Selembut lidah berbicara

TUTUR kata adalah antara perlakuan yang sukar untuk dikawal oleh manusia. Manusia dengan anugerah yang dikurnia Allah berupaya menuturkan apa sahaja bentuk kata-kata berdasarkan dorongan hati, nafsu dan akal mereka. Tanpa iman, kata-kata yang dikuasai nafsu akan sentiasa membasahi lidah manusia.

Perkara yang pasti, setiap kata-kata yang diungkapkan akan dinilai seadil-adilnya oleh Allah berdasarkan firman-Nya yang bermaksud: “Tiada suatu ucapan pun yang diucapkan melainkan ada di sampingnya malaikat pengawas yang selalu hadir.” (Surah Qaf, ayat 18)

Setiap hari kita akan menuturkan kata-kata sesama manusia. Malah, setiap hari juga, orang Islam menuturkan kata-kata kepada Allah dalam bentuk bacaan ayat-ayat ketika solat, zikir dan doa. Kita diajar untuk mengungkapkan kata-kata yang baik dalam untaian doa kepada Allah. Tidak ada orang Islam yang sanggup menggunakan perkataan kesat mahupun kasar ketika berdoa kepada Allah.

Islam mendidik umatnya agar menggunakan kata-kata yang baik ketika berkomunikasi. Pelbagai perkara baik boleh terjadi kesan daripada pengungkapan kata-kata yang baik dan benar. Pelbagai masalah dan kejadian buruk pula boleh berlaku sekiranya manusia gagal menggunakan tutur kata dengan cara yang terbaik.

Keadaan umat Islam yang saling berselisihan, berlakunya ketegangan antara agama, anak-anak mengeluarkan kata-kata kesat kepada orang tua, keruntuhan institusi kekeluargaan, keruntuhan moral dalam kalangan remaja, semuanya antara lain berpunca daripada lidah yang gagal dikawal. Akhirnya pihak yang terlibat saling menghamburkan pelbagai kata-kata tidak sopan.

Konsep kesantunan bahasa merujuk kepada perihal manusia menggunakan bahasa yang sopan dan tepat pada konteksnya. Menurut Awang Sariyan dalam bukunya berjudul Santun Berbahasa, kesantunan bahasa merujuk kepada penggunaan bahasa yang baik, sopan, beradab, memancarkan peribadi mulia dan menunjukkan penghormatan kepada pihak yang menjadi teman bicaranya.

Jelaslah setiap ungkapan yang dituturkan oleh seseorang individu mempunyai kaitan dengan keperibadian serta akhlak penuturnya. Jika seseorang individu mempunyai akhlak yang baik, pastinya dia sentiasa menggunakan bahasa yang sopan dan tepat mengikut konteksnya. Perlu difahami bahasa yang sopan bukan bererti bahasa intonasinya lemah, perlahan, tidak bertenaga dan seumpamanya.

Orang yang berdebat juga boleh mempraktikkan kesantunan bahasa ketika menyampaikan hujahnya. Hal ini sebenarnya dijelaskan oleh Allah dalam al-Quran: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk.” (Surah an-Nahl, ayat 125)

Penuturan kata-kata yang baik dapat memberi kesan amat mendalam dalam diri pendengarnya. Dalam bidang dakwah dengan menggunakan kata-kata yang baik dan benar, pasti ramai yang akan terpikat dengan keindahan dan kebenaran Islam. Ini kerana Islam agama fitrah yang ajarannya tidak bertentangan dengan naluri manusia.

Hal ini amat jelas apabila Allah memerintah Nabi Musa dan Nabi Harun untuk menemui Fir’aun sebagai satu cara menyerunya ke jalan Allah. Lalu diperintah kedua-duanya menuturkan kata-kata yang baik dan bukan dengan angkuh dan bermegah-megah. Firman Allah yang bermaksud: “Pergilah kamu berdua kepada Fir’aun, sesungguhnya dia telah melampaui batas. Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan ia ingat atau takut.” (Surah Taha, ayat 43-44)

Begitulah pentingnya kata-kata yang baik dan benar dalam proses dakwah. Keadaan ini bukan saja mencerminkan peribadi pendakwah yang cemerlang dan beretika, malah lebih besar daripada itu, mencerminkan keindahan Islam sebagai agama yang bersifat toleransi dan mulia.

Selain itu, Allah menyatakan antara ciri-ciri hamba-Nya yang cemerlang iaitu yang mendapat gelaran ibad ar-Rahman ialah mereka yang baik tutur katanya. Mereka yang apabila dihina atau dicerca oleh orang yang jahil, mereka tidak membalasnya kecuali dengan kata-kata yang baik. Keadaan ini bukan bermakna umat Islam tidak dibenarkan mempertahankan kebenaran, tetapi kebenaran perlu ditegakkan dengan bahasa yang baik.

Mungkin kita yang masih belum cukup sempurna iman ini berasa sukar mempraktikkan tuntutan membalas cercaan dengan kata-kata yang baik. Akan tetapi bagi mereka yang betul-betul memiliki ciri keperibadian Muslim sejati, ia sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan. Firman Allah bermaksud: “Dan para hamba Allah yang diredai-Nya, ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun dan apabila orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat daripada perkara yang tidak diingini.” (Surah al-Furqan, ayat 63)

Kadang-kadang meskipun tutur kata yang digunakan indah, tetapi barangkali ia tidak sesuai dilafazkan pada tempatnya, maka ia juga boleh membawa kepada konflik dalam hubungan sesama manusia. Contohnya ungkapan yang digunakan ketika memuji orang lain secara melampau dengan niat mendapatkan sesuatu daripadanya melalui jalan yang tidak betul.

Dengan kata lain, bahasa yang digunakan haruslah bersesuaian dengan keadaan, keperluan yang baik dan adat kelaziman pendengar. Hal ini perlu dititikberatkan lebih-lebih lagi di Malaysia ini yang warganya memiliki pelbagai jenis bahasa dan budaya.

Marilah kita mengubah diri dengan sentiasa menjaga tutur kata agar ia tidak menyumbang kepada tercetusnya pelbagai bentuk masalah dalam kehidupan. Perlu diingat kata-kata yang baik, bukanlah semata-mata susunan perkataan yang indah dan memuji-muji, akan tetapi yang lebih penting ia sesuatu yang bersifat benar dan jauh daripada segala bentuk omongan kosong dan muslihat jahat.

Kebenaran adalah ciri utama yang memainkan peranan penting dalam penuturan kata-kata yang indah dan sopan. Kata-kata baik yang bercirikan kebenaran juga menjamin kesan yang mendalam dalam diri mereka yang mendengar dan mengamatinya. Firman Allah bermaksud: “Wahai orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar.” (Surah al-Ahzab, ayat 70)

Mohd Shahrizal Nasir

Sumber: https://www.hmetro.com.my/addin/2020/07/601765/selembut-lidah-berbicara

No Comments

    Leave a reply