ABAI AJARAN AL-QUR’AN DAN HADIS PUNCA UMAT ISLAM BERPECAH

Perpaduan merupakan suatu perkara yang amat diperlukan dalam sesebuah masyarakat Islam di seluruh dunia. Di samping merupakan satu tuntutan agama, ia juga merupakan suatu nilai dalaman yang amat penting dalam menghadapi pelbagai rintangan dan cabaran dari luar.

Perlu ditegaskan bahawa perpaduan adalah salah satu daripada keperluan asas bagi mempertahankan kedudukan umat Islam di seluruh dunia daripada dihancurkan oleh musuh-musuh Islam. Jadi ia sebagai benteng untuk menyekat pembolotan musuh-musuh Islam terhadap peluang-peluang keuntungan hasil kemajuan yang dicapai oleh umat Islam sekarang, dan merupakan satu daya yang boleh mengembalikan seluruh kekuatan umat yang ada supaya masyarakat Islam di Malaysia khususnya tidak mudah diketepikan begitu saja dalam rebutan memperolehi faedah daripada kemajuan dan pembangunan yang ada.

Secara teorinya, perpaduan seperti ini bukanlah terlalu sukar untuk diwujudkan. Hal ini kerana al-Quran dan hadis telah menggariskan cara-cara mewujudkan perpaduan. Namun secara praktiknya, untuk mewujudkan perpaduan ini ia terpaksa menghadapi pelbagai masalah, terutamanya masalah sikap umat Islam itu sendiri.

Penerimaan umat Islam terhadap al-Quran dan hadis sebagai asas perpaduan ummah masih menjadi satu persoalan besar. Meskipun Rasulullah SAW telah menjelaskan bahawa asas perpaduan sebenar umat Islam ialah al-Quran dan hadis, namun umat Islam di Malaysia khususnya dan di seluruh dunia umumnya, masih bergantung kepada nilai-nilai lain yang dibentuk oleh barat. Mereka teragak-agak untuk mendapatkan petunjuk daripada al-Quran, walaupun al-Quran sendiri telah menjelaskan bahawa ia adalah kitab petunjuk yang tidak sepatutnya diragui oleh sesiapa pun.

Firman Allah yang bermaksud, “Kitab (al-Qur’an) ini tidak ada keraguan, padanya petunjuk bagi mereka yang bertakwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 2)

Ketiadaan pegangan dan kepatuhan secara mutlak terhadap ajaran-ajaran dan hukum-hukum al-Qur’an, menyebabkan umat Islam kehilangan arah. Malah dalam beberapa keadaan tertentu mereka boleh disifatkan sebagai orang yang beriman secara eklektik (pilih-pilih).

Perkara yang paling penting perlu diberi perhatian berhubung dengan al-Qur’an dan hadis dalam konteks perpaduan ummah ialah kedudukannya sendiri sebagai asas perpaduan berkenaan. Ia jelas dilihat pada sifatnya sendiri dan pada segala ajaran yang terkandung di dalamnya. Antara yang paling penting sekali ialah sifatnya sebagai sumber asas pegangan hidup seluruh umat Islam.

Berhubung perkara ini Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud, “Aku telah tinggalkan di kalangan kamu dua perkara. Kamu tidak akan sesat selama-lamanya selagi kamu berpegang dengan kedua-duanya, (iaitulah) al-Quran dan al-Sunnah Rasul-Nya.” (Riwayat Imam Malik)

Dalam hadis di atas jelas menunjukkan bahawa perpaduan ummah yang dicita-citakan oleh semua umat Islam, boleh dicapai sekiranya masyarakat Islam berpegang teguh dengan al-Quran dan hadis. Dengan bersikap sedemikian bermakna mereka telah berada di jalan yang benar. Secara tidak langsung perpecahan sesama sendiri sebagaimana yang berlaku sekarang tidak akan timbul lagi.

Sifat sebagai asas pegangan hidup seluruh umat Islam ini diperoleh oleh al-Qur’an atas kedudukannya sebagai kitab petunjuk kepada seluruh umat manusia. Perkara ini dijelaskan oleh Allah dalam firman-Nya yang bermaksud, “Sesungguhnya al-Qur’an ini memberi petunjuk kepada (jalan) yang lebih lurus.” (Surah al-Isra’, ayat 9)

Orang-orang yang berpegang teguh dengan ajaran-ajaran al-Quran bererti ia telah menerima petunjuknya sebagai asas atau perlembagaan hidup yang tunggal dan unggul. Sehubungan itu, Allah berfirman yang bermaksud, “Dan tidaklah patut bagi lelaki Mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang Mukmin apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan barangsiapa menderhakai Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya dia telah sesat secara nyata.” (Surah al-Ahzab, ayat 36)

Di samping berpegang teguh bahawa al-Qur’an itu perlembagaan hidup bersifat tunggal dan unggul, penerimaan itu juga seharusnya secara menyeluruh, bukan menerima dalam sesetengah perkara dan menolak dalam perkara-perkara yang lain. Sikap seperti ini telah ditegur dan diperingatkan oleh Allah. Ia mensifatkannya sebagai amat merugikan sama ada di dunia mahupun di akhirat.

Firman Allah yang bermaksud, “Apakah kamu beriman kepada sebahagian al-Kitab dan ingkar terhadap sebahagian yang lain? Tiadalah balasan bagi orang-orang yang bertaubat demikian daripadamu melainkan kenistaan dalam kehidupan dunia dan pada hari kiamat mereka dikembalikan kepada siksa yang sangat berat.” (Surah al-Baqarah, ayat 85)

Secara kesimpulannya, antara sebab utama berlakunya perpecahan umat Islam pada hari ini ialah kegagalan mereka sendiri menjadikan al-Quran dan hadis sebagai pegangan hidup yang tunggal dan unggul. Suatu perkara yang mendukacitakan kita, apabila didapati ada dalam kalangan umat Islam yang menafikan langsung peranan al-Qur’an dan hadis ini, malah ada juga yang menerimanya secara berpilih-pilih mengikut kesesuaian cara hidupnya. Hal ini bererti bahawa penyatuan ummah pada dasarnya lebih banyak terhenti atas kejayaan atau sebaliknya menjadikan al-Qur’an dan hadis sebagai perlembagaan hidup yang tunggal.

Kepekaan terhadap hubungan antara al-Qur’an dan hadis dengan aspek perpaduan umat ini benar-benar telah disedari oleh generasi pertama Islam dulu, sehinggakan mendorong mereka mengambil langkah membukukan ayat-ayat suci al-Qur’an dalam mushaf dan malah menentukan bahawa hanya satu mushaf saja yang diiktiraf, iaitu mushaf Uthman.

Sebagaimana tercatat dalam sejarah Islam, langkah seperti ini telah diambil antaranya bertujuan menjamin kesatuan ummah dengan mengelak daripada berlakunya perpecahan pendapat yang mendalam dalam kalangan mereka berhubung dengan susunan ayat-ayat suci al-Qur’an dan tatacara membacanya.

Malah peperangan yang sedang sengit berlaku suatu ketika dulu antara golongan Sayyidina Ali bin Abi Talib r.a. dengan Mu‘awiyah r.a. dapat dileraikan dan gencatan senjata boleh dilakukan dengan serta merta apabila al-Qur’an ditonjolkan sebagai asas penyelesaiannya. Meskipun sejak mula lagi Sayyidina Ali r.a. mengesyaki ada sesuatu di sebalik tawaran gencatan senjata yang dibuat oleh Mu‘awiyah r.a. itu, tetapi ia tetap menerimanya demi menghormati al-Qur’an sebagai asas perdamaian dan penyatuan semula ummah.

Sebabnya ialah al-Qur’an dihayati dengan sempurna dan peranannya sebagai sumber ilham dan petunjuk kepada semua aktiviti hidup diterima. Walau bagaimanapun kepekaan ini kemudiannya menjadi semakin lemah sehingga sampai kepada peringkat al-Qur’an dan hadis diabaikan begitu saja serta tidak lagi dilihat sebagai sesuatu yang boleh memainkan peranannya di bidang berkenaan. Al-Qur’an dan hadis tidak lagi menjadi sumber ilham dan petunjuk utama bagi kehidupan masyarakat Islam.

Dr. Mohd Shukri Hanapi, Pensyarah Kanan di Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia, 11800 Pulau Pinang.

No Comments

    Leave a reply