ISLAM DI MALAYSIA: DENGAN BERAKHIRNYA NARATIF PETRO-ISLAM, MENGAPA TIDAK KEMBALI KEPADA NARATIF NUSANTARA?

Dalam sejarah Islam kontemporari, akhir tahun 1970an merupakan tarikh penting yang mengubah persepsi, kefahaman dan penghayatan Islam dikalangan umatnya juga hubungan mereka dengan masyarakat bukan Islam diperingkat global. Kekalahan Mesir dan Syria dalam Perang Yom Kippur (1973) dengan Israel telah menjadi pencetus kepada sekatan eksport petroleum oleh negara pengeluar pertroleum (OPEC) sekaligus menyebabkan kenaikan harga petroleum yang memberi kekayaan berlipat ganda bagi negara-negara Timur Tengah seperti Arab Saudi, Iran, Kuwait, Qatar dan UAE. Kemudiannya pada tahun 1979 dua peristiwa penting iaitu Revolusi Iran dan Pencerobohan Masjid Al-Haram telah memberi kesan persaingan berpanjangan antara Iran dan Arab Saudi bagi membuktikan bahawa merekalah pembawa ajaran Islam yang sebenarnya. Dalam konteks inilah bermula Naratif Petro-Islam atau Naratif Timur-Tengah sebagai pentafsir persepsi, kefahaman dan penghayatan Islam yang disebarkan keseluruh dunia termasuk ke negara kita Malaysia.

Tidak ramai yang mengetahui sebelum akhir tahun 1970an atau awal 1980an, persepsi, kefahaman dan penghayatan Islam di Malaysia dan negara-negara umat Islam yang lain bersifat tempatan, dipengaruhi persekitaran dan memanifestasikan Islam sebagai budaya kehidupan yang biasanya dilabelkan sebagai Islam Adat. Naratif Islam setempat yang telah ratusan tahun terbina ini sebenarnya menjelmakan Islam yang bernaratif budaya dan ekologi tempatan yang berwarni-warni serta toleran kepada kepelbagaian. Bagaimanapun menjelang tahun 1980an, Naratif Islam budaya, pusaka, adat dan ekologi setempat ini sedikit demi sedikit diketepikan atas alasan tidak menepati Islam yang “tulin” lagi “murni” dan digantikan dengan Naratif Petro-Islam dari Timur Tengah yang sebenarnya mewakili Naratif kuasa, ideologi, politik dan konflik. Naratif Islam kuasa, ideologi, politik dan konflik ini merubah persepsi, kefahaman dan penghayatan Islam umat menjadi kononnya lebih ummatik dan global (baca ketimur-tengahan atau kearaban), lebih qurani dan sunnah (baca literal/tekstualis) dan lebih akur-syariah (baca legalistik/fiqhiyyah/hukum-hakam).

Selepas tahun 1980an, dunia menyaksi persaingan yang pesat dalam penyebaran propaganda dan retorik Naratif Petro-Islam ini bilamana Arab Saudi dan Iran masing-masing menggunakan laba petrodollar tersebut memasuki kesegenap pelusuk dunia yang terdapat umat Islam bagi menyampaikan “dakwah”, membina “masjid”, memberi “pendidikan Islam”, menerbit “risalah Islam” dan seumpamanya yang tidak lain dari Naratif Islam kuasa, ideologi, politik dan konflik. Memanglah dalam hal ini propaganda dan retorik Arab Saudi jauh lebih berkesan kerana dikatakan mewakili kelompok majoriti Ahli Sunnah Wal Jamaah umat Islam sedangkan Iran mewakili kelompok minoriti Syiah. Atas nama “dakwah”, “masjid”, “pendidikan Islam” dan “risalah Islam” yang lebih “tulin” lagi “murni” ini, Naratif Islam kuasa, ideologi, politik dan konflik tersebar dalam kehidupan masyarakat Islam di luar wilayah asalnya Arab Saudi (begitu juga mungkin terhad Iran) menjadi pengganti bagi Naratif Islam budaya, pusaka, adat dan ekologi setempat yang telah sekian lama bertapak di wilayah bumi tempatan.

Masyarakat Islam seluruh dunia termasuk umat Islam di Malaysia umumnya terpedaya pada menyangka Naratif Islam kuasa, ideologi, politik dan konflik inilah Nararif Islam yang asli yang wajib diikuti padahal Naratif ini sangat baru muncul pada abad 19-20 sahaja. Naratif Islam asli yang tinggi nilai keilmuan dan peradabannya telah pun lupus dari Tanah Arab dan Timur Tengah sejak jatuhnya Kerajaan Abassiyah pada abad 13-14 masihi dan berpindah ke wilayah Turki dengan kebangkitan Kerajaan Uthamaniyyah bermula abad ke 13-14 masihi itu juga. Ini bermakna selama lebih 500 tahun negara-negara Arab di Timur Tengah tandus dari Naratif keilmuan dan peradaban Islam yang tinggi kerana selepas abad ke 14, Peradaban keilmuan Islam berpindah ke Turki/Uthmaniyyah dan hanya pada abad ke 19-20 barulah muncul negara-negara baru Arab hasil dari proses faraid kuasa-kuasa penjajah Eropah selepas Perang Dunia Pertama. Wajib juga kita mengetahui bahawa wilayah-wilayah Arab ini tidak lebih dari wilayah naungan Kerajaan Uthmaniyyah untuk tempoh 500 tahun tersebut!

Kini setelah lebih 100 tahun berlalu di Timur-Tengah dan di Malaysia hampir 50 tahun, ternyata Naratif Petro-Islam Timur Tengah ini menemui kegagalan. Naratif Islam kuasa, ideologi, politik dan konflik yang mencorakkan negara-negara Islam di Timur tengah selama ini akhirnya bukan sahaja melemahkan negara-negara Arab malah memporak-perandakan perhubungan sesama mereka! Yang pasti Zionis Israel seteru sampai kiamat negara-negara Arab dan umat Islam kini menjadi teman rapat MBS dan Arab Saudi yang menjadi pelopor dan pencetus Naratif Islam kuasa, ideologi, politik dan konflik! Iraq, Syria dan Libya telah hancur dan mengambil masa yang sangat lama untuk bangun semula itu pun jika masih terdaya. Kuwait, Qatar, UAE terus kekal selagi Amerika Syarikat mempertahankan mereka. Mesir, Lubnan dan Jordan sangat bergantung kepada tindak tanduk Israel. Palestin tidak lebih dari alat kepentingan bila perlu dikalangan negara-negara Arab. Dan Arab Saudi sendiri telah kehilangan kewibawaan dalam mewakili dan membawa risalah sebenar Islam!

Justeru apa pilihan kita bagi Naratif Islam di Malaysia? Apakah kita masih ingin berkiblat kepada Naratif Petro-Islam Timur Tengah yang memanifestasikan Islam sebagai kuasa, ideologi, politik dan konflik semata-mata setelah kita menyaksikan kegagalan Naratif ini di tenpat asal kelahirannya? Apakah Naratif yang kuat dengan “kearaban/kebadwian/ketimur-tengahan”, literal dan tekstualis, legalistik dan fiqhiyyah ini terus menjadi kebanggaan kita umat Islam di Malaysia yang pernah memiliki Naratif Islam yang jauh lebih bernuansa dan canggih keran berupaya menyerapkan elemen-elemen tempatan dalam kefahaman dan penghayatan Islam di wilayah Nusantara ini? Umat Islam di Malaysia perlu bermuhasabah menilai kembali Naratif Islam manakah yang mereka ingin fahami dan hayati jika tidak kita akan menemui pengalaman yang sama seperti negara-negara Arab di Timur-Tengah.

Penilaian semula tentang Naratif Petro-Islam berasaskan kuasa, ideologi, politik dan konflik ini sangat perlu kita lakukan kerana sebahagian besar dari permasalahan politik dan sosial umat Islam di Malaysia hari ini terbit dari pengambilan semberono Naratif Petro-Islam ditahun 1980an dahulu dan kesannya dapat kita saksikan dalam kemelut politik Tanah Air dimana Naratif kasar, kering dan kosong ini menjadi alat propaganda dan retorik politik atas nama Islam yang telah banyak membawa kerugian dan membuang masa dan tenaga umat Islam. Kembali semula kepada Naratif Nusantara yang berasaskan budaya, pusaka, adat dan ekologi dengan segala penambahbaikannya sesuai dengan cabaran dan perubahan zaman dan lingkungan tentu lebih bermakna bagi umat Islam di Alam Melayu ini dari kita bakal menempuhi kegagalan seperti yang telah dan sedang berlaku di Timur Tengah.

Oleh Dr Amran Muhammad
Ketua Eksekutif ISSI

Tags: , ,

No Comments

    Leave a reply