ADA MATA PANDANG, TELINGA DENGAR, BIARKAN BERCELARU

Bukan satu, tetapi sudah dua institusi yang ada hubungan dengan Islam dicelarukan oleh kerajaan Malaysia Baru, sejak mengambil alih pemerintahan negara selepas menang Pilihan Raya Umum ke-14 sembilan bulan lalu.

Akhir tahun lalu, Lembaga Tabung Haji (LTH) telah memindahkan aset berjumlah RM 19.9 bilion kepada syarikat tujuan khas (SPV) di bawah Kementerian Kewangan Malaysia. Kementerian Kewangan diterajui oleh Lim Guan Eng dari parti DAP dengan dibantu oleh dua orang tokoh strategi parti, iaitu Tony Phua dan Ong Kian Ming.

Tony Phua, wakil rakyat Damansara dari DAP dilantik sebagai Setiausaha Politik manakala Dr Ong Kian Meng, ahli parlimen Bangi dari DAP dilantik sebagai pegawai khas Lim Guan Eng selama enam bulan sebelum memegang jawatan sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Selepas kekalahan Tony Phua dalam percaturan politik dalaman DAP, ramai melihat tokoh yang terbabit dalam kempen politik DAP tidak lagi layak untuk bersama Setiausaha Agung DAP yang paling berkuasa itu.

Ekoran pemindahan aset TH kepada SPV, banyaklah reaksi yang timbul termasuklah sebagai langkah untuk ‘melumpuhkan TH’ atas alasan aset-aset yang dipindahkan itu bukanlah  perniagaan teras. TH hanya perlu meneruskan aktiviti terasnya dan ia membawa tafsiran, TH tidak lagi dibenarkan melabur sumber kewangannya dalam perniagaan yang tiada kaitan dengan pengurusan Jemaah haji.

Sebelumnya, TH berjaya memberikan dividen yang tinggi kepada pencarumnya di samping memberikan subsidi hampir 60 peratus kepada mereka yang berjaya dipilih mengerjakan haji. Subsidi yang tinggi adalah datangnya dari keuntungan pelaburan dan selepas aset-aset itu dipindahkan dikhuatiri para Jemaah tidak lagi akan menikmati subsidi untuk mengerjakan haji.

Untuk tahun ini, TH masih mengekalkan subsidi yang tinggi iaitu sebanyak RM 12,470 bagi setiap Jemaah. Setiap Jemaah hanya dikenakan kos sebanyak RM 9,980 sedang kos sebenar ialah RM 22,450. Tahun ini (2019), TH masih mampu mengekalkan kos yang perlu dibayar oleh setiap Jemaah tetapi, ia tidak dijamin untuk tahun-tahun selanjutnya.

Turut dikhuatiri, apabila aset-aset TH dipindahkan kepada SPV, ia sama ada akan dijual atau diniagakan tanpa perlu persetujuan TH. Aset-aset yang diniagakan itu dikhuatiri akan memberi keuntungan yang besar kepada SPV sedangkan pemilik sebenarnya hanya memperoleh keuntungan yang terlalu kecil. Keuntungan yang kecil itu tidak mampu untuk TH memberikan subsidi yang tinggi kepada para Jemaah, hanya sekadar cukup untuk menampung kos operasi TH secara keseluruhannya.

Kini, masyarakat Malaysia bimbang dengan perkembangan terbaharu dalam sebuah lagi institusi Islam yang ditubuhkan pada tahun 1974 untuk menyelaraskan aktiviti dakwah di seluruh negara. Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) telah menerima suntikan pengurusan yang berbeza daripada kelazimannya apabila pengurusannya di ketuai oleh tokoh dari Parti Amanah Nasional (PAN) manakala 10 daripada 12 orang Ahli Lembaga Pengarah adalah dalam kalangan ahli politik komponen PH, termasuklah seorang daripada DAP. Bakinya seramai dua orang adalah dari Angkatan Belia Islam Malaysia.

yadim 3

Kontroversi muncul sejak semalam apabila Sheikh Omar Ali, ADUN Paloh dari DAP yang juga Pengerusi Pembangunan Usahawan, Koperasi, Penerangan dan Ekonomi Kreatif Johor berada dalam senarai terbaharu Ahli Lembaga Pemegang Amanah (ALPA), YADIM. Perubahan tersebut telah menyebabkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menguruskan Hal Ehwal Agama sekali lagi dipersoalkan.

Ketika mengulas kemenangan BN dalam PRK Cameron Highlands, Dr Mujahid berusaha menyangkap dakwaan bahawa beliau mengabaikan tanggungjawab untuk menjaga institusi-institusi Islam tetapi kali ini, pelantikan dalam ALPA YADIM saperti menzahirkan kebenaran dakwaan tersebut.

Sejak YADIM ditubuhkan, belum pernah ALPA menghimpunkan begitu banyak ahli politik menduduki posisi tersebut, dan jika berlaku ia hanya sekadar untuk jawatan Yang di Pertua yang dimulai oleh Tun Syed Nasir Syed Ismail. Datuk Dusuki Haji Ahmad diberikan tanggungjawab sebagai YDP ialah sebelum beliau memasuki arena politik dan ia berbeza dengan pelantikan anaknya kemudian, Dr Asraf Wasdi Dusuki.

Asraf tewas dalam PRU ke-10 (2004) tetapi beliau tidak terus dilantik sebagai YDP. Asraf kembali ke dunia akademik, dan hanya pada tahun 2013 menggantikan Datuk Dr Aziz Jamaludin Muhd Tahir. Mulai 1 Oktober 2015, Dr Yusri Mohamad dilantik bagi menggantikan Asraf yang dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Ia berbeza dengan pelantikan putera sulong bekas Menteri Besar Kelantan, yang bertanding atas tiket PAN di DUN Cempaka. Selepas tewas dan berhadapan dengan ‘isu politik dalam keluarga’, Nik Omar Nik Aziz dicalonkan sebagai YDP YADIM untuk menggantikan Dr Yusri Mohamad yang tamat tempoh. Pengumuman dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 14 Disember 2018. Turut dilantik ialah Ketua Syariah PAN, Zolkarnain Abidin sebagai Timbalan YDP.

Semasa pengumuman tersebut, masyarakat mula mempersoalkan tindakan Malaysia Baru yang berjanji tidak akan melantik ahli politik menduduki sebarang jawatan dalam agensi kerajaan dan syarikat-syarikat kerajaan (GLC). Ertinya, dengan pelantikan dua jawatan tertinggi dalam YADIM dari kalangan orang politik, ia menambahkan rasa mual rakyat kepada kerajaan PH kerana sebelum ini timbul isu Menteri Pendidikan sebagai Presiden UIAM dan  melantik Wan Saiful Wan Jan, pegawai khas kepada Menteri Pendidikan menerajui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional.

Ketika Mazlee dilantik sebagai Presiden UIAM menggantikan Tan Sri Rais Yatim, bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaludin menyerang” Tidak ada orang lain nak dilantik sebagai Presiden UIA? Menteri sendiri nak juga jawatan ini? Ingat Malaysia baharu ni tak gila jawatan?” Kicauan itu tidak terhenti di situ, akhirnya Mazlee menerima tekanan daripada pelbagai pihak termasuklah dari kumpulan mahasiswa mendesaknya meletakkan jawatan. Mazlee pada 9 November 2018 bersetuju untuk meletakkan jawatan selepas pengganti dikenalpasti.

Kini, tiba giliran Dr Mujahid Yusof Rawa menerima tekanan daripada pelbagai pihak ekoran kenyataannya mempertahankan pelantikan politik di YADIM. Bekas ahli seumur hidup DAP yang dipecat, Amran Ahmad Nor dan kini Timbalan Pengerusi Gagasan Tiga (G3) sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dianggotai oleh 53 NGO menganggap pelantikan wakil rakyat DAP sebagai ahli ALPA ‘sebagai pengesahan Amanah adalah ‘balaci’ sebenar DAP.’ Bagi Dr Zamihan Mat Zain, Presiden Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWAJA), pelantikan itu seolah-olah ‘kerajaan Pakatan Harapan ‘melacurkan’ institusi-institusi agama demi kepentingan politik.’

zamihan

Menurut Amran, ‘sebagai bekas ahli seumur hidup DAP yang pernah bersengkongkol dengan Amanah dalam banyak program sebelum PRU ke-14, saya sememangnya sedar dan tahu betapa Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berada di bawah telunjuk DAP. Apabila saya terbaca berita Menteri di JPM, Mujahid melantik wakil rakyat Melayu dari DAP sebagai ahli lembaga pengarah YADIM, saya langsung tidak terkejut, cuma berasa sedih kerana sekali lagi menteri Melayu beragama Islam sendiri yang membenarkan campur tangan bangsa DAP dalam institusi Islam.” (G3 bantah lantikan Adun DAP di Yadim, Malaysiakini, 30.1.2019)

Bagi Amran yang menyifatkan Sheikh Omar Ali sebagai ‘pasu bunga’ di mana jiwa dan tindak tanduknya ‘adalah berlandaskan arahan pihak atasan bangsa DAP’ . Pandangan Amran itu dikongsikan oleh ramai pihak termasuklah Setiausaha Agong PAS, Takiyudin Hassan apabila beliau berkata “kerajaan PH akan membiarkan Yadim turut dicorakkan oleh DAP walaupun DAP selama ini tidak pernah bersetuju dengan sebarang dasar Islam walaupun tidak langsung melibatkan rakyat bukan Islam.” (PAS dakwa DAP bakal mencorakkan Yadim, Malaysiakini, 30.1.2019).

Ketika mempertahankan pelantikan tersebut, Mujahid berkata pelantikan Sheikh Omar Ali itu berdasarkan kelayakannya bukannya atas dasar politik. Ia hanya secara kebetulan, Sheikh Omar berkelulusan ijazah usuludin (pengkhususan dakwah) dari Universiti Malaya. Atas alasan itulah juga Mujahid memberi amaran kepada sesiapa yang berterusan mempersoalkannya. (Lantikan Sheikh Omar: Mujahid beri amaran, Sinar Harian, 30.1.209)

Dalam berita yang lain, Mujahid menegaskan pelantikan 10 daripada 12 ahli polik PH sebagai ALPA YADIM, ia adalah mengikut merit dan kelayakan di mana kesemua mereka yang dilantik mempunyai pengalaman luas yang mampu membantu YADIM mencapai objektifnya. Kalaupun ada mana-mana mereka yang dilantik, ‘termasuk itu adalah dalam kalangan ahli politik PH, ianya hanyalah kebetulan.’ (Lantikan atas dasar merit, kebetulan ahli politik PH, Sinar Harian 30.1.2019).

ADUN Paloh, Sheikh Omar Ali ketika menjawab kritikan pelantikannya menjelaskan “saya rasa semuhan itu bersifat sentiment dan bukan bersifat dasar dan bukan bersifat nak bincangkan soal polisi atau hala tuju bagaimana Yadim hendak bergerak ke hadapan.” Beliau juga turut menempelak kritikan yang dibuat oleh bekas YDP YADIM, yang kini Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.  Secara berseloroh beliau mengatakan pada mulany membaca kritikan itu ‘ Saya ingat Papagomo kenyataan. Rupanya Asyraf Wasdi.” (Sheikh Omar Jawab Kritikan: Ingat Papagomo, rupanya Asyraf Wasdi, Malaysiakini, 30.1.2019).

Bagi YDP YADIM, Nik Omar yang turut menerima watikah pelantikan dari Menteri di Jabatan Perdana Menteri, pelantikan Sheikh Omar itu mampu menjadi ‘jambatan’ bagi memperkenalkan Islam sebenar kepada orang bukan Islam.” Ia juga dapat memberikan nasihat berkaitan Islam ‘jika terdapat kenyataan daripada kepimpinan DAP’.

Nik Omar

Nik Omar turut menyelar mereka yang mengkritik pelantikan tersebut bahawa “(Mereka) yang tidak setuju adalah alasan DAP mempunyai agenda tersembunyi. (Tapi) kita masih berkeyakinan apabila DAP bersetuju membina Malaysia baharu, mereka bersedia daripada awal untuk patuh kepada Perlembagaan Malaysia iaitu kedudukan agama Islam, bahasa Melayu serta Raja-Raja.

“Kesemua yang dilantik ada kelayakan, kemahiran dan pengalaman tersendiri, bukannya ahli politik semata-mata…politik hanya satu cabang kehidupan mereka, namun masih membawa perkara sama iaitu mahu sampaikan dakwah kepada rakyat Malaysia dan bukan Islam”. (Sheikh Omar mampu jadi ‘jambatan’ perkenal Islam kepada DAP, Berita Harian Online, 30.1.2019).

Portal Malaysia Gazette sebelumnya menyiarkan satu rencana perbandingan sebelum kerajaan Malaysia Baru dan perkembangan terbaharu pelantikan ALPA YADIM. Bagaimanapun selepas beberapa jam disiarkan, halaman tersebut tidak lagi dapat dibaca walaupun carta perbandingan tersebut masih dipaparkan. Mungkin halaman tersebut telah ‘diceroboh’ tetap ada kerana sebelum ini ALPA YADIM merupakan gandingan antara agamawan, ahli akademik dan bekas pegawai kanan kerajaan yang berpengalaman dalam bidang pengurusan, pentadbiran dan kewangan.

Misalnya, Datuk Supiah Yusof berpengalaman sebagai Pegawai Kewangan Negeri Pulau Pinang manakala Prof Dr Mahmud Zuhdi adalah ahli akademik yang cemerlang dalam bidang kajian perundangan Islam. Tidak seorang ALPA merupakan tokoh politik dan ia berbeza dengan naratif baharu yang sedang dibina oleh PH, termasuklah berusaha menafikan sikap sebenar DAP terhadap Islam.

Walaupun DAP secara lahiriahnya tidak ‘menentang Islam’ tetapi kenyataan dan tindak-tanduknya membayangkan bahawa Islam adalah tidak sesuai dijadikan kerangka dalam pentadbiran Malaysia, kerana tetap mempertahankan Malaysia sebagai sebuah ‘negara sekular’. DAP pernah menentang cadangan untuk meminda akta yang berkaitan dengan kelakuan masyarakat walaupun dikhususkan kepada umat Islam. Bahkan, DAP pernah mempersoalkan agihan wang zakat oleh umat Islam kerana rakyat Malaysia bukan beragama Islam juga layak menerimanya.

Begitu juga dengan persoalan Melayu dan kemelayuan. Perkembangan mutakhir turut menampakkan bahawa DAP bersedia menyalurkan dana kepada sekolah-sekolah swasta dan kolej persendirian Cina. Menteri-menteri Melayu yang beragama Islam dalam kerajaan Malaysia Baru diam membisu, walaupun pada hakikatnya, ia tidak sepatutnya dilakukan memandangkan institusi tersebut membelakangkan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Sebagai YDP, Nik Omar berusaha untuk ‘ubah pemikiran iaitu memperkenalkan pendekatan baharu dengan membawa Islam saperti mana diajar Nabi Muhammad SAW supaya rakyat Malaysia beragama Islam boleh terima Islam sebagai satu cara hidup terbaik dan orang bukan Islam pula tidak takut dengan Islam serta selesa dibawah pentadbiran patuh syariah.” Bagaimanapun, Nik Omar diharapkan tidak tersilap membentuk YADIM menjadi ‘markas politik’ kerana kecenderungan itu tetap terbuka apabila terlalu ramai orang politik di dalamnya.

Cabaran yang harud diatasi oleh agensi Islam di bawah kerajaan Malaysia Baharu, yang berusaha memperkenalkan Rahmatal Lil’alamin ialah untuk mengubah fenomena yang sedang berkembang di Malaysia, iaitu kumpulan minoriti bertindak lebih daripada majoriti.

Golongan minoriti berusaha keras untuk ‘memaksa majoriti’ memahami mereka, dan dalam masa yang sama tidak berusaha untuk memahami apa yang sepatutnya mereka lakukan bila berinteraksi dengan kumpulan majoriti. Inilah bahayanya jika Rahmatal Lil’alamin itu hanya ditujukan kepada orang Islam sahaja sedangkan bukan Islam dibiarkan tanpa sentuhan yang sama.

Untuk hidup dalam keadaan harmoni, Rahmatal Lil’alamin mestilah diterjemahkan dalam konteks yang lebih luas, bukan hanya dalam konteks yang seharusnya dilaksanakan oleh umat Islam. Ia mestilah meliputi soal mengajar dan mendidik bukan Islam untuk menghormati Islam sebagaimana Nabi Muhammad SAW lakukan ketika mentadbir kota Madinah, bukan Islam menerima Islam dengan baik. Seandainya mereka tidak menghormati Islam, bukan sekadar menyatakan menyokong Perlembagaan, mereka tidak mencerca dan mengecam Islam, mereka berganding bahu untuk hidup bersama tanpa ada sifat ‘selfish’ dan ‘faham perkauman’.

Jangan kerana itu, Malaysia Baru mencelarukan Institusi Islam dan umat Islam. Itulah sebenarnya yang diharapkan akan berlaku, tetapi bunga-bunga kecelaruan semakin cepat berkembang kerana ramai di antara yang menerajui politik tanah air telah diserang penyakit ‘celaru fikrah.’ Bila Islam dihina, diam membisu akibat takut ‘kedudukan terjejas’ dan biarkan, biarkan: Ada mata pandang, ada telinga dengar; Ada mulut Diam.

Apakah nilainya apabila Menteri memberi amaran, apa pun tidak boleh dikritik mahu pun diberikan pandangan kerana ia berlaku secara kebetulan. Apakah kebetulan itu berlaku ‘hanya kerana kebetulan’ atau ‘kebetulan yang dirancang’? Inilah misteri yang menyebabkan Mujahid ‘gerun’ kerana ia saperti ‘tersalah langkah. ‘

Oh MALAYSIA BARU!!!! 

Monosin Sobri

 

 

 

 

 

 

 

 

No Comments

    Leave a reply