Namun, apabila mengerjakan rukun Islam kelima tahun ini sebagai petugas media yang membuat liputan sepanjang musim haji 1439 Hijrah, meminum air zamzam yang disediakan di Masjid Nabawi, Madinah dan Masjidilharam, Mekah setiap kali sebelum dan selepas solat tidak menjadi masalah. Terasa kelainannya kerana air zamzam yang diminum lebih ‘ringan’ atau kurang payau.

Menurut Mohammed Asiri, air zamzam yang diminum di Mekah dan Madinah sekarang serta dibekalkan kepada jemaah haji dan umrah untuk dibawa pulang telah menjalani proses tapisan daripada debu dan kotoran bagi memastikan keasliannya terpelihara. Malah, difahamkan bahawa Raja Salman Abdulaziz Al-Saud juga pernah menyebut tentang kelainan rasa air zamzam dahulu dan sekarang.

Zamzam merupakan punca mata air yang terletak di kawasan Masjidilharam iaitu di sebelah tenggara Kaabah yang dikatakan berkedalaman 42 meter.

Jika meneliti proses pengagihan air zamzam, pada masa dahulu ia dilakukan secara manual iaitu menerusi paip air yang disalurkan terus dari telaga asal, menggunakan pelbagai jenis botol dan bekas plastik yang mendedahkannya kepada pencemaran. Ketika itu, kesesakan di kawasan paip air zamzam di dalam dan sekitar Masjidilharam adalah pemandangan biasa.

Sebab itu pada 1427 Hijrah, Raja Abdullah Abdul-Aziz, pemerintah Arab Saudi ketika itu menitahkan agar dibina loji pembersihan serta pembotolan air zamzam yang pada 1431 Hijrah dinamakan Projek Air zamzam Raja Abdullah Ibn Abdul-Aziz (KPZW).

Ini bagi memastikan keaslian serta kebersihan air itu terpelihara dan memudahkan umat Islam mendapatkannya. Projek itu melibatkan peruntukan sebanyak SR700 juta (RM850 juta) yang ditaja sepenuhnya oleh baginda.

Selepas beberapa penambahbaikan, sekarang semua air zamzam yang dipam dari telaga asal di bawah dataran Kaabah disalurkan terus ke KPZW yang terletak empat kilometer dari Masjidilharam menggunakan paip L316 besi tahan karat.

Selepas proses pembersihan dan pensterilan menerusi tapisan, air berkenaan kemudiannya disalurkan menerusi cahaya ultra ungu untuk membunuh kuman yang air berkenaan mungkin terdedah semasa proses pengeluaran.

Selepas melalui semua proses berkenaan yang berteknologi tinggi, air berkenaan disalurkan ke takungan Kudai dan King Abdul-Aziz Sabeel. Air zamzam untuk diminum jemaah di Masjidilharam dibekalkan oleh takungan Kudai manakala untuk Masjid Nabawi di Madinah menerusi takungan King Abdul-Aziz Sabeel yang diangkut setiap hari dengan 10 buah treler.

Proses mengepam dan jalinan tangki kesemuanya menggunakan gentian optik yang dikawal oleh sistem SCADA bagi memastikan kadar takungan yang sesuai serta memastikan air zamzam sentiasa tersedia bila-bila masa sahaja.

Untuk proses pembotolan pula, air dari satu lagi tangki simpanan berkapasiti 10,000 meter padu di KPZW disalurkan ke kilang yang mampu membotolkan sebanyak 200,000 botol air zam-zam berkapasiti 10 liter.

Botol lima liter pula diperkenalkan khusus untuk diberi kepada jemaah haji dan umrah untuk dibawa pulang. Bagi jemaah haji Malaysia, air zamzam dalam botol lima liter diagihkan sebaik sahaja mereka sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Di Mekah sekarang, untuk mendapatkan air zamzam dalam botol amat mudah tanpa perlu bersesak-sesak menerusi pelaksanaan kaedah agihan yang pantas di pusat pengedaran KPZW. Jika sebelum ini sistem token digunakan untuk mendapatkan botol 10 liter di 42 mesin layan diri yang disediakan, sekarang sistem kod bar digunakan bagi menggantikannya.

Jemaah hanya perlu menunjukkan pasport masing-masing di kaunter pembelian dan membayar kos minimum SR5 bagi setiap botol. Selepas itu mereka boleh menuju ke barisan mesin layan diri yang disediakan dan sebaik sahaja mesin berkenaan ‘membaca’ kod bar di resit yang diberikan, maka botol air zamzam dikeluarkan secara elektronik.

Botol yang dikeluarkan melalui mesin layan diri diagihkan menerusi sistem gudang berpusat di premis berkenaan. Botol-botol yang disimpan dalam gudang berkenaan mengikut tarikh pengeluaran dialihkan dengan tali sawat automatik ke mesin layan diri apabila ada pembelian.

Kerajaan Arab Saudi juga telah melantik kontraktor khas untuk menghantar air zamzam bagi jemaah yang ingin membawanya pulang dengan mengambilnya di lapangan terbang di Jedah dan Madinah.

Namun, bagi jemaah Malaysia, proses penghantaran air zamzam botol 10 liter lebih mudah iaitu dengan mengepos ke tanah air menerusi perkhidmatan disediakan antaranya oleh Pos Malaysia Berhad dan Koperasi Tabung Haji.

Air zamzam sememangnya digalakkan untuk dibawa pulang oleh jemaah, malah Nabi Muhammad SAW merupakan manusia pertama yang membawa keluar air berkenaan ke Madinah. Mengenai air zamzam baginda menjelaskan: “Sesungguhnya air zamzam ini air yang sangat diberkati, ia adalah makanan yang mengandungi gizi.”

Nabi Muhammad SAW menambah: “Air zamzam bermanfaat untuk apa sahaja yang diniatkan ketika meminumnya. Jika engkau minum dengan maksud agar sembuh daripada penyakitmu, maka Allah menyembuhkannya. Jika engkau meminumnya agar hilang rasa hausmu, maka Allah akan menghilangkan dahagamu itu. Ia adalah air tekanan tumit Jibril, minuman daripada Allah untuk Ismail.” (riwayat Darulqutni, Ahmad, Ibnu Majah daripada Ibnu Abbas)

Pembinaan KPZW sesungguhnya memberi lonjakan dan perubahan besar terhadap perkhidmatan penyediaan air zamzam kepada jemaah haji dan umrah serta umat Islam seluruhnya. Pelaksanaannya mengurangkan kesesakan di kawasan Masjidilharam dan dilakukan menerusi sistem yang menjamin kesihatan umum dengan memenuhi keperluan untuk membersihkan, membotolkan serta mengedarkannya secara selamat dan teratur.