Agong lantik Dr Mahathir sebagai perdana menteri interim

KEMELUT politik semasa negara menyaksikan Tun Dr Mahathir Mohamad menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selama kira-kira 90 minit pada petang Isnin.

Terbaharu, baginda telah berkenan melantik Dr Mahathir sebagai perdana menteri interim sementara menunggu pelantikan perdana menteri baharu.

Demikian merupakan kenyataan penuh yang dikeluarkan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali:

Adalah dimaklumkan bahawa KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah telah berkenan menerima peletakan jawatan YAB Tun Dr Mahathir bin Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia.

2. Walau bagaimanapun, Baginda telah berkenan untuk melantik YAB Tun Dr Mahathir bin Mohamad sebagai perdana menteri interim, sementara menunggu pelantikan perdana menteri yang baharu selaras Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

3. Justeru dalam tempoh ini, beliau akan menguruskan pentadbiran negara sehingga perdana menteri baharu dilantik dan kabinet dibentuk.

Kenyataan itu diedarkan kira-kira selepas sejam Dr Mahathir meninggalkan Istana Negara pada petang Isnin.

Dr Mahathir menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Yang di-Pertuan Agong kira-kira pukul 1 tengah hari tadi.

Peletakan jawatan itu dipercayai ada kaitan dengan pergolakan politik yang berlaku dalam Pakatan Harapan (PH) sejak mesyuarat Majlis Presiden Jumaat lalu.

Sumber : mstar.com.my

Tags: ,

No Comments

    Leave a reply