BAGAN DATUK – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan akan terus komited memastikan pelajar-pelajar tahfiz mendapat kemudahan yang sama seperti pelajar sekolah kerajaan.

Kata  beliau, pelajar-pelajar di pusat tahfiz perlu berusaha untuk mendapatkan pendidikan selain al-Quran sebagai kelayakan agar menjadi seorang Huffaz yang profesional.

“Mereka yang Huffaz, ke mana matlamat kita selepas itu? Adakah hanya boleh menjadi suri rumah tangga atau hanya menjadi ustaz di sekolah agama yang dibuka atau imam di seluruh masjid sahaja?

Walaupun kita hafal quran, jika kita tidak ada SPM, kita tidak boleh belajar di manapun dan kalau kita ada ijazah belajar di luar negara sekalipun, nak minta (mohon kerja dengan) kerajaan tapi tiada SPM, mereka tak bagi kita kerja. Itulah sebabnya kita mengambil langkah proaktif untuk meng-SPM-kan dulu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Tautan Mahabbah Himpunan Pelajar Tahfiz Daerah Bagan Datuk di Dewan Hajah Tuminah, Sungai Nipah Darat di sini hari ini.

Majlis anjuran Pejabat Agama Islam Daerah Bagan Datuk itu dihadiri kira-kira 200 hafiz dan hafizah dari tujuh buah sekolah tahfiz kawasan itu.

Ahmad Zahid yang juga penyandang kerusi Parlimen Bagan Datuk berkata daripada pengalaman terdahulu, pihaknya mendapati terdapat banyak masalah kerana pelajar aliran tahfiz ini tiada Sijil pelajaran Malaysia (SPM) ataupun STAM (Sijil Tinggi Agama Malaysia), jadi mereka tidak dapat meneruskan pengajian mereka.

Justeru, Ahmad Zahid berkata bagi merealisasikan usaha melahirkan lebih ramai Huffaz yang mampu menjadi tenaga kerja profesional negara, sebuah Maahad Tahfiz Darul Ridzuan akan dibina di Pekan Bagan Datuk yang akan mengambil 1,000 graduan tahfiz pada setiap tahun dan mereka diwajibkan mengambil SPM dan STAM.

Malah, katanya, sasaran melahirkan 125,000 Huffaz di seluruh negara menerusi Transformasi Nasional 2050 (TN50), adalah penting buat Malaysia bagi melahirkan generasi yang mampu membangunkan sebuah negara yang sejahtera, aman, harmoni dan mendapat keberkatan. – Bernama

No Comments

    Leave a reply