ANWAR DAN ROAD TO PUTRAJAYA (BAHAGIAN AKHIR)

Seperti makna politik dari perspektif Lasswell, Dr Mahathir mungkin tidak akan menyerahkan kuasa yang dimilikinya selagi ‘apa yang dikehendaki’nya belum tercapai. Persoalannya, apakah yang dikehendaki oleh Dr Mahathir? Andaian terbanyak ialah  andaian, menjamin kedudukan Mukhriz dan ‘memenjarakan” Najib sebagaimana Dr Mahathir berjaya melakukan ke atas Anwar.

Najib dianggap tidak ‘mengenang budi’. Dr Mahathir yang pernah merajuk dan keluar UMNO pada tahun 2007 mengkritik Tun Abdullah Ahmad Badawi kerana mahukan Najib menjadi Perdana Menteri. Apabila Najib menjawat jawatan Perdana Menteri, beberapa bulan kemudian Dr Mahathir kembali menyertai UMNO. Ketika PRK DUN Selambau (2009), Dr Mahathir turut membantu BN. Tahun 2013, khabarnya terbentuk satu persetujuan, sekiranya UMNO berjaya menumbangkan PAS di Kedah, Mukhriz dilantik sebagai Menteri Besar.

Dr Mahathir turun padang membantu Mukhriz. Dr Mahathir dikatakan merajuk semula apabila Mukhriz tewas dalam perebutan jawatan Naib Presiden UMNO (2013). Pada pandangan sebahagian aktivis UMNO, kali ini Dr Mahathir benar-benar merajuk kerana Najib tidak berusaha ‘menjamin Mukhriz dipilih’ menduduki salah satu kerusi Naib Presiden. Aktivis mengingat kembali bagaimana Dr Mahathir menggunakan kedudukannya untuk berpihak kepada Musa Hitam (1981 dan 1987) dan Anwar dalam pemilihan jawatan Timbalan Presiden (1993).

Jika Dr Mahathir boleh membuat keputusan berpihak kepada seseorang ketika pemilihan, tidak ada sebab Najib tidak boleh mengambil pendekatan yang sama. Persoalan inilah sebenarnya yang menjadi dendam politik Dr Mahathir untuk menyingkirkan Najib.

Keenganan Najib itu kemudiannya dikaitkan dengan apa yang dihadapi oleh 1MDB, sebuah syarikat pelaburan milik di bawah Kementerian Kewangan (Diperbadankan) selepas Jawatankuasa Kira-Kira  Wang Negara (PAC) dapat mengesan kelemahan pengurusan kewangan.

Kelemahan itu kemudiannya diterjemahkan sebagai punca 1MDB gagal membayar hutang. 1MDB dilaporkan telah meminjam sebanyak RM 30 bilion. Sebahagian wang pinjaman didakwa telah  ‘dicuri’. ‘Wang dicuri’ itu digunakan untuk tujuan politik termasuk membiayai perbelanjaan kempen pilihan raya BN (2013), menanggung kos mengerjakan haji untuk 1,000 orang setiap tahun, aktiviti parti. Kini, proses perbicaraan itu masih berjalan dan menjadi sasaran utama Kerajaan PH untuk ‘metalqinkan UMNO dan BN.’

Ramai yang memberi pandangan, selagi Dr Mahathir tidak mendapat jaminan bahawa Mukhriz disediakan lowongan sebagai Perdana Menteri pada suatu ketika, selagi itulah beliau akan mencari jalan dan melancarkan beberapa kemungkinan.

Kemungkinan pertama, menghancurkan PKR. Tetapi, strateginya mestilah halus dan tidak menampakkan dirinya terbabit. PKR akan berpecah. Perpecahan dalam PKR sudah pun berlaku. Ia agak ‘terbantut’ apabila tersebarnya video lucah membabitkan Azmin Ali dan Haziq.

azmin ali

Sebelumnya, PKR seolah-olah terbelah dengan dua kem. Anwar mencanangkan kedudukan Rafizi, sedangkan Rafizi ‘bermusuh” bermusuh dangen Azmin. Rafizi telah digunakan oleh Anwar untuk ‘melumpuhkan kedudukan Azmin’ . Rafizi yang mendapat sokongan Anwar bertanding merebut  jawatan Timbalan Presiden PKR. Biarpun Rafizi tewas, Anwar tetap melantik Rafizi sebagai salah seorang Naib Presiden.

Pada mulanya ada yang mengandaikan video lucah itu disebarkan oleh musuh Azmin dalam PKR. Mendengar dakwaan itu, Rafizi menafikan dirinya terbabit. Anwar perlu berhati-hati untuk mengambil pendirian, kerana Dr Mahathir terus mempertahankan bahawa Azmin tidak terbabit. Bahkan Dr Mahathir menegaskan, mungkin pada suatu masa video yang membabitkan dirinya akan tersebar dalam adegan yang memualkan. Ada pemimpin PKR mendesak  Azmin agar bercuti dan meletakkan jawatan ekoran video lucah itu.

Dr Mahathir memberikan pandangan, Azmin tidak perlu bercuti kerana siasatan boleh dijalankan bila-bila masa. Ia tidak mengganggu dan membelenggu proses siasatan. Pendirian Dr Mahathir itu membuatkan sebahagian mereka yang mendesak terdiam.

Sejak itu, tidak lagi kedengaran desakan dan umpatan oleh pemimpin PKR terhadap Azmin. Ini bermakna, mereka yang mendesak Dr Mahathir kesipuan. Dr Mahathir tidak mendengar atau tunduk kepada desakan.

Dr Mahathir tetap Dr Mahathir seperti sebelumnya. Tidak boleh dicabar. Bila dicabar, beliau lebih tangkas mengeluarkan hujah, walaupun hujah tersebut dianggap melanggar prinsip moral.

Dr Mahathir dan Anwar mengulangi beberapa kali mengenai ‘janji peralihan kuasa’, ia masih belum boleh mematikan perbincangan awam, termasuklah oleh penyokong kedua-dua parti. Dalam PKR, ada perhitungan lain. Sekiranya Anwar benar-benar mendapat ‘kuasa’, apakah yang berlaku kepada Azmin Ali. Apakah Anwar bersetuju untuk memilih Mukhriz sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Seandainya Anwar berjaya dinobatkan sebagai Perdana Menteri ke-8 sebelum PRU ke-15, apakah beliau akan mencipta sejarah bahawa dirinya bukan dalam kalangan anggota kabinet Kerajaan PH. Berdasarkan sejarah, kesemua Perdana Menteri dilantik daripada kalangan anggota kabinet dan pernah memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri. Ini bermakna, Anwar hanya seorang ahli parlimen dan bukannya Timbalan Perdana Menteri semasa.

Walaupun ia boleh berlaku dan pernah berlaku di negara lain. Nilainya di Malaysia adalah berbeza. Walaupun Anwar pernah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, kesinambungan kuasa itu sudah terputus lebih 20 tahun dan berada dalam situasi politik yang yang sudah berubah.

Mungkin bagi sesebuah negara yang mengamalkan demokrasi dan membuat pemilihan Perdana Menteri (atau Presiden) secara langsung, ia bukan sesuatu yang dilihat janggal. Jokowi tidak pernah berada dalam kabinet sebelum menang jawatan presiden dan bukan seorang pemimpin utama parti.

HARAPAN

Disebabkan PH merupakan gabungan empat buah parti –PPBM, PAN, PKR dan DAP—maka muncul pula prinsip tanggungjawab bersama. Apakah nanti mereka yang akan dipilih sebagai Timbalan Perdana Menteri oleh Anwar mendapat persetujuan Majlis Presiden Pakatan Harapan? Apakah keputusan memilih itu masih bersandar kepada prerogatif Perdana Menteri?

Ketika ini heboh dipersoalkan mengenai pelanggaran persetujuan Majlis Presiden Pakatan Harapan apabila Perdana Menteri tidak berbincang dengan parti komponen untuk melantik Ketua Polis Negara, Ketua Hakim Negara, Ketua Pesuruhjaya SPRM dan terbaharu ialah Pengerusi SUHAKAM.

Majlis Presiden Pakatan Harapan bersetuju, prerogatif Perdana Menteri dikurangkan bagi mengelakkan dakwaan penjawat awam dibayangi oleh pengaruh politik. Pelantikan jawatan utama hendaklah diputuskan oleh Jawatankuasa Khas Melantik (PSC). Keanggotaan PSC terdiri daripada wakil rakyat pelbagai parti, termasuk pembangkang.

Jawatankuasa ini sudah ditubuhkan, tetapi tidak mempunyai kuasa melantik. Jawatankuasa tersebut tidak diberikan peluang untuk berbincang sebelum Perdana Menteri membuat keputusan. Jawapan Dr Mahathir adalah mudah, beliau tidak mahu terikat dengan sebarang keputusan lain. Sah, Dr Mahathir bukan sahaja mahu memperlekehkan persetujuan bersama sebelum memerintah, bahkan tetap memperlihatkan dirinya ada POWER (Politics of Win Eager Reckless).

Persoalan lain yang turut menjadi bahan perbincangan ialah Dr Mahathir mempunyai dua orang tokoh dalam PH yang pernah dan berpengalaman sebagai Timbalan Perdana Menteri, iaitu Anwar dan Tan Sri Muhyiddin Yassin. Wan Azizah tidak mungkin dipilih sebagai Perdana Menteri atas alasan, tidak ada apa-apa jawatan dalam parti, walaupun beliau adalah Timbalan Perdana Menteri.

Ada yang secara berseloroh berkata, jika Wan Azizah dipilih sebagai Perdana Menteri, Anwar akan memberikan tekanan dan mendesak agar segera memindahkan jawatan itu kepadanya. Umpama mengulangi apa yang Wan Azizah sebagaimana pernah Wan Azizah lakukan ketika mengosongkan kerusi Permatang Pauh (2008) dan tidak mempertahankan jawatan sebagai Presiden PKR.

Dari segi pengalaman, Anwar dan Tan Sri Muhyiddin hampir sama tempoh memegang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri. Anwar dari 1993-1998 (5 tahun) dan  Tan Sri Muhyiddin dari 2009 hingga 2015 (6 tahun). Tetapi, Muhyiddin mempunyai pengalaman sebagai Menteri Besar selama sembilan tahun (1986-1995). Kededuanya pernah memegang jawatan Menteri Pertanian, Menteri Pendidikan. Tan Sri Muhyiddin tidak pernah dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan.

Kini, Muhyiddin adalah Menteri Dalam Negeri. Kedua-duanya dilahirkan pada tahun yang sama, iaitu 1947. Muhyiddin tidak mempunyai masalah besar dengan Dr Mahathir, walaupun akhir-akhir ini dikatakan sedikit berkecil hati mengenai pelantikan  pengerusi PPBM Johor tanpa berbincang. Dengan Anwar, Dr Mahathir pernah ‘berperang besar’ dalam peristiwa pemecatannya.

mahathir berhari raya

Muhyiddin tidak pernah mengkritik dengan lantang dan memberikan gelaran yang buruk mengenai Dr Mahathir. Anwar bukan sahaja ‘menentang’ Dr Mahathir selepas dipecat, bahkan mendakwa Dr Mahathir adalah seorang yang korup, kejam dan mengamalkan politik kroni.

Mungkinkah ‘perundingan’ pada tahun 2017 telah menyebabkan Dr Mahathir boleh melupakan apa yang Anwar dakwa terhadapnya? Mungkinkan Anwar boleh melupakan apa yang pernah menjadi ‘dendam’nya terhadap Dr Mahathir? Inilah persoalan yang menarik. Tetapi, dalam politik tidak ada musuh yang kekal dan kawan karib selama-lamanya, kerana perkara pokok ialah kuasa.

Apakah ‘proses peralihan kuasa’ yang bakal berlaku itu mendapat persetujuan sebulat suara anggota kabinet? Apakah kali ini Dr Mahathir akan membawa usul agar Parlimen meluluskan cadangan ‘peralihan kuasa’ kepada Anwar Ibrahim?

Rakyat terus berspekulasi. Penyokong PPBM juga berspekulasi. Ahli PKR juga berspekulasi. Spekulasi akan terus timbul selagi Dr Mahathir tidak memberikan tarikh tetap bilakah ‘proses peralihan kuasa’ itu akan dibuat.

Rantau PRK 3

Jika jawapannya sekadar  “bila sampai waktu’nya, ia belum boleh dianggap memadai. Apatah lagi dalam situasi, ramai juga rakyat Malaysia tidak mengharapkan Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri ke-8 atas sebab dan rasional yang mereka sendiri lebih faham.

Untuk membaca political roadmap kadangkala memerlukan kita melihat dalam perspektif yang terbalik. Sebab banyak perkara yang berlaku adalah kebalikan kepada apa yang sebelumnya. Dr Mahathir pernah menyelar mengenai pemberian ‘wang tunai kepada rakyat’ tetapi beberapa hari selepas itu, peneroka FELDA diberikan sedikit ‘sagu hati’ menjelang Aidilfitri. Paradok seperti itu bukan perkara baharu dalam amalan pentadbiran Dr Mahathir. Dari tahun 1982 hingga 2003, ia sudah banyak kali berlaku.

Saperti pendirian PH terhadap ‘pelaburan China’, dari ‘menjual negara’ kepada pelaburan yang menguntungkan. China semakin penting dalam perdagangan antarabangsa. Sebelumnya, apabila China memberikan pinjaman dianggap ‘menggadai negara’ maka itulah yang sedang berlaku, Lim Guan Eng kini berada di China untuk  berunding  Bon Panda.

Turut diperkatakan ialah imbasan terhadap pemerintahan Dr Mahathir selama 22 tahu sebagai Perdana Menteri ke-4. Dr Mahathir melantik empat orang Timbalan Perdana Menteri (Musa Hitam, Ghafar Baba, Anwar Ibrahim dan Abdullah Ahmad Badawi). Hanya Abdullah yang berjaya menjadi Perdana Menteri.

Musa Hitam meletakkan jawatan kerana tidak berpuashati dengan Dr Mahathir terus melantik Tengku Razaleigh berada dalam kabinet. Ghafar Baba  ‘dipaksa’ melepaskan jawatan apabila Dr Mahathir berpihakkepada Anwar untuk pada tahun 1993. Anwar dipecat kerana  perancangannya bocor. Tapi Dr Mahathir memecat  Anwar yang mempunyai masalah moral setelah enggan meletakkan jawatan.

Hanya Abdullah Ahmad Badawi begitu tenang, tidak mencabar Dr Mahathir.Tetapi selepas memegang jawatan Perdana Menteri ke-5, Dr Mahathir dengan kerasnya mengkritik .Pentadbiran Abdullah dianggap ‘lemah, lembik dan terlalu memberikan kuasa kepada anak dan menantu mencampuri urusan pentadbiran’.

Perspektif tersebut menggambarkan Dr Mahathir akan memilih mereka yang ‘lunak’ dan Rais Yatim membayangkan tokoh itu ialah Azmin Ali. Tetapi, Azmin buat masa ini perlu ‘membersihkan’ dirinya agar tidak dianggap berhadapan dengan ‘masalah moral’. Dr Mahathir sudahpun memberikan petunjuk bahawa beliau tidak akan berkompromi dengan mereka yang mempunyai ‘masalah moral’.

Setakat ini, Dr Mahathir tidak mempercayai apa yang berlaku, tetapi, dari perspektif reverse psychology ia mungkin akan berubah dalam tempoh tertentu. Seperti tidak percayanya Dr Mahathir apabila diberitahu bahawa ANwar ada masalah moral. Laporan Tan Sri Rahim Nor berjaya mengubah pendirian dan beliau percaya Anwar  melakukan seks luar tabi’e.

Apakah dalam misi Anwar Road to Putrajaya II akan mengulangi nasib malang Road to Putrajaya I ? Sepatah kata rakan saya, manusia hanya boleh merancang, Tuhan akan tentukan. Anwar boleh bercita-cita besar, tetapi ia bukanlah petanda ia akan berjaya walaupun berusaha keras, dengan pelbagai perancangan, tanpa ‘restu-Nya’ ia akan tetap menemui kegagalan.

Itulah ‘suratan takdir’. Itulah makna syukur dan pasrah. Itu juga petunjuk dari falsafah kun fayakun yang perlu difahami, hayati dan bukan mendabik dada, ‘sayalah yang paling layak’ atau ‘anugerah terbaik dari Tuhan’.

Siapa sangka Dr Mahathir boleh kembali menjadi Perdana Menteri dalam usia 93 tahun.  Siapa sangka Anwar benar-benar jadi Perdana Menteri ke-8 walaupun sudah dua kali gagal dan kali ini adalah percubaannya yang ketiga.

Monosin Sobri

No Comments

    Leave a reply