ADA APA DENGAN ANGKA PELAJAR SJKC?

Oleh: Dr. Mohd Ridhuan Tee Bin Abdullah

Saya amat pelik dengan mentaliti pemimpin MCA dan ultra kiasu yang lain, yang langsung tidak memahami proses pembinaan negara bangsa. Mereka selalu menonjolkan peningkatan pelajar bukan Cina di SJKC yang didakwa kini berada dalam lingkungan 17 peratus. Ada apa dengan angka ini?

Secara peribadi saya suka angka itu menaik lagi, naiklah setingginya…mencerminkan betapa terbuka bangsa bukan Cina untuk belajar tentang apa jua berkaitan dengan Cina. Keterbukaan yang tidak ada tolok banding. Persoalannya, bila pula bangsa Cina mahu ambil tahu perkara berkaitan dengan Melayu, Bahasa Melayu sebagai bahasa negara dan budaya Melayu bangsa teras di tanah air ini. Ia tidak boleh hanya bertepuk sebelah tangan.

Ternyata, MCA gagal untuk memahami psiki orang Melayu. Benar, bahasa Cina ada nilai ekonomi. Tetapi ia bukan segala-galanya. Ramai orang Melayu menghantar anak mereka ke SJKC atas faktor dakwah, kerana ini adalah tanggungjawab umat Islam.

Jika ditanya kepada saya, kenapa saya menghantar anak saya ke SJKC. Jawapannya, saya mahu anak saya saya menguasai bahasa Cina untuk memudahkan mereka menyampaikan Islam kepada orang Cina. Ya, ekonomi penting. Tetapi yang lebih ditanya oleh malaikat nanti, adakah kita menjalankan kerja-kerja dakwah.

Kita tidak boleh syok sendiri, berdakwah dalam kalangan bangsa sendiri. Dakwah sifatnya meluaskan, iaitu multi kultural. Inilah juga sebab kenapa saya menghantar semua anak saya ke SJKC. Bukan kerana bahasa Cina ada nilai ekonomi, untuk  memungkinkan mereka menjadi kaya raya suatu hari nanti. Tetapi soal DAKWAH. Perkara inilah yang kurang difahami oleh MCA dan ultra kiasu.

MCA tidak pernah persoalkan masalah pelajar Cina di SJKC yang tidak boleh bercakap BM, gagal BM dan tidak memahami budaya Melayu. Dalam kepala MCA hanya ada Cina, Cina dan Cina. Inilah bahayanya parti politik dan budaya politik ultra kiasu yang selalu saya perkatakan. Perkara ini perlu dibendung.

Peliknya, apakah kerajaan tidak nampak permasalahan ini? Mulut MCA perlu dizip, jangan terlalu celupar.

Akhbar mereka mencanangkan, saya telah digam dan tidak dibenarkan menulis lagi. Siapa yang halang? Bila dan kenapa? Saya hanya mahu berehat buat sementara waktu. Saya akan muncul kembali. Tunggu. Siapa yang boleh melarang saya menulis dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi? Jika orang lain boleh tulis apa sahaja, kenapa tidak saya? Saya bukan budak-budak untuk boleh digertak di boleh tulis ini dan tidak boleh tulis itu.

Jika penulisan saya merbahaya, sudah lama saya disiasat polis. Kenapa sampai hari ini, repot polis dibuat, saya masih tidak disiasat. Bacalah artikel saya sepenuhnya, bukan yang telah dispin oleh ultra kiasu. Saya amat yakin pihak amat rasional dan sudah menyiasat dengan baik.

Bila saya berhenti menulis buat seketika, mereka mencanangkan satu dunia, padan muka Ridhuan Tee, dia tidak boleh menulis. Sekarang saya menulis, tetapi bukan dalam akhbar atau web Sinar Harian. Saya boleh menulis di mana sahaja saya suka. Janganlah dengki.

Saya musykil kenapa MCA tidak bangkitkan isu pemahaman mereka terhadap BM dan agenda negara. Kenapa perkara sebenar ini tidak ditonjolkan. Saya sangat pelik. Sebenarnya, MCA mahu apa?

MCA mendakwa ada 40 peratus pelajar Cina SJKC di Sabah. Jadinya? Ini biasa. Lagipun kepadatan Cina di Sabah tidak seperti di Kuala Lumpur. Logiklah jika bukan Cina ramai di SJKC. Apakah ini bermakna MCA boleh mendesak kerajaan untuk membina lebih banyak SJKC di Sabah? Atau tutup Sekolah Kebangsaan, yang ada hanya SJKC? Inilah bahayanya sikap ultra kiasu yang selalu saya sebut. Sifat ini baik, tetapi jika menjadi ekstrem, ia boleh membinasakan pembinaan negara bangsa.

MCA berkata  masyarakat majmuk lebih harmoni dan bersatu padu, kerana kaum lain boleh memahami budaya kaum Cina ketika belajar di SJKC. Persoalannya, bolehkah harmoni dicapai jika hanya bertepuk sebelah tangan.

Kenapa sehingga hari ini MCA tidak keluarkan pencapaian BM dalam kalangan pelajar Cina SJKC? Berapa peratus yang gagal BM dan tidak boleh bertutur langsung dalam BM? Saya cabar keluarkan data itu.

Lebih ekstrem lagi pemimpin MCA itu berkata,  semakin ramai pelajar di sekolah kebangsaan (SK) memilih mata pelajaran bahasa Cina kerana banyak SK mengadakan kelas mandarin. Betulkah? Berapa peratus? Berikan data-data tersebut.

Saya tidak fikir pelajar bukan Cina berani mengambil mata pelajaran mandarin jika tidak ada asas yang kukuh. Bahasa Mandarin adalah bahasa yang sukar dipelajari berbanding BM, jika tidak ada asas.

Suatu penipuan besar jika ada ramai pelajar SK mengambil mata pelajaran mandarin tanpa asas kukuh. Ini semua cerita mahu mengaburi mata kita semua. Jangan tertipu dengan ultra kiasu ini, kecuali bahasa mandarin untul perbualan, bukan untuk peperiksaan.

Saya amat yakin, pelajar-pelajar bukan Cina yang pergi ke SJKC kebanyakan sudah mendapat pendidikan pra sekolah (Tadika). Mereka tidak akan hantar membuta-tuli kerana mereka tahu anak mereka akan ketinggalan. Saya amat memahami perkara ini.

Ultra kiasu ini memuji bahasa Mandarin mempunyai nilai komersial, apakah beliau mahu menidakkah bahawa BM juga ada nilai komersial? Apakah ini juga yang menyebabkan orang Cina tidak mahu atau mengenepikan BM.

Sama ada BM ada nilai komersial atau tidak, BM adalah bahasa negara, bahasa pembinaan negara bangsa. Jika kita merasakan BM tidak penting dan tidak ada nilai komersial, saya fikir Malaysia bukanlah tempat yang sesuai untuk kita tinggal.

dr. Ridhuan Tee-1

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah

Profesor, Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan (FUPL)

Felo Utama, Institut Penyelidikan Produk dan Ketamadunan Islam (INSPIRE)

Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

No Comments

    Leave a reply