AGAMA ORANG ARAB

KEBANYAKAN orang Arab menyahut seruan Nabi Ismail a.s ketika baginda a.s mengajak mereka kepada agama bapanya, Ibrahim a.s. Mereka menyembah Allah dan mengesakan-Nya serta mengamalkan ajaran agama-Nya. Setelah berlalu masa yang panjang, mereka mulai lupa sebahagian daripada ajaran-ajaran tersebut. Namun, mereka masih tetap berpegang kepada akidah tauhid dan beberapa syiar agama Nabi Ibrahim a.s sehinggalah tiba zaman Amru bin Luhay, iaitu pemimpin Bani Khuzaah.

     Amru bin Luhay terkenal sebagai seorang yang banyak melakukan kebaikan, bersedekah dan amat memelihara hal-hal agama. Dengan keperibadiannya itu, dia disayangi oleh masyarakat dan mereka mematuhinya kerana menganggap dia adalah seorang ulama besar dan wali termulia. Kemudian, Amru bertolak ke Syam. Di sana, dia melihat penduduk Syam menyembah berhala. Dia menganggap apa yang dilihatnya itu sebagai suatu yang baik dan menyangka ia adalah suatu kebenaran memandangkan Syam merupakan tempat para rasul dan kitab-kitab diturunkan. Apabila kembali ke Makkah, Amru membawa berhala Hubal bersama-samanya dan meletakkannya di dalam Kaabah. Dia mengajak penduduk Makkah mensyirikkan Allah, dan mereka pun menyahut ajakannya itu. Tidak lama kemudian, penduduk Hijaz turut mengikut jejak penduduk Makkah kerana penduduk Makkah merupakan penguasa Kaabah dan penduduk Tanah Haram.

     Antara berhala mereka yang tertua ialah Manah yang terletak di al-Musyallal di persisiran Laut Merah berhampiran dengan Qudayd. Kemudian, mereka meletakkan al-Lata di Taif dan seterusnya al-Uzza di Wadi Nakhlah. Ketiga-tiga berhala ini merupakan berhala mereka yang terbesar. Setelah itu, syirik mulai berleluasa; berhala-berhala juga semakin banyak di merata tempat di Hijaz. Diceritakan bahawa Amru bin Luhay dapat melihat jin di mana jin telah memberitahunya bahawa berhala-berhala kaum Nuh, iaitu Wad, Suwa, Yaghuth dan Nasr, tertanam di Jeddah. Lalu dia pun pergi dan mencarinya. Setelah ditemui, dia membawa berhala-berhala itu ke Tihamah. Apabila tiba musim haji, dia memberikan berhala-berhala itu kepada kabilah-kabilah untuk dibawa pulang ke kampung halaman masing-masing. Akhirnya, mereka memenuhkan Masjidilharam dengan berhala. Ketika Rasulullah SAW menawan kota Makkah, didapati ada 360 berhala di sekitar Kaabah. Rasulullah SAW menghancurkan berhala-berhala di dalam Kaabah; Baginda SAW memerintahkan agar berhala-berhala itu dibawa keluar dari masjid dan dibakar.

     Begitulah bagaimana syikrik dan penyembahan berhala telah menjadi mercu tanda terbesar dalam agama orang jahiliah yang mendakwa kononnya mereka adalah pengikut agama Nabi Ibrahim a.s.

     Orang Arab mempunyai adat resam dan tradisi dalam penyembahan berhala. Kebanyakannya adalah hasil rekaan Amru bin Luhay. Mereka menyangka bahawa segala yang diada-adakan oleh Amru bin Luhay adalah termasuk dalam bidaah yang baik dan bukannya mengubah agama Nabi Ibrahim a.s. Antara tradisi mereka dalam penyembahan berhala itu ialah:

  1. Mereka beriktikaf di hadapan berhala-berhala itu dan mengadu, menyeru serta meminta pertolongan pada saat-saat genting. Mereka berdoa kepada berhala-berhala itu untuk menunaikan hajat mereka dengan kepercayaan bahawa berhala-berhala itu akan menjadi syafaat di sisi Allah serta mencapai apa yang mereka ingini.
  1. Mereka menunaikan haji ke atas berhala-berhala itu dan bertawaf mengelilinginya. Mereka merendahkan diri di sisi serta sujud kepada berhala-berhala.
  1. Mereka bertaqarub dengan berhala-berhala itu dengan berbagai-bagai jenis korban. Mereka menyembelih dan berkorban untuk berhala dengan menyebut nama berhala-berhala itu. Mengenai sembelihan ini disebut oleh Allah dalam surah Al-Maidah, ayat 3 yang bermaksud: “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), darah (yang keluar mengalir), daging babi (termasuk semua anggota tubuhnya), binatang-binatang yang disembelih bukan kerana Allah…” Allah juga berfirman dalam al-Quran mengenai hal ini:

     Maksudnya: “Janganlah kamu memakan binatang-binatang yang tidak disebut nama Allah ketika menyembelihnya. Sesungguhnya yang sedemikian itu adalah perbuatan fasiq (berdosa). Sesungguhnya syaitan-syaitan itu membisikkan kepada pengikut-pengikutnya supaya mereka membantah (menghasut) kamu. Sekiranya kamu menurut hasutan mereka, sesungguhnya kamu menjadi (seumpama) orang yang musyrik.

(Al-An’am: 121)

  1. Antara cara mereka menghampirkan diri kepada berhala-berhala itu ialah dengan mengkhususkan sesuatu makanan dan minuman untuk berhala mengikut apa yang nyata bagi mereka. Begitu juga sebahagian dari hasil pertanian dan ternakan, mereka khususkan untuk disembahkan kepada berhala-berhala itu. Yang menghairankan ialah, mereka turut mengkhususkan persembahan-persembahan itu sebahagiannya buat Allah. Mereka mempunyai sebab dan alasan tersendiri untuk berbuat demikian tetapi kerap kali persembahan yang mereka khususkan kepada Allah itu kemudiannya mereka pindahkan kepada berhala-berhala mereka, sementara persembahan yang dikhususkan kepada berhala-berhala itu tidak pula mereka pindahkan kepada Allah sama sekali. Allah berfirman:

     Maksudnya: “Mereka (orang musyrik) memperuntukkan daripada hasil tanaman dan binatang-binatang ternakan yang diciptakan oleh Allah itu, sebahagian bagi Allah (dan sebahagian lagi untuk berhala-berhala mereka), iaitu mereka berkata berdasarkan prasangka mereka, ‘Ini untuk Allah dan ini pula untuk berhala-berhala kami.’ Maka, apa yang telah ditentukan untuk berhala-berhala mereka tidak sampai kepada Allah dan apa yang telah ditentukan untuk Allah, sampai pula kepada berhala-berhala mereka. Amatlah jahat apa yang mereka hukumkan itu.

(Al-An’am: 136)

  1. Cara lain mereka bertaqarub dengan berhala-berhala itu ialah dengan bernazar ke atas tanaman dan ternakan mereka. Allah berfirman:

     Maksudnya: “Dan mereka berkata lagi menurut sangkaan mereka, ‘Ini adalah binatang-binatang ternakan dan tanam-tanaman yang dilarang, yang tidak boleh seorang pun memakannya kecuali sesiapa yang kami kehendaki’ – dan binatang-binatang ternakan yang dilarang menunggangnya dan binatang-binatang ternakan yang mereka tidak menyebut nama Allah ketika menyembelihnya, semata-mata mengada-ada pendustaan terhadap Allah. Allah akan membalas mereka disebabkan apa yang mereka telah ada-adakan itu.

(Al-An’am: 138)

  1. Antara binatang-binatang tersebut ialah ‘al-bahirah’, ‘al-saibah’, ‘al-wasilah’ dan ‘al-ham’. Kata Ibn Ishaq, “Al-bahirah ialah anak betina al-saibah. Al-saibah ialah unta betina yang melahirkan sepuluh anak betina berturut-turut tanpa ada anak jantan di antaranya, maka apabila telah sampai ke tahap itu, ia dibiarkan bebas, tidak boleh ditunggangi, tidak boleh diambil bulunya dan tidak boleh diminum susunya kecuali oleh tetamu. Selepas itu, jika ia melahirkan anak betina, maka anak betina itu dibelah telinganya kemudian dibiarkan bebas bersama ibunya, tidak boleh ditunggangi, tidak boleh diambil bulunya dan tidak boleh diminum susunya kecuali oleh tetamu. Maka inilah al-bahirah anak al-saibah.

     Al-wasilah ialah kambing jantan yang berjaya mendapatkan sepuluh anak betina berturut-turut melalui lima ibu yang tidak diselangi dengan kelahiran anak jantan. Maka kambing jantan itu dijadikan wasilah. Mereka mengatakan, ‘Qaad wasalat (ia telah sampai).” Oleh itu, anak-anaknya yang dilahirkan selepas itu hanya boleh dimiliki oleh orang lelaki tetapi tidak golongan wanita melainkan jika ia mati, maka bolehlah orang lelaki dan wanita sama-sama memakannya. ‘Al-ham’ ialah unta jantan yang berjaya mendapatkan sepuluh anak betina berturut-turut tanpa diselangi anak jantan, maka belakang unta itu dipelihara – ia tidak ditunggangi, tidak diambil bulunya dan ia dibiarkan berkeliaran dengan kawanan untanya tanpa diambil apa-apa manfaat daripadanya. Dalam hal ini, Allah berfirman:

     Maksudnya: “Allah tidak sekali-kali mensyariatkan akan adanya bahirah, saibah, wasilah dan ham. Akan tetapi orang kafir itu sentiasa mengada-adakan perkara dusta terhadap Allah; dan kebanyakan mereka tidak menggunakan akal.

(Al-MaidaH: 103)

     Maksudnya: “Dan mereka berkata lagi, ‘Apa yang ada dalam perut binatang-binatang ternak itu (jika ia dilahirkan hidup) adalah halal bagi lelaki-lelaki kami dan haram bagi perempuan-perempuan kami.’ Dan jika ia (dilahirkan) mati, maka mereka (lelaki dan perempuan) bersekutu padanya (bersama-sama memakannya). Allah akan membalas mereka tentang apa yang mereka tetapkan (mengenai halal dan haram) itu. Sesungguhnya Allah Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui.

(Al-An’am: 139)

     Dikatakan bahawa terdapat banyak tafsiran yang lain bagi maksud binatang-binatang ternak dalam ayat ini.

     Saad bin al-Musayyab menyatakan dengan jelas bahawa binatang-binatang ternak ini dipersembahkan kepada tuhan-tuhan palsu mereka. Dalam sebuah hadis sahih secara marfu’ ada menyebutkan bahawa Amru bin Luhay merupakan orang pertama yang memperkenalkan binatang ‘saibah’.

     Orang Arab melakukan semua yang disebutkan berkaitan berhala-berhala mereka dengan kepercayaan bahawa berhala-berhala itu dapat menghampirkan mereka kepada Allah, menyampaikan mereka kepada Allah serta menjadi syafaat di sisi Allah sebagaimana yang dirakam di dalam al-Quran:

     Maksudnya: “Ingatlah! Hanya kepada Allah lah segala ketaatan yang murni. Orang (musyrik) yang mengambil selain daripada Allah untuk menjadi pelindung dan penolong (sambil berkata), ‘Kami tidak menyembah atau memujanya melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah dengan sedekat-dekatnya.’ Sesungguhnya Allah akan memutuskan keputusan antara mereka tentang apa yang mereka berselisihan padanya. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah kepada orang yang tetap berdusta (mengatakan yang bukan-bukan terhadap Allah), lagi sentiasa kufur (dengan melakukan syirik).”

(Al-Zumar: 3)

     Maksudnya: “Mereka menyembah selain daripada Allah, sesuatu yang tidak dapat mendatangkan mudarat kepada mereka dan tidak dapat mendatangkan manfaat kepada mereka serta mereka pula berkata, ‘Mereka (yang kami sembah itu) ialah pemberi-pemberi syafaat kepada kami di sisi Allah.’ Katakanlah (wahai Muhammad), ‘Adakah kamu hendak memberitahu kepada Allah akan apa yang tidak diketahui-Nya sama ada di langit dan di bumi (padahal Allah mengetahui segala-galanya)? Maha Suci Allah dan Maha Tinggi daripada apa yang mereka sekutukan.”

(Al-Yunus: 18)

     Orang Arab juga meramal nasib dengan azlam. Azlam ialah anak panah yang belum dipasang bulunya. Azlam terbahagi kepada tiga: pertama, panah yang padanya terdapat tulisan ‘Ya’ dan ‘Tidak’. ‘Azlam’ ini mereka gunakan untuk mengetahui nasib kerja yang hendak mereka lakukan seperti bermusafir, berkahwin dan seumpamanya. Jika yang keluar ialah tulisan ‘Ya’, maka mereka akan meneruskan niat mereka, dan jika yang keluar ialah tulisan ‘Tidak’, mereka akan menangguhkannya pada tahun itu sehingga mereka mencubanya lagi pada tahun yang lain. Kedua, panah yang padanya terdapat tulisan ‘Air’ dan ‘Diat’. Ketiga, panah yang padanya terdapat tulisan ‘Dari kamu’ dan ‘Dari selainmu’.

     Apabila dalam kalangan mereka ada yang mengadu mengenai nasab keturunannya, maka mereka akan pergi kepada berhala Hubal dengan membawa seratus ekor unta. Unta-unta itu akan diberikan kepada pengendali panah tersebut. Jika yang keluar ialah ‘Dari kamu’ maka orang itu dianggap sebagai dari keturunan mereka. Jika yang keluar ialah ‘Dari selainmu’, maka dia dianggap sebagai kawan rapat. Jika yang keluar itu ialah perkataan ‘Bercampur’, maka orang itu kembali sebagaimana kedudukannya sebelum itu iaitu tiada kaitan nasab dan hubungan kawan rapat.

     Cara ini sama dengan al-maysir dan al-qaddah, iaitu jenis-jenis perjudian. Mereka akan menyembelih unta-unta yang mereka korbankan untuk tujuan itu dan dibahagi-bahagikan.

     Orang Arab pada masa itu juga percaya kepada kata-kata kahin , arraf dan munajjim. Kahin ialah orang yang memberitahu mengenai berita-berita alam semesta yang akan berlaku pada masa akan datang. Dia didakwa dapat mengetahui berbagai-bagai rahsia. Dalam kalangan kahin itu ada yang mendakwa mempunyai pengikut daripada kalangan jin yang menyampaikan berita kepadanya. Ada yang mendakwa dia mengetahui perkara ghaib melalui kebijaksanaan yang dikurniakan kepadanya. Ada yang mendakwa mengetahui segala perkara melalui premis-premis dan sebab-sebab yang dijadikan sebagai dalil seperti tutur kata orang yang ditanyanya, tingkah laku dan keadaannya. Contoh yang terakhir ini dikenali sebagai arraf. Contohnya, seorang yang mendakwa mengetahui perihal barang curi, tempat kecurian, barang hilang dan seumpamanya.

     Munajjim ialah orang yang memerhatikan bintang-bintang dan mengira perjalanan dan waktunya untuk mengetahui keadaan-keadaan alam dan peristiwa-peritiwa yang bakal terjadi pada masa akan datang. Mempercayai berita-berita yang disampaikan oleh munajjim bererti mempercayai bintang itu sendiri. Antara contoh keyakinan mereka terhadap bintang ialah berhubung dengan hujan, di mana mereka akan mengatakan bahawa mereka diturunkan hujan disebabkan oleh bintang-bintang tertentu.

     Dalam kalangan mereka juga wujud kepercayaan  al-tiyarah, iaitu menganggap sial akan sesuatu. Anggapan sial ini bermula dengan cara mereka membawa seekor burung atau kijang lalu melepaskannya. Jika haiwan itu bergerak ke arah kanan, maka mereka akan melangsungkan rancangan mereka dengan menganggapnya sebagai baik. Jika haiwan itu bergerak ke arah kiri, maka mereka akan membatalkan hasrat mereka serta menganggapnya sebagai sial. Begitu juga, jika mereka sedang dalam perjalanan, tiba-tiba ada burung atau haiwan lain yang melintas, mereka akan menganggap akan berlaku suatu kesialan.

     Amalan lain yang hampir dengan kefahaman ini ialah amalan menggantung buku lali arnab sebagai tangkal, menganggap sial sebahagian hari dan bulan, binatang, rumah dan wanita, beriktikad tentang adwa dan hammah. Iktikad ini berasaskan kepercayaan mereka bahawa apabila seseorang mati dibunuh, kesedihannya tidak akan hilang selagi belum dituntut bela. Rohnya akan menjadi hammah (burung hantu) yang terbang di padang-padang belantara sambil menjerit-jerit, “Dahaga! Dahaga!” atau “Berikan aku minum! Berikan aku minum!” Jika sudah dituntut bela, maka tenanglah ia dan dapatlah ia berehat.

     Walaupun berpegang kepada amalan dan kepercayaan jahiliah dan syirik, masyarakat jahiliah itu masih lagi mewarisi agama Nabi Ibrahim a.s. Mereka tidak meninggalkan keseluruhan ajaran Nabi Ibrahim a.s seperti menghormati Kaabah, tawaf di sekelilingnya, melakukan ibadat haji dan umrah, wukuf di Arafah, Muzdalifah serta menghadiahkan haiwan sembelihan. Tetapi banyak perkara bidaah yang mereka campur-adukkan dalam ibadah-ibadah tersebut.

     Antara bidaah-bidaah itu ialah apabila orang Quraisy mengatakan, “Kami adalah cucu Ibrahim dan penghuni Tanah Haram serta penguasa Kaabah dan peneroka Makkah. Orang Arab lain tidak mempunyai hak dan kedudukan seperti kami.” Mereka menamakan diri mereka dengan nama al-Hims. Mereka berkata lagi, “Kami tidak patut keluar dari Tanah Haram untuk ke Tanah Halal.” Oleh sebab itu, mereka tidak wukuf di Arafah dan tidak ifadah (bertolak) dari Arafah. Akan tetapi mereka ifadah dari Muzdalifah. Kepada mereka, diturunkan firman Allah:

    Maksudnya: “Selain dari itu, hendaklah kamu bertolak dari (Arafah) tempat bertolaknya orang ramai, dan beristighfarlah kamu kepada Allah (dengan memohon ampun). Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihi.”

(Al-Baqarah: 199)

    Menurut mereka, orang al-Hims tidak patut menutup keju dan mencairkan minyak sapi ketika sedang dalam ihram. Mereka tidak boleh masuk ke dalam rumah yang diperbuat daripada bulu dan tidak boleh berteduh melainkan dalam rumah yang diperbuat daripada kulit selagi mereka masih dalam ihram.

     Mereka mengatakan bahawa orang dari Tanah Halal tidak patut makan makanan yang dibawa dari Tanah Halal ke Tanah Haram jika tujuan mereka datang ialah untuk menunaikan haji atau umrah.

     Mereka mengarahkan orang dari Tanah Halal yang baru pertama kali hendak melakukan tawaf supaya hanya memakai pakaian orang al-Hims. Jika mereka tidak mendapati pakaian itu, maka orang lelaki hendaklah tawaf dalam keadaan bertelanjang sementara orang perempuan menanggalkan semua pakaian mereka kecuali pakaian jarang yang mereka pakai di dalam rumah. Barulah mereka dibenarkan tawaf sambil berkata, “Hari ini kelihatanlah sebahagian atau semuanya; apa yang kelihatan tiadalah aku menghalalkannya.”

    Mengenai hal ini, Allah telah berfirman:

     Maksudnya: “Wahai anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah pada tiap-tiap hari kamu ke masjid (atau mengerjakan solat) dan makanlah serta minumlah dan jangan pula kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang melampaui batas.”

(Al-A’raf: 31)

     Jika lelaki atau perempuan itu merasa malu lalu tawaf dengan memakai pakaiannya yang dibawa dari Tanah Halal, maka dia hendaklah membuang pakaian itu selepas selesai tawaf. Pakaian itu tidak boleh lagi digunakan olehnya atau oleh sesiapa sahaja.

     Mereka tidak masuk ke dalam rumah melalui pintu ketika sedang dalam ihram. Mereka menebuk lubang di belakang rumah sebagai tempat untuk masuk dan keluar. Mereka menyangka kerja bodoh ini adalah satu kebaikan. Al-Quran melarang perbuatan ini melalui firman Allah:

    Maksudnya: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai (peredaran) anak-anak bulan. Katakanlah, ‘(Peredaran) anak-anak bulan itu menandakan waktu-waktu (urusan dan amalan) manusia, khasnya ibadah haji. Bukanlah kebajikan jika kamu memasuki rumah dari bahagian belakangnya (ketika kamu berihram), tetapi kebajikan itu ialah perbuatan orang yang bertakwa dan masuklah ke rumah (kamu) itu melalui pintunya, serta bertakwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya.”

(Al-Baqarah: 189)

    Amalan ini – amalan syirik, menyembah berhala, kepercayaan khurafat – merupakan amalan agama majoriti bangsa Arab. Namun, ada juga ruang untuk agama Yahudi, Kristian, Majusi dan Sabiah untuk bertapak di beberapa kawasan penempatan orang Arab.

    Bagi orang Yahudi, terdapat sekurang-kurangnya dua pusingan yang mereka lalui di Semenanjung Arab:

Pertama: Penghijrahan mereka semasa zaman perluasan kuasa Babylon dan Asyira di Palestin. Orang Yahudi mengalami penindasan, negara dan haikal mereka dimusnahkan oleh Raja Bukthanasar pada tahun 586SM. Ramai daripada kalangan mereka dijadikan tawanan dan dibawa ke Babylon. Ini menyebabkan sebahagian daripada mereka meninggalkan bumi Palestin untuk berhijrah ke Hijaz dan menetap di kawasan-kawasan penempatan di sebelah utaranya.

Kedua: Bermula dari masa penjajahan Rom ke atas Palestin di bawah pimpinan panglima perang Rom bernama Battas, pada tahun 70M. Akibat tekanan oleh tentera Rom terhadap orang Yahudi serta pemusnahan haikal mereka, banyak kabilah Yahudi yang terpaksa berhijrah ke Hijaz. Mereka menetap di Yathrib, Khaibar dan Tayma. Di situ mereka menubuhkan kampung-kampung, benteng dan kubu. Lalu, agama Yahudi mulai tersebar dalam kalangan sebahagian orang Arab melalui dakwah yang dijalankan oleh imigran-imigran Yahudi ini.

     Ini menjadikan agama Yahudi turut sama berperanan mempengaruhi kedudukan politik sebelum munculnya agama Islam dan semasa zaman awal kelahiran Islam. Semasa kedatangan Islam, kabilah-kabilah Yahudi yang paling mahsyur waktu itu ialah Khaibar, Mustaliq, Quraizah dan Qainuqa. Al-Samhudiy menyebut di dalam kitabnya, Wafa’ al-Wafa’ (halaman 116), bahawa bilangan kabilah Yahudi waktu itu melebihi 20 kabilah.

     Agama Yahudi masuk ke Yaman melalui usaha yang dijalankan oleh Tabban Asad Abi Karib. Pada asalnya, dia pergi ke Yathrib sebagai seorang pejuang; di sana dia telah memeluk agama Yahudi. Apabila kembali ke Yaman, dia membawa bersama-samanya seorang pendeta Yahudi dari Bani Quraizah. Dengan itu, agama Yahudi mula melebarkan pengaruhnya. Selepas kematian Tabban, Yaman diperintah oleh anaknya, Yusuf Dhu Nuwas. Dia telah menyerang orang Kristian Najran dan menyeru mereka supaya memeluk agama Yahudi. Disebabkan keengganan orang Kristian itu menyahut seruannya, dia telah menggali beberapa batang parit dan menyalakan api di dalamnya. Kemudian, orang Kristian itu dibakar dalam parit tersebut. Tindakan ini dikenakan tanpa mengira sama ada lelaki, wanita, kanak-kanak mahupun golongan tua. Dikatakan bahawa mereka yang terbunuh dalam peristiwa itu berjumlah kira-kira 20 hingga 30 ribu orang. Peristiwa itu berlaku pada bulan Oktober tahun 523M. Al-Quran ada menyebut sebahagian daripada kisah ini dalam surah Al-Buruj.

      Agama Kristian (Nasrani) pula datang ke negara Arab melalui penjajahan Habsyah dan Rom. Yaman dijajah oleh Habsyah buat pertama kalinya pada tahun 340M dan berlanjutan sehingga tahun 378M. Pada masa itu, gerakan penyebaran agama Kristian mulai masuk ke penempatan-penempatan di Yaman. Sebelum itu, pada saat hampirnya zaman penjajahan ini, ada seorang lelaki zuhud dan mustajab doanya serta memiliki beberapa karamah, datang ke Najran. Lelaki ini bernama Pabimion. Dia telah mengajak orang Najran memeluk agama Kristian. Apabila penduduk Najran melihat tanda-tanda kebenaran yang wujud pada Pabimion serta kebenaran agama yang dibawanya, mereka terus menyahut seruannya untuk menganut agama Kristian.

     Apabila tentera Habsyah menakluk Yaman sebagai tindak balas terhadap perbuatan Dhu Nawas, Abrahah mendapat kedudukan untuk memerintah Yaman. Dia mula menyebarkan agama Kristian dengan berbagai-bagai cara dan ke merata pelosok negeri. Kemuncak aktiviti penyebaran agama Kristian tersebut ialah langkah yang diambilnya untuk membina sebuah Kaabah Yaman. Dia bercita-cita mahu mengalihkan perhatian orang Arab agar menunaikan ibadah haji ke Yaman dan memusnahkan Baitullah di Makkah. Tetapi Allah telah mengenakan pembalasan yang berupa padah ke atasnya.

    Orang Arab Ghassan juga memeluk agama Kristian. Begitu juga kabilah-kabilah Taghlib, Tayyi dan selainnya disebabkan kedudukan mereka yang hampir dengan Rom. Malah, ada juga sesetengah raja Hirah yang memeluk agama Kristian.

    Orang Arab yang menganut agama Majusi pula kebanyakannya ialah mereka yang berjiran dengan negara Parsi. Agama Majusi bertapak di Iraq, Bahrain, Hijr dan kawasan-kawasan persisiran Teluk Arab yang berdekatan dengannya. Ada juga orang Yaman yang menganut agama Majusi, iaitu semasa zaman penjajahan Parsi.

    Mengenai agama Sabiah, penemuan arkeologi dan cari gali sejarah menunjukkan bahawa ia adalah agama yang dianuti oleh kaum Ibrahim al-Kaldaniy. Ramai juga penduduk Syam dan penduduk Yaman yang mengikuti agama ini suatu masa dahulu. Selepas kemaraan agama-agama baharu seperti Yahudi dan Nasrani, agama Sabiah mulai lemah dan aktivitinya mula tenggelam. Namun begitu, saki-baki penganut agama ini masih juga kedapatan di mana mereka bercampur dengan penganut-penganut agama Majusi, atau berjiran dengan orang Majusi di Iraq dan persisran Teluk Arab.

Suasana Keagamaan

     Agama-agama yang telah disebut merupakan agama yang dianuti oleh orang Arab sebelum kedatangan Islam. Agama-agama tersebut telah terpesong dan terpisah daripada ajaran asalnya. Orang musyrikin yang mendakwa diri mereka sebagai pengikut agama Nabi Ibrahim a.s sama sekali tidak menjalankan perintah serta menjauhi larangan yang berdasarkan syariat Nabi Ibrahim. Mereka mengabaikan kemuliaan-kemuliaan akhlak yang terkandung dalam syariat Nabi Ibrahim a.s. Lantaran itu, banyak kemaksiatan berlaku dalam kalangan mereka. Dengan silih bergantinya masa, maka lahirlah amalan dalam kalangan mereka apa yang diamalkan dalam kalangan para penyembah berhala, iaitu adat resam dan tradisi yang berbentuk khurafat. Ini memberi kesan yang mendalam kepada kehidupan sosial, politik dan keagamaan.

     Agama Yahudi telah terpesong menjadi agama yang bermegah-megah dan alat untuk kuasa. Para pemimpinnya menjadi tuhan-tuhan; mereka menghukum sesama manusia, mengongkong dan mengambil tindakan walaupun berdasarkan syak wasangka mahupun buah mulut. Matlamat mereka ialah untuk mendapatkan harta. Mereka tidak peduli sekalipun sekiranya agama hilang, kekufuran berleluasa atau ajaran-ajaran yang dikhususkan oleh Allah terhadap agama itu, perintah Allah agar manusia mensucikan agama, dipersenda.

     Agama Kristian juga telah kembali menjadi agama penyembahan berhala yang sukar difahami. Agama ini telah mewujudkan gabungan antara Allah dengan manusia. Orang Arab yang menganut agama ini tidak mendapat kesannya yang hakiki dalam jiwa mereka disebabkan ajarannya yang jauh dari cara hidup orang Arab yang mana mereka tidak mampu untuk meninggalkan cara hidup yang telah biasa bagi mereka.

     Agama-agama lain dalam kalangan orang Arab adalah sama keadaannya seperti keadaan orang musyrikin disebabkan mereka mempunyai perasaan, akidah dan adat resam yang sama.

No Comments

    Leave a reply