Baru-baru ini penulis bersama rakan pentadbir Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) ber­pe­luang menyaksikan secara langsung perbahasan para Yang Berhormat di Dewan Rakyat dari kerusi pemerhati. Menonton sendiri di depan mata secara dekat membuatkan penulis tidak senang duduk dek kerana pe­nangan rasa ‘bahang’ dan aura Dewan Rakyat itu kuat sekali, tetapi tidak menggugat fokus pada intipati persidangan.

Padang permainan kini sudah tidak sama lagi malahan rentak tari juga sudah berubah, justeru kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang perlu segera menyesuaikan diri dengan peranan masing-masing di Dewan Rakyat. Atas hakikat itu, ia terus menjadi tumpuan pelbagai pihak sejak mula bersidang untuk melihat kehebatan ‘taji’ kerajaan baharu serta wibawa ahli Parlimen BN yang pertama kali menduduki dan mengetuai blok pembangkang.

Yang di-Pertuan Agong ketika menyampaikan titah ucapannya mengingatkan ahli Parlimen bahawa mereka menggalas tanggungjawab besar di dalam dewan yang mulia ini. “Ahli-ahli Yang Berhormat harus menggalas tugas dan titipan amanah yang diberikan dengan jujur dan penuh dedikasi. Beta percaya ahli-ahli yang berhormat akan mengambil bahagian dalam perbahasan yang sihat, matang, dapat merangsang dinamik berfikir, bukan untuk mencari pihak yang benar tetapi untuk menemukan apa yang baik dan lagi benar”.

Titah Yang di-Pertuan Agong ini jika ditafsir dalam perspektif yang lebih luas, penulis merasakan ia adalah satu ‘ketukan’ kepada setiap ahli Parlimen untuk meninggalkan segala mentaliti, tabiat dan sikap lama mereka ketika berada di posisi lama dahulu. Mereka yang bernaung di bawah payung pembangkang dahulu kini perlu menunjukkan teladan dan bersikap sebagai kerajaan manakala kerajaan lama pula perlu menyerlah wibawa, kredibel dan kematangan sebagai pembangkang baharu yang konstruktif pasca PRU-14.

Jika dilihat sosok ahli Parlimen yang membarisi kedua-dua belah pihak, ia sebenarnya mempu­nyai keseimbangan dari aspek kemam­puan berhujah dengan baik, kematangan membawa pelbagai isu lokal dan kekuatan mempertahankan pendirian premis masing-masing. Jika dilihat dari aspek pengalaman mentadbir kerajaan, PH mempunyai Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang membuat kemunculan bersejarah semula dalam arena politik negara serta Lim Guan Eng dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang pernah mengemudi kerajaan ne­geri. Usah dilupakan juga Tan Sri Muhyiddin Yasin yang pernah menjadi orang nombor dua kepa­da Perdana Menteri keenam, sebelum keduanya ‘bertalak tiga’ pada 2015.

Di blok pembangkang, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilihat ti­dak mudah goyah mempertahankan segala dasar dan tindakan yang dilaksanakan kerajaan BN sebelum ini serta diperkuatkan dengan dukungan padu ahli Parlimen BN lain. Ahli Parlimen PH yang kerap membuat ribut dan gempita dahulu antaranya M. Kulasegaran, Khalid Samad, Tere­ssa Kok, Gobind Singh Deo, Anthony Lok Siew Fook dan Hanipa Maidin kini menduduki jawatan menteri dan timbalan menteri perlu berhadapan pula dengan serangan daripada bekas menteri Kabinet BN seperti Khairy Jamaludin, Da­tuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong, Datuk Seri Mustapa Mohamed, Tan Sri Noh Omar, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Datuk Tajudin Abdul Rahman.

Diberi peluang kira-kira sejam mendengar perbahasan di Dewan Rakyat, penulis mempunyai keyakinan positif ahli-ahli Parlimen ini mampu menghasilkan perbahasan berwibawa, kompeten dan berkesan dengan meletakkan kepentingan rakyat dan negara. Keberadaan ahli Parlimen berpengalaman yang turut aktif dalam perbahasan secara tidak langsung ‘mengajar’ 90 wakil rak­yat baharu dalam persidangan ini akan sepak terajang di Dewan Rak­yat. Usah diungkit lagi apa sebab rakyat memilih PH dan menolak BN dalam PRU lalu kerana saat ini adalah masa untuk be­kerja dan membela rakyat.

Parlimen adalah simbol dan plat­form tertinggi demokrasi yang menjadi medan ulung untuk men­dengar suara hati dan denyut nadi rakyat. Bertikam lidah itu adalah rencahnya. Riuh rendah itu adalah irama yang sudah terbiasa, tetapi matlamat akhirnya kita ingin lihat dari institusi ini akan lahir ahli Parlimen yang mempunyai visi, misi dan wawa­san yang jelas.

Mohd. Zaini Othman

PENULIS ialah Pegawai Tadbir di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)