Justeru, mungkin ramai pemerhati yang mengikuti perkembangan berkaitan TRM menaruh harapan agar konvensyen kali ini akan lebih bermakna dan mampu memberi impak kepada pihak yang bertanggungjawab dan berkepentingan (stakeholders), tidak seperti konvensyen, seminar dan forum yang sudah banyak dianjurkan sebelum ini yang berakhir tanpa sebarang impak yang signifikan dalam menyelesaikan isu dan masalah mengenai TRM.

Banyak isu dan cabaran yang dilalui sepanjang 105 tahun TRM diwujudkan. Sehingga hari ini, kedudukan TRM dalam sosio-ekonomi orang Melayu dan negara amnya masih goyah dan banyak persoalan yang belum terjawab malah kekal status quonya dari dulu hingga sekarang. Hakikatnya, banyak halangan-halangan keatas TRM adalah berkaitan perundangan, fisikal dan geografikal, ekonomi, sosial dan politik. Halangan-halangan inilah yang juga menjadi pencetus kepada beberapa isu serta masalah TRM yang berterusan. Masalah-masalah TRM seperti pembahagian harta pesaka, pertindihan hakmilik, penipuan dan pemalsuan dalam permohonan hakmilik, diskriminasi dalam kemudahan kredit, kegagalan tebusgadai, amalan Ali Baba dalam pemilikan, urusniaga, pajakan dan pembangunan, pencerobohan gunatanah, tanah terbiar, salah tadbir urus, hilang status dan penyusutan keluasan dan campurtangan politik merupakan masalah TRM dari dulu hingga sekarang.

Berapa banyak kerugian yang ditanggung serta ketidakadilan yang berlaku kepada mereka yang berkepentingan (stakehoders) dalam TRM akibat halangan serta masalah TRM yang wujud selama ini. Antaranya seperti pembaziran sumber ekonomi negara, sumber tanah tidak diusahakan dan dimajukan, menyekat keusahawanan, produktiviti dan pembangunan ekonomi orang Melayu, mewujudkan ketidakseimbangan ekonomi antara kaum dan wilayah, ketidakadilan pengagihan ekuiti, pendapatan dan kekayaan, menyumbang kapada masalah kemiskinan orang Melayu, menyekat keperluan kredit dan kewangan orang Melayu, menjejas nilai aset tanah orang Melayu dan menggagal polisi nasional.

Hari ini isu hangat yang masih diperkatakan ialah mengenai TRM yang hilang status dan tidak diganti oleh pihak kerajaan negeri. Ini bukanlah isu baru yang mana jalan penyelesaian adalah terletak atas tanggung jawab pihak kerajaan negeri seperti mana yang termaktub dalam Artikel 89(3) Perlembagaan Persekutuan. Begitu juga dengan jumlah keluasan TRM keseluruhannya yang tidak pernah mencecah 50% daripada keluasan tanah semenanjung seperti yang dituntut oleh Majlis Raja-raja Melayu. Ini juga terletak atas peranan dan tanggung jawab kerajaan negeri.

Persoalan pokok ialah bagaimana kerajaan negeri mampu mengganti TRM yang hilang dengan tanah yang sama ciri-cirinya seperti yang dituntut oleh peruntukan Perlembagaan. Sesetengah negeri mendapati sukar memenuhi tuntutan itu kerana tiada tanah rizab yang sama taraf dalam negeri-negeri berkenaan disebabkan kesan pembangunan ekonomi yang berlaku.

Ada negeri yang sampai kawasan hutan, bukit bukau, pinggiran pantai, sungai dan paya pun sudah ada perancangan pembangunan dan sudah pun diberi hak milik kepada individu dan syarikat tertentu. Apa gunanya diganti TRM yang hilang dan dibatal status dengan tanah negeri yang ada dan berpotensi sedangkan kos melepasnya tinggi dan merugikan kerajaan negeri dari segi perbezaan nilai ekonomi yang lebih baik bakal diperolehi dari pembangunan? Kalau diganti pun tanah yang diganti tak setaraf dengan TRM yang diambil dan dibatalkan status dari segi ciri-ciri yang dituntut oleh Perlembagaan. Mungkin ini adalah diantara beberapa sebab mengapa kerajaan negeri gagal menggantikan TRM yang hilang dan dibatal status.

Pun begitu, itu bukanlah alasan yang kukuh bagi kerajaan negeri tidak mengganti TRM yang diambil dan dibatalkan status kerana itu adalah tanggungjawab dan amanah yang dituntut oleh Perlembagaan. Seperti jawapan seorang bekas Pengarah Tanah Galian (PTG) bagi sebuah negeri dalam Seminar TRM pada tahun 2005 apabila ditanya bagaimana beliau berjaya menggantikan TRM yang hilang dan dibatalkan status semasa beliau menjadi PTG negeri berkenaan? Beliau menjawab “itu sudah menjadi tanggung jawab dan amanah bagi PTG negeri. Cuma nak buat atau tak nak buat saja!”

Selain dari menuntut tanggung jawab dan amanah supaya pihak kerajaan negeri menggantikan TRM yang diambil dan hilang taraf TRM, pada masa yang sama kita perlu mengambil langkah yang lebih positif menambah keluasan TRM dan mengukuhkan lagi kedudukan TRM dalam negara melalui strategi yang lebih berkesan dan berterusan bersesuaian dengan tuntutan dan keperluan ekonomi dan politik orang Melayu semasa.

Dicadangkan supaya pihak kerajaan memperluaskan kawasan-kawasan rizab Melayu melalui penwartaan tanah-tanah milik kerajaan negeri, agensi-agensi, organisasi dan institusi Melayu dan Islam yang sedia ada sebagai TRM. Tidak keterlaluan dicadangkan tanah-tanah organisasi dan institusi seperti UiTM, MARA, FELDA, Lembaga Tabung Haji, Majlis Agama Islam, tanah-tanah waqaf dan sebagainya diwartakan sebagai TRM.

Disamping itu pihak kerajaan juga perlu mewartakan kawasan penempatan dan bandar-bandar majoritinya orang Melayu serta kuota Bumiputera/Melayu bagi harta tanah yang diperuntukkan dalam pembangunan diwartakan sebagai rizab Melayu bagi tujuan menambah aset harta tanah Melayu di bandar. Pihak kerajaan negeri juga harus menggunakan pendekatan kempen kesedaran dan galakan kepada pemilik-pemilik harta tanah Melayu tampil secara sukarela mewartakan harta tanah milik mereka sebagai rizab Melayu. Sebagai balasan sewajarnya mereka diberi insentif pengurangan cukai tanah atau pengurangan premium bagi tujuan pembangunan.

Sudah tiba masanya orang Melayu tidak melihat isu TRM dari sudut angka dan peratus keluasan tanah fisikal sahaja. Kita tidak mahu lagi melihat TRM sebagai aset tanah kelas kedua yang hanya dikaitkan dengan dominasi lokasi kampong, pertanian dan pendalaman yang rendah nilainya. Sewajarnya kita melihat peratus pemilikan tanah dari sudut kualiti aset sejajar dengan pencapaian pembangunan ekonomi negara. Peranan yang dimainkan oleh Pelaburan Hartanah Berhad dengan mewujudkan Amanah Hartanah Bumiputera menjadi model kearah pemilikan aset hartanah bandar berkualiti untuk orang Melayu.

Agenda transformasi ekonomi bumiputera perlu melihat kearah memertabat dan menambah kedudukan orang Melayu hari ini dalam pemilikan aset harta tanah berkualiti seimbang dengan pencapaian ekonomi negara. Orang Melayu masih jauh ketinggalan dalam aktiviti-aktiviti ekonomi yang memberi nilai tambah yang tinggi maupun dalam pemilikan aset harta tanah bernilai tinggi. Hari ini orang Melayu bukan berhadapan dengan isu TRM yang menyusut keluasannya sahaja tetapi juga berhadapan dengan isu kemampuan membeli dan memiliki harta tanah terutamanya di bandar–bandar seperti rumah kediaman yang terlalu tinggi harganya. Kedua-dua isu ini memberi gambaran yang tidak sihat dari segi penguasaan orang Melayu dalam ekonomi maupun politik untuk jangka panjang. Sudah tentu jika senario ini berterusan agenda untuk meningkatkan penguasaan ekonomi orang Melayu dan meningkatkan pemilikan aset harta tanah orang Melayu akan masih tersasar.

Walaupun salah satu daripada fokus pemerkasaan ekonomi Bumiputera ialah untuk mengukuhkan pemilikan aset harta tanah bumiputera melalui peranan GLIC dan GLC dalam sektor harta tanah, namun tiada perancangan dan strategi khusus untuk memobilisasikan TRM kearah itu.

Begitu juga dengan peranan pihak perancang bandar dan wilayah samada peringkat negeri maupun peringkat kerajaan tempatan yang selama ini tiada perancangan dan strategi khusus bagi menambah nilai ekonomi dan aset harta tanah bagi kawasan-kawasan TRM yang berada dalam pentadbiran dan pengawalan masing-masing. Sesetengah daripada kawasan TRM terutamanya di pinggir bandar berada dalam kawasan tidak terancang dan tersusun akibat tekanan dan asakan dari proses perbandaran yang pesat.

Begitu juga dengan program pembangunan wilayah samada model yang dahulu mau pun konsep koridor sekarang gagal mentransformasi TRM kepada kedudukan yang lebih berkepentingan kepada orang Melayu dari sudut ekonomi, sosial maupun politik. TRM sebaliknya banyak menjadi mangsa kepada pengambilan balik tanah secara paksa bagi memenuhi agenda pembangunan berkenaan sedangkan ada cara lain yang lebih baik digunakan tanpa melibatkan pengambilan tanah seperti konsep penubuhan badan amanah hartanah (seperti property unit trusts dan REITs), perkongsian ekuiti dan sebagainya.

TRM mula diwujudkan 105 tahun yang lalu semasa negara masih dijajah. Kini zaman pun sudah berubah, malangnya orang Melayu masih membicarakan tentang masalah TRM dan jalan penyelesaian yang tiada penghujungnya. Hari ini kita baru menyentuh dari sudut kegagalan pihak kerajaan dan pentadbiran negeri dalam memenuhi tuntutan perlembagaan menggantikan TRM yang hilang dan dibatal status atas tujuan pembangunan. Pada masa yang sama masalah-masalah TRM lain yang dinyatakan sebelum ini juga perlu diberi perhatian yang lebih serius.

Kita perlu terima hakikat bahawasanya undang-undang TRM akan terus kekal sebagai warisan Melayu kerana ianya digubal khas untuk memelihara kepentingan orang Melayu dan dikukuhkan lagi oleh Perlembagaan Persekutuan. Hanya orang Melayu sahaja yang menjadi pelindung kepada undang-undang TRM dari dipinda atau dimansuhkan dengan kuasa politik yang ada. Maka sewajarnyalah orang Melayu lebih sensitif dan berani mempertahankan dan melindungi TRM.

Tetapi itu sahaja tidak cukup tanpa melaksanakan agenda memajukan dan memakmurkan TRM untuk kepentingan ekonomi, sosial dan politik generasi Melayu hari ini dan bakal diwarisi oleh generasi Melayu akan datang.

Antaranya, perlu ada kesedaran dan sokongan padu dari pihak pemerintah, pentadbir tanah, pemilik TRM dan agensi dari semua peringkat untuk memajukan dan memakmurkan TRM diseluruh negara.

Kerajaan perlu merangka pelan induk transformasi TRM yang komprehensif bagi seluruh negara dan penubuhan sebuah institusi khas TRM yang memainkan peranan penting bagi melindungi, memajukan dan memakmurkan TRM.

Pada masa yang sama, perlu diwujudkan mulai dari sekarang program kesedaran kepada generasi muda anak Melayu mengenai TRM yang perlu dipertahankan kerana rata-rata mereka terlaku leka dengan dunia mereka hari ini. Ramai antara kalangan generasi anak Melayu hari ini yang tidak tahu menahu dan tidak peka mengenai TRM, apatah lagi tentang tanggungjawab dan amanah yang bakal diwarisi dan dipikul untuk hari-hari yang akan datang.

Kita amat berharap Konvensyen TRM yang akan diadakan nanti bakal mencetus beberapa saranan dan resolusi yang mampu merubah dan mengwujudkan anjakan paradigma dalam kedudukan TRM dalam negara.

Latarbelakang Penulis:

Shahrom Md. Ariffin ialah Ahli Jawatankuasa Konvensyen Tanah Rizab Melayu 2019 dan bekas Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Pengurusan Hartanah, Fakulti Senibina, Perancangan & Ukur, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam.

Penulis merupakan ahli profesional dalam Royal Institution of Surveyors Malaysia (RISM), Royal Institution of Chartered Surveyors, U.K. (RICS) dan Persatuan Profesional Tanah Malaysia (PERTAMA).