Abu Marwan bin Zuhr

Abu Marwan bin Zuhr adalah seorang doktor tersohor di Andalusia dan terkemuka sepanjang masa di dunia. Nama sebenar beliau ialah Abu Marwan bin Abdul Mulk bin Abu Al-A’la Zuhr bin Muhammad bin Marwan bin Zuhr Al-Iyadi.

Dia dipanggil dengan nama Al-Iyadi kerana nenek moyangnya berasal dari Kabilah Iyad, sebuah kabilah Arab Adnaniyah. DiEropah, dia dikenali dengan nama Avenzoar.

Seorang orientalis  Jerman, Carl Brockelmann, menyebut Ibnu Zuhr dalam bukunya Tarikh Al-adab Al-Arabiyah dengan nama Abdul Mulk bin Abu Bakr bin Muhammad bin Marwan.Padahal sebenarnya ini adalah nama bapak Ibnu Zuhr.

Ibnu Zuhr berasal dari keluarga yang kebanyakannya berkecimpung dalam bidang  kedoktoran. Bapa, anak lelaki, dan anak perempuannya bekerja sebagai doktor. Kedua-dua puterinya juga seorang doktor pakar perbidanan dan penyakit wanita. Keluarga besar Zuhr telah menetap di Syatibah, salah satu kota di Andalusia, semenjak abad ke sepuluh Masihi.

Antara abad kesepuluh dan tiga belas Masihi terdapat enam orang keturunan keluarga besar Bani Zuhr yang menonjol dalam kedoktoran / perubatan.

Abu Marwan Zuhr  dilahirkan di Kota Banjalur, Andalusia, pada tahun 464 H / 1072 M. Sejarah kehidupannya lebih banyak  dihabiskan di Seville. Pada awalnya dia telah mengabdikan diri kepada Al-Murabithun, kemudian mengabdikan diri kepada Al-Muwahhidin.

Beliau telah menjadi doktor peribadi kepada Sultan Al-Muwahhidin, Abu Muhammad Abbul Mukmin bin Ali. Ibnu Zuhr meninggal dunia di Kota Sevilla pada tahun 557 H/ 1162 M dalam usia lebih 90 tahun.

Segala hasil karya Ibnu Zuhr berbicara tentang ilmu kedoktoran, yang ditulis dengan gaya bahasa ilmiah yang sangat tinggi. Buku-bukunya dipenuhi oleh istilah-istilah ilmiah yang sangat tinggi dan luas yang menunjukkan keluasan dan kedalaman pengalaman ilmiahnya.

Gaya bahasa yang dipakai oleh Ibnu Zuhr merupakan gaya bahasa yang membuat pembacanya merasa senang, kerana bukunya dihiasi dengan hal-hal yang bersahaja dengan komentar-komentar yang membuat orang ketawa. Semua itu dia catatkan dalam bukunya berdasarkan pengalaman peribadi dalam dunia kedoktoran. Di antara karya-karya penting Ibnu Zuhr ialah:

– At Taisir Fi Al-Mudawalah Wa At-Tadbir. Di dalam buku ini dia mengupas secara terperinci buku Al-Qanun karya Ibnu Sina dan Al-Milki karya Alibin Abbas Al Majusi. Di dalam buku ini ia juga membicarakan tentang gejala-gejala penyakit dalaman dan masalah pembedahan.

Ibnu Zuhr membagikan bukunya ini ke dalam tiga bahagian. Masing-masing bahagian berisi beberapa kajian dan setiap kajian membahas beberapa penyakit yang menimpa salah satu bahagian dari organ tubuh atau bahagian tertentu dari tubuh.

Buku ini ia tutup dengan suatu pembahasan yang ia namai dengan Aljami’, yang berisikan nama-nama atau alat-alat kedoktoran, bimbingan khusus tentang meracik ubat-ubatan, dan cara pemakaiannya.

Buku ini merupakan karya Ibnu Zuhr yang paling popular dan telah diterjemahkan oleh Barafisiyius ke dalam bahasa Latin pada tahun 1490 M. Kemudian buku ini telah diterjemahkan kedalam berbagai bahasa Eropah lainnya.

At Taghdziah. Buku ini ditulis oleh Ibnu Zuhr atas perintah sultan Al Muwahhidi, iaitu Abu Muhammad Abdul Mukmin bin Ali. Di dalam buku ini dia berbicara tentang makanan dan minuman dengan berbagai ragamnya, makan, tidur, mandi, sukan, dan prinsip-prinsip kesihatan yang bersifat umum.

Al Iqtishad Fi Ishlah Al-Anfus Wa Al-Ajsad. Buku ini ia tulis sebagai persembahan untuk sultan Al-Murabithun, iaitu Ibrahim bin Yusuf Ibnu Tasyfin.

At Ta’liq Fi Ath-Thib. Berisi nasihat-nasihat tentang ilmu kedoktoran. Manuskrip buku ini terdapat di perpustakaan Tesytir Beti di Kota Dublin, ibu kota Republik Ireland.

At Tiryaq As Sb’inidan ringkasannya. Buku ini ia tulis untuk Sultan Muhammad Abdul Mukmin.

At-Tadzkirah. Memuatkan arahan, bimbingan dan panduan untuk anaknya dalam mempermudah aktiviti kedoktorannya. Buku ini sudah diterjemahkan dan dicetak dalam bahasa Perancis.

Al-Jami. Berbicara tentang minuman dan ubat yang dipakai dalam menyembuhkan penyakit.

Ibnu Zuhr berpendapat bahawa terapi terbaik untuk mengubati organ tubuh yang sakit adalah dengan merendam bahagian yang sakit itu ke dalam air yang dingin. Dia juga dikatakan membius pesakit dengan cara meletakkan alat pembius di hidung dan di mulut pesakit ketika hendak dilakukan pembedahan.

Susunan MARIAM AHMAD

No Comments

    Leave a reply