Ahli akademik wajib merakyatkan ilmu

Setelah kita kali mengikuti majlis bedah buku Negara Maslahah Dalam Konteks Malaysia tulisan Tan Sri Dr Alies Anor Abdul saya memperoleh kesan besar untuk meneroka lebih jauh pemikiran ulama ulung Islam, iaitu Imam Al-Ghazali yang terkenal dalam bidang falsafah, teologi, psikologi dan politik walaupun kematiannya sudah menjangkau lebih 900 tahun. Al-Ghazali dilahirkan pada tahun 1058 M dan meninggal ketika berusia 53 tahun, iaitu pada tahun 1111M.

Sepanjang hayatnya dihabiskan untuk belajar mengenai ilmu-ilmu Islam termasuk fiqh daripada beberapa orang ulama tersohor pada zamannya di samping menjalani rutin hidupnya sebagai seorang pendidik dan penasihat kepada sultan dari Dinasti Saljuk di bawah Daulah Abasiyah. Apa yang ditinggalkan oleh Al-Ghazali telah banyak mempengaruhi sikap dan nilai masyarakat Islam di nusantara dan sebahagian besar karyanya telah diadaptasikan ke dalam bahasa tempatan sebagai rujukan umat Islam.

Berdasarkan catatan, Al-Ghazali telah menghasilkan lebih 300 buah buku atau kitab yang sehingga sekarang masih dikaji oleh banyak pihak, termasuklah masyarakat Barat atau orientalis untuk mencari bentuk pemikiran yang paling banyak mempengaruhi peradaban manusia termasuk beberapa karya magnum opusnya, Ihya Ulumuddin (6 Jilid), Tahafut al-Falasifah, Bidayah al-Hidayah, Kimiya al-Sa’adah, Maqasidul al-Falasifah, Fadaih al-Batiniyyah, al-Mustafa’ min ‘Ilm al-Us’ul dan al-Tabr al-Masbuk fii Nasihat al-Mulk.
Mungkin kerana kesungguhan dan ketekunan mencari serta menyemarakkan ilmu itulah Dr Kasim Thukiman dari Universiti Tekonologi Malaysia (UTM) merumuskan perbincangan tiga ahli panel Dr Shamrahayu Abdul Aziz (UIAM), Dr Amran Mohamad (Institut Kajian Strategik Islam, UM) dan Dr Yusri Mohamad (YADIM) bersetuju agar ahli akademik melipatgandakan sumbangan mereka untuk merakyatkan ilmu yang dimiliki.

Sebagai moderator bagi wacana ketiga (1 Ogos 2017) di UTM, Dr Kasim yang terkenal dalam bidang sejarah saperti menyindir ahli akademik yang tidak berusaha menyebarkan ilmu pengetahuan yang dimilikinya kepada masyarakat, sebaliknya lebih menumpukan tindakan dalam persekitaran keilmuan itu sendiri. Ia mungkin boleh dianggap ada persamaan dengan apa yang pernah dibincangkan pada tahun 1950-an mengenai kosep “seni untuk seni” dan “seni untuk masyarakat’.

Menariknya dalam wacana ketiga ini ialah kemantapan hujah yang dikemukakan oleh Dr Shamrahayu dan Dr Amran yang mampu menjana pencarian makna Negara Maslahah yang lebih besar dalam konteks pengurusan negara moden walaupun pada zaman al-Ghazali cabaran Kesultanan Saljuk juga besar dan lebih hebat daripada apa yang sedang berlaku di Malaysia pada masa sekarang.

Sebagai ahli panel pertama dalam wacana ketiga, Dr Shamrahayu yang disifatkan oleh Dr Kasim saperti seorang pelajar yang tiga kali khatam mengenai buku ini (sebelumnya menjadi pengulas ketika edisi pertama dilancarkan pada 23 Jun 2016 dan panelis semasa pelancaran edisi dikemaskinikan pada 17 April 2017). Kupasan bekas Felo Utama Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik (Syarak), Institut Kefahaman Islam Malaysia dalam wacana pertama turut dimuatkan sebagai kata pengantar bagi edisi yang diperkemaskan oleh UTM dan diterbitkan oleh Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM). Saya difahamkan edisi bahasa Inggeris akan segera menyusul di mana ITBM sedang giat melakukan penyuntingan naskhah untuk dijadikan bahan bacaan dan rujukan di peringkat antarabangsa.

Dalam ketiga-tiga wacana yang disertai oleh Dr Shamrahayu, beliau memuji apa yang dilakukan oleh Tan Sri Alies Anor Abdul untuk menggali khazanah pemikiran politik al-Ghazali yang jarang dilakukan oleh penyelidik kerana metodoloji “perbandingan dan pengharmonian” yang digunakan bukanlah satu kaedah yang mudah. Ia memerlukan ketekalan usaha dan dedikasi yang tinggi apatah lagi kerana kajian ini melibatkan tokoh ilmuan Islam terulung pernah dilahirkan oleh Islam sehingga ada yang mengibaratkan al-Ghazali sebagai ulama besar yang paling banyak membentuk sikap dan penghayatan ilmu-ilmu agama serta konsisten mempertahankan akidah ahlus sunnah wal jamaah.

Sebagai pakar undang-undang, Dr Shamrahayu tetap ‘merendah diri bahawa dirinya masih belajar’ kerana setiap hari ilmu berkembang dan masalah kehidupan manusia muncul. Kesemuanya memerlukan penyelesaian bagi mengelakkan lebih banyak salah faham dan pemesongan terhadap Islam.

Atas pemahaman itulah beliau tegas menolak sebarang bentuk acuan politik yang menggunakan demokrasi sebagai alat untuk menjatuhkan seseorang pemimpin kerana ia membawa kepada amalan crowd-the-cracy, iaitu suatu keadaan untuk mengheret rakyat dalam bentuk politik kebencian sedangkan pemimpin yang berkuasa adalah pemimpin yang dipilih secara sah berdasarkan peruntukan Perlembagaan dan tidak menzalimi rakyat.

Bagi al-Ghazali, usaha menjatuhkan pemimpin bukanlah satu jalan penyelesaian terbaik kerana ia membawa kepada keburukan yang lebih besar dan kerana itu Dr Shamrahayu melontarkan pertanyaan “adakah pemimpin yang menggantikan itu adalah lebih baik dari pemimpin yang hendak dijatuhkan” perlu dijawab terlebih dahulu sebelum boleh bersetuju.

Katanya, jika peribadi pemimpin baharu itu lebih jujur, tawaduk dan boleh dipercayai membawa faedah atau kebaikan kepada masyarakat ia dibolehkan tetapi bukan dengan kaedah menimbulkan ‘politik kebencian’ dan mengheret rakyat turun ke jalan raya membantah.

Pendapat itu dipersetujui oleh Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Dr. Yusri Mohamad selaku panelis ketiga bahawa konsep negara maslahah haruslah mengutamakan kepentingan rakyat dan jika pemimpin yang sedang berkuasa melaksanakan kebaikan untuk rakyat, sekiranya ada kelemahan wajib diperbetulkan dengan cara berhemah dan berilmu sebagaimana dilakukanoleh al-Ghazali.

Al-Ghazali menggunakan daya intelektualnya untuk menyampaikan nasihat dan kepada orang ramai diberikan penjelasan mengenai kepentingan nasihat. Hal ini tidak berlaku dalam kebanyakan negara Islam dan disebabkan faktor tertentu, suatu kumpulan sama ada lebih mirip kepada perjuangan kanan ataupun kiri sanggup melakukan tindakan terbuka menentang kerajaan yang memerintah.

Misalnya, menurut Dr Yusri krisis yang berlaku di Syria patut dijadikan teladan oleh umat Islam di mana perang saudara telah menyebabkan jutaan rakyatnya menjadi pelarian di beberapa buah negara manakala lebih 300,000 orang terkorban.

“Sebelum perang saudara meletus, ada pihak menghasilkan satu penemuan menarik bahawa, setiap kali berlakunya penentangan pihak kerajaan akan menggunakan kekuatannya untuk mempertahankan pemerintahannya.

Kajian itu turut memberikan amaran bahawa peperangan di Syria tidak akan selesai sebelum 300,000 rakyat terkorban. Tetapi, sehingga kini, perang belum menunjukkan akan berakhir walaupun angka korban jauh lebih besar daripada apa yang diramalkan,” jelas Dr Yusri.

Katanya lagi, al-Ghazali menggunakan pendekatan pendidikan untuk membentuk kerangka politik bermoral dan dalam keseluruhan karyanya beliau memulakan kupasannya mengenai peranan individu adalah lebih besar dalam melakukan transformasi berbanding transformasi sosial.

Bagi al-Ghazali, menurut Dr Yusri dengan cara itu proses penggantian pemimpin akan menjadi lebih bermanfaat kepada rakyat dan boleh menjamin kelangsungan sesebuah negara walaupun terpaksa mengambil masa yang panjang.

Sebagai contohnya, Dr Yusri memberikan pandangannya mengenai apa yang berlaku di Turki dalam menjayakan misi negara maslahah walaupun negara itu pernah dikategorikan sebagai sebuah negara sekular selepas Sultan Abdul Hamid II dijatuhkan oleh Mustafa Kamal Atartuk pada 1922 dengan mengisytharkannya sebagai sebuah negara republik.

Walaupun menerima pelbagai halangan, Islam tetap dipertahankan oleh beberapa orang ulama dengan memperkemaskan diri mereka dengan ilmu yang kemudiannya disebarkan secara berkesan dalam pelbagai kaedah, yang akhirnya meresap masuk ke dalam politik Turki dan Erdogan berjaya menukarkan kerajaan menerusi pilihan raya.

Erdogan tidak menamakan Turki dengan nama Islam, sebaliknya beliau melaksanakan dasar-dasar Islam secara meluas dalam pelbagai bidang dan dalam masa yang singkat ia muncul sebagai sebuah negara yang mempunyai majoriti penduduk Islam termaju.
Ia berlaku kerana Erdogan tidak mengutamakan bentuk kepada sistem pemerintahan Islam dan mengukuhkan penghayatan Islam dari dalam. Kini Turki bukan sahaja digeruni oleh kebanyakan negara Islam atas kekuatan ekonominya, bahkan beberapa negara Eropah mula melakukan tindakan, tetapi Erdogan tidak gentar dan terus muncul di hadapan khalayak ketika pemberontakan 15 Julai 2016 berlaku.

Menurut Dr Yusri, Erdogan berjaya mempengaruhi rakyatnya agar bersama-sama kerajaan untuk membina masa depan Turki yang lebih baik walaupun terpaksa memecat ratusan ribu kakitangan awam yang memberontak.

Erdogan kini sedang memulihkan negara Turki untuk menjadi lebih kuat walaupun Eropah sentiasa memperlambat-lambatkan keanggotaannya dalam Kesatuan Eropah. Turki telah berjaya melepasi setiap kriteria yang ditetapkan, dan Erdogan percaya ada pengaruh luar yang cuba meresapi rakyat Turki untuk menggulingkannya, dan kerana itu, Erdogan sedang giat berusaha membersihkannya.

Kemenangan Islam itu telah menyebabkan banyak propaganda memburuk-burukkan Erdogan dilancarkan termasuklah menuduh bahawa kerajaan pimpinannya bukan sebuah kerajaan Islam. Hal yang sama pernah berlaku ke atas al-Ghazali hanya kerana beberapa hadis yang dikutip dalam magnum opusnya, Ihya Ulumudin diserang kerana dikategorikan sebagai lemah, walhal usaha menghidupkan jiwa agama dalam kitab tersebut tetap berkesan dan bernilai tinggi berbanding kitab-kitab lain yang dihasilkan oleh ulama selepasnya.

Dr Amran Mohamad yang banyak membuat penelitian mengenai falsafah pemikiran Islam termasuk al-Ghazali mahukan beberapa kesilapan asas yang digunakan oleh kumpulan yang menolak al-Ghazali diperbetulkan, kerana al-Ghazali telah menyumbang suatu tradisi pemikiran besar kepada umat manusia sehingga ahli falsafah barat berhutang budi kepadanya.

Kata Dr Amran, dakwaan bahawa mempelajari falsafah akan menyebabkan manusia mundur adalah satu rumusan yang wajib diperbetulkan kerana al-Ghazali telah berjaya membuktikan bahawa apa yang dicurigai oleh mereka tentang ‘campur tangan Tuhan dalam kehidupan manusia’ semakin diterima.
Bahkan, sebelum teori relativiti diperkenalkan al-Ghazali telah menunjukkan pengaruh sebab musabab dalam sesuatu fenomena atau kejadian, ianya tidak berlaku secara semula jadi sebagaimana fahaman falsafah yang berkembang pada masanya.

Kata Dr Amran, kini ramai yang bercakap mengenai teori fizik kuantum ataupun penemuan lohong hitam di ruang angkasa, sedangkan lebih 900 tahun silam al-Ghazali telah memperkatakannya secara jelas dan ilmiah. Dalam bidang falsafah misalnya, al-Ghazali berjaya menolak pelbagai aliran pemikiran yang bercanggah dengan Islam termasuklah menepis pendapat al-Farabi dan Ibnu Rusyd.

Al-Ghazali juga mempunyai idea yang cemerlang dalam bidang sains di mana menurut Dr Amran, hujjatul Islam itu terlebih dahulu berbahas mengenai konsep kekekalan (eternity), keatoman (atomic), fizik kuantum, sebab dan akibat, determinism (kejadian awal boleh menentukan hasil akhir), dan ruang dan waktu (contextualisation).

Mengenai kesilapan yang berlaku dalam dunia kesufian, al-Ghazali telah berjaya melakukan pembaharuan strategik di mana kaum sufi tidak boleh berpisah dengan masyarakat di sekelilingnya, atas alasan proses pemecilan diri boleh menyebabkan kaum sufi sentiasa dalam ‘kemabukan cinta’ sedangkan sebagai manusia mereka perlu melakukan kehidupan saperti orang kebanyakan.
Al-Ghazali tidak menolak sepenuhnya

dunia kesufian, sebaliknya menyeru agar kaum sufi mempertingkatkan keupayaan psikologinya agar tidak mudah larut dengan ‘cinta’ sehingga melupakan bahawa apa yang dilakukan sepanjang kehidupan di dunia adalah ladang yang hasilnya dapat dituai di akhirat.

Menurur Dr Amran, al-Ghazali membawa obor besar kepada Islam dan kerana itulah usaha untuk menghidupkan asas falsafah dan pemikiran wajar disegerakan bagi menyelesaikan permasalahan umat, termasuklah kemelut politik yang sedang melanda Malaysia.

Bagaimanapun, menurut Dr Amran, Malaysia mempunyai potensi yang besar untuk menghidupkan semula pemikiran falsafah al-Ghazali kerana masih aman dan stabil jika dibandingkan negara-negara Islam yang lain. Hakikat bahawa masyarakat Malaysia bersifat majmuk bukanlah menjadi halangan, kerana al-Ghazali tidak pernah melarang bukan Islam ikut sama membangunkan negara maslahah.

Menariknya perbincangan kali ini berjaya menengahkan pemikiran al-Ghazali mengenai falsafah politik yang menjadi kerangka kajian ilmiah oleh Tan Sri Alies Anor Abdul, yang pada suatu ketika menjelaskan, amat rugi jika kita tidak menjadikan Malaysia sebagai acuan negara maslahah kerana apa yang ada dalam negara sudah membuktikan telah tersedia sarana yang penting.

Usaha melakukan wacana buku Negara Maslahah Dalam Konteks Malaysia ini bukan sahaja menampakkan kerelevanannya, tetapi daya usaha yang dirintis oleh Pertubuhan Kearifan Islam Malaysia (OMIW) wajar dijadikan impuls penting untuk berdirinya Negara Maslahah di Malaysia walaupun terpaksa mengambil masa panjang.
Saya difahamkan beberapa siri wacana buku ini akan berlangsung di beberapa tempat di seluruh negara, bukan sahaja untuk menghidupkan semula pemikiran al-Ghazali bahkan untuk menjernihkan kekeruhan politik semasa yang semakin meletakkan kepentingan peribadi sebagai tujuan berpolitik sedangkan pemimpin adalah pemegang amanah rakyat.

Ulama pula berperanan menasihati pemimpin (umara) bukanlah menghamburkan pelbagai bentuk kecaman kepada pemimpin secara terbuka. Ia berlaku kerana sebahagian ulama berusaha mencari populariti dan kedudukan, yang dalam pandangan al-Ghazali dikategorikan sebagai ulama jahat, kerana kerosakan sesebuah negara adalah disebabkan kerosakan pemimpin, kerosakan pemimpin adalah disebabkan kerosakan ulama. Ulama dan umara saling melengkapi, kerana umara berusaha menguruskan masalah rakyat manakala ulama menasihati pemimpin untuk menegakkan keadilan dan kebajikan kepada rakyat.

Prosesnya tidak mudah, ia memerlukan pengorbanan semua pihak, termasuk rakyat yang melantik pemimpin. Rakyat perlu dididik supaya tidak terlalu meminta daripada kerajaan, manakala kerajaan dalam setiap tindakannya, berusaha menjaga kesejahteraan ummah tanpa mengambil kira keturunan, agama dan latar belakang asalkan rakyat tidak terpengaruh dengan politik agitasi dan anarkisme manakala ilmuan dalam pelbagai bidang sanggup mendedikasikan ilmunya , atau dalam istilah Dr Kassim, merakyatkan ilmu untuk kemaslahatan awam.

Kamarun KH

No Comments

    Leave a reply