Akhirnya YADIM ciptakan ‘lautan berdarah’

b31831ff-47ea-40a4-9b1f-1d19f018461e

Tulisan XIFU NASER yang turut menerima watikah menganggotai kumpulan ‘pemikir’ YADIM memberikan tafsiran buruk terhadap badan penyelarasan dakwah yang ditubuhkan sejak tahun 1974 melalui kelulusan Dewan Rakyat.

Menurut beliau, YADIM seolah-olah “baru tersedar dari tidur nyenyak yang begitu lama”dan mula mengorak langkah untuk tidak “terbudaya syok sendiri’ apabila aktiviti yang bakal dilaksanakan nanti berusaha mengenal pasti ‘saingan’ sebagaimana langkah Huawei menghasilkan produk telefon bimbit dengan strategi bukan ikut rasa. Barangkali kerana terlalu teruja untuk menyumbang, XIFU NASER begitu bersemangat untuk membaiki kelemahan YADIM dalam melaksanakan aktiviti dari bersifat ‘touch-n-go’ kepada ‘komunikasi silang budaya’ saperti dialog antara agama atau interfaith dialogue.

Baca disini https://www.sinarharian.com.my/article/26885/KOLUMNIS/Budaya-syok-sendiri-Yadim

Bagaimanapun dalam keghairahan tersebut XIFU NASER sedikit keliru apabila melihat dialog antara agama itu hampir serupa dengan bentuk perdebatan. Dialog antara agama tidak ada pengakhiran yang bersifat ‘menang-kalah’. Dialog antara agama adalah satu bentuk aktiviti komunikasi silang budaya yang akhirnya menuju kepada pembentukan persefahaman antara penganut pelbagai agama dalam perkara-perkara yang berkaitan tatacara kehidupan dan kerukunan masyarakat (mualamat), bukannya bersifat teologi.

Ramli Awang, sarjana yang menulis tujuan dialog antara agama menurut perspektif al-Qur’an adalah:

(1) mengikis rasa curiga;

(2) memahami orang lain;

(3) merapatkan hubungan kemanusiaan;

(4) membina tamadun manusia yang utuh;

(5) menjelaskan hakikat sebenar tuduhan;

(6) memupuk rasa saling menghormati;

(7) mengakhiri dendam kesumat dan permusuhan;

(8) mnciptakan persatuan dan mengeratkan silaturrahim; dan,

(9) berdakwah dan membimbing manusia ke jalan yang Benar.

(Ramli Awang, Dialog Antara Agama Dari Perspektif Al-Qur’an. Johor Bahru: Penerbit Universiti Teknologi Malaysia, 2008).

Dalam konteks tersebut, dialog antara agama bukanlah untuk mencari pemenang, ia adalah untuk memupuk rasa hormat antara pelbagai penganut agama agar setiap daripadanya dapat hidup dalam suasana harmoni dan tidak ada ‘rasa terancam’. Dari konteks sosiologi, ia melihatkan perasaan bersama dalam nilai-nilai universal dan tidak berganjak dengan keyakinan bertauhid. Di situlah batas sempadan yang harus diterima sebagai prasyarat dialog antara agama, kerana masing-masing agama mempunyai keyakinan dan amalan ritual yang berbeza, yang wajib dihormati dan bukannya untuk ‘menukarkan agama’.

Pendekatan ini berbeza dengan tujuan sebenar Huawei dalam menuju persaingan merebut khalayak sasaran pengguna telefon bimbit. Huawei akan mempamerkan ‘kelebihan-kelebihan’ teknologinya untuk memancing pengguna agar tidak membuat pilihan pembelian jenama telefon bimbit yang lain, walaupun jenama tersebut sudah lama menjadi pemimpin pasaran.

Kemunculan YADIM sebagai sebuah organisasi amanah yang ditubuhkan menerusi keputusan Dewan Rakyat pada tahun 1974 bukan untuk menjadi pesaing kepada badan-badan dakwah yang ada di Malaysia, termasuk badan-badan dakwah yang diasaskan oleh individu atau kelompok-kelompok tertentu sebagai satu bentuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

YADIM ditadbirkan oleh sekumpulan penasihat dalam Lembaga Pengarah manakala dari segi operasinya dipertanggungjawabkan kepada kumpulan pengurusan yang diketuai oleh Yang di Pertua. YADIM secara jelasnya adalah sebuah entiti kerajaan yang dikawal selia secara langsung oleh Perdana Menteri.

Apabila XIFU NASER menuduh YADIM bekerja dalam ‘budaya syok sendiri’ bererti tuduhan itu hanyalah persepsi dari seorang yang melihat YADIM sebagai badan dakwah yang lemah dan tidak bermaya berbanding badan-badan dakwah lain yang lantang bersuara dan sering berkokok walaupun telurnya hanya beberapa biji.

Baca disini http://www.yadim.com.my/v2/pakar-nuim-untuk-gerak-kerja-dakwah-yadim/

Sebelum sesuatu aktiviti YADIM dilaksanakan, ia perlu mendapat persetujuan dasar Ahli Lembaga Pengarah manakala setiap perkembangannya dilaporkan. Bagi badan-badan dakwah yang diasaskan oleh kelompok tertentu, keputusan melaksanakan sesuatu program tidak perlu menempuhi birokrasi asal sahaja pengurusannya bersetuju. Sebab itulah dalam banyak keadaan, aktiviti dakwah dari NGO lebih terkedepan walaupun pada peringkat tertentu bermasalah untuk menguruskannya.

NGO boleh sahaja bertindak dan menyuarakan kelantangan suaranya. Kelantangan suara adalah strategi untuk mempengaruhi orang ramai, boleh menarik ‘hati dan perasaan’ dengan mudah kerana tidak mempunyai halangan birokrasi dan pertimbangan pemeluk-pemeluk agama lain. NGO boleh menyuarakan ‘kemarahan’ mereka dengan jelas apabila nilai dan kepercayaan mereka disanggah atau diperlekehkan, sedangkan YADIM terpaksa mencari jalan agar ‘rambut tidak terputus dan tepung tidak berselerakan’.

Pendekatan dakwah YADIM adalah secara ‘soft selling’ sedangkan badan dakwah lain boleh sahaja menjadi agresif untuk melaksanakan strategi ‘hard selling’ sebagaimana dilakukan oleh Huawei untuk merebut pasaran daripada pesaing-pesaingnya.

Dalam hal ini, Huawei lebih berjaya manakala kebanggaan ramai terhadap IPhone sudah beralih tetapi kesemuanya adalah dalam tempoh yang singkat dan tidak kekal lama. Pesaing baharu akan muncul sepanjang masa, dan tentunya, halangan baharu juga akan muncul termasuklah sekatan terhadap Huawei yang dianggap ‘memasang perisian mengintip’.

Sentiasa ada rasa curiga dan langkah untuk memintas kepintaran teknologiHuawei. Pun begitu, YADIM pada asas penubuhannya adalah sebagai penyelarasan aktiviti dakwah, memerlukan jaringan kerjasama dengan pelbagai individu dan institusi. YADIM tidak bersedia menjadi pesaing dan ‘berperang’ dengan badan-badan dakwah yang lain kerana itu bukan matlamat utamanya.

YADIM bukan berhasrat untuk muncul sebagai pelopor, tetapi sebagai badan yang dapat menyatukan matlamat dakwah berdasarkan penzahiran akhlak yang baik (bi al-hal). Sejak penubuhannya, YADIM tidak pernah menolak kaedah ‘ta’aamuliyah’ dan kaedah ini sedang diperkemaskan semula oleh pengurusan YADIM. Ertinya, tidaklah wajar XIFU NASER melihat apa yang telah dilaksanakan oleh YADIM di bawah pengurusan sebelumnya sesuatu yang bersifat ‘syok sendiri’ dan tidak membawa kepada ‘fastabiqul khairat’.

Tagline lama YADIM ‘sampaikan daripada Nabi Muhammad SAW walaupun satu ayat bukan bermakna ‘jaguh kampung’ kerana itulah gerakan yang dianjurkan oleh setiap umat Islam untuk berdakwah. Tidak semua umat Islam mempunyai kebolehan intelektual yang tinggi sebagaimana XIFU NASER yang boleh mengkritik, memperlekeh dan meransang kemarahan barisan pengurusan lama YADIM.

Mereka mengambil sikap sederhana, dan bukannya ‘mencipta musuh’ sebagaimana digambarkan daripada keseluruhan pendekatan dakwah XIFU NASER. Mereka tidak ‘mencipta musuh’ kerana mereka memahami bahawa melaksanakan dakwah adalah dengan cara berhemah dan berhemat.

Mereka tidak tergopoh-gopoh ‘melabelkan’ orang lain dengan istilah yang sedap disebut tetapi mengundang rasa marah dan kebencian sebagaimana cuba diperlihatkan oleh XIFU NASER yang memangnya termasuk dalam golongan ‘syok sendiri’ dan sentiasa memperlihatkan dirinya adalah yang ‘terbaik’ dan‘cukup bagus’.

Menurut HAMKA, hikmat merupakan kekayaan diri, kelebihan dan pahala yang sebesar-besarnya bagi masyarakat manusia. Dan keadilan adalah untuk kemanfaatan dan perlindungan bersama –jangan berbuat jahat kepada orang lain kecuali mempertahankan diri daripada gangguan dan melaksanakan sesuatu tindakan menurut hak yang patut serta berbuat baik kepada diri sendiri menurut hak yang patut diterima.

Apakah XIFU NASER ‘melaksanakan’ ideanya berdasarkan apa yang sepatutnya dilakukan untuk ‘berbuat baik kepada orang lain’ termasuklah generasi pengurusan YADIM terdahulu?

Mengenai kesopanan, HAMKA memetik apa yang pernah dilafazkan oleh Sayidina Umar al-Khattab “pandang sesaat kerapkali mendatangkan melarat setahun”, kerana ‘diri orang lain adalah dirimu juga’ dan ‘hidup bahagia ialah hidup bersama, bukan hidup sendiri. Diri kita tidak bererti jika tidak ada diri lain.” (HAMKA, Falsafah Hidup (Edisi Lengkap), PustakaNasional, 1995).

Dakwah secara berhemah adalah tuntutan yang mesti dipatuhi oleh setiap umat Islam. Dakwah berhemah itulah membawa hikmah kepada Islam, termasuklah ‘menegur’ kelemahan-kelemahan ‘orang sebelumnya’ dan ia bukan secara terbuka sebagaimana diamalkan oleh masyarakat yang bersifat individualistik.

Allah SWT berfirman bermaksud: “Dan bersikap sederhanalah kamu dalam perjalanan dan lunakkan suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara adalah suara keldai.” (SurahLuqman:19).

Dakwaan XIFU NASER dalam ‘Budaya syok sendiri Yadim’, Sinar Harian, 7 Mei 2019 adalah bersifat peribadi dan secara jelasnya mencerminkan peribadinya sendiri yang teruja untuk memperbetulkan ‘apa yang dianggap silap’ walhal kesilapannya hanyalah ‘persepsi’ yang lahir daripada sudut pandangan yang berbeza.

Beliau sudah terkongkong dengan mindset ‘semua yang berlaku sebelumnya adalah salah’ sedangkan dirinya belum pun sampai ke tahap ‘pembimbing yang dihormati’; masih terumbang-ambing dalam idealisme dan sinkretisme.

Cara XIFU NASER berfikir akan membawa kepada ‘lautan merah’ sedangkan dalam kehidupan bermasyarakat kita memerlukan ‘lautan biru’. Penilaiannya membawa kepada ‘permusuhan’ sedangkan dakwah dalam Islam bersifat ‘tiada paksaan’ dan dilaksanakan secara berhemah dan berhikmah.

Oleh  Mohd Shauki Abd Majid
Penasihat Media Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)

No Comments

    Leave a reply