Kejayaan luar biasa yang dicipta oleh Kok Wing menyebabkan pandangan dan ideanya sentiasa diperlukan, bagi berkongsi pandangan dan pengalamannya dalam bidang pendidikan wartawan Mingguan Malaysia, SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH dan MARZITA ABDULLAH bersama jurugambar, AMIR KHALID menemu bual beliau di pejabatnya di Cyberjaya baru-baru ini.

MINGGUAN: Bagaimana Tan Sri melihat sistem pendidikan negara dahulu dan sekarang?

KOK WING: Negara perlu memajukan bidang pendidikan kerana dahulu tidak sama seperti sekarang apatah lagi 10 atau 20 tahun akan datang yang akan berubah ke arah digital sepenuhnya. Negara memerlukan hala tuju baharu terutamanya melibatkan bidang kemahiran. Sistem pendidikan negara juga perlu melatih anak muda mengenai teknologi terkini, ilmu pengetahuan, integriti dan industri. Tumpuan juga perlu diberikan kepada semua anak muda sama ada di bandar atau pun luar bandar.

Selain ilmu kemahiran, setiap pelajar juga perlu ada karakter seperti keyakinan diri dan harga diri. Perkara ini sangat penting supaya apabila dewasa mereka mempunyai keyakinan diri yang tinggi, mampu bersaing dan bangga menjadi rakyat Malaysia.

Apabila negara melangkah ke hadapan, kita memerlukan rakyat yang mempunyai karakter sangat kuat sehubungan itu, negara perlu mewujudkan pelan yang sesuai untuk generasi muda dalam menghadapi masa hadapan yang penuh cabaran dan keadaan tidak dijangka.

Mengapa Tan Sri menekankan mengenai integriti bersama teknologi?

KOK WING: Tanpa integriti kita tidak akan jujur pada diri sendiri dan boleh kecundang.

Apabila saya tekankan teknologi perlu bergerak seiring dengan integriti, ini bermaksud tanpa integriti individu terbabit boleh melakukan perkara menyalahi undang-undang dan moral. Di Malaysia sekarang pun banyak berlaku kes penipuan dalam talian dan banyak yang ditipu, jadi kita perlu berwaspada dan sentiasa bersedia menghadapi jenayah siber.

Bagaimana untuk mengatasi masalah ini?

KOK WING: Mereka perlu dididik daripada peringkat sekolah rendah dengan program yang betul.

Adakah perlu sistem pendidikan diubah?

KOK WING: Ya, perlu diubah supaya mereka sentiasa bersedia.

Bagaimana pula untuk membangunkan masyarakat luar bandar?

KOK WING: Banyak yang boleh dilakukan seperti produk halal, Malaysia mempromosikan produk halal lebih awal dari negara lain tetapi Thailand dan China yang mengeksport lebih banyak produk halal. Jika ada perancangan khusus, tidak mustahil Malaysia boleh menjadi pengeluar utama produk halal keluaran masyarakat luar bandar.

Adakah kegagalan ini disebabkan bangsa Melayu yang tidak pandai berniaga?

KOK WING: Paling penting adalah latihan, bagaimana latihan itu diterapkan dan dikembangkan.

Bagaimana pula dakwaan Melayu ‘pemalas’?

KOK WING: Jika dilihat pelajar di sini, pelajar Melayu lebih artistik, di jabatan muzik, fesyen dan persembahan lebih 90 peratus Melayu sebab mereka artistik dan bukan cenderung dalam perniagaan seperti kaum Cina yang lebih minat kepada fakta dan angka, sebab itu mereka memilih belajar akaun.

Jenama Limkokwing sangat berjaya, apakah rahsia di sebaliknya?

KOK WING: Perlu yakin pada diri sendiri dan buat apa yang dimahukan. Ketika saya masih muda dan bekerja di sebuah syarikat rekaan, ketua saya minta saya serahkan satu rekaan keesokan hari, tetapi saya hantar 10 rekaan ketika itu rakan sekerja saya tidak berpuas hati dan mempersoalkan kenapa saya buat lebih, hari berikutnya saya hantar 20 rekaan sekali gus. Saya sebenarnya suka persaingan dan perbandingan kerana akan menjadikan kita lebih baik.

Apakah falsafah bisnes Tan Sri?

KOK WING: Saya tidak melihat ia sebagai bisnes, saya hanya lakukan sebab saya mahukannya dan menjadi berjaya.

Limkokwing juga mempunyai kampus di negara lain terutama di Afrika, apakah yang kita boleh belajar dari negara-negara ini?

KOK WING: Rakyat Malaysia tidak tahu betapa beruntungnya kita, kalau kamu pergi ke Afrika mereka sangat suka negara ini, sebab mereka lihat Malaysia sangat berjaya dan aman walaupun mempunyai masyarakat berbilang kaum sedangkan mereka biarpun sama warna kulit tetapi sentiasa bergaduh antara puak.

Bolehkah Tan Sri berkongsi detik ketika berkempen untuk Nelson Mandela?

KOK WING: Saya bertemu Mandela melalui Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika itu untuk membantunya berkempen, kami ke Afrika Selatan selama enam bulan untuk menghadapi pilihan raya tersebut. Sepanjang berkempen banyak cabaran yang dihadapi termasuk ancaman bom di merata tempat malah ketika kami menaikkan papan kempen, pihak lawan akan menjatuhkannya. Keadaan ketika itu sangat berbahaya dan menakutkan tetapi kita tidak beritahu dunia bahawa di sebalik kejayaan itu ada rakyat Malaysia, bukannya Amerika, British atau pun Australia. Hasil kejayaan itu juga, dua tahun lalu saya dikurniakan pingat wira 
anti-Aparteid.

Limkokwing sinonim dengan warna hitam, kenapa?

KOK WING: Kami ialah artis, artis sentiasa memakai pakaian sama ada warna hitam atau putih. Apabila saya menubuhkan universiti ini 20 tahun lalu saya menggunakan warna hitam termasuk pada logo, ketika itu ramai tidak suka tetapi sekarang semua suka dengan warna hitam. Malah, jika kamu memakai pakaian berwarna hitam ke negara yang mempunyai universiti ini mereka akan bertanya adakah kamu dari Limko?