Anjakan paradigma hendaklah bermula daripada diri sendiri sebelum memperbetulkan orang lain. Kita perlu beralih daripada perspektif konvensional kepada lebih baik, beralih daripada mementingkan format dan simbol kepada hakikat serta kandungan. Beralih daripada perdebatan yang hanya mahu mementingkan kemenangan kepada diskusi membuahkan hasil.

Beralih daripada menyusahkan kepada memudahkan, buta kepada ijtihad dan pembaharuan, sikap eksklusif kepada inklusif, berlebih-lebihan kepada sederhana, berkeras kepada hikmah dan pertelingkahan kepada perpaduan serta perdamaian.

Anjakan paradigma atau dalam erti kata lain melakukan penghijrahan minda dan tindakan amat penting ke arah mengembalikan kecemerlangan umat Islam. Penghijrahan ini merupakan satu proses pembinaan tamadun sebagaimana contoh ditunjukkan oleh Rasulullah dan sahabat ketika berhijrah dari Mekah ke Madinah. Akhirnya, Islam berkembang ke seluruh pelusuk dunia melalui penghijrahan yang diatur oleh Allah.

Menurut pemikir Islam, Syed Naquib Al-Attas dalam lembaran sejarah peradaban Islam, beliau mendefinisikan tamadun sebagai pembangunan yang seimbang antara lahiriah dan rohaniah.

Kedua-dua aspek ini saling kait-mengait dan sangat penting dalam membentuk jati diri umat Islam yang sempurna. Inilah kehebatan Islam melalui bimbingan wahyu Allah serta penjelasan menerusi hadis Rasulullah.

Islam juga mempraktikkan konsep syumul (sempurna) dan tidak terikat asalkan menepati kehendak syariat Islam. Sifat Islam yang fleksibel dalam kehidupan manusia menjadikan agama suci itu memberi ruang dan peluang kepada manusia untuk mencapai kecemerlangan selagi tidak menidakkan perintah Allah.

Dalam konteks alam Melayu, pengkaji sejarah, Syamsul Alam MS dalam bukunya ‘Sistem kebudayaan Melayu tradisi dan hubungannya dengan konsep Islam untuk pembangunan sosioekonomi’ menjelaskan antara faktor yang memundurkan peradaban Melayu kepada beberapa faktor terpenting antaranya:

*Kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka di tangan Portugis yang membawa kepada perubahan fundamental terhadap struktur ekonomi orang Melayu.

* Kejatuhan kuasa politik telah melemahkan ekonomi dan penguasaan perdagangan orang Islam serta diganti dengan bangsa lain yang sehingga sekarang mendominasi aktiviti perniagaan di rantau ini.

USAH KETINGGALAN

Minat, bakat dan keahlian masyarakat Melayu Islam dalam bidang perdagangan dilihat semakin merosot sementara sifat-sifat keusahawanan seperti kreatif, inovatif dan dinamik tidak lagi membudaya dalam kehidupan orang Melayu Islam.

Dalam konteks susur galur evolusi umat Melayu di rantau ini, perubahan yang fundamental bermula daripada sektor perdagangan (zaman kesultanan Melaka) kepada pertanian (zaman penjajahan) telah membawa impak besar kepada perubahan kebudayaan Melayu Islam.

Perkara ini dapat dilihat dari segi sikap dan pandangan hidup orang Melayu sendiri. Pergantungan kepada tanah, keengganan meninggalkan kampung halaman, mengamalkan hidup sekadar sederhana mencorak pola pemikiran dan sistem nilai masyarakat Melayu Islam.

Sifat tidak peka kepada ekonomi, sistem politik dan sosial juga memerlukan revolusi minda serta tindakan lebih berani yang berpandukan untuk mencapai kejayaan dalam semua aspek kehidupan. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa bangsa Melayu Islam begitu dimanjakan dengan kemewahan di tanah air ini.

Sudah tentu peradaban dan kecemerlangan sesuatu tamadun adalah ilmu. Dengan ilmu, umat Islam mampu berfikir secara terbuka dan lebih matang untuk melihat segala permasalahan melanda khususnya yang berlaku di negara ini pada hari ini.

Jika umat Melayu Islam tidak mengkaji dan sambil lewa dalam membuat sesuatu keputusan serta tindakan, sememangnya hanya akan merugikan umat Islam sendiri. Ketirisan minda ini akhirnya akan diambil kesempatan oleh pihak musuh untuk menghancurkan Islam secara senyap mahupun terang-terangan sama ada dari segi akidah dan akhlak umat Islam.

Seperkara lagi yang saya perhatikan ketika ini ialah pelbagai isu melanda negara diukur daripada parameter politik kepartian semata-mata dalam kalangan orang Melayu. Sebaliknya hal sama tidak berlaku kepada bukan Islam yang sentiasa melihat sesuatu daripada lensa menguntungkan kepentingan kaum dan bangsa masing-masing.

Sikap fanatik kepada politik kepartian dan tidak memahami keadaan setempat menjadi antara faktor mengongkong kegemilangan umat Islam. Perpaduan umat Islam dalam isu Islam bukan lagi menjadi norma masyarakat Muslim di Malaysia.

Atas nama kebebasan, sesiapa sahaja kini dibenarkan bercakap mengikut kemahuan sendiri dan acapkali ungkapan-ungkapan dikeluarkan mempertikaikan agama Islam.

Pada ketika ini masyarakat lebih mementingkan hak asasi berbanding tanggungjawab hendak dilaksanakan. Hal demikian menjadikan seseorang itu lebih mementingkan diri sendiri berbanding kepentingan awam. Natijahnya umat Islam secara keseluruhannya tergelincir daripada landasan kegemilangan itu sendiri.

Jika kita ingin membina sebuah rumah mestilah mempunyai asasnya iaitu bahan mentah seperti pasir dan simen, tiang serta batu bata.

Analogi ini saya terapkan dalam usaha membina asas kecemerlangan umat Islam iaitu mestilah dibentuk menggunakan adunan asas utama yakni ilmu, iman dan akhlak. Proses merealisasikan impian kejayaan Islam adalah bermula daripada kita sendiri, ahli keluarga, masyarakat seterusnya negara.