Dalam sebuah riwayat baginda Nabi Muhammad SAW bersabda kepada golongan Muhajirin de­ngan menyebutkan lima perkara di mana kamu akan diuji dengan­nya dan aku berharap supaya ia tidak berlaku. Tidak berle­luasa perkara mungkar dan mereka menunjuk-nunjukkannya kecuali akan diturunkan penyakit taun dan kelaparan yang belum pernah dirasai oleh orang sebelum­nya. Tidak mengurangkan timba­ngan dan sukatan kecuali ditimpa de­ngan kemarau, kenaikan kos sara hidup dan kezaliman peme­rintah. Enggan membayar zakat sehingga ditahan hujan, kalaulah tidak kerana binatang nescaya langsung tidak diturunkan hujan. Tidak melanggar perjanjian de­ngan Allah dan Rasulnya sehingga negara dijajah dan segala kekayaannya dirampas oleh musuh. Tidak me­laksanakan hukum Allah dan memilih yang disukai sehingga ditimpakan huru-hara dan perselisihan sesama mereka. (Riwayat al-Ha­kim dan al-Baihaqi).

Boleh jadi juga penyebaran berbagai-bagai penyakit berjangkit di seluruh dunia masa kini termasuk tanda kemurkaan Allah terhadap perlakuan jijik segolongan manusia. Penyakit AIDS yang di­sebabkan oleh hubungan kelamin bersama pasangan yang dijangkiti dan sangat digeruni suatu ketika dahulu kini seolah-olah dianggap biasa walaupun penawarnya belum pernah ditemukan.

Pelbagai jenis selesema burung, selesema babi dan selesema unta juga terus merebak sehingga turut berjangkit kepada manusia. Terkini, penularan wabak penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) juga cukup merunsingkan apabila laporan akhbar menyebutkan sejumlah 37,986 kes sudah direkodkan sejak Julai lalu.

Lebih daripada itu yang lebih ditakuti adalah gempa bumi dan huru-hara akhir zaman yang bukan semua manusia boleh terselamat daripadanya. Hanya golo­ngan yang beriman dan beramal bakal mendapat perlindungan Tuhan. Dalam sebuah riwayat yang panjang oleh al-Bukhari dan dinyatakan secara ringkas menyebutkan, tidak akan berlaku Hari Kiamat kecuali setelah diangkat ilmu, berlaku banyak gempa bumi, masa berlalu pantas, berleluasa fitnah dan banyak berlaku pembunuhan.

Berkemungkinan banyak keja­dian bencana alam dan penyebaran penyakit berjangkit pada masa kini termasuk peringatan kepada manusia agar bersegera untuk beriman dan beramal soleh. Usah menunda waktu untuk beramal sehingga detik akhir menjelang ajal tiba ataupun saat matahari terbit di Barat kerana pada ketika itu segala amalan dan taubat tidak lagi diterima. Boleh jadi golongan seperti ini terma­suk yang menyesal dan meminta supaya dikembalikan ke dunia untuk melakukan amalan soleh. Namun bak kata pepatah, sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tidak berguna.

Seyogianya masa yang ada dan terhad ini dimanfaatkan untuk melakukan apa sahaja aktiviti ibadah yang difardukan mahupun yang disunahkan. Usah terkesima dengan kesibukan dunia yang sementara sehingga lalai melaksanakan ibadah yang merupakan tujuan manusia diciptakan. Usah juga terlibat memperbanyak ke­giatan dosa dan maksiat kerana pasti akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah.

Selain itu, umat Islam diajak untuk terus berdoa dan memohon perlindungan-Nya agar dipelihara daripada sebarang musibah dan fitnah kehidupan di dunia. Ini kerana Allah SWT sahaja tempat kita memohon perlindungan dan keselamatan. Usah juga dilupakan nasib saudara kita di Lombok yang kehilangan harta benda dan kematian orang tersayang dengan meng­hulurkan apa sahaja bantuan dan pertolongan yang termampu. Atau setidak-tidaknya hulurkan bantuan kewangan melalui agensi yang diiktiraf agar tidak ada pihak yang mengambil kesempatan di atas kesusahan orang lain. Semoga yang terkorban dalam kalangan mereka ditempatkan di sisi hamba yang soleh lagi diterima segala amalan kebajikan mereka di dunia.

DR. MOHD. ALI MUHAMAD DON ialah Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Pasir Gudang, Johor.