SEMINGGU DILAMBUNG ‘UNDI TIDAK PERCAYA’

 

Pertemuan PAS – Haji Hadi Awang, Dr Samsuri dan Takiyudin Hassan- dengan Dr Mahathir pada minggu lalu membentuk satu ‘selaput politik’ yang berkemungkinan boleh pecah dan dilaporkan sedang mengewapkan haba panas dalam Pakatan Harapan. Meskipun Dr Mahathir memberikan gambaran bahawa perjumpaan tersebut sebagai pernyataan bertulis PAS untuk tidak menyokong UMNO dalam PRK DUN Semenyih, ia akhirnya membawa kepada gelora yang lebih besar.

Dalam reaksi balasnya, PAS menyatakan bukan pengakuan bertulis tidak menyokong UMNO. Ia adalah sokongan kepada Dr Mahathir untuk memerintah sehingga sepenggal dan PAS akan mempertahankan Perdana Menteri yang sedang ‘dilambung undi tidak percaya’.

Perkiraan PAS ada benarnya memandang kepulan asap bertiup ke arah itu. Ada gelora marah pemimpin DAP mempertikaikan pengesahan PPBM menerima tujuh orang bekas wakil rakyat UMNO, yang pada prinsipnya adalah bertentangan dengan semangat yang dipersetujui oleh PH.

Beberapa bulan lalu, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah membuat kejutan untuk meletakkan jawatan dalam parti, tetapi tidak sebagai wakil rakyat. Nurul Izzah kecewa, kecewa dengan tindakan Dr Mahathir, sama ada menerima bekas ahli UMNO ataupun perancangan yang lain untuk melengah-lengahkan penyerahan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar Ibrahim. Isu ini tenggelam seketika, apabila isu ijazah palsu, tidak habis belajar melanda beberapa orang pemimpin politik PH.

Integriti sebahagian pemimpin politik jatuh merudum. Mat Sabu, Mahfuz, Marzuki, Zuraida, Menteri Besar Perak dan Johor saperti tidak dapat bangkit dengan selesa. Lim Guan Eng turut menjadi sasaran kerana perakuannya sebagai akauntan bertauliah ‘tiada’ manakala Zuraida membisu dalam pengesahan universiti manakah ijazahnya diperoleh. Lim Kit Siang menjadi sasaran terbaharu.

Dipersoalkan tentang tempoh masa memperoleh Ijazah Undang-Undang dari Universiti London, yakni dua tahun sedangkan kebiasaannya ialah empat tahun selepas A Level. Lim Kit Siang hanya ada O Level, belum cukup untuk diterima memasuki Universiti London. Lim Kit Siang belum menjawab dan memberikan reaksi.

Ketika dilambung ‘undi tidak percaya’, Nga Kor Ming memohon agar PH tidak hanya menumpukan kepada orang Melayu, ia perlu mengambil kira semua kaum atas semangat kebersamaan. Peringatan tersebut memberikan indikasi bahawa DAP semakin tidak serasi dengan Dr Mahathir, walaupun Lim Kit Siang belum berhujah secara lantang dan memcebik bibir.

Lim Kit Siang sedang memerhati apa selanjutnya akan berlaku selepas beliau dilihat terlalu cepat melenting untuk mengeluarkan DAP daripada PH sekiranya matlamat Malaysia Baharu tidak dilaksanakan.

PAS didakwa sebagai ‘kekasih tidak setia’ walaupun PAS sebenarnya berusaha mempertahankan Dr Mahathir dari dilambung ‘undi tidak percaya’. Gobinh Sing Deo dalam kenyataannya menyatakan ‘undi tidak percaya’ kepada Dr Mahathir tidak mungkin akan berlaku kerana ia tidak ada dalam bayangan PH.

Apa pun, perkembangan itu boleh berubah, keyakinan tersebut boleh ditebak apabila Dr Mahathir menasihatkan penjawat awam agar tidak memberikan kesetiaannya kepada pemimpin atau parti. Penjawat awam hendaklah menumpahkan taat setianya kepada negara. Maknanya, Dr Mahathir sudah menciumi ‘asap’ untuk memungkinkan penjawat awam membenci segelintir pemimpin politik atau parti tertentu.

Dr Mahathir mungkin rasa sedikit tersedak atas kenyataannya untuk mengurangkan saiz perkhidmatan awam. Sekurang-kurangnya 400,000 jawatan akan dihapuskan dan penghapusan itu akan menyebabkan peluang PPBM menang di PRK DUN Semenyih sedikit terjejas.

Sekitar 68 peratus pengundi Melayu akan berfikir, kalau kerajaan berhasrat mengurangkan penjawat awam, kadar pengangguran akan terus meningkat. Ekonomi negara tidak begitu sehat dan pertumbuhannya disahkan lemah berbanding sebelum PH memenangi PRU ke-14.

Peluang kerja semakin sempit manakala petani dan nelayan sudah lama terhimpit. Hasil produk pertanian tidak sebaik sebelumnya, bahkan peneroka ‘menjerit marah’ kerana harga belacan lebih mahal daripada harga kelapa sawit dan getah. Hasil pendapatan bulanan tidak mampu menyara kehidupan sehingga Wak Ibas berani menulis surat kepada Menteri Pertanian, subsidi petani dah kena potong, sedangkan kami menyokong PH.

Menteri menangis, tetapi tangisan tersebut tidak dapat meringankan beban yang ditanggung oleh nelayan. Nelayan disarankan tanam macam-macam di belakang rumah, tetapi menteri tidak tahu. Rumah-rumah nelayan begitu kecil, dan tidak juga mempunyai tanah untuk menanam rambutan, nangka ataupun musang king. Kebanyakan nelayan rumahnya berhampiran laut. Tanah di sekitar laut tidak begitu subur untuk rambutan, nangka ataupun musang king. Tanahnya berpasir dan sedikit berasid.

Minggu lalu juga diumumkan terbentuknya Majlis Tindakan Ekonomi, tetapi keahliannya tidak dimasukkan nama Anwar Ibrahim ataupun Dr Wan Azizah. Penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi itu memberikan indikasi yang jelas, Dr Mahathir semakin tidak yakin dengan prestasi menteri-menteri yang menganggotai kabinet Malaysia Baharu.

Sebelumnya, Dr Mahathir memberikan ‘ruang’ kepada menteri-menteri untuk cepat belajar dan memahami, namun, pelanjutan tempoh nampaknya tidak memberikan apa-apa makna. Daim yang sebelumnya memberikan amaran, enam bulan rakyat boleh bersabar, tetapi, dalam tempoh sembilan bulan sejak PH memerintah, rakyat sudah mula mengeluarkan reaksi tidak lagi menaruh harapan kepada PH.

Pengumuman terbaharu mengenai bayaran sara hidup (BSH) kepada individu bujang dilihat hanyalah kelegaan sementara tetapi andaian boleh menguasai pengundi di DUN Semenyih belum terjamin. Begitu juga dengan penghapusan tol di empat lebuh raya –LDP, KESAS, SPRINT dan SMART-dilihat tidak dapat membantu. Walaupun tol dihapuskan, rakyat tetap melihat mereka masih lagi dibebankan dengan kutipan caj kesesakan. Rakyat masih perlu membayar,  jika menggunakan lebuh raya berkenaan bermula 6 pagi hingga 11 malam.

Meskipun bayarannya dikatakan berkurangan, beban kos sara hidup tetap tinggi apabila harga petrol terus meningkat. Kenaikan terbaharu sebanyak 10 sen seliter. Caj kesesakan dilihat saperti satu penghinaan kepada pengguna lebuh raya, dalam kesesakan penggunaan petrol meningkat dan dikenakan pula caj kesesakan. Ia menyamai dengan bayaran tol sebelumnya. Ia hanyalah saperti istilah kong kolikong, antara poket kiri bertukar ke poket kanan. Poket-poket itu terus kempis dan tidak boleh menyimpan wang.

Perangkap ‘hari ini memang, esok selesai masalah’ ditarik balik. Penarikan itu membuktikan bahawa PH sekali lagi gagal dan tidak akan menunaikan janji-janjinya. PH akan dilihat sebagai sebuah kerajaan yang lemah, tidak mempunyai inisiatif yang cukup untuk membantu rakyat. Rakyat mula memberikan isyarat, PH sebenarnya mungkin akan terkulai sebelum waktunya. Ada kemungkinan tidak pun sampai tempoh sepenggal, kerana PH hanya tahu bermain politik, bukan bekerja untuk rakyat.

Sudah ada dalam kalangan mula menyesal. Sudah ada pengundi mula tidak mahu bertentangan mata dengan wakil rakyat. Sebabnya mudah, wakil rakyat berbohong, wakil rakyat hanya berusaha mengukuhkan kedudukan politiknya sendiri, bukan mengambil tahu dan peduli rakyat.

Ujiannya mungkin dapat diputuskan nanti. Jika PPBM ditolak oleh pengundi Semenyih, maka ia adalah jelas, rasa meluat itu kian semarak. Semaraknya itu mungkin membawa kepada DUN Rantau. Kalaupun bukan sebagai efek domino, ia mungkin satu bentuk kesan ‘backfire’.

Kalau pun tidak dilambung ‘undi tidak percaya’; rombakan kabinet akan berlangsung selepas PRK Semenyih atau PRK Rantau. Dr Mahathir tentu tampil untuk memutuskan, sebahagian menteri dan timbalan menteri perlu digantikan. Ia mungkin atas faktor integriti menteri dan timbalan menteri apabila kelulusannya diragui, pendidikan ‘tidak sempurna’ dan setiap kenyataan bercelaru, dibuat tanpa perundingan dan pemuafakatan.

Menteri dan Menteri, masing-masing bercelaru; kenyataan yang dibuat saling bercanggah hinggakan rakyat melihat lawaknya semakin bodoh dan konyol.

PAS saperti sudah mendapat suntikan moral, walaupun Dr Mahathir tidak mengharapkan sokongan PAS setelah SPRM mengumumkan tidak ada transaksi RM 90 juta masuk ke akaun PAS. Keputusan tersebut walaupun boleh berubah selepas ini, sekiranya ada bukti baharu, sekurang-kurang membawa kesan positif kepada PAS dan Dr Mahathir terpaksa ‘menahan’ keinginannya untuk terus membelasah PAS, selepas dakwaan ada pengakuan bertulis yang parti itu tidak akan bekerjasama membantu UMNO di Semenyih.

Realitinya, aktivis PAS terus memberikan sokongan kepada calon BN; calon PPBM masih ‘kebingungan’ kerana tidak boleh membuktikan dia adalah pilihan terbaik, gagal dalam penampilan dan terperangkap dengan proses pengajian yang terhenti sejak 2016.

Undi tidak percaya belum tamat: kencangnya bakal bertiup laju selepas PRK DUN Semenyih sekiranya calon PPBM tewas. Mungkin itu menyebabkan Dr Mahathir sedia untuk turun berkempen pada hari Khamis ini, tapi hati-hati jangan tersilap langkah dan arah sebagaimana berlaku di Cameron Highlands akhir bulan lalu.

Monosin Sobri.

No Comments

    Leave a reply