Al-Quran bukan tandingan AI

KEAJAIBAN artificial intelligent atau kecerdasan buatan (AI) dianggap satu keajaiban bahawa ia mampu mengatasi kehebatan otak berfikir. Ada yang menganggap AI ialah satu rekaan kejuruteraan pemerosesan yang amat hebat dan bakal merubah landskap kehidupan manusia.

Namun, ALLAH SWT tetap Yang Maha Agung dan insiden seorang pesakit dikenali sebagai Abdul di Ajmer, Rajasthan, India terus berjaga ketika sedang menjalani pembedahan menimbulkan satu tanda tanya tentang kehebatan AI. Kepintaran otak dikatakan akan memperkasakan kehebatan AI yang disebut-sebut menguasai segenap masa depan manusia pada masa hadapan.

Begitupun, insiden di Ajmer membuktikan AI perlu meneliti dan mempelajari bagaimana alunan merdu al-Quran mampu untuk membuat Abdul terus berjaga ketika pembedahan sedang dilakukan. Abdul dikatakan sakit kepala sejak setahun lalu dan pakar bedah otak dari Hopital Ajmer, Dr Surya Prakash Chaudhary mengesahkan beliau mengalami ketumbuhan otak (brain tumor) sebagai punca sakit melampau dan hilang pendengaran.

Abdul diminta membaca ayat suci al-Quran sepanjang pembedahan dijalankan bagi membuang ketumbuhan yang mengganggu Abdul pada keenam bahagian otak dipanggil Temporal Lobe.

Bahagian itu berfungsi sebagai pemprosesan pendengaran (auditory processing or hearing), pemahaman bahasa (language comprehension) dan memori atau pengambilan maklumat (memory or information retrieval). Pendek kata semuanya ada kaitan dengan kejuruteraan pemerosesan AI.

Dr Surya mendedahkan Abdul terus-menerus mengalun al-Quran ketika pembedahan dilakukan sehingga menyebabkan doktor bedah berjaya mengenal pasti lokasi ketumbuhan pada kawasan otak dipanggil Wernicke yang dianggap pemerosesan bahasa yang berada pada bahagian Temporal Lobe.

Kehebatan al-Quran

Pakar bedah menyaksikan kehebatan al-Quran yang aktif merangsang (lighting-up) saluran tertentu sekali gus mampu mengenal pasti bahagian terkesan ketumbuhan. Ketumbuhan berjaya dikeluarkan dan sistem pemprosesan bahasa pesakit berkenaan juga tidak terjejas hasil prosedur pembedahan berkenaan. Ketika penulis menulis catatan ini, dikhabarkan Abdul sudahpun dibenarkan pulang rentetan kondisinya yang kian baik.

Jadi, apakah pelajaran yang boleh diambil oleh teknologi kejuruteraan pemerosesan rentetan insiden pesakit membaca al-Quran terus-menerus ketika pembedahan dilakukan?

Sebenarnya ALLAH telah membentang kisah berkaitan kejuruteraan pemerosesan dalam surah Yunus ayat 55-57. Jelas sekali otak manusia memiliki sistem kejuruteraan pemprosesan yang sangat kompleks dan canggih.

Namun, apakah hubung kait alunan al-Quran dalam memupuk teknologi kejuruteraan pemerosesan yang lebih hebat?Penulis mendapati ketika membaca, mempelajari atau cuba mengingati ayat suci al-Quran, seperti berlaku satu rangsangan gegaran halus pada bahagian belakang tengkuk dipercayai kawasan bahagian otak Temporal Lobe yang menempatkan saluran ‘hippocampus’ iaitu pusat ingatan.

Hasil kajian mendapati bacaan al-Quran mempunyai frekuensi tertentu berbentuk seperti frekuensi bunyi muzik yang mampu merangsang bahagian otak tersebut dan mengubah struktur serta perhubungan di antara neuron di setiap lobul otak manusia. Semakin banyak pengaktifan kawasan ini menerima getaran frekuensi ini, semakin efisien seseorang itu menerima dan mengingati maklumat baru.

Bahagian depan otak manusia atau ubun-ubun dipanggil ‘Frontal Lobe’ yang berfungsi mengawal motor pertimbangan baik buruk dan mampu menimbulkan pembohongan nyata (concocting lies) tanpa disedari orang lain andai disalah guna.

Kesimpulannya, AI belum mampu mengatasi kehebatan al-Quran.

Oleh Profesor Madya Ir Dr Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteraan Sukan, Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor

Sumber : sinarharian.com.my

Tags: , ,

No Comments

    Leave a reply