AIDILFITRI PERKUATKAN DIRI HADAPI CABARAN DAN UJIAN SEMASA

AIDILFITRI PERKUATKAN DIRI HADAPI CABARAN DAN UJIAN SEMASA

Asssalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

  1. Pada hari ini selesailah kita semua menjalankan ibadah puasa di bulan Ramadan. Selamat Menyambut Hari Aidilfitri 1441H/2020M kepada semua muslimin dan muslimat. Sesungguhnya Hari Raya Aidilfitri adalah hari kemenangan mengharungi madrasah Ramadan yang penuh dengan ujian menaikkan darjat iman dan kualiti nilai diri.
  1. Disiplin diri yang dibentuk dalam ramadan telah melatih manusia agar sentiasa tahu bahawa Allah sentiasa memerhati segala perbuatan kita. Ini dilihat melalui amalan puasa yang dibuat sama ada secara sendirian atau ketika berada dikhalayak awam. Aidilfitri juga satu kemenangan yang sangat berharga kepada mereka yang berjaya mengharunginya dengan melakukan ibadah yang sempurna dan menghindari segala larangannya.
  1. Saya juga percaya semua telah menerima hakikatnya Ramadan dan Aidilfitri kali ini sangat berbeza berbanding tahun sebelumnya. Berikutan pandemik Covid 19 maka kita mula mengamalkan satu norma kehidupan yang baru. Ramadan yang tanpa tarawih berjemaah di masjid, tanpa majlis berbuka puasa.
  1. Manakala sambutan aidilfitri pula dikenakan larangan untuk umat Islam di negara ini pulang ke kampung halaman menyambut Aidilfitri bagi mengekang penularan wabak COVID-19. Walaupun memang menjadi budaya rakyat Malaysia untuk kunjung-mengunjung dan mengadakan rumah terbuka ketika Aidilfitri, Inilah pengorbanan yang kita perlu lakukan dan tidak amalkannya tahun ini. Selagi tiada vaksin dan ubat, selagi itulah risiko penularan pandemik ini kekal tinggi. Jadi, kita perlu berkorban tahun ini.
  1. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terpaksa diteruskan, hanya langkah ini sahajalah yang mampu mencegah wabak Covid-19 daripada terus menular dan membahayakan bukan sahaja nyawa manusia, malah sosio-ekonomi negara. Kesannya kita semua terkekang di rumah telah mengubah hubungan kita dengan pemerintah, dengan dunia luar bahkan antara satu sama lain. Malah ianya juga adalah ujian terhadap keadaan ketidaktentuan pasaran dan kerapuhan kewangan untuk pertumbuhan ekonomi Malaysia.
  1. Pada bulan Mei 2020 ini juga telah mencatat sejarah bagi Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) yang meraikan ulang tahun pertamanya jatuh pada 8 Mei 2020 hari Jumaat bersamaan 15 Ramadhan 1441H, penghulu segala hari.
  1. Selain Cabaran Pandemik Covid 19, Negara kita Malaysia dan bangsa Melayu khususnya sedang menghadapi cabaran ketuanan Melayu. PUTRA amat kecewa dan kesal dengan sikap Ahli-ahli Parlimen yang berebut kuasa dan jawatan saat negara bertungkus lumus menangani wabak COVID-19. Mereka menggesa untuk diadakan sidang palimen tetapi isu yang hendak dibahaskan ialah Perlantikan Perdana Menteri dan ketidak puashatian terhadap kepimpinan terkini.
  1. Saya melihat Banyak lagi isu-isu yang menjadi keutamaan yang boleh didebatkan seperti isu kewarganegaraan yang perlu digandakan hukumannya kepada mana-mana individu yang didakwa menjadi dalang penjualan kad pengenalan dan kad UNHCR, penyeludupan masuk pendatang haram. Malah tidak keterlaluan juga untuk mendebatkan isu keselamatan seperti mewujudkan semula akta ISA dalam mengekang segala bentuk pencerobohan, pembocoran maklumat sulit negara dan segala tindak-tanduk yang mengancam keselamatan negara.
  1. Malah sepatutnya Ahli- ahli Parlimen yang rakus ini membantu menyelesaikan segera bantuan kepada rakyat yang terkesan akibat PKP, bukannya terus menagih kuasa dan memunculkan Rasa tidak tenteram dikalangan rakyat. Ketika ini, banyak keluarga dan individu yang bertarung bagi memulihkan ekonomi keluarga dan diri sendiri. Manakala wakil-wakil rakyat sibuk dengan perebutan kuasa, perebutan jawatan dalam GLC demi kepentingan peribadi sendiri semata-mata. Kebajikan dan pembangunan ekonomi dan sosial rakyat dipandang remeh.
  1. Kestabilan politik, kewibawaan pemimpin kerajaan perlu dikembalikan. Anak bangsa masa depan tidak patut menghadapi situasi politik sebegini rupa dan dibiar hidup dalam pertelagahan yang tak membawa apa-apa keuntungan pada diri dan kesejahteraan negara. Tuntutan orang Melayu yang membabitkan hak keistimewaan Orang Melayu juga perlu dikembalikan. Justeru PUTRA akan meneruskan semarak api perjuangan demi sebuah perjuangan berlandaskan ABATA.
  1. Akhir kata saya ingin berpesan, sentiasalah mematuhi arahan kerajaan sepanjang sambutan Aidilfitri ini. Boleh jadi yang kita tidak suka itu sangat baik kepada kita, manakala yang kita suka itu bukanlah yang baik untuk kita.

 

Salam Aidilfitri

“Bertunjangkan Hak..Berpaksikan Kebenaran”

Datuk Dr. Aziz Jamaludin bin Mhd Tahir

Ketua Penerangan Parti Putra Malaysia (PUTRA)

No Comments

    Leave a reply