Ahli Sunnah Waljamaah tonggak penyatuan ummah

Dari segi prinsipnya, masyarakat Islam di Malaysia telah lama mengamalkan ajaran Islam berdasarkan pendekatan ahli sunnah waljamaah, terutamanya dari aliran pemikiran Asya’irah dan Maturidiah. Perkembangan tersebut telah membawa kepada kestabilan rohani dan masyarakat sejak Islam mula diterima sebagai agama oleh majoriti penduduk Tanah Melayu dan kemudiannya, Malaysia. Sebagaimana kita memahami bahawa, sesuatu yang berbingkai kelaziman akan sentiasa dicabar oleh perubahan pemikiran dan persekitaran, maka ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk disekat.

Dalam persekitaran semasa yang dirempuh oleh globalisasi yang membawa kepada keuniversalan teknologi dan era langit terbuka, ia telah menimbulkan beberapa keresahan baharu sehingga boleh mencabar nilai yang kita pegang selama ini. Ia banyak melahirkan percanggahan dan keresahan. Ia bermakna, pemahaman ahli sunnah waljamaah secara tradisi perlu kepada perubahan, dan ia wajar dilaksanakan dengan pendekatan baharu selaras dengan syariah dan pegangan ahli sunnah waljamaah.

Dari segi sejarahnya, majoriti umat Islam di Malaysia dan di nusantara merupakan pengamal Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ). Ia bukan sahaja membentuk dominasi dan wibawa, ia menjadikan pegangan akidah, amalan syariah dan sistem nilai (akhlak) yang paling seragam berbanding dengan beberapa negara yang majoriti penduduk Islam di rantau ini.

Oleh hal yang demikian, tindakan tegas ke arah menghalang perkembangan yang lain mestilah diambil supaya pegangan Ahli Sunah Waljamaah itu tidak tergugat.Di Rantau Nusantara yang stabil dengan fahaman Sunni atau Ahli Sunah Waljamaah tidak sepatutnya dibiar menjadi sasaran resapan mana-mana mazhab yang memungkinkan kepada perseteruan atau permusuhan.

Adalah penting seluruh ulama di rantau Nusantara melakukan ijmak, mengisytiharkan bahawa Nusantara sebagai wilayah sunni. Amat ditakuti apabila sesuatu fahaman lain bertapak kukuh dan berpengaruh di kalangan rakyat, sudah tentu apa yang kita bina sejak beratus-ratus tahun di rantau ini akan musnah begitu sahaja.

Dalam konteks negara kita Malaysia, para ulama dan cendekiawan Islam telah pun menegaskan perlunya Islam sebagai agama rasmi negara yang berpegang kepada pegangan Ahli Sunah Waljamaah.

Justeru, roh dan konsep Ahli Sunah Waljamaah harus dipertegaskan kembali. Para ulama harus mendekati semula hikmah ini. Dan menjadikan ia tapak ke arah kegemilangan berilmu dan berbudaya. Kita harus menegaskan bahawa Ahli Sunah Waljamaah bukan sekadar mazhab. Ia suatu konsep yang luas lagi murni dan berjaya menyerap hubungan persaudaraan dan kekuatan umat Islam.

Selama ini ada pihak yang mempertikai kewibawaan dan autoriti ulama dengan menyalahkan kaedah dan pendekatan ulama kita yang dikatakan lapuk dan tidak sesuai dengan zaman terutama dalam memberi kefahaman yang mendalam terhadap Generasi Y, generasi yang mudah terdedah dan menjadi sasaran pemikiran sesat.

Dalam hal ini kita sepatutnya bertindak waspada dan hati-hati kepada usaha pihak-pihak tertentu yang mahu manhaj Ahli Sunnah Waljamaah ditukar kepada manhaj lainnya yang bertentangan dengan konsep yang dirumuskan ulama kita. Kejayaan golongan ini masuk ke dalam lingkaran pusat kekuasaan, menjadi petanda aras bahawa golongan ini sentiasa bersiap sedia menjadikan negara kita terdedah dengan fahaman yang mempunyai asas kepada sikap melampau dan seterusnya boleh menggugat keharmonian Islam sebagai agama yang damai, toleran, sejuk dan bertolak ansur.

Khususnya dalam bidang agama, perlulah dipertahankan keamanan rantau ini dan memelihara akidah Ahli Sunah Wal Jamaah yang berpegang pada mazhab Shafie dalam masalah fikah dan berpegang kepada Asyari dan Maturidi dalam bidang akidah. Kedua tokoh ini yang berjasa besar membangun fahaman Ahli Sunah Wal Jamaah. Kedua- duanya berusaha menampung aspirasi umat Islam yang berpegang pada sunah Nabi SAW dan tradisi sahabat.

Fahaman yang dikembangkan Asyari (Asyariah) dianut para pengikut Imam Malik, Imam Syafie dan Imam Hambali di Iraq. Pada waktu berikutnya, tokoh yang paling berjasa mengembangkan fahaman ini adalah Imam al-Ghazali. Berkat usaha beliaulah fahaman ini tersebar luas di seluruh dunia Islam.

Dan kita yakin dari segi kesepaduan budaya ‘aqliah’ silam, melalui bahasa Melayu (jawi) yang merupakan lambang keutuhan jamaah Nusantara dengan Islam adalah hasil perjuangan ulama pembela dan penegak konsep Ahli Sunah Waljamaah yang sejati. Bukan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah yang cuba dikembangkan oleh pihak-pihak yang mempertikai dan menolak aliran Asyari dan Maturidi.

Kita percaya dan yakin bahawa akidah merupakan aset yang tidak ternilai harganya, dan ia bukan sahaja perlu dipertahankan bahkan perlu diungkapkan kembali kedudukan, keunggulan dan keutuhannya. Dengan pendedahan dan perbincangan mendalam mengenai ahli sunnah Waljamaah, ia dapat memberikan kita kepada pemahaman yang betul dan boleh menjadi ‘perintang’ kepada pelbagai kemasukan aliran pemikiran baharu yang hanya bersifat ‘keseronokan’ dan membangkitkan suasana utopia.

Oleh Datuk Dr. Aziz Jamaludin Mhd Tahir (Penulis adalah Ketua Penerangan Putra Malaysia)

Sumber : malaysiadateline.com

No Comments

    Leave a reply