ADA APA DENGAN BI HINGGA KECOH SATU DUNIA?

Oleh: Dr. Mohd Ridhuan Tee Bin Abdullah

Ultra kiasu dan siber troopernya secara sengaja mempolitikkan ucapan Bahasa Inggeris (BI) Timbalan Perdana Menteri (TPM) dalam Perhimpunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa bersatu (PBB), dengan menonjolkan sedikit ‘kelemahan’ beberapa sebutannya, meskipun kandungannya mendapat pujian dunia. Tujuannya tidak lain, mendedahkan dan menelanjangkan ‘kelemahan’ tersebut supaya rakyat mencemuh dan mereka mendapat kredit.

Persoalannya, apakah apakah tahap BI ultra kiasu begitu baik? Apakah BI mereka sama standardnya seperti BI orang putih? Tidakkah mereka juga tidak dapat menurut perkataan-perkataan tertentu? Janganlah pergi jauh, lihat cara mereka bertutur dalam bahasa kebangsaan, Bahasa Melayu (BM), bahasa yang paling mudah dikuasai orang lain seperti yang saya sebut dahulu, bulung-bulung pun telebang di angkasee, jangan betindak berbulu-bulu. Itu loli miyak ala mali ka? Haiya ini maciam pun ala juga?

Kenapa tidak pertikaikan standard BM setelah berpuluh tahun dan bergenerasi tinggal di bumi bertuah ini? Lebih malang lagi di kalangan orang Melayu sendiri turut mengutuk. Kenapa kumpulan ini tidak mencermin diri mereka sendiri? Apakah dengan pandai BI mereka menjadi orang lebih baik? Tidak kurang juga mereka yang cair BI tetapi pengetahuan Islam dan Bahasa Arab mereka amat naif. Malah menjadi Melayu pun mereka tidak layak. Apakah layak digelar Melayu jika perangai mereka tidak mencerminkan keIslaman sebagai mana yang termaktub dalam perlembagaan perkara 160 (2), Melayu itu adalah beragama Islam, berturut dalam BM dan mengamalkan budaya Melayu.

Hanya mengharapkan pada nama sahaja seperti Siti, Zaid, Amina dan sebagainya belum layak digelar Melayu jika tingkah laku dan perangai langsung tidak mencerminkan cara hidup Melayu.

Adalah suatu yang biasa, jika kita tidak fasih dalam bahasa asing kerana ia bukan bahasa kita dan ia tidaklah mengaibkan. Kecualilah guru BI tidak mahir dengna keinggerisannya. Kenapa dalam kalangan kita tidak pernah bising atau merasa sensitif apabila ramai dalam kalangan rakyat Malaysia yang langsung tidak tahu bahasa kebangsaan, BM? Apakah mereka ini layak tinggal di bumi bertuah ini apabila tidak menjunjung perlembagaan dan agenda negara? Kenapa ultra kiasu dan kumpulan ini senyap.

Saya masih ingat, apabila banci penduduk dibuat pada tahun 2010, sebahagian besar orang bukan Islam tidak dapat membaca BM dalam borang banci dan bertutur dalam BM. Pegawai banci terpaksa menggunakan penterjemah untuk memahamkan rakyat Malaysia tentang BM. Apakah perkara ini wajar? Kes ini tidak pernah berlaku di negara lain, tetapi hanya di Malaysia. Kenapa kita terlalu baik membenarkan warga yang tidak bertutur bahasa negara tinggal di bumi bertuah ini?

Cubalah pergi bertemu dengan pelarian Rohingya yang baharu beberapa bulan tinggal di sini disebabkan oleh kekejaman kerajaan Junta Myanmar. Sekurang-kurang BM mereka lebih baik daripada rakyat Malaysia yang telah berabad tinggal di sini.

Dalam kehidupan bernegara berbilang kaum seperti di Malaysia, kedudukan BM mesti diletakkan di tempat yang paling tinggi berbanding bahasa lain. Saya tidak nafikan kepentingan mempelajari dan memahami bahasa lain kerana ia tuntutan agama.

Pada hemat saya, penguasaan BI rakyat cukuplah sekadar boleh faham dan dapat dipertuturkan mengikut suasana setempat. Tidak perlu menjadi lebih orang putih daripada orang putih. Begitu juga dengan orang luar yang datang ke negara kita, kita tidak mengharapkan mereka bertutur lebih Melayu daripada Melayu. Cukuplah sekadar boleh berinteraksi dan difahami. Peliknya kenapa kita mahu mewajibkan Melayu bertutur lebih orang putih daripada orang putih? Ini pemikiran sesat.

Banyak perkataan BI yang tidak boleh disebut dengan betul oleh orang Cina dan India, kenapa kita tidak pertikaikan? Begitu juga pemimpin besar negara maju tidak pernah menggunakan BI dalam PBB seperti China, Jepun, Thailand, Turki dan lain-lain, kenapa pemimpin ini tidak pernah dipertikaikan keinggerisaannya. Hatta, rakyat mereka bangga apabila bahasa kebangsaan mereka diperdengarkan di peringkat antarabangsa. Apakah lagu “Negaraku” perlu diterjemahkan dalam BI apabila kita memenangi pingat emas dalam Sukan Olimpik nanti bagi memberitahu negara luar inilah makna lagu negara kita.

Pelik sekali, kita begitu memuji apabila ada orang Melayu pandai berbahasa Mandarin atau menyanyikan lagi Mandarin di negara Cina. Kenapa kita tidak berbangga apabila mereka menyanyikan lagu Melayu di luar negara. Ultra kiasu begitu berbanggga dan menggembar-gemburkan pelajar Melayu memasuki dan belajar di SJKC. Tetapi apakah ultra kiasu berbangga apabila pelajar Cina memasuki Sekolah Kebangsaan. Sudah tentu tidak. Kerana ada mereka BM tidak penting meskipun ia bahasa negara. Pemikiran rimba apakah ini? Inilah perangai ultra kiasu.

Ya, saya setuju bahawa TPM tidak sepatutnya berucap dalam BI, PBB penuh dengan penterjemah. Sekiranya kita berjaya menjadikan diri kita penting, cakap dalam bahasa apapun, kelam kabut PBB atau orang akan menterjemahkannya.

Saya masih ingat ketika debat antara debat Perdana Menteri Turki dengan Israel tahun lalu. Kedua-dua menggunakan bahasa masing-masing. Ketegasan PM Turki mengenai isu Palestin mendapat perhatian dunia meskipun berucap dalam bahasa Turki. Isunya bukan soal bahasa tetapi soal sejauh mana kita berjaya menjadikan diri kita atau negara kita penting.

Isteri saya adalah seorang guru BI. Ketika kerajaan mahu menguatkuasa BI, semua guru BI diminta menduduki peperiksaan BI standard Cambridge. Isteri saya berjaya mencapai tahap 3 daripada 4, sedangkan ada guru BI bangsa lain ada yang gagal. Tetapi perkara ini tidak pernah dipublisitikan oleh kementerian kerana ia adalah aib. Kenapa hari ini, ultra kiasu suka membuka aib orang meskipun ia bukan aib pun. Inilah wajah ultra kiasu yang sebenar.

Justeru, berhati-hatilah. Ultra kiasu tidak layak berada di bumi bertuah ini, apatah lagi untuk memerintah negara tercinta ini. Justeru, berhati-hatilah.

Saya sudah lama mengesyorkan supaya ultra kiasu yang ingin bertanding dalam pilihan raya mendapat kredit dalam BM dalam SPM. Jika Dong Jiao Zong boleh mensyaratkan guru-guru BI dan BM yang mengajar BI dan BM di SJKC mesti mempunyai kredit Bahasa Mandarin dalam SPM, kenapa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak boleh mensyaratkan mereka yang mahu menjadi wakil rakyat mesti mempunyai kredit dalam BM sebelum melayakkan mereka bertanding.

Saya amat yakin ramai calon pilihan raya ultra kiasu akan kecundang. Tidak kiralah sama ada daripada DAP, MCA mahu pun Gerakan. Kumpulan ini tidak pernah kisah dengan agenda negara. Mereka lebih berperhatian dengan agenda bangsa.

Jika BI menjadi ukuran kemajuan dan kehebatan seseorang, sudah tentu lulusan Oxford, Cambridge dan universiti barat yang lain semuanya sudah berada di hadapan. Ke mana mereka? Saya ingat kepada kata-kata Pendeta Za’ba. Perangai bergantung kepada diri sendiri, rupa tidak boleh berubah tetapi perangai boleh. Apa yang penting bukan isu bahasa tetapi sikap dan perangai kita. Cakaplah BI berhabukpun jika perangai ultra kiasu tetap ultra kiasu.

No Comments

    Leave a reply