Ahmad Faizal dititah menghadap Sultan Perak

KUALA KANGSAR: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dititah menghadap Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Iskandariah, di sini hari ini.

Perjumpaan itu diadakan selepas Sultan Perak selesai merasmikan Sambutan Hari Landskap Negara peringkat negeri ini di Laman Budaya, di sini, yang turut dihadiri Ahmad Faizal.

“Saya dipanggil menghadap Sultan,” kata Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Perak itu ringkas kepada wakil media.

Ditanya sama ada perjumpaan itu turut dihadiri EXCO kerajaan negeri, beliau berkata, ia hanya membabitkanya dirinya.

“Tidak (dihadiri EXCO lain), saya seorang sahaja. Saya akan jumpa anda semua (wakil media) selepas ini,” katanya sambil meminta maaf kepada petugas media.

Ditanya mengenai tujuan perjumpaan itu, Ahmad Faizal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang, berkata: “Wallahuallam (hanya Allah yang tahu).

Ahmad Faizal sebelum ini membayangkan Perak bakal mempunyai kerajaan negeri baharu berikutan perubahan di peringkat Persekutuan yang menyaksikan BERSATU keluar Pakatan Harapan (PH).

Perak memiliki 59 kerusi DUN dengan PH sebelum ini memiliki majoriti 31 kerusi termasuk Bebas untuk mentadbir negeri, manakala BN memiliki 25 kerusi dan PAS tiga kerusi.

Pemerhati politik menjangkakan ADUN BERSATU akan membentuk gabungan dengan BN dan PAS serta Bebas yang kemudian akan memiliki majoriti 31 kerusi bagi membentuk kerajaan negeri yang baharu.

Sumber : Berita Harian

No Comments

    Leave a reply