#AhMalunyaAku: Biang Keladi

Sejak isu ijazah palsu atau sijil kelulusan akademik yang tidak sah, semakin banyak terselongkar riwayat tidak jujur dalam diri pemimpin. Mat Sabu membuat pengakuan secara jujur walaupun dianggap sudah terlambat kerana tidak memperbetulkan kesilapan catatan dari awal tentang dirinya tidak tamat pengajian di ITM. Zuraida Kamarudin memberikan kenyataan bahawa dirinya bukanlah seorang graduan Universiti Kebangsaan Singapura (NUS), dan katanya BERNAMA tidak pernah merujuk untuk  pengesahan.

Syed Saddiq menyelar mereka yang memalsukan sijil akademik sebagai perbuatan yang tidak bermoral manakala Pengerusi DAP Perak tetap mempertahankan ADUN Tronoh walaupun kelulusan Master of Business Administration (MBA)  dari Universiti Akamai, Amerika Syarikat dipertikaikan. Cuma ijazah itu belum ada pengiktirafan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) ketika ianya diperoleh. Tidak timbul soal memalsukan ijazah atau ijazah terbang, ia benar-benar diperoleh secara sah, cuma ijazahnya tidak diiktiraf.

percayakan kejujuran

Rasa malu sepatutnya sudah lama berlaku dan jika semua mereka yang terbabit membuat pengakuan sebelum kelulusannya dipersoalkan, ia adalah suatu tindakan yang amat dihormati. Kita mungkin lebih percayakan kejujuran bekas Menteri Kesihatan, Dr Chua Sooi Lek dengan beraninya mengakui bahawa “sayalah lelaki dalam video itu” selepas rakaman di Hotel Katerina Batu Pahat heboh dan menjadi tular.

Setakat ini, Universiti Putra Malaysia belum  mengesahkan kelayakan akademik Menteri Besar Johor walaupun ada dakwaan bahawa tidak ada program Diploma Perakaunan ditawarkan oleh universiti berkenaan. Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPM berjani akan menyemaknya esok (Isnin, 11 Februari 2019) dan katanya ada kemungkinan Datuk Osman Sapian mengikuti program lain di bawah Fakulti Ekonomi.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohamad Harun yang pernah dipersoalkan ‘baru setahun jagung’ dianugerahkan pingat bergelar datuk bersedia untuk sesiapa sahaja yang berhajat untuk menyemak dan mengesahkan kelayakan akademiknya. Rina memperoleh Diploma Pengajian Perniagaan dari UiTM dan Ijazah Sarjana Muda Perbankan dan Pengurusan Kewangan dari Universiti Northwood, Michigan, Amerika Syarikat.

Lim Guan Eng, Menteri Kewangan turut diseret mengenai kelayakan profesionalnya sebagai akauntan bertauliah walaupun kelulusan Ijazah Perakaunan dari sebuah universiti Australia tidak dipertikaikan. Warganet mendesak agar Lim Guan Eng mengesahkan kelulusan professional itu kerana namanya tidak tersenarai sebagai akauntan bertauliah oleh badan professional di Malaysia.

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu adalah seorang akauntan dan bukannya ‘penilai hartanah’ sebagaimana pernah disebut oleh Setiausaha Publisiti DAP Pulau Pinang, Ng Wei Aik pada 25 Mac 2015, iaitu ketika  diserang dengan isu pembelian banglo di bawah harga pasaran dengan kadar RM 275 sekaki persegi berbanding harga pasarannya ialah RM 700 sekaki persegi. (Rujuk: https://www.mstar.com.my/lokal/semasa/2016/03/25/guan-eng-akauntan-bukan-penilai)

Menteri Besar Perak, Datuk Ahmad Faizal Azumu  dipertikaikan kelulusan akademiknya sejak beliau mengangkat sumpah jawatan pada 12 Mei 2018 dan sehingga kini, beliau terus membisu. Ahmad Faizal yang merupakan bekas panel pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) dikatakan memperoleh Ijazah Kajian Perniagaan dari Universiti Edith Cowan, Perth, Australia. Ia pertama kali dipersoalkan oleh Ahmad Jamali Sepihie, pengendali blog Anak Perak di Perantauan. (Rujuk: https://www.mynewshub.tv/utama-sensasi/isu-status-ijazah-dipertikai-mb-perak-terus-bisu/)

Biang Keladi

Membaca kisah penipuan tersebut ataupun sengaja tidak mahu menjelaskan kebenaran kepada umum, mengingatkan saya kepada istilah biang keladi. Menurut pemahaman sepintas lalu, biang keladi ialah “orang yang menjadi kepala penjahat atau pimpinan (penganjur) suatu perbuatan kejahatan dan sebagainya. Biang keladi juga berarti orang yang menjadi penyebab (dalang) terjadinya suatu perbuatan jahat dan sebagainya.”

Dalam konteks sekarang, kerana semua yang dipersoalkan  adalah pemimpin yang dipilih oleh rakyat, kemenangan mereka turut disumbangkan sedikit sebanyak oleh pengaruh imej yang dilakarkan sebelumnya. Turut memainkan peranan ialah tentang ‘kelulusan akademik’ kerana masyarakat mempunyai kepercayaan besar kepada mereka yang mempunyai kelulusan akademik yang baik.

Kelulusan akademik yang tinggi membawa tafsiran seseorang itu mempunyai intelektual yang baik, suatu kriteria yang diperlukan untuk memimpin. Ia bukan bermakna, mereka yang tidak mempunyai kelulusan akademik yang tinggi bukanlah seorang pemimpin yang berkesan. Ia banyak bergantung kepada pembawaan peribadi seseorang kerana ada di antara mereka yang tidak berkelulusan universiti atau buta huruf tetap berjaya dan meninggalkan legasi yang besar kepada masyarakat.

James Kouzes dan Barry Posner yang bertahun-tahun mengkaji persoalan kepimpinan tetap mengakui bahawa kejujuran adalah sifat pemimpin yang perlu ada selain memandang ke hadapan (forward looking), kompeten, inspiring, intelligent, broad-minded, fair-minded, dependable, supportive, straightforward, cooperative, determined, courageous, ambitious, caring, loyal, imaginative, mature, self-controlled dan independent. Kouzes dan Poster tidak menemukan istilah ‘menipu’ atau ‘membohong’ sebagai tindakan yang menentukan keberkesanan seseorang pemimpin. (Rujuk: James Kouzes dan Barry Posner, The Leadership Challenge: How to Make Extraordinary Things Happen in Organizations, 5th Edition, San Francisco: A Wiley Brand, 2012, hal.34).

Mereka yang tidak berkelulusan tinggi atau buta huruf sekurang-kurangnya begitu jujur dengan pencapaian akademiknya. Mungkin kita tidak lupa kepada bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Ahmad Bashah yang belajar setakat SPM tetapi pengaruhnya adalah lebih besar berbanding sesetengah ahli politik yang berkelulusan Ijazah Kedoktoran. Begitu juga Allahyarham Tun Ghafar Baba. Beliau tetap bangga dengan kelulusan dalam bidang perguruan dari Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak (kini, Universiti Pendidikan Sultan Idris).

Ramai juga di antara mereka yang berkelulusan PhD kecundang dalam politik walaupun pada suatu ketika dianggap pakar dalam bidang sains politik. Ahmad Bashah, walaupun dianggap ‘bodoh akademik’ begitu penting kepada UMNO pada suatu ketika sebelum kelulusan akademiknya dipertikaikan, iaitu ketika hendak diilih sebagai pengganti kepada Mukhriz Mahathir yang dipecat. Tun Ghafar walaupun seorang guru biasa, jasanya begitu besar dalam pentadbiran dan politik tanah air.

Saya turut teringat kepada realiti pengundi di PRK DUN Manek Urai, Kelantan. Oleh sebab PAS menawarkan calon seorang penjual ikan, parti lawan terus memperlekehkan kebolehan akademiknya. Usaha memperlekehkan kebolehan calon PAS itu tidak berjaya. Seorang peniaga ikan menang dalam PRK tersebut mengalahkan calon BN yang lebih tinggi kelulusan akademiknya.

Bukan Kriteria Mandatori

Memang diakui bahawa kelulusan akademik bukanlah faktor penentu. Ia juga bukanlah kriteria mandatori untuk dipilih sebagai calon wakil rakyat hatta sebagai Menteri atau Timbalan Menteri. Yang penting ialah keikhlasan, kejujuran, integriti dan kebolehannya mendekati pengundi sepanjang masa, iaitu tidak sombong.

Pengundi amat benci dengan calon yang sombong dan angkuh. Sebab itu ramai juga calon yang berkelulusan PhD tewas dalam pertandingan kerana dilihat “cerdik tidak boleh ditumpang, bodoh tidak boleh ditegur.” Ia hanyalah calon yang dianggap bukan ‘berkhidmat untuk pengundi’ tetapi ‘menggunakan pengundi untuk kepentingan diri.” Hal itu mengingatkan saya kepada sebuah novel garapan Allahyarham Shahnon Ahmad, Menteri (1976). Demi ‘kuasa politik’ seseorang sanggup melakukan apa sahaja, termasuk menipu dan berbohong untuk menggambarkan dirinya sebagai tokoh yang baik dan boleh dipercayai.

Kerana mempunyai naluri biang keladi, tokoh berkenaan sanggup menipu agar dilihat dirinya cerdik, berpengetahuan dan berwibawa. Orang yang boleh diketengahkan dan boleh berbahas secara intelektual, bukannya sekadar melahirkan pandangan berbentuk emosional apatah lagi dalam persekitaran politik demokrasi digital, bukan lagi demokrasi ketika era analog.

Era demokrasi analog, rakyat hanya bergantung kepada maklumat yang disampaikan menerusi orang perseorangan dan seterusnya oleh media yang dikawal oleh pihak-pihak tertentu. Rakyat tidak mempunyai peluang dan ruang untuk memperkatakan apa yang tidak disukainya kerana sistem mengkritik secara tatap-muka bukan menjadi budaya dan amalan.

Masyarakat di sebelah timur sentiasa berkias dan segan untuk menegur secara langsung; lalu mengambil keputusan berdiam diri walaupun berdendam, ibarat api dalam sekam. Bila tiba masa pilihan raya, mereka menggunakan kuasa mengundi itu sebagai ‘silent protest’.

Silent protest berlaku dalam pelbagai bentuk:  mengundi calon lawan atau juga berkempen untuk tidak keluar mengundi beramai-ramai. Tindakan tidak keluar mengundi telah menyebabkan peratusan rendah ataupun jika keluar, merosakkan kertas undi. Ini berlaku dalam era demokrasi analog. Era demokrasi digital juga berlaku, atas alasan tidak ada calon ‘terbaik’ yang bertanding ataupun berpandangan, keluar mengundi tidak akan mengubah apa-apa statusquo. Tetapi, tidak bermakna mereka tidak bersuara. Mereka tetap bersuara menerusi ruang maya. Itulah sebabnya lima pilihan raya kecil selepas PRU ke-14, jumlah yang keluar mengundi tidak memberansangkan , kecualilah PRK Cameron Highlands yang hampir menepati sasaran SPR.

Dalam demokrasi digital, situasi jauh berbeza. Setiap orang akan menyatakan ‘kemarahan’ atau ‘kebencian’nya selagi dia berdaya melakukannya. Kalau di zaman analog, mereka yang kuat mengkritik bakal dihukum atau dikecam. Bagi mengelakkan dirinya dikecam, mereka berselindung dengan mengeluarkan ‘surat layang’. Tidak semua ‘surat layang’ tidak mempunyai fakta, malah ada ketikanya surat layang itu mendedahkan apa yang sebenarnya berlaku atau perangai buruk seseorang, termasuk perilaku pemimpin.

Benih Ajaib

Demokrasi digital dimulai dengan kemunculan internet. Internet pada mulanya digunakan untuk menyambung sistem komputer yang menyimpan pelbagai maklumat dan data oleh Kementerian Pertahanan Amerika Syarikat. Kini dianggap sebagai ‘benih ajaib yang tumbuh menjadi pohon raksaksa”.

Inovasi awal bermula pada tahun 1970. Ketika itu, Kementerian Pertahanan Amerika Syarikat bimbang dengan potensi serangan terhadap jaringan komputer, ketika masyarakat mula bercakap mengenai senjata nuklear. Kebimbangan itu mencetuskan permulaan untuk menyambung semua komputer saperti sarang labah-labah dan setiap komputer boleh saling berhubung. Ia berjaya disambungkan selepas sebuah pakej sistem berjaya ditemui, iaitu protokol internet, internet protocol atau ringkasnya IP. Komputer dihubungkan dengan komputer pelayan atau server. Ia turut disokong oleh pemindahan kawalan protocol atau transmission control protocol (TCP).

Dua puluh tahun kemudian (1990), terciptanya world wide web (WWW) oleh sebuah organisasi bernama Centre European en Recherche Nucleaire (CERN) yang terletak di sempadan Switzerland dan Perancis. CERN dianggotai oleh pelbagai pakar sains yang mengendalikan banyak kajian makmal. Bagaimanapun, tidak kesemua pakar yang bergabung di dalam pertubuhan tersebut boleh menghabiskan masanya menyelidik di makmal CERN. Sesekali mereka terpaksa keluar atau pulang untuk melanjutkan penyelidikan di negara masing-masing.

Ketika itu data kajian disimpan secara manual, dan untuk mengakseskannya juga dilakukan secara manual. Ia menyebabkan berlakunya situasi penangguhan atau dinamakan sebagai deadlock. Tim Berners-Lee akhirnya berjaya mengatasi masalah deadlock apabila berjaya menemui WWW, iaitu menyambungkan semua data yang disimpan itu melalui perkongsian teks dan seterusnya membentuk hiperteks, teks yang boleh dibaca secara maya menerusi browser. Selepas terciptanya browser, tercipta pula enjin carian, search engine.

Tahun 1993, kita mungkin kenal browser bernama mosaic dan lima tahun kemudian lahir internet explorer oleh Microsoft. Kini, Google merupakan enjin carian yang maju dan sering digunakan manakala internet explorer dan yahoo tidak lagi berfungsi . Begitu juga dengan enjin carian tempatan, skali yang sudah dihentikan operasinya.

Tersesat Dalam Pencarian

Demokrasi digital banyak dicorakkan oleh enjin carian google, sehingga orang mula meninggalkan media konvensional untuk mendapatkan sebarang maklumat, data atau berita. Mereka lebih senang berkata ‘google sahaja’ semuanya akan dapat, semuanya ada walaupun kadangkala kita boleh tersesat dalam pencarian tersebut.

Kita tersesat kerana kita tidak pernah belajar dengan kemahiran menapis atau menyaring maklumat. Ini kerana kita secara psikologinya lebih bersedia menerima maklumat atau data yang menyokong pendirian yang telah kita buat sebelumnya. Dalam istilah komunikasi dipanggil predisposition, sebahagian daripada mekanisme mempertahankan diri, self mechanism.

Dalam demokrasi digital timbul istilah ‘khayalan bohong’. Jika kita mempercayai apa yang dilihat begitu mudah dan mempercayainya kerana sealiran dengan pandangan dan perasaan kita. Sebab itu dalam PRU ke-12 (2008), ramai yang percaya gabungan parti-parti pembangkang boleh dengan mudahnya menyelesaikan masalah rakyat jika diberikan peluang memerintah.

Gabungan tersebut berjaya mengurangkan keyakinan rakyat kepada pemerintah walaupun kejayaan yang diraihnya belum memadai untuk membentuk kerajaan di peringkat persekutuan. Slogannya yang mengerikan ialah “Hari ini menang, Subuh akan tutup kilang arak’ dan juga, “hari ini menang, esok turun harga minyak”.

Kejayaan tersebut boleh diteliti semula bagaimana ruang siber (cyberspace) digunakan untuk mempengaruhi keputusan mengundi. Kedinamikan ruang siber telah membawa kesan yang besar kepada BN apabila gagal mempertahankan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat dan kehilangan beberapa buah negeri. (Rujuk: Tan Lee Ooi, Dinamik Ruang Siber dalam Gerakan Reformasi di Malaysia, UKM: 2010).

Ruang siber adalah nama lain yang sama ertinya dengan era digital. Kempen-kempen secara tradisi mula kurang mendapat sambutan manakala penggunaan media konvensional semakin tidak dipercayai sebagai sumber berita, terutama kempen pilihan raya. Ia diambil alih oleh weblog dan aplikasi sosial yang lain, microblog dan facebook.  Media konvensional semakin kehilangan penonton atau pembaca manakala warganet semakin bertambah.

PRU ke-13 kita dihebohkan dengan kemunculan Red Beans Army (RBA). RBA dikatakan dikendalikan oleh DAP dan mereka menggunakan ‘keyboards warior’ menyerang apa sahaja tindakan kerajaan dan pemimpin parti pemerintah. Kadangkala serangan itu tidak berfakta, tetapi hasratnya adalah untuk mengelirukan orang awam.

Menurut satu laporan, “the RBA’s assault against government via the internet proved successful as evinced by the 2008 and 2013 political tsunamis. Prior to the year 2008, the ruling Barisan Nasional was arrogantly complacent and did not believe that the internet housed the media hub of the future. It is that arrogance and complacency that fuelled online propaganda against government and fed Kit Siang’s RBA with ammunition.(dipetik: https://www.thethirdforce.net/the-red-bean-army-and-how-it-all-began/)

Suatu ketika, Menteri Komunikasi dan Multimedia pernah berkata: “internet has become the swing factor in elections as politics and political campaigns are now more dependable on the online and electronic media…political players started using the Internet in 1998 to sway public opinion but it was not until 10 years later that Malaysians realised the impact of the internet in swinging votes.” Walaupun diketahui potensi media online dan media sosial untuk mempengaruhi keputusan mengundi, BN dikatakan gagal menggunakan pontesinya secara berkesan. (Datuk Said Keruak)

menurunkan rejim

Kegagalan itu membawa kepada ‘kejatuhan BN selepas 61 tahun memerintah’.  Ini membuktikan, warganet bukan sahaja merasakan apa yang dilaksanakan oleh kerajaan tidak memadai, bahkan mempercayai bahawa Malaysia adalah sebuah negara kleptokrat. Azam mereka ialah ‘menurunkan rejim’ yang lama dan digantikan oleh gabungan pembangkang yang baharu sebagai kerajaan Malaysia Baru. Ia turut menolak pandangan seorang yang begitu yakin dengan dunia kewartawanan yang diceburinya memperlekehkan kemunculan media baru saperti ‘nyanyian karaoke’.

Manifesto yang dianggap ‘tidak realistik’ berjaya menawan ‘hati dan minda’ sebahagian besar pengundi berdaftar dalam PRU ke-14, Pakatan Harapan semakin dibelenggu dengan ‘khayalan bohong’nya. Rakyat mula mempersoalkan apa yang dijanjikan dan menuntut janji-janji yang dianggap bukan ‘kitab suci’ itu kerana setelah hampir 10 bulan masih belum tertunai. Bahkan, rakyat melihat PH sebagai sebuah kerajaan yang gagal dan sering bertelagah dalam banyak perkara. Menteri-menteri tidak bercakap dalam nada yang sama, sentiasa ada kenyataan sumbang dan bersifat menekan. Sebab itu ada yang beranggapan, hayat Malaysia paling lama ialah sepenggal. Atau mungkin berakhir sebelum ‘cukup umur’.

Tidak Konsisten dan Hipokrasi

Warganet, yang semakin aktif melibatkan diri dalam ruang maya mempersoalkan pelbagai perkara mengenai perilaku pemimpin dan pengesahan kelayakan akademik para pemimpin PH. Pada saat ini, heboh mengenai ‘ijazah palsu’ yang turut dibingkaikan dengan ‘janji palsu’ yang mungkin akan berakhir dengan ‘cinta palsu’.

Cinta palsu bermakan euforia rakyat akan berubah kepada rasa kecewa. Kini, riuhnya sudah mula terasa dengan getaran kecewa. Riuh  itu menggambarkan bahawa dalam demokrasi digital, semuanya tidak lagi dapat disembunyikan; rakaman video silam terus dipaparkan semula untuk menggambarkan kenyataan yang tidak konsisten dan hipokrasi.

Tentunya, kenyataan dan hipokrasi sedemikian boleh meresahkan pemimpin PH. Pengguna media sosial tidak lagi menyebelahi kerajaan yang memerintah. bahkan mereka yang dulunya kuat menyokong mula berdiam diri. Tidak lagi mempertahankan PH.

Walaupun ada warganet bukan merupakan ahli parti pembangkang (BN), mereka semakin berani bersuara untuk menolak hipokrasi pemimpin; sebelum berkuasa semuanya mahu dirombak dan dipinda, tetapi bila berkuasa, semuanya tidak boleh dilaksanakan. Alasannya, beban kewangan kerajaan. Rakyat sudah tidak lagi mempercayai alasan itu dan menganggapnya ia adalah satu bentuk escapism. Manifesto saperti ekstasi.

Dewa Janus

Internet semakin menjadi lawan kepada pemerintah dalam demokrasi digital. Lidibo rakyat untuk membabitkan diri dalam ruang maya semakin meningkat, dan internet tetap membawa imej yang  paradok, sebagaimana dijelmakan oleh dewa Janus dalam mitologi Rom. Janus adalah dewa yang mempunyai dua posisi wajah; wajah ke depan dan wajah ke belakang. Tanggungjawab utama dewa Janus ialah menjaga pintu gerbang.

Wajah ke depan ialah untuk melihat apa sahaja berada di luar pintu gerbang manakala wajah ke belakang, ialah melihat apa yang ada di dalam. Melihat ke luar diumpamakan sebagai ‘masa depan’ manakala melihat ke dalam seumpama melihat ‘masa lalu’. Kededuanya dilihat secara serentak. Janus adalah lambang dan simbiosis kepada teknologi, juga metafora sifat manusia.

Teknologi membuka pintu perubahan; perubahan baik dan perubahan buruk. Ketika manusia tidak dapat memanfaatkan teknologi untuk kebaikan, manusia tidak pula akan membuang sifat buruknya. Oleh kerana teknologi mampu menerobos batas ruang dan waktu, adalah memadai untuk untuk ‘menyerang negara’ hanya dengan kata-kata saperti klausa perang saraf klasik (1930), A single spark can start a fire that burns the entire prairie (Mao Zedong 1893-1976) .

Di Malaysia, walaupun belum muncul lagi gerakan-gerakan massa menentang pemerintah saperti Arab Springs, kuasa media sosial semakin besar dan perlu diberikan perhatian serius oleh kerajaan Malaysia Baru kerana sudah muncul ‘kemarahan’ dan sikap konyol menteri yang tidak mahu melayani warganet. Mungkin rakyat Malaysia masih ingat pada suatu ketika, Tan Sri Zainudin Maidin (Allahyarham) membelasah kemunculan mikroblog dan blogger sebagai ‘goblog’ tetapi akhirnya, beliau sendiri aktif memblog selepas kecundang dalam PRU ke-12.

#AhMalunyaAku: Biang Keladi.

Pokok keladi memang mempunyai sejenis cecair yang boleh menyebabkan kegatalan. Biang pula antara lain bermakna, pokok pangkal atau asal mula (makna keempat dalam Kamus Dewan, edisi keempat, 2007,  hal. 178). Disambungkan bermakna, pokok pangkal gatal, maka akhirnya semuanya akan diserang wabak gatal yang sukar diubati.  Semua menteri PH mulai digelar ‘pelakon hebat’ dengan ‘janji palsu’, ‘sijil palsu’ dan ‘mental celaru’. Gelaran itu sudah mula diperkenalkan dan rakyat terus memerhatikan dengan sinis,  yang mungkin menjadi realiti ‘kekalahan’ pada malam kemuncak pengiraan undi PRU ke-15.

 

Monosin Sobri.

 

 

 

 

 

 

No Comments

    Leave a reply