Adab, budi bahasa harmoni kehidupan, elak kebencian

Kata orang, budi bahasa dan adab tidak boleh dijual beli. Ia sesuatu yang sangat luhur dan terbit daripada hati sanubari seseorang. Malah, dalam zaman siber ini, budi bahasa bukan sahaja dikenali melalui percakapan tetapi juga cara kita menulis dalam media sosial.

Sikap kita dalam berinteraksi dan berkomunikasi jelas melambangkan peribadi. Adakalanya kita tidak peduli perasaan orang lain apabila kita berkomunikasi, tidak kira secara berdepan atau di media sosial.

Malah, kita jarang menghargai orang sekeliling seperti ibu bapa, anak-anak, rakan sekerja, jiran tetangga dan pekerja bawahan. Cara kita menyampaikan mesej ada kalanya menyerlahkan ego kita dan menyinggung perasaan si penerima mesej, khususnya apabila menggunakan media sosial dalam dunia tanpa sempadan ini.

Apabila komunikasi tidak berhemah ini terjadi, salah faham akan berlaku, sekali gus boleh mengeruhkan hubungan sesama manusia. Tidak mustahil jika rasa sakit hati bersarang dalam jiwa mereka.

Bina hubungan baik dengan orang sekeliling

Justeru, sangat penting membina hubungan baik dengan orang sekeliling sama ada rakan sekerja, jiran dan mereka yang berurusan dengan kita setiap hari supaya persekitaran tempat bekerja, belajar atau tempat tinggal kita lebih harmonis dan ceria.

Malangnya, masyarakat semakin kurang berinteraksi secara berdepan atau melakukan komunikasi bersemuka. Mereka lebih gemar menggunakan media sosial untuk berinteraksi sedangkan ia cenderung menyemarakkan rasa kebencian menebal dan fitnah.

Mereka lebih gemar ‘bercakap’ dalam media sosial, menghantar pelbagai notis, melalui media dan tidak ada lagi menggunakan cara lama berjumpa untuk memberitahu sesuatu. Notis atau apa juga maklumat yang nak disampaikan lebih mudah secara pukal dengan menggunakan media sosial dan tidak perlu lagi ada adab untuk menyampaikan berita.

Tiada lagi ungkapan indah, puitis

Bahasa dan gaya penulisan robot yang tidak berperasaan semakin dijadikan bahasa formal dalam berinteraksi melalui media sosial. Adab dan nilai murni dalam berbahasa dan berinteraksi terus pupus ditelan zaman moden yang serba canggih. Tidak ada lagi ungkapan indah atau puitis, sebaliknya kata-kata kesat dan kadangkala maki hamun menghiasi media sosial.

Sudah terlalu kurang perbincangan secara bersemuka. Ramai beranggapan cara berbincang dan bersemuka sudah lapuk. Masyarakat kini selesa menggunakan cara mudah berkomunikasi tanpa mengetahui mereka telah mengorbankan satu adab dan nilai mulia dalam hubungan sesama manusia.

Melalui media sosial, mesej yang hendak disampaikan kadangkala boleh disalahertikan. Tetapi jika dapat duduk bersemuka dan bercakap dari hati ke hati, ia lebih mudah untuk menyampaikan mesej yang ada kalanya sukar diterima oleh pihak yang satu lagi. Ramai orang mengetepikan unsur adab dan budi bahasa apabila berurusan dengan orang sekeliling kita. Mereka anggap insan sekeliling mereka semua macam robot yang tiada hati dan perasaan.

Budi bahasa dan adab sebenarnya dapat ‘memanusiakan’ manusia kerana melalui bahasa yang baik dan komunikasi cara bersemuka, banyak perkara boleh diselesaikan dengan baik dan menyedarkan pihak tertentu mengenai kesilapan atau sesuatu yang dia tidak sedar berlaku.

Perbuatan baik akan mengharmonikan kehidupan

Secara umumnya, adab dan budi bahasa serta nilai murni ini ada kaitannya dengan hubungan manusia dengan Pencipta, selain hubungan sesama manusia dan hubungan dengan alam sekitar. Perbuatan baik melalui adab dan budi bahasa mengharmonikan kehidupan dan mengelakkan kebencian dan mensejahterakan alam sejagat.

Budaya Melayu secara umumnya menitikberatkan nilai yang baik dalam berkomunikasi dan berbahasa tidak kira secara bersemuka atau melalui media sosial. Malah, melalui komunikasi yang baik manusia dalam membina kehidupan yang lebih tenang kurang tekanan dan sentiasa ceria.

Oleh itu, sudah tiba masa kita kembali pada fitrah dan membentuk komunikasi bersemuka. Musyawarah dan perbincangan secara murni untuk menurunkan rasa ego manusia yang menjadi hero media sosial dan menjadi bos yang berkuku besi dan tidak ada rasa hormat pada orang bawahan.

Tuntasnya, manusia semua sama. Pengakhiran kita juga sama. Kita bukannya membawa pangkat dan status kehidupan ke dalam kubur. Sebaliknya kita semua akan menjadi makanan cacing dan hanya membawa kain putih dan amalan yang kita buat sepanjang kita hidup untuk kita berdepan Pencipta.

Oleh itu kurangkan ego, amalkan budi bahasa dan adab yang baik dalam berinteraksi dengan orang sekeliling. Tidak rugi berbuat baik sesama manusia dengan mengamalkan nilai murni, kerana kesejahteraan hidup akan membawa keharmonian dalam menjalani kehidupan.

Oleh Haytati Ariffin

Sumber : Berita Harian Online

Tags: , ,

No Comments

    Leave a reply