POLITIK ISLAM DAN NEGARA TIDAK BERADAB

Biarpun sudah dianggap klasik, tetapi kajian yang dilihat daripada perspektif antropologi ini sangat menarik dan masih ada relevannya dengan perkembangan politik Islam semasa, termasuk di Malaysia. Indonesia dan Malaysia sebenarnya saling mempengaruhi dalam banyak perkara termasuk perjuangan politik Islam dan budaya politik meskipun ada perbezaan ketara dari segi aksi politik. Terima kasih atas pencerapan yang mendalam dan perbincangan kritis yang berjaya dilakukan oleh Robert W Hefner dalam Islam Dalam Politik dan Pendemokrasian di Indonesia.[i]

Sebaik sahaja menamatkan pembacaan buku ini, saya dapat mencari sedikit sebanyak jawapan terhadap peristiwa yang menjadikan Soeharto begitu kuat (boleh berkuasa sehingga melebihi tiga dekad) dan seperti juga kita faham, pada suatu tahap, kekuatan yang dibina bertahun-tahun lamanya akan ‘hancur’. Tidak ada yang kekal. Sebab manusia memang ada sejarah pasang surutnya, begitu juga pemimpin yang berkuasa.

permainan kuasa

Dengan mengetepikan faktor ‘keazalian manusia’, saya memahami bahawa semakin lama seseorang itu berkuasa, orang itu akan terus hanyut dalam ‘permainan kuasa’ sehingga terlupa bahawa kepimpinan yang dipertanggungjawab itu adalah amanah yang wajib dipikul, bukan untuk diwariskan kepada sesiapa meskipun orang yang paling dekat dan berada dalam kelompok kuasa. Ada kuasa lain yang bakal menolaknya, biarpun secara lumrahnya difokuskan ‘giliran’ dan gandingan terbaik sebelumnya.

Soeharto sebenarnya berada dalam dilemma kuasa yang besar sejak separuh kedua kepimpinannya. Ia menjadi tercabar oleh pelbagai aliran pemikiran Islam yang berkembang ekoran berlakunya kebangkitan semula Islam yang bermula di Iran, apabila Shah Redza Pahlavi berjaya dijatuhkan. Suara-suara kebangkitan Islam itu mula bergema hebat, meskipun pada awalnya, kelompok Islam di Indonesia merupakan kumpulan yang berpengaruh, Seoharto berjaya mengekangnya dengan menawarkan pelbagai ramuan tertentu dalam keadaan kelompok Islam tidak pernah bersatu, masing-masing mempertahankan idealisme politik sendiri.

budaya politik elit

Kemuncak kepada perbincangan dan analisis Hefner dapat kita baca di bab 7: Negara Tidak Beradab, yang cuba melihat budaya politik elit yang berkuasa melanggar etika politik yang dikenali sebagai civil society atau dalam bahasa politik ialah masyarakat madani. Konsep masyarakat madani begitu rancak diperkatakan dalam tahun 1990-an, dan di Malaysia, Anwar Ibrahim dianggap menjadi pelopor walaupun gagasannya dianggap bombastik dan penuh retorik.

Dalam satu kertas kerja yang ditulis oleh Anwar Tahir dan dibentangkan dalam Seminar Pemikiran Pendidikan Anwar Ibrahim (22 November 2016) dicatatkan bahawa: Oleh kerana minatnya kepada gagasan ini, Anwar Ibrahim memperkenalkan istilah ‘Masyarakat Madani’ bagi menterjemahkan civil society.

“Namun gagasan ini tidak disambut oleh cendekiawan di sini. Tetapi apabila istilah itu diperkenalkan buat pertama kalinya di Jakarta, pada Simposium Festival Istiqlal, para cendekiawan Indonesia memberikan sambutan hangat. Sejumlah judul buku dan makalah atas nama masyakarat madani diterbitkan di negara buluh runcing itu,” jelas Anwar Tahir yang amat mengagumi Anwar Ibrahim.

faham co-existence

Namun, menurut Anwar Tahir lagi, ada kecurigaan besar terhadap Anwar Ibrahim mengenai sikapnya sebagai seorang ‘pengamal civil society’ termasuklah ‘persahabatannya dengan Gus Dur, Nurcholis Majid dan Sujak Sivaraksa[ii] yang memperjuangkan faham co-existence’ yang dianggap ‘liberal walhal ia menggambarkan seorang ahli politik yang mengamalkan dasar insklusif dalam persahabatan dan perjuangan.” [iii]

Gus Dur (Abdurrahman Wahid) dan Nurcholis Majid adalah antara kelompok pemikir Islam yang turut disorot dengan baik oleh Hefner dalam analisis budaya politik Order Baru pimpinan Soeharto. Gus Dur (1940-2009) adalah Presiden Indonesia ke-4 dan pertama dalam kalangan agamawan yang terpilih sebagai presiden. Beliau adalah anak kepada KH Wahid Hasyim (1914-1953) Menteri Agama (1945 dan 1949-1952) pertama dalam kabinet Sukarno. KH Wahid Hashim ialah anak kepada pengasas Nahdiatul Ulama, KH Hasyim Asy’ari (1871-1947).

liberal dan multikulturisme

Nurcholish Majid (1939-2005) merupakan intelektual Islam Indonesia yang pernah menjawat jawatan Ketua Umum Himpunan Mahasiswa Islam (ditubuhkan pada 5 Februari 1947) di Jogjakarta (tepatnya, Fakulti Undang-Undang Sekolah Tinggi Islam, kini Universitas Islam Indonesia) selama dua penggal (1966-1969 dan 1969-1971). Sebahagian masyarakat Islam melihat pemikiran Nurcholish Majid dalam kategori Islam liberal atas sifatnya yang banyak memberi pemahaman Islam dalam konteks multikurturisme.

Nurcholish pernah disoroti sebagai pembawa pemikiran pembaharuan yang bermaksud: “ suatu pemahaman baru terhadap agama Islam dengan cara rasional tidak terikat pada satu paham atau mazhab dalam memahamlnya dengan mengacu kepada dua sumber primer, yakni al-Qur’an dan al-Sunnah Nabi Muhammad SAW.”[iv]

Bapanya, KH Abdul Majid Tamim (1922-2005) merupakan pendokong Masyumi (ditubuhkan pada tahun 1943 dan menjadi parti politik pada 7 November 1945, 13 September 1960 dibubarkan oleh Sukarno. Antara tahun 1930-an hingga awal tahun 1940-an KH Abdul Majid berguru dengan Hadratussyaikh KH Hasyim Asy’ari. KH Abdul Majid, seperti dicatatkan oleh Martin Van Bruinnessen[v] merupakan seorang tokoh yang banyak memainkan peranan penting dalam penterjemahan kitab-kitab salaf ke bahasa Madura).

civil Islam

Selain mengajar dan menjawat jawatan Rektor Universitas Paramadina, Nurcholish Majid adalah wakil ketua Dewan Penasihat Ikatan Cendekiawan Islam Indonesia (ICMI) yang didokong oleh BJ Habibie (1936-2019), presiden Indonesia ke-3 dan pertama bukan dalam kalangan tentera, yang menggantikan Suharto sebaik sahaja dipaksa meletakkan jawatan.

Dalam buku ini, Hefner mempopularkan istilah civil Islam yang bermaksud satu bentuk gerakan pembaharuan Islam dan kebangkitan intelektual yang dibiayai oleh kelas menengah atau elit politik dan sekumpulan aktivis yang dipanggil Islam moderat. Gerakan inilah yang akhirnya berjaya menumbangkan Soeharto pada bulan Mei 1998 kerana perancangan Soeharto terhadap kebangunan Islam bukan sebagai kerangka pembinaan negara yang beradab, ia sekadar sebagai alat untuk memperoleh dan menunjangi kuasa.

Hefner merupakan pengganti Peter L Berger (1929-2017) ahli sosiologi dan pengamal Protestan terkenal Amerika berketurunan Austria, pernah mengeluarkan mempelopori pergerakan  “God is dead” sebagai pengarah Institut Budaya, Agama dan Hal Ehwal Dunia, Universiti Boston pada tahun 2009. Berger mengasaskannya pada tahun 1985 dan menjadi ketua sehingga tahun 2009.

Menurut pemahaman Hefner, pendemokrasian adalah idea tentang demokrasi, masyarakat madani, pluralisme sivik, kebebasan dan sebagainya yang disinonimkan dengan barat boleh ditemukan di negara-negara yang didiami oleh majoriti Islam. Beliau tertarik dengan Indonesia untuk dijadikan sebagai kajian dan membina model bagi melihat politik Islam atas faktor kedudukan Indonesia sebagai sebuah negara berpenduduk Islam paling ramai, kepelbagaian budaya, sikap dan pemahaman mengenai penerapan politik Islam.

Muslim liberal-demokrat

Kedua, Hefner melihat reformasi yang berlaku di Indonesia (1998) adalah revolusi kedua terbesar dan penting dalam sejarah politik Islam moden. Revolusi pertama ialah Revolusi Iran (1979). Ia berlaku dalam tempoh dua puluh tahun, iaitu dua pertiga masa pemerintahan Soeharto di mana ianya digerakkan oleh kelompok ‘Muslim liberal-demokrat’. Kelompok ini menekankan kepada perubahan yang besar kepada sistem ekonomi, politik dan kebudayaan di Indonesia.

Period terakhir pemerintahan Soeharto dikatakan sebagai titik tolak kepada lahirnya istilah negara tidak beradab bila mana berlakunya gerakan keras untuk: (1) menggulingkan Gus Dur dalam kepimpinan Nahdiatul Ulama (NU) menjelang Muktamar NU ke-28 pada bulan Disember 1994; (2) meminggirkan Kejawean (aliran spiritual Islam konservatif); (3) memusnahkan karakter dan pengaruh Megawati Sukarnoputri; dan (4) Keganasan pihak berkuasa.

kelompok Islam sebagai rakan kongsi

Gus Dur yang memimpin NU memberikan sokongan kepada Soeharto dengan ideologi Pancasila dan kerana itu ia menjadi dipandang sebagai ‘pilihan terbaik rejim untuk dijadikan rakan kongsi”. NU merupakan sebuah pertubuhan Islam yang terbesar di Indonesia. Ada kajian mengatakan NU didokong oleh lebih 51 juta orang umat Islam seluruh Indonesia.[vi] Ia adalah kumpulan pengundi yang besar, maka Soeharto tidak akan mengabaikannya.

Beberapa bulan menjelang Muktamar NU, Gus Dur berusaha tidak menunjukkan keinginannya untuk mempertahakankan jawatan sekiranya NU dapat mempertahankan pendirian ‘tidak berpolitik’. Strategi licik itu sebagai tindak balas Gus Dur terhadap serangan kempen kerajaan untuk menggulingkannya. Antara kumpulan penentang ialah penyokong PPP (Partai Persatuan Pembangunan) dan kelompok NU yang mahukan bebas daripada naungan penguasa (kerajaan) bukan merebut keuntungan ‘kontrak’; kelompok ahli perniagaan yang marah kerana Gus Dur lantang mengkritik kerajaan dan ini akan menjejaskan peluang mereka mendapatkan kontrak kerajaan.

asal bukan Gus Dur

Meskipun kempen “asal bukan Gus Dur’ menampilkan ideologi yang berbeza-beza, gerakan tersebut akhirnya berjaya dipimpin oleh Abu Hassan, seorang usahawan yang berjaya. Abu Hassan juga dikatakan berjaya membentuk ‘jaringan penaungan’ dengan menggunakan kekayaannya dalam NU. Abu Hassan juga mempunyai hubungan erat dengan keluarga Soeharto, khususnya dengan Mbak Tutut (anak perempuan Soeharto) yang turut dikatakan bakal menggantikan ayahnya.

Mbak Tutut pula menjalin hubungan kerjasama yang erat dengan Leftenan Jeneral Hartono. Hartono pernah menggunakan kedudukannya (panglima pemerintah Divisi Brawijaya) dalam menjayakan penubuhan ICMI di Malang dan beliau dilihat sebagai panglima ‘pro-Muslim dan pro-Habibie”. (hal. 248-249). Juga menjadi penyokong kepada Abu Hassan untuk menggulingkan Gus Dur.

Anak-anak presiden ‘sangat membenci Habibie’ dan Mbak Tutut paling tidak disukainya ialah Adi Santoso (orang kanan Habibie). Mbak Tutut kemudiannya bekerjasama dengan Hartono, Feisal Tanjung, Syarwan Hamid dan Prabowo Subianto menubuhkan kumpulan badan pemikirnya sendiri, Center for Policy and Development Studies (CPDS) bagi menyaingi Center for Information and Development Studies (CIDES) yang diterajui oleh Adi Santoso.

CIDES merupakan sayap ICMI bagi memberi idea dalam pembentukan kerangka dasar pembangunan untuk Indonesia. CPDS berhadapan ujian besar, iaitu menyerang Gus Dur dengan menggunakan ‘jaringan penaungan’ Abu Hassan dalam NU, Adi pula memain peranan di belakang tabir untuk meniup semangat “anti Gus Dur”. Pada satu tahap, CPDS boleh bekerjasama secara tidak langsung dengan CIDES untuk menyingkirkan pengaruh Gus Dur. Berhadapan dengan kempen tersebut, Gus Dur memulakan rintisan untuk bekerjasama dengan Megawati Sukarnoputri, dan ini bakal meningkatkan tekanan kepada Megawati sepanjang tahun 1995 dan 1996.

CPDS dan Golkar malu kerana gagal menjatuhkan Gus Dur. Kegagalan tersebut menyebabkan CPDS, ICMI dan CIDES “tidak mampu membentuk kekuatan yang diperlukan oleh penyokong Soeharto…berpunca daripada pengurusan ICMI terlalu lemah dan kerana terlalu banyak Muslim di dalamnya tidak memihak kepada Soeharto….ini menyebabkan Soeharto bergantung kepada CPDS… tidak akan membuang masa dengan moderat Muslim dan awam, sebaliknya menumpukan perhatian mereka kepada golongan konservatif keras.” (hal. 252). CPDS mencadangkan agar pergerakan Gus Dur dihadkan dan mengalihkan perhatian kepada PDI (Parti Demokrasi Indonesia) pimpinan Megawati Sukarnoputri.  Bagaimanapun, populariti Megawati semakin memuncak dan ia menimbulkan rasa cemas dalam kalangan perancangan strategi CPDS.

mengekang Islam konservatif

Soeharto yang turut mengekang pengaruh Islam konservatif akhirnya terperangkap dengan tindakan SH Permadi (Permadi Satrio Wiwoho), seorang peguam dan aristokrat dari Solo yang dikatakan mempunyai kemahiran paranormal. Permadi sentiasa mengkritik Soeharto secara terbuka dan pernah menyifatkan Golkar ‘seburuk Parti Komunis Indonesia’ dan “presiden Soeharto akan jatuh daripada kekuasaan dalam kobfrontasi berdarah pada tahun 1997 atau 1998”. Permadi membuat ramalan itu pada tahun 1994, iaitu kali pertama di dalam sebuah temu bual di radio, kali kedua dalam satu seminar di Universitas Gadjah Mada.(hal.254-255).

Serangan ke atas Permadi dikatakan bermula pada 9 Mac 1995 dan kemuncaknya ialah seminggu kemudian apabila Din Syamsudin (pengarah CPDS) yang juga mantan ketua pemuda Muhammadiyyah (1989-1993) mendakwa “Permadi bukan sahaja menghina Soeharto dan Golkar, tetapi juga memfitnah Nabi Muhammad.” (hal.255)

Sebelumnya (Oktober 1990), Din Syamsudin pernah meminta umat Islam agar mengutuk Arswendo Atmowiloto (ketua pengarang akhbar Monitor) kerana menghina Islam. Bagi Din Syamsudin, “kesilapan Permadi malah lebih berat daripada Arswendo” dan ini dikritik oleh Permadi sebagai “tidak peka itu merupakan satu lagi contoh sikap bongkak kelompok sekularis terhadap Muslim.”

kejayaan reformasi

Kenapa Reformasi di Indonesia 1997/98 berjaya menjatuhkan Soeharto setelah berkuasa selama lebih 31 tahun (12 Mac 1967 hingga 21 Mei 1998).? Apakah Soeharto tidak cukup kuat membina jaringan kuasa? Kesemua itu terjawab dengan baik setelah membaca buku yang dianggap klasik dan penting ini dalam konteks politik moden Indonesia meskipun pemahaman kita terhadap Order Baru semakin usang dihakis oleh semangat zaman.

Perjalanan panjang pemerintahan Soeharto disorot dengan baik – dari pergolakan politik zaman Sukarno, kemunculan Orde Baru, pengaruh kelompok Islamis, campur tangan elit politik dalam badan-badan politik dan pertubuhan bukan kerajaan, pengaruh tentera hinggalah idealisma masyarakat sivil-menjadikan buku ini amat menarik untuk dibaca.

MULA ditulis oleh Robert W Hefner, ahli antropologi dari Universiti Boston Amerika Syarikat selepas kejatuhan Soeharto daripada hasil penyelidikannya yang panjang (1991-1998) ternyata tidak mengecewakan. Pertama kali diterbitkan tahun 2000 oleh Princeton University Press dan diterjemahkan ke bahasa Indonesia 2001 dengan judul Civil Islam: Islam dan Demokratisasi di Indonesia. Edisi terjemahan ke bahasa Malaysia diusahakan Al-Mustaqeen M Radhi dan diterbitkan oleh IBDE Ilham Sdn Bhd (2017) dengan judul Islam Dalam Poltik Pendemokrasian di Indonesia.

Apa yang menarik mengenai buku ini ialah pembabitan kelompok Islamis dalam politik Indonesia sejak awal lagi hinggalah proses politik tidak boleh lari daripadanya, termasuklah dalam Pilihan Raya Presiden (Pilpres) terbaharu (2019). Pilpres terakhir menyaksikan gandingan Jokowi dengan Maaruf Amin yang pernah menjadi penasihat Gus Dur dan pernah dipilih sebagai Ketua Majlis Ulama Indonesia menggantikan Din Syamsudin dari Muhammadiyyah (27 Ogos 2015).

peranan Prabowo 

Satu lagi aktor politik yang menjadi calon presiden untuk kali kedua. Prabowo Subianto banyak terkait dengan pembabitan politik, termasuk berusaha mengekalkan kepimpinan Soeharto (bekas bapak mertua) dilihat tidak begitu cenderung kepada politik Islam. Apatah lagi beliau turut dianggap berada dalam kem merancang untuk melemahkan pengaruh Gus Dur (1995) dan juga BJ Habibie. Ketika bertugas dalam tentera, Prabowo turut dikaitkan dengan  beberapa insiden membabitkan pejuang kemerdekaan Fretilin (Timur Leste), iaitu Nicolau dos Reis Lobata  dan Xanana Gusmao.

Sebaik sahaja Soeharto meletakkan jawatan, Prabowo menemui Habibie memohon agar dilantik sebagai Panglima Angkatan Bersenjata Republik Indonesia (ABRI) bagi menggantikan Jeneral Wiranto. Habibie sebaliknya memecat Prabowo sebagai panglima Konstrad (Komando Cadangan Strategis Angkatan Darat). Bagaimanapun, walaupun kalah untuk kali kedua, Jokowi melantik Prabowo sebagai Menteri Pertahanan Indonesia ke-26 pada 23 Oktober 2019.

kerangka negara

Secara dekatnya, berdasarkan kerangka politik moden nyatalah bahawa Islam boleh disesuaikan dengan mana-mana sistem politik yang ada hatta bagi negara yang bersifat monarki, sosialis mahupun demokrasi. Tanpa ada istilah Negara Islam, Islam boleh ditetapkan sebagai kerangka bernegara. Dengan ini ia dapat menolak pandangan bahawa perjuangan politik Islam hanya untuk menubuhkan negara Islam khususnya dalam konteks teologi masih belum terhasil, kerana banyak perkara yang perlu dikerangkakan sebagai model yang benar-benar dapat mewakili kenegaraan Islam.

Walaupun penganut Islam adalah kumpulan majoriti di Indonesia, dianggarkan lebih 80 peratus daripada jumlah penduduk seramai 267 juta, Islam sudah lama menjadi sebahagian daripada akar umbi politik, kemampuannya untuk lahir sebagai sebuah negara Islam masih panjang. Apatah lagi apabila penganut Islam berbeza ideologi dan pendekatan politiknya sehingga memunculkan gerakan saling bertentangan. Parti-parti yang bersifat keagamaan, dari segi latar sejarah terus dipergunakan sebagai alat untuk mendapatkan kuasa dan perlu bergabung dengan lain-lain ideologi politik seperti nasionalis ataupun sekular.

saling membunuh’

Buku ini memberikan kita suatu olahan dan rentetan yang menarik bagaimana parti-parti atau kelompok Islam digunakan sejak dari zaman Sukarno menerusi Masyumi, Soeharto menerusi Nahdiatul Ulama dan lain-lain lembaga intelektualan Muslim, yang ada ketikanya “saling membunuh”. Kelompok Islam terus digunakan sebagai alat mengekalkan kuasa, dan bagi mengesahkan kedudukan kelompok Islam diterima, pemimpin-pemimpinnya akan dijadikan gandingan.

Rumusan tersebut merupakan suatu kenyataan yang perlu diterima dan pemerhatian menarik Robert Hefner memberikan kita pengetahuan bagaimana kelompok politik Islam di Indonesia perlu beradaptasi bagi mengelakkan diri daripada tampuk kuasa walaupun kadangkala dilihat di pinggiran.  Mungkin kelompok Islam boleh menggegar atau menumbangkan sesebuah pemerintahan dalam tahap reformasi, tetapi dalam persekitaran yang lain, ia mudah ‘terleka’ sebagaimana berlaku ke atas Gus Dur.

Period pemerintahannya hanya mampu bertahan kurang dua tahun (20 Oktober 1999 hingga 23 Julai 2001). Ia kemudian digantikan dengan Megawati Sukarnoputri (23 Julai 2001 hingga 20 Oktober 2004) sebelum dikalahkan oleh Susilo Bambang Yudiyono yang berlatar belakangkan kerjaya sebagai anggota tentera. Susilo berjaya memimpin Indonesia selama dua penggal (10 tahun) iaitu dari 20 Oktober 2004 hingga 20 Oktober 2014.

model politik

Menariknya lagi, buku ini berusaha memberikan pengalaman yang menarik mengenai model politik Islam di negara yang paling ramai penganut Islam dan faktor yang menarik pengkajian Robert W Hefner sekurang-kurangnya berjaya mengilustrasikan mengenai sivil society meskipun di akhir pemerintahan Soeharto dikatakan Indonesia sebagai sebuah negara tidak beradab, banyak korban dan krisis kemanusiaan yang muncul sehingga porak perandanya masih terasa hingga kini.

Idiom masyarakat sivil terlalu sukar untuk dilahirkan di mana-mana, ia sentiasa bercanggah dan berkrisis dengan idealisme politik memaksakan kuasa digunakan sama ada menimbul atau menghapuskan kekerasan, keadaban itu hanya dinilai oleh bukan elit politik yang berkuasa, dan ini telah dibuktikan oleh Hefner dalam kajian ini.

Sama ada kita setuju atau tidak, ia adalah catatan sejarah yang tidak mungkin dapat dihapuskan dan sentiasa ada ruang pengulangannya semula, dinamika politik terus berlari bersama-samanya ‘matlamat’ dan ‘kaedah’nya. Dalam setiap kesimpulan, perenungan tajam perlu diambil kira bagaimana cara yang diambil oleh sesebuah kelompok atau parti politik itu dianggap halal dan wajar.

Selamat Membaca

KAMARUN KH

[i]  Robert W Hefner, Islam Dalam Politik dan Pendemokrasian Indonesia, Jenjarom: IBDE, 2017 (terjemahan ).

[ii] Pencarian saya tidak menemukan nama Sujak Sivaraksa, nama yang ditemui ialah Dr Sulak Sivaraksa (lahir 27 Mac 1932) dan pada tahun 1984 ditahan oleh pihak berkuasa Thailand kerana mengkritik sistem monarki. Sulak Sivaraksa adalah pemikir dan aktivis sosial, alam sekitar dan spiritual Buddha dari Thailand. Tahun 1995 menerima Right Livehood Awards dan pernah dilantik sebagai Profesor Pelawat di University of California Berkeley, University of Toronto dan Cornell University

[iii]Anwar Tahir, “Anwar Ibrahim: Pendidikan Demokrasi dan Masyarakat Madani”,  http://wadahutara.blogspot.com/2016/12/anuar-tahir-anwar-ibrahim-dan.html

[iv] Selvia Nuriasari, Pemikiran Islam Liberal Nurcholish Madjid dan Pengaruhnya di Indonesia,  Jogjakarta: UIN Sunan Kalijaga,2004 (tesis sarjana teologi Islam).

[v] Martin Van Bruinnessen, Islam di Nusantara: Kitab Kuning , Pesantrean dan  Tarekat, Jenjarom, Selangor: IBDE, 2018 (terjemahan).

[vi] Suadi Asyari, Nalar Politik NU dan Muhammadiyah: Overcrossing Java Sentris. Jakarta:LKIS, 2010.

No Comments

    Leave a reply