AHLI PARLIMEN MUSLIM HARUS TEPIS IDEA LIBERAL

1. Semenjak kemenangan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lepas, ramai aktivis liberal telah bangkit menyuarakan hasrat mereka terhadap kerajaan yang baru. Bersempena dengan tema ‘harapan baru’ yang dibawa, golongan liberal mengharapkan agar kerajaan baru dapat mengetengahkan idea-idea liberal dalam pentadbiran, agar keluar daripada pentadbiran yang berasaskan Islam sebagai agama persekutuan.

2. Baru-baru ini pejuang sekular, Siti Kasim, telah ditemuramah di radio BFM untuk menggesa menteri pendidikan yang baru, Dr Maszlee Malik, agar memisahkan pendidikan daripada agama Islam. Hal ini merupakan satu usaha untuk memastikan pendidikan Malaysia dapat mengangkat nilai-nilai liberalisme seperti yang berlaku di negara-negara sekular yang lain.

3. Dalam membincangkan pendirian yang bakal diambil oleh Dr Maszlee Malik di Parlimen, antara pelopor reformasi idea Islam liberal di Malaysia, Dr Farouk Musa, turut menekankan bahawa adalah amat penting supaya Dr Maszlee konsisten dengan nilai kebebasan bersuara yang sama rata, termasuk untuk mereka yang berpegang dengan nilai ajaran seperti syiah. Komen ini dikeluarkan hasil reaksi terhadap pendirian Dr Maszlee yang pernah membela kebebasan Dr Zakir Naik untuk berceramah di Malaysia.

4. Maria Chin Abdullah yang mengelar dirinya sebagai seorang feminis, turut menuntut perkara yang sama daripada Dr Maszlee agar beliau membuktikan bahawa beliau benar-benar akan berpegang kepada kebebasan bersuara yang mutlak bagi semua jenis ideologi.

5. Kenyataan-kenyataan yang saya sebutkan di atas adalah contoh desakan daripada pejuang-pejuang liberal terhadap Ahli Parlimen Muslim seperti Dr Maszlee. Hakikatnya ejen-ejen liberal akan terus mendesak Ahli-ahli Parlimen untuk menyokong agenda perjuangan liberal.

6. Ahli Parlimen Muslim haruslah tegas dengan pendirian untuk menyokong agenda Islam dari segenap perlaksanaan, bersih daripada sebarang campuran ideologi liberal Islam yang ternyata bertentangan dengan konsep Islam sebagai agama persekutuan seperti yang termaktub dalam perlembagaan.

7. Pasca PRU14, bilangan kerusi ahli parlimen bukan Islam kerajaan Pakatan Harapan telah meningkat melebihi majoriti 50 peratus. Hal ini telah meningkatkan kuasa dominan orang bukan Islam dalam menentukan hala tuju kerajaan. Namun begitu, bilangan kerusi ahli parlimen Muslim secara keseluruhannya masih lagi majoriti jika kita mencampurkan kerusi Muslim daripada parti-parti yang lain.

8. Hal ini menuntut ahli-ahli parlimen Muslim untuk keluar daripada taksub kepartian dan bersepakat dalam hal-hal agama Islam dan Melayu. Sekiranya ahli parlimen Muslim dapat bersepakat merentas parti, nescaya umat Islam masih lagi akan dominan dalam menentukan hala tuju negara kita yang jelasnya bukan sekular dan tidak mengangkat nilai-nilai liberalism.

9. Kita perlu mencontohi ahli-ahli parlimen Cina yang sentiasa bersepakat dalam isu mempertahankan SJKC dan memperjuangkan UEC tidak kira daripada parti DAP, MCA, mahupun GERAKAN. Kita melihat mereka juga menyokong pelaburan-pelaburan China di Malaysia yang dijalankan di negeri pembangkang dan kerajaan pra-PRU14.

10. Akhir kata, saya ingin mengingatkan ahli-ahli parlimen Muslim agar mengambil pendirian untuk memperjuangkan agenda orang Islam dan Melayu serta bersepakat di luar blok kepartian demi maslahat agama dan bangsa. Tepislah segala desakan daripada kumpulan-kumpulan yang membawa pemikiran songsang untuk diterjemahkan di dalam pentadbiran negara Malaysia yang mengangkat Islam sebagai agama persekutuan.

Kepimpinan adalah amanah besar yang akan dipersoalkan oleh Allah SWT di akhirat kelak.

Selamat maju jaya.

Melayu Sepakat, Islam Berdaulat.

Sumber: ismaweb.net

No Comments

    Leave a reply