fenomena ini masih sesuai apatah lagi kini tumpuan sudah berubah ke pendakwaan. Berlebihan mencaci dan mengherdik tidak memberi nilai tambah kepada mana-mana parti.

Walaupun beliau kini dikenali dengan tag ‘Malu Apa Bossku’, pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dengan jelas menyatakan bahawa bekas presiden tidak menggunakan platform UMNO.

Kelapan: Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi faktor ‘penyatuan’ kepada PH di PRU-14. Adakah masih sesuai untuk meletakkan beban ‘kebergantungan’ hanya kepada beliau seorang sedangkan PRK amat jarang melihat PM perlu turun berkempen.

Bagaimanakah peranan menteri besar dan bekas menteri besar di kempen Semenyih?

Kesembilan: Apakah strategi yang mahu digunakan bilamana jentera negeri dan kebangsaan sukar untuk digerakkan di bawah saranan SPR dan terikat dengan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954?

Bagaimanakah UMNO dan BN pula dengan pembekuan aset mereka? Pas pula bergelut urus persepsi ‘90 juta dan 2.5 juta’?

Kesepuluh: Bagaimanakah mahu dihadapi isu yang semakin hari semakin bertambah. Isu nasional penting kerana lokasi strategik Semenyih dan apakah Putrajaya akan bekerjasama dengan Shah Alam untuk bersama dalam kempen?

Ini bermakna, isu tempatan seperti industri kecil, pendidikan, eko-pelancongan, pekerja asing, lesen niaga, program usahawan muda akan menjadi bahan kempen sebagaimana isu negeri seperti struktur air, inisiatif ‘Peduli Rakyat’ seperti Program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS), Perumahan Mampu Milik Selangorku, Kesihatan Bersepadu Peduli Sihat, Bas Smart Selangor dan program kebajikan B40 negeri.

Bagi BN, isu Kuil Sri Maha Mariamman dan kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd. Kasim dengan prosiding inkues sedang berlangsung sudah pasti akan menjadi bahan lanjutan sebagaimana di kempen P78 sebelum ini.

Mampukah isu-isu ini mengimbangi isu nasional seperti kos sara hidup, isu Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi (ICERD), isu kedudukan Islam dan Bumiputera, isu janji pilihan raya, flip-flop beberapa pemimpin, menteri prestasi kurang memberangsangkan, dana Pas, sijil palsu, kemelut dalaman PKR, kedudukan UMNO dan beberapa isu yang akan direkacipta mengikut kesesuaian PRK.

Peratusan keluar mengundi akan menentukan siapakah bakal menang di Semenyih dengan kedudukan yang dianggap sengit kini. Jika peratusannya mirip seperti tiga PRK, keputusannya akan menyanggah status-quo yang seringkali menjadi trend PRK sejak 2008.

Untuk Bersatu kekalkan status-quo, ia perlu pastikan yang keluar undi melebihi 60%; sokongan pengundi Cina dan India dalam sekitar 85%; pengundi Melayu melebihi 55% dan 70% pengundi awal.

Realitinya, king maker adalah sekali lagi ‘pengundi Pas’ dan ‘pengundi protes UMNO’ dan ia persaingan sengit dari PRU-14.

PROFESOR DR. P. SIVAMURUGAN berkhidmat di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM).