Ada bukti kewujudan Hang Tuah

PENYELIDIK Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya menemukan dua dokumen dan satu artifak di Jepun, yang mengesahkan serta membuktikan kewujudan Hang Tuah.

Ketua Penerbit UPM, Kamariah Mohd Saidin, berkata dokumen terbabit ialah rekod rasmi, ‘Rekidai Hoan’, kerajaan Ryukyu, yang kini dikenali sebagai Okinawa dan catatan pengembaraan Alfonso de Albuquerque pada 1774, yang ditemui di Universiti Ryukyu.

Beliau berkata, penemuan keris berluk sembilan tanpa hulu dan sarung yang lazimnya dihadiahkan Kesultanan Melaka kepada kerajaan lain pula dijumpai di Pusat Arkeologi Okinawa.

“Rekidai Hoan mengandungi 19 surat kerajaan Ryukyu kepada Melaka serta 11 surat daripada kerajaan Melaka, yang tertera nama Hang Tuah.

“Catatan pengembaraan Alfonso de Albuquerque pula secara jelas menerangkan mengenai Hang Tuah sebagai Laksamana Melaka yang mempunyai ciri pahlawan Melayu seperti handal, taat, berpengetahuan, berani dan pantang berundur.

“Keris yang dikenal pasti penyelidik UPM di Pusat Arkeologi Okinawa pula asalnya ditemui di pekarangan Kuil Diraja Enkakuji Ryukyu berhampiran Istana Shuriji, sekali gus membuktikan hubungan kukuh terjalin antara Melaka dengan Ryukyu,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Kamariah berkata, pembuktian mengenai kewujudan Hang Tuah itu dilakukan oleh dua penyelidik Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK) UPM, Prof Emeritus Hashim Musa dan Rohaidah Kamaruddin di Okinawa, Jepun pada tahun lalu dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Jepun

KERIS berluk sembilan dijumpai di pekarangan Kuil Diraja Enkakuji Ryukyu.

Beliau berkata, pembongkaran itu dihuraikan secara terperinci dalam buku Hang Tuah: Catatan Okinawa, yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, baru-baru ini.

“Penerbitan ini tidak semata-mata bersandarkan buku Hikayat Hang Tuah dan sejarah tempatan, sebaliknya berdasarkan catatan sahih Empayar Ryukyu, yang kini dikenali sebagai Okinawa.

“Penerbitan buku bersandarkan kajian akademik ini sekali gus menafikan kenyataan Prof Khoo Kay Kim sebelum ini yang mendakwa pahlawan Melayu itu tidak wujud,” katanya.

Prof Hashim ialah Profesor Linguistik Melayu di Jabatan Bahasa Melayu FBMK UPM, yang mengkhusus dalam bidang teori tatabahasa, falsafah bahasa, peradaban Melayu, sosiolinguistik, epigraf Melayu dan manuskrip Jawi.

TINGGALAN keris luk sembilan hadiah kerajaan Melaka kepada Raja Ryukyu yang ditemui di pekarangan Kuil Diraja Enkakuji Ryukyu dan dikenal pasti penyelidik UPM di Pusat Arkeologi Okinawa.

Rohaidah pula ialah Pensyarah Kanan di jabatan sama yang mengkhusus dalam bahasa Jepun dan psikolinguistik.

Beliau aktif dalam kerja penyelidikan dan secara berterusan membuat kajian mengenai Hang Tuah untuk membuktikan kewujudan laksamana itu dalam empayar Melaka, termasuk kajian di negara Asia Tenggara yang mempunyai hubungan dagangan dan diplomatik dengan Melaka pada abad ke-15 dan ke-16.

Sumber : Berita Harian Online

Tags: , ,

No Comments

    Leave a reply