“Apa nak buat, sudah nasib saya,” Yati mengeluh sendiri. Hendak patah balik, tidak boleh. Dulu dia percaya suaminya tanpa sedikit pun rasa syak. Apa yang dia mahu Yati turutkan. Hatta ketika hendak membeli rumah pun, wang pendahuluan pun Yati yang bantu.

Terpaksalah Yati membuat pinjaman peribadi kerana hendak membeli rumah yang dipersetujui bersama. Yati faham, suaminya bukanlah orang yang mampu sangat.

Bukan itu sahaja, kerana kasihankan suami juga bayaran bulanan pun menggunakan duit Yati. Bagi Yati, kalau tidak hari ini, bila lagi hendak membantu suami. Bahkan Yati beranggapan, hari ini dia tolong suami, esok lusa kalau dia susah harap-harap suaminya akan dapat membantu.

Ternyata angan-angan Yati tidak kesampaian. Niat ikhlas membantu suami yang ‘tidak cukup duit’ membuka peluang untuk si suami mengambil kesempatan. Yati sama sekali tidak pernah menyangka bahawa suaminya sudah pasang satu lagi ‘cawangan’.

Semua ini terbongkar apabila si isteri kedua menelefon suaminya dan meminta agar wang belanja rumah dan anak-anak diberikan kepadanya. Perbualan tersebut didengari oleh Yati.

Apa lagi, hendak marah, sudah terlambat. Sebelum ini Yati tidak pernah mengungkit tentang nafkah dirinya dan anak-anak yang diabaikan oleh suami Sejak berkahwin hinggalah punya anak lima, semua perbelanjaan ‘ditanggung’ oleh Yati. Dia percaya suami benar-benar tidak punya duit.

Ternyata sikap ‘memanjakan’ suami telah memakan diri. Kini, masalah menjadi lebih rumit. Rumah yang diduduki oleh Yati dan anak-anak dituntut oleh isteri kedua setelah si suami meninggal dunia.

Apa lagi harta yang Yati ada melainkan rumah diletakkan atas nama berdua, itu sahaja. Kini, rumah tersebut jadi rebutan atas nama harta pusaka. Yati bingung. Apa lagi harus dia lakukan untuk mempertahankan haknya yang telah bersusah payah dalam perkahwinan dibina selama ini.

Sebagai suami, walau apa jua keadaannya, nafkah menjadi hal utama yang jangan sesekali diabaikan. Perintah memberi nafkah telah termaktub dalam al-Quran sekali gus menjadi perintah wajib ditunaikan dan akan dipersoalkan di akhirat kelak.

Suami wajib memberi nafkah kepada keluarga mengikut keperluan dan kemampuan. Jika suami bergaji kecil, berilah semampunya.

Jangan sesekali mengambil kesempatan atas keluasan rezeki yang diberikan Allah. Firman Allah yang bermaksud, “Hendaklah orang yang mampu, memberi nafkah menurut kemampuannya. Dan orang yang disempitkan rezekinya hendaklah memberi nafkah daripada harta yang diberikan Allah kepadanya. Allah tidak meletakkan beban kepada seseorang melainkan sekadar apa yang Allah berikan kepadanya. Allah kelak akan memberikan kelapangan sesudah kesempitan.” (at-Talaq: ayat 7).

Membantu suami bukanlah menjadi kesalahan bahkan amat digalakkan bagi mewujudkan keharmonian dalam rumah tangga. Pun begitu, bagi mengelakkan kerumitan pada masa hadapan, apa jua yang menjadi tanggungan isteri seperti membayar rumah dan memberi nafkah kepada anak-anak, perlulah dicatat sebagai bahan pembuktian di mahkamah jika berlaku perceraian atau tuntutan daripada isteri-isteri, si suami apabila berlaku kematian. Adalah lebih baik sekiranya perkara tersebut dalam pengetahuan suami supaya tidak berlaku salah faham antara suami dan isteri.

INDAHNYA perkahwinan jika setiap pasangan tahu tanggungjawab masing-masing dalam rumah tangga. Telah termaktub dalam syariat Islam, sebaik sahaja si lelaki melafazkan ijab dan kabul, maka termeterailah tanggungjawab sebagai seorang suami sekali gus diangkat sebagai pemimpin dalam keluarga.

Manakala bagi pihak perempuan, dengan pengesahan lafaz tersebut, maka bermulalah kehidupan sebagai seorang isteri. Dengan kata lain, isteri harus taat kepada suami selagi suami tidak menyuruhnya melakukan perkara-perkara yang dilarang dalam Islam.

Bukan itu sahaja, menjaga maruah dan harta benda suami juga menjadi tanggungjawab si isteri.

Justeru, berbalik kepada kisah di atas, kekeliruan dalam perkahwinan yang dibina telah bermula sejak awal lagi. Sekalipun dalam perkahwinan itu perlu ada perkongsian, namun bukan semua perkara perlu dikongsi khususnya apabila melibatkan urusan tanggungjawab.

Misalnya, soal pemberian nafkah isteri mahupun anak-anak, Islam tidak meletakkan kompromi dalam hal tersebut. Gaji besar atau kecil bukan alasan untuk lari daripada tanggungjawab ditetapkan. Jika si suami telah membuat keputusan untuk berkahwin, bermakna si suami juga telah bersedia dengan tanggungjawab menanti.

Pun begitu, sekiranya si isteri bersedia dan reda membantu suami, bantulah dengan seadanya. Jangan sesekali ‘mengalihkan’ tanggungjawab tersebut kepada bahu sendiri.

Jika ini yang berlaku dalam perkahwinan, maka akan wujudlah masalah demi masalah dalam rumah tangga dibina. Suami akan rasa selesa dengan pertolongan si isteri tanpa ada usaha untuk membaiki serta meningkatkan ekonomi rumah tangga.

Kesilapan suami juga jelas apabila bertindak berkahwin dua dalam keadaan tidak wujudnya kemampuan berbuat demikian. Ketidakadilan yang dilakukan si suami dengan mengabaikan isteri dan anak-anak isteri pertama berbanding apa yang diperoleh isteri kedua, jelas menunjukkan si suami punya niat tidak baik dalam perkahwinan dibina.

Justeru, bagi setiap pasangan yang berhasrat mendirikan rumah tangga, harus tahu peranan dan tanggungjawab masing-masing. Bagi si isteri yang membuat sebarang urusan pembayaran yang sepatutnya menjadi tanggungjawab suami, catatlah untuk kebaikan diri sendiri.

Ini bukan bermaksud, pasangan harus berkira antara satu sama lain, tetapi sebagai langkah berjaga-jaga bagi memastikan apa jua masalah yang timbul di kemudian hari, dapat diatasi dengan mudah.