AGAMA DAN SAINS TIDAK TERPISAH

Adakah agama dan sains terpisah?

Atau perlukah kedua-duanya dipisahkan, seperti yang dilakukan oleh Barat?

Debat mengenai hal tersebut dan hujah masing-masing kumpulan tentang keserasian ataupun pertentangan sains dan agama tidak kunjung padam sejak berabad lalu. Mutakhir pertentangan pendapat ini menjadi lebih akut. Dua tahun lalu kedengaran bising-bising dari kalangan tertentu terhadap sebuah buku teks untuk mata pelajaran sains terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka yang direncana mahu digunakan pada 2009.  Kemarahan mereka berpunca dari ayat `all living things are created by God`.  Marah-marah dan lambungan suara menjadi lebih nyaring, lalu terpancutlah kata-kata kesat yang berbunyi: `relegion has no place in the teaching of science`. Kesannya satu mesyuarat khas diadakan oleh pihak DBP untuk mengkaji semula isi kandungan buku tersebut.  Sehingga kini saya tidak tahu apa pendirian DBP dan apa pula keputusan yang diambil terhadap isu tersebut.  Semuanya sudah dibungkus kesepian.

Barat sudah lama memisahkan `sains dan agama`.  Kononnya sains adalah empiris dan boleh disukat dan dikira, sedangkan `agama’, tidak.  Ada juga kalangan intelektual songsang yang berpendapat agama-agama samawi juga pembohongan, dan bikinan manusia belaka.   Komunisme juga pernah melabelkan agama sebagai candu yang mengkhayalkan.

Justeru, haruskah kita menuruti jejak langkah mereka, dan bertandak mengikuti nafiri nihilis yang mereka tiupkan?

Yang bising-bising ini siapa sebenarnya?  Adakah dengan mengatakan  `bahawa semua yang bernyawa adalah ciptaaan Tuhan itu bercanggah dengan sains?  Dan apa pula alasannya?

Sudah pastilah saya cuba mendekati masalah ini dengan sudut pandangan seorang Islam.  Dalam pada masa yang sama tentulah pengarang-pengarang yang mengemukakan manuskrip cadangan kepada DBP untuk teks pengajaran sains telah mengambil kira kedudukan Islam sebagai agama rasmi di negara ini.  Ia selaras dengan roh Perlembagaan Persekutuan, dan tidak merupakan tokok-tambah kepada klausa-klausa uang sedia ada. Barangkali ada tangan-tangan hitam yang menyembunyikan belati di dalam gelap dengan tujuan melemahkan keluhuran perlembagaan.

Sesungguhnya al-Qur’an menyebut dengan jelas peranan matematik dan sains lewat Surah al-Qamar, ayat 49, yang berbunyi:

      “Sesungguhnya Kami menciptakan segala sesuatu menurut ukuran.”

Ujilah, dan tunjukkanlah ayat mana dan surah mana di dalam al-Qur’an yang bertentangan dan tidak serasi dengan sains.  Al-Qur’an memperjelas fenomena-fenomena sains dan fizik, jauh sebelum sebarang penemuan mengenainya berlaku di Barat.  Sorotilah `The Bible, al-Qur’an and Science` karya Maurice Bucaille dan karya-karya Harun Yahaya untuk menghayati kebenaran yang diungkapkan oleh al- Qur’an.  Kalau benar begitu, dan kalau jelas fenomena-fenomena alam dapat dihuraikan oleh al- Qur’an, termasuk kejadian manusia itu sendiri [ Surah al Mu’minuun: 12 – 14 ], yang boleh diuji menerusi sains hayat dan dibuktikan pula oleh perubatan moden, apa pula yang silapnya dengan `all living things are created by God`.

Al-Qur’an menerusi ayat-ayat [12 – 14] menghuraikan  7 tahap kejadian manusia; dari `sulalah min tiin`(rangkaian tanah asal) hinggalah kepada `khalaqan akhar` (makhluk yang asing).  Di mana sains hayat dan perubatan moden dengan bantuan peralatan yang canggih baru saja menemui tahap-tahap tersebut, al-Qur’an sudah memperjelas semuanya 1429 tahun lalu.

Nah, apakah agama tidak mampu menghuraikan sains?  Malahan ia ternyata `lebih sains dari sains`!

Setiap segala sesuatu di alam semesta, yakni kosmos dan mikro-kosmos harus dikaitkan dengan konsep `alam semesta yang dicipta` (created universe).  Jadi kalau ada konsep `alam semesta yang dicipta`, tentulah ada pula `yang menciptanya`.  Si tukang perabot tentulah perlu berada di luar meja untuk menukang sebuah meja. Mana mungkin beliau membikin meja tersebut sekiranya berada di dalam meja!  Analogi ini boleh saja diangkat untuk memperjelas peranan Pencipta alam semesta.  Sains, fizik dan segala macam ilmu tidak lebih, hanyalah sekadar manifestasi kuasa serta kebesaran `God`.

Penulis-penulis di sepanjang zaman telah menggunakan landasan-landasan tasauf, esoterik, fenomenologi, Jalal-Jamal atau Yin Yang untuk memperlihatkan hubungan yang tidak terpisah di antara sains dan agama.  Saya juga turut berusaha memperjelas alam semesta ciptaan-Nya menerusi al-Qur’an dengan menggunakan pendekatan `nilai dan anti-nilai`  serta interpolasi, dan keserasan (congruence) modulo 9, lewat karya saya `The Profound Truth:  Understanding Perfection` dan versi Bahasa Melayu `Kebenaran Mutlak:  Memahami Kesempurnaan`.                                                  

Saya cuba memperkenalkan beberapa pendekatan, metodologi, teori serta persamaan-persamaan (equations) seperti:

  • Gt (Ghoz Transformation)
  • Kunci Panca Ilahiah (Divine Interlocking Device (DID))
  • Model Equilibrium (GEM)
  • Penghuraian Konsep Titik Paling Padat (Densest Point), dan
  • Teori Laluan Ilahiah (Divine Routing)

Dengan menggunakan konsep, teori serta persamaan-persamaan di atas, saya cuba memperjelas beberapa isu kontroversi dalam masayarakat Islam di negara ini maupun di luar negara.  Isu-isu tersebut adalah pluralisme, anti-Hadis dan Kod 19.

Fahaman-fahaman ini adalah ibarat anai-anai yang perlahan-perlahan sedang meruntuhkan `aqidah Islam.

Sayangnya hingga sekarang masih ramai yang berkeras mahu memisahkan sains dan agama.  Sekali lagi, siapakah mereka ini?  Barangkali ada agenda tertentu di sebalik bising-bising dan marah-marah mereka.  Tariklah nafas seketika dan lihatlah di sekeliling kita.  Islam sedang dicabar dan dimomok dari segenap penjuru.

Pendekatan orientalis sedang meresap ke dalam kotak fikir cendekiawan dan inteligentsia Islam. Kelompok dan sel-sel yang menganutinya di negara ini seakan membiak tanpa sekatan.  Ada pula oraganisasi berselelindung di sebalik label Islam lalu menyambut pemikiran sedemikian secara membuta tuli.  Mereka didokongi oleh para intelektual Islam dan kebanyakannya berbangsa Melayu.  Mereka menentang apa saja yang ada hubung kait dengan al-Qur’an, hatta hukum-hakam agama Islam sendiri.  Semuanya mereka pakaikan kayu sukat dan baju budaya sekularisme totok Barat. Saya khuatir Islam yang mereka promosikan hanya tersangkut pada slogan dan nama organisasi sahaja, sedangkan hakikatnya mereka sudah murtad. Ilmu bukanlah kekuatan intelektual untuk meneroka semata-mata, tetapi adalah hidayah Allah kepada manusia untuk mentadabur, mengenal erti dan mencari makna.

Kalau tanya saya, jawabnya mudah  –  jangan pedulikan mereka.  Biarkan mereka terjun dengan labu-labu!  Realitinya, sains dan agama memang tidak pernah dan tidak mungkin terpisah dari al-Qur’an.

Catatan: Malim Ghozali PK

No Comments

    Leave a reply