BERJAYAKAH ANWAR GANTI DR MAHATHIR?

Penegasan Tun Dr Mahathir akan melepaskan jawatan Perdana Menteri selepas tiga tahun menjawatnya, bukan bererti Anwar Ibrahim memperoleh jaminan seratus peratus. Anwar Ibrahim dalam kenyataan terbaharunya turut memberikan penegasan bahawa hasil perbincangan terbaharunya dengan Tun Dr Mahathir, sudah ada keputusan muktamad. Sayangnya, apakah keputusan muktamad itu benar-benar merupakan keputusan peralihan kuasa, tidak juga dijelaskan secara terperinci.

Menariknya lagi veteran politik yang pernah merasai bekerja dalam tujuh orang Perdana Menteri, Tan Sri Dr Rais Yatim yang kini pengerusi PPBM Negeri Sembilan merasakan tidak semudah itu Tun Dr Mahathir akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar Ibrahim. Wawancara yang disiarkan dalam Utusan Malaysia, Selasa 25 Jun 2019, “Tak semudah itu Tun M serah kerusi PM” memperkuatkan lagi andaian, Anwar berhadapan dengan situasi politik yang berliku untuk menokhtahkan jawatan nombor satu itu.

Menurut Rais, Menteri Hal Ehwal Ekonomi lebih ‘lunak’ dengan Dr Mahathir dan “saya meyakini Dr Mahathir senang dengan beberapa olahan Azmin. Juga sebagai orang nombor dua (Timbalan Presiden PKR), secara demikian boleh kita katakana Anwar gelisah sebab Dr Mahathir ambil orang nombor duanya dalam kabinet.

Walaupun Tun Dr Mahathir berkali-kali menegaskan, beliau adalah Perdana Menteri sementara, dan yang terbaharu setelah berjaya mengurangkan hutang negara, dia akan meletakkan jawatan. Dikatakan, hutang negara dapat dikurangkan dalam tempoh tiga tahun. Tetapi, dalam tempoh setahun Kerajaan PH memerintah, hutang negara dianggarkan lebih RM RM785.2 bilion, meningkat sebanyak RM98.4 Bilion pada 15 April 2019 berbanding RM686.8 Bilion sebelum Mei 2018. Ini belum dicampur RM82 bilion yang kerajaan PH ambil daripada Petronas. (Rujuk; Shamsul Anuar Nasarah, Setahun Yang Gagal, Utusan Malaysia, 9 Mei 2019).

Hutang negara akan terus meningkat, bukannya berkurangan apabila empat lebuh raya yang dijanjikan akan diambil sepenuhnya oleh kerajaan. Anggaran awal, menurut kenyataan Kementerian Kewangan ialah RM 6.5 bilion, yang akan dilakukan menerusi penerbitan bon. Meskipun ia bukan daripada wang kerajaan, dengan memakai lojik, dijamin oleh kerajaan, bon tersebut tetap menjadi hutang. Atas lojik yang samalah Kerajaan PH meuar-uarkan, di akhir pemerintahan BN hutang negara melebihi RM 1 trilion. Akibatnya, Kerajaan PH terpaksa ‘mengikat perut’ untuk berbelanja . Tetapi, selepas dimalukan dengan kegagalan 10 janji dalam tempoh 100 hari pertama, pendirian kerajaan dilihat  berubah.

Kerajaan mengeluarkan wang yang banyak untuk memenuhi keperluan meneruskan bantuan sara hidup kepada kumpulan B40, bayaran sagu hati kepada peneroka  menjelang Aidilfitri, pemberian khas untuk penjawat awam dan pesara kerajaan, bantuan permulaan persekolahan, dan sebagainya. Ini membuktikan bahawa jumlah hutang RM 1 trilion adalah nilai ambang yang bakal dijadikan titik sentuh Kerajaan PH, bukannya makna hutang yang disasarkan terhadap BN sebaik sahaja PH berkuasa.

Rakyat semakin memahami ‘permainan politik Malaysia Baru’ apabila memulakan rundingan untuk mendapatkan pinjaman mudah dengan kerajaan Jepun. Bon Samurai itu berjaya diperolehi dengan nilai lebih RM 7 bilion. Kini, Kerajaan PH sedang berunding dengan China bagi membiayai beberapa projek infrastruktur yang pernah dikritik sebagai ‘menggadai negara’ termasuk pembiayaan pembinaan ECRL yang dipinda spesifikasinya.

Begitu juga dengan pembinaan Bandar Malaysia, yang dahulunya dikaitkan dengan 1MDB.  Akhirnya Menteri Kewangan mengakui, projek tersebut sebagai petunjuk bentuk pelaburan yang menguntungkan, boleh menjana hasil melebihi RM 40 bilion. Ertinya, apa yang dilakukan oleh kerajaan terdahulu bukanlah satu bentuk pelaburan yang merugikan, walaupun 1MDB berhadapan dengan masalah ketirisan pengurusan.

PPBM merupakan komponen kedua terkecil dalam PH selepas PAN. Dengan memenangi 13 kerusi, kedudukan PPBM belum cukup kuat walaupun Dr Mahathir adalah Perdana Menteri. Kedudukan Dr Mahathir juga tidak kukuh memandangkan DAP dan PKR mempunyai suara yang lebih besar. Maka, menyedari kedudukan tersebut, Dr Mahathir memulakan langkah yang lain bagi membolehkan partinya menjadi kuat.

Beberapa orang oportunis dalam BN diterima menyertai PPBM selepas mereka mengisytiharkan diri sebagai wakil rakyat Bebas. Menurut Rais, kini, PPBM sudah mempunyai 29 kerusi di Dewan Rakyat. UMNO semakin dikenakan tekanan, khabarnya strategi itu akan terus dilaksanakan, agar lebih ramai wakil rakyat UMNO menyeberang.

Bagaimanapun, terdapat halangan yang terpaksa dirasionalisasikan oleh PPBM apabila komponennya dalam PH, iaitu DAP dan PKR enggan bersetuju. Ia dilihat bertentangan dengan prinsip yang dipersetujui oleh Majlis Presiden PH.

Wakil rakyat UMNO juga berhadapan dengan kemungkinan ‘disaman’. Mereka yang berhasrat menyeberang terpaksa memikirkan dua kali, kerana UMNO berhak melakukan tindakan tersebut. Wakil-wakil rakyat itu menang atas tiket UMNO, dan mungkin, selepas ini pengundi akan menghukum mereka sebagai ‘pengkhianat’.

Bayangan kekalahan mereka mungkin jelas, sebab kawasan-kawasan yang dimenangi itu merupakan ‘kubu UMNO’, apatah lagi dalam keadaan simpati rakyat terhadap UMNO semakin meningkat. Euforia yang dicipta oleh PH semakin gelonsor dan mengecewakan, apabila dikaitkan dengan perjuangan Melayu dan Islam. Ramai pemerhati politik menyedari masalah ini dan mengharapkan Kerajaan PH berusaha memperbaikinya kalau ingin terus berkuasa bagi tempoh selanjutnya.

PKR dari dalam juga sedang bergolak. Pergolakan dikatakan bermula ketika berlakunya pemilihan kepimpinan parti yang menampakkan percubaan Anwar untuk terus menguasai parti semakin ketara. Pada suatu ketika, Anwar menyekat kemaraan Azmin untuk bertanding jawatan Presiden dengan ‘mengancam’ beliau akan bertanding. Azmin kemudiannya beralah, dan berusaha bertanding jawatan Timbalan Presiden yang dikosongkan oleh Dr Syed Hussin Ali.

Dalam pemilihan tahun lalu, Anwar menang tanpa saingan jawatan Presiden. Anwar tidak selesa dengan Azmin, kerana Azmin telah mengambil alih jawatan Menteri Besar Selangor setelah isterinya. Dr Wan Azizah tidak dipersetujui oleh PAS, yang ketika itu berada dalam komponen Pakatan Rakyat. Selepas menjawat jawatan Menteri Besar, Azmin mula membina kekuatan politiknya, dan Rafizi Ramli mula merancang jalan permusuhan.

Selepas Rafizi bebas daripada beberapa pertuduhan (salah satu sebab tidak mempertahankan kerusi Pandan dalam PRU ke-14), berterusan mengolah cerita tentang keburukan Azmin. Dilaporkan bahawa Azmin tidak menyediakan peruntukan  bagi perbelanjaan kempen PKR.  Akhirnya, Rafizi dicalonkan untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden bagi mencabar keunggulan Azmin. Cabaran itu bersahut,  Rafizi kalah. Kekalahan tersebut tidak bermakna Rafizi dilupakan oleh Anwar. Rafizi tetap menjadi orang penting dalam percaturan politik bagi pihak Anwar. (Baca, Malike Malik, Krisis PKR semakin membusukMingguan Malaysia, 23 Jun 2019)

Akhir-akhir ini, Azmin terpalit dengan video lucah. Video itu dikatakan strategi terbaharu ‘orang dalam PKR’ untuk menggagalkan Azmin yang memangnya dipercayai oleh Dr Mahathir. Dr Mahathir tidak mempercayai pembabitan Azmin, bahkan tetap mempertahankan bahawa Azmin tidak ‘melakukan adegan’ terbabit, walaupun Haziq mengakui bahawa ‘dia adalah lelaki dalam video’ tersebut. Haziq menjelaskan, perlakuan berkenaan berlaku pada 11 Mei 2019, dalam bulan Ramadhan, masa berkempen PRK Sandakan dan itu bukanlah pertama kali aksi mereka berdua.

Komen Azmin ialah penyebaran video tersebut adalah ‘konspirasi’ dan gutter politics atau politik longkang. Sengaja dilakukan untuk menimbulkan imej buruk dan masalah moral terhadapnya.  Azmin dilantik sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi sedangkan namanya tidak disenaraikan oleh PKR. Azmin tidak disenaraikan kerana beliau adalah Menteri Besar Selangor. Tetapi, kuasa melantik menteri adalah prerogatif Perdana Menteri. Anwar terpaksa menerimanya. Azmin melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar, maka pengaruh Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan  dikurangkan.

Sebelumnya, hal ehwal ekonomi turut menjadi tanggungjawab Menteri Kewangan, maka Lim Guan Eng mula merasakan cakupan kerjanya telah dipersempitkan. Perlu bekerjasama  lebih erat dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, terutama dalam usaha memacu pertumbuhan dan meletakkan dasar bukan fiskal. Beberapa entiti ekonomi kerajaan saperti GLC, GLiC dipindahkan ke Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, termasuk entiti yang berkaitan Bumiputera. Antaranya, FELDA dan FGV. Ini mungkin kaedah Perdana Menteri untuk mengekang lebih banyak aset-aset negara berpindah milik atau dijual.

Krisis dalaman PKR juga dapat dilihat daripada perspektif kekananan dalam politik. Datin Seri Dr Wan Azizah masih dikekalkan sebagai Timbalan Perdana Menteri walaupun beliau tidak lagi mempunyai apa-apa jawatan dalam parti. Sebaik sahaja Anwar menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR, secara lojiknya, Wan Azizah perlu melepaskan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Bagaimanapun, disebabkan kuasa  melantik adalah prerogatif Perdana Menteri, Wan Azizah masih selamat,  selagi tidak digugurkan oleh Dr Mahathir. Setakat ini, Dr Mahathir belum menunjukkan  tanda-tanda untuk menyusun semula barisan kabinetnya walaupun ada pandangan dari pihak tertentu agar beliau melakukannya.

Dr Mahathir tetap berusaha memberikan peluang kepada barisan kabinetnya untuk melonjakkan prestasi dan tanggungjawab masing-masing walaupun diakui masih lemah dan kurang memuaskan. Setakat ini, desakan yang dilakukan tidak diambil endah oleh Perdana Menteri meskipun petisyen dalam talian mencecah lebih 300,000 (kes Waytha Moorty). Bahkan, bekas pegerusi Majlis Perundingan Kerajaan (MPK) memberikan indikasi, enam bulan pertama rakyat begitu kecewa dengan prestasi sebahagian anggota kabinet.

Enam bulan adalah sudah cukup untuk belajar. Kini, masanya untuk barisan kabinet melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan, bukan lagi asyik menimbulkan ‘political bashing’. Nampaknya, ‘political bashing’ masih belum dapat dikekang. Ada ketikanya, menteri begitu cepat melatah mengkritik seorang menteri yang lain. Misalnya,  Khalid Samad dan Redzuan Mohd Yusof berhubung pelaburan berjumlah US$ 400 bilion (RM 1.6 trilion) dari Timur Tengah untuk projek kereta nasional ketiga. (Astro Awani, 16 Disember 2018).

Menteri Perusahawan Utama menyangkal Khalid Samad. Menurut menteri tersebut, pelabur dari Qatar menyatakan minat untuk melabur dalam pelbagai bidang, bukan mengkhususkan dalam kereta nasional ketiga. Akibat percanggahan tersebut, Najib menyindir “Oh, rupanya tak wujud pelaburan RM1.6 TRILION dari Qatar. Menteri lain terus nafikan. Hari ini, Khalid Samad nak salahkan siapa? Malaikat? Atau yang lain? Eloklah Khalid fokus Harapan Coin sajalah.” (Rujuk: https://www.ismaweb.net/2018/12/17/qatar-tak-fokus-projek-kereta-ketiga-kata-menteri-usahawan/)

Bagi segelintir pemimpin dalam PKR, kedudukan tersebut menjelaskan bahawa Anwar belum tentu terjamin sebagai Perdana Menteri, dan bagi Rais Yatim, walaupun beberapa kali Dr Mahathir berkata ‘akan melepaskan jawatan apabila tiba masanya,’ ia hanyalah ‘janji politik’. Ini kerana, Dr Mahathir hanya memberitahu satu perempat sahaja apa yang dirancangnya, manakala tiga perempat lagi disimpan. Tidak siapa tahu apakah rahsia tiga perempat itu. Mungkin percaturan lain dalam tempoh sebelum berakhir edah Perdana Menteri sementara, atau meneruskan tanggungjawab tersebut sehingga berakhirnya mandat PRU ke-14?

Berdasarkan sikap dan pendirian Dr Mahathir ketika ini, dakwaan Azmin dengan video lucahnya, keengganan Azmin untuk membuat ujian poligraf, boleh menjadi sesuatu yang berubah. Dr Mahathir yang merasakan ‘Azmin lebih lunak’ berbanding Anwar, akan mempertahankan ‘orang kepercayaan’nya itu, sedangkan Anwar terkial-kial menjaja janji bahawa “Saya akan jadi Perdana Menteri”.

Ramai yang melihat bahawa janji dan dakwaan itu bakal memberikan tekanan kepada Anwar, kerana Dr Mahathir boleh membuat pelbagai pusingan u jika dirinya dicabar. Anwar terpaksa berhati-hati dalam ‘permainan politik’ tersebut, bukan sahaja melunakkan tuntutannya terhadap Dr Mahathir, dan berusaha tidak ‘menahan lukah’ ketika Azmin sedang dipersoalkan.

Ketika ini turut dipersoalkan kembali mengenai pendirian Dr Mahathir ketika  ketepikan peluang Anwar pada suatu ketika, iaitu Malaysia tidak akan memberi ruang kepada ‘orang yang ada masalah moral’ terutama berkaitan dengan kes semburit. Anwar sudah dua kali dikaitkan dengan isu itu, tahun 1998 dan pada tahun 2008. Dalam kes pertama, Anwar dibebaskan dengan keputusan juri manakala kes kedua, Anwar dijatuhkan hukuman penjara selama lima tahun.

Pada 16 Mei 2018, Anwar mendapat pengampunan penuh dan rekod liwatnya dipadamkan. Tetapi, ia tidak bermakna  Anwar tidak akan dikaitkan dengan kes semburit sampai bila-bila.

Anwar pernah dikaitkan dengan video China Doll. Anwar turut dikaitkan dengan tuduhan ‘memperkosa’ seorang pelajar Indonesia. Hubungan sulit Anwar dengan isteri Azmin masih belum terpadam dalam memori rakyat Malaysia. Begitu juga dengan dakwaan seorang lelaki menyerupai Azmin dalam satu adegan seks dengan seorang wanita di dalam sebuah bilik air. Semuanya ini akan terus diperkatakan mengenai mereka berdua.

Apabila Setiausaha PAS memanggil Anwar sebagai ‘bekas banduan’, ramai penyokong PKR membantah dan kes ini sedang disiasat oleh polis. Kalau dalam tahun 1997, beredarnya buku 50 Dalil Kenapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM, kini sedang kecoh pula sebuah manuskrip tulisan Yahya Ismail, Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM (2019).

Natijahnya tetap sama, banyak persoalan yang perlu difikirkan, termasuklah masalah moral. Sebagai seorang ahli politik, setiap gerak-gerinya menjadi perhatian masyarakat, begitu juga kata-kata yang dikeluarkan.

Seorang ahli politik, yang kemudiannya diandaikan sebagai pemimpin bukan sahaja perlu dilihat bersih. Dalam persaingan kuasa, kebersihan moral tetap menjadi ukuran yang tidak boleh dipersendakan. Kepimpinan seringkali diibaratkan saperti seekor ikan.

Ikan mula membusuk dari kepala kemudiannya menuju ke ekor. Sebab itulah ikan yang busuk tidak lagi bernilai, walaupun dibasuh berkali-kali ia tetap berbau. Ikan itu akhirnya menjadi sisa buangan kalaupun tidak dijadikan baja dan ditanam ke dalam tanah.

Masa yang berbaki masih panjang, belum pun sampai separuh daripada tempoh terbaharu sebagai Perdana Menteri sementara, iaitu tiga tahun. Dalam tempoh dua tahun akan datang, masih banyak hal yang boleh berlaku dan kemungkinan-kemungkinan yang tidak menyebelahi Anwar  tetap ada.

Atas perkiraan tersebut, Anwar tidaklah perlu mengatakan bahawa ‘dirinya sudah terjamin akan dilantik sebagai Perdana Menteri’, ada banyak penghalang yang besar bakal dihadapinya, termasuklah berpecahnya PKR.

Mahanor Saleha

No Comments

    Leave a reply