Ulama kita turut terbabit dengan kekecohan isu agama kerana terdapat segelintir di antara mereka memandang isu agama sebagai isu politik kepartian atau politik kumpulan mereka.

Dalam konteks Islam, agama suatu pegangan hidup yang seharusnya membimbing seseorang itu sepanjang hayatnya.

 Atas dasar inilah agama itu seharusnya dipelajari dengan penuh ilmu dan hikmah kerana Nabi-nabi yang diutuskan Allah SWT juga telah diajar akan kitab iaitu ilmu pengetahuan wahyu Allah dan hikmah iaitu kebijaksanaan memahami sesuatu isu dan persoalan hidup beragama itu melalui akal fikiran dan pengalaman serta ilmu ciptaan minda manusia yang tidak bercanggah dengan prinsip-prinsip ilmu wahyu.

Agama bukanlah sesuatu yang dipelajari secara mudah melalui dakyah dan petua-petua murahan di pentas-pentas pilihan raya umum atau pilihan raya kecil ketika para pejuang partisan berkempen untuk mendapatkan undi mudah dengan peralatkan agama.

Islam mempunyai sistem dan struktur yang amat sukar difahami oleh orang lain, malah oleh penganut-penganut agama itu sendiri sekiranya mereka mempelajari agama itu tanpa melalui epestemologinya yang sebenar.

Satu asas penting yang seharusnya ditekankan dalam konteks ini bahawa akidah dan syariah Islam tidak harus dilihat dari kaca mata orang lain. Malah daripada kaca mata orang Islam sendiri yang tidak terlatih dalam bidang berkenaan dan yang tidak diiktiraf sebagai ahlinya oleh masyarakat Islam.

Dalam konteks ini benarlah pandangan yang mengatakan bahawa sekiranya diberikan kebebasan mutlak kepada segolongan penganut sesuatu agama untuk mempersoalkan akidah dan amalan penganut agama yang lain, maka hal ini seolah-olah seperti memberikan lesen yang murah kepada mereka untuk membuka gelanggang pergaduhan dan perkelahian yang boleh membawa kepada huru-hara dan mungkin juga pertumpahan darah sesama sendiri.

Sedangkan kita seharusnya mencari titik pertemuan dan persamaan. Bukan mencari titik perbezaan dan perselisihan. Perbincangan mengenai agama seperti yang saya tegaskan di atas bukanlah seperti kita membicarakan tajuk rukun tetangga atau dewan orang ramai. Siapakah yang seharusnya mengambil giliran meronda atau siapakah yang seharusnya menggunakan dewan orang ramai tersebut.

Tetapi perbincangan mengenai agama adalah perbincangan pegangan hidup yang amat sensitif dan sering terdedah kepada percikan api yang mampu menjadi marak dengan besar sekiranya tidak ditangani dengan baik.

Kerana itu, perbincangan tentang agama tidaklah seharusnya diwarnai dengan rasa taksub dan fanatik melulu. Namun keterbukaan dalam perbincangan tersebut juga haruslah dihadkan oleh sempadan-sempadannya yang tertentu.

Kita melihat banyak contoh di negara tertentu yang memanifestasikan ketaksuban ini sehingga rumah-rumah ibadat menjadi sasaran kemusnahan dan pencabulan, penganut agama lain yang dianggap musuh dibunuh dan harta benda mereka dimusnahkan, serta pelbagai kekacauan yang berlaku. Ini akhirnya melibatkan keruntuhan nilai moral, kehancuran pembangunan ekonomi dan kecelaruan peraturan sosial dan pendidikan.

DATUK DR. ISMAIL IBRAHIM ialah ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia (Integriti).