Kenyataan Rasmi Berkaitan Isu Majlis Berbuka Puasa Di Kawasan Rumah Ibadat Bukan Islam

1. Tindakan sebahagian pemimpin umat Islam di negara ini yang berbuka puasa di kawasan rumah ibadat bukan Islam telah mencetuskan penzahiran pandangan ekstrem sebahagian daripada umat Islam di negara ini yang bukan sahaja jelas jauh daripada pandangan sebahagian ulama Islam sejak berzaman, malah mencanggahi amalan yang dilakukan oleh kebanyakkan ulama dan umat Islam pada zaman kini.

2. Terdapat segelintir pandangan yang tidak bersetuju dengan pendekatan majlis berbuka puasa tersebut yang mana ianya masih berlegar kepada isu-isu teknikal yang mudah untuk diatasi seperti kesesuaian ibadah berbuka puasa di rumah ibadat (dalam kawasan sebenarnya) bukan Islam, kesukaran untuk solat jemaah maghrib selepas itu dan sebagainya termasuk isu yang saban masa dijadikan sebagai alasan ulangan iaitu sensitiviti kaum.

3. Masih tiada petunjuk dalil yang muktamad akan perbuatan tersebut diharamkan kerana seperti yang telah di jelaskan secara agak terperinci oleh panel penyelidik Nadwah Ulama dan Ilmuan Islam , Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (NUIM – YADIM), pandangan Imam dan Ulama daripada 4 mazhab yang terkenal juga masih berbeza dengan sebahagiannya mengharuskan perbuatan tersebut dengan meletakkan beberapa syarat.

4. Hal ini pastinya antara lain bertitik tolak daripada perbuatan dua sahabat besar Nabi SAW yang turut menjadi Khalifah Umat Islam pada zaman mereka iaitu Saidina Umar Al-Khatab dan Saidina Ali RA.

5. Sekiranya pihak yang menentang perkara ini tidak dapat menerima juga pandangan ulama-ulama muktabar silam yang membenarkan perkara ini seperti Ibn Qudamah dan Ibn Qaiyyim, adakah mereka juga harus membutakan mata hati mereka kepada pandangan serta amalan ulama-ulama Islam semasa semisal Sheikh Ali Juma’h dan jutaan umat Islam yang ada diseluruh dunia termasuk di rantau Arab dan Eropah.

6. Sekali lagi ditekankan, sekiranya hujah-hujah ulama baik di zaman silam mahupun kini serta amalan majoriti umat Islam sedunia mahu di ingkari oleh pihak ini, ia tidak harus dizahirkan dalam nada permusuhan dan kebencian yang menghilangkan imej rahmah kepada Islam.

7. Sikap yang agresif seperti ini hanya akan memangkin bibit takfiri yang terbukti dengan penularan gambar YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi Hal Ehwal Agama Islam yang telah diubah suai seperti mengamalkan ajaran agama lain.

8. Tindakan yang biadap ini dilakukan hanya kerana YB Menteri tersebut tegar atas pendirian ingin membawa mesej Islam sebagai Rahmatan Lil Alamin yang pastinya dilakukan dalam lingkungan kapasiti keilmuan yang telah terbukti dimilikinya.

9. YADIM dalam pendekatannya yang ingin menggalakkan persaingan kearah kebaikan (Fastabiqul Khairat) dalam menonjolkan Islam sebagai Rahmatan Lil Alamin, ingin menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia agar kembali menghayati pengajaran Ramadhan yang hampir kita tinggalkan ini.

10. Mungkin rakan-rakan bukan Islam kini terdorong untuk menjemput pemimpin-pemimpin Umat Islam di negara ini untuk berbuka puasa di kawasan rumah ibadah mereka, kerana mereka sudah melihat imej Rahmah yang sedang ditonjolkan oleh pemimpin-pemimpin sekarang lebih jelas dan tulus berbanding sebelum ini.

11. Justeru, persoalannya adakah wajar sikap lunak tersebut dibalas dengan maki cerca dan syak wasangka oleh segelintir umat Islam sekalipun tidak bersetuju. Bukankah lebih baik diberikan pandangan tentang tatacara bersesuaian yang boleh dilakukan berbanding mengambil langkah permusuhan yang sebenarnya boleh ditebak tujuannya.

12. Sememangnya mengambil langkah permusuhan ini mudah dan mungkin populis dalam kelompok yang terhad. Namun apakah keuntungan kepada Islam dan negara ini?

13. Jalan menyebarkan mesej rahmah sememangnya mencabar dalam realiti sebenar di Malaysia dan dunia kini, tetapi YADIM akan komited dan istiqomah atas jalan ini!

Al Fadhil Ustaz Nik Omar Nik Ab Aziz
Yang DiPertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia
30 Ramadan 1440/4 Jun 2019

Sumber : www.yadim.com.my

No Comments

    Leave a reply