AL-QURAN JADI BAHAN POLITIK

agama-dan-politik-620x330

Pada awal tahun 1980-an, apabila Salman Rushdie menyifatkan ayat-ayat Al-Quran sebagai ayat-ayat syaitan, pemimpin tertinggi Iran mengeluarkan fatwa bunuh ke atas Salman dan menawarkan hadiah kepada sesiapa yang dapat membunuhnya. Selepas itu, Geert Wilders pula menerima pelbagai kutukan apabila menyifatkan al-Quran sebagai ayat-ayat palsu nabi Muhammad SAW bagi menimbulkan kebencian sesama manusia dan melakukan jihad ke atas penganut agama lain.

Di negara ini pula, atas kepentingan politik, orang Islam sendiri mula mempermainkan kesucian Islam sehingga membenarkan orang bukan Islam membuat petikan-petikan ayat al-Quran sesuka hati. Lebih menyedihkan lagi, tindakan ini disokong oleh pemimpin Islam, kononnya pemimpin politik bukan Islam itu sedang berjinak-jinak memahami al-Quran.

Alasannya, para orientalis juga mengkaji al-Quran untuk kepentingan politik mereka. Para orientalis menggunakan al-Quran sewenang-wenangnya bagi membenarkan teori yang mereka cipta bagi menggambarkan situasi masyarakat Islam. Malah, mereka turut membuat tafsiran berdasarkan perspektif sendiri.

Orang Islam turut terpengaruh dengan metode ini, sehinggakan ada sarjana Islam yang menggunakan kaedah ilmiah orientalis dalam melakukan tafsiran semula ayat-ayat al-Quran.
Unsur-unsur yang bersifat kembali kepada ajaran sebenar ditafsirkan sebagai tidak lagi relevan. Kepada mereka, konteks al-Quran yang diturunkan kepada usaha membentuk kesatuan kabilah-kabilah Quraisy, perlu dilihat semula.

Konteks al-Quran kini telah dilupakan sehingga orang bukan Islam sudah berani memetiknya sebagai bahan kempen politik. Akibat inginkan kuasa, pemimpin agama sanggup menghalalkan penggunaan al-Quran oleh bukan Islam walaupun ianya berlaku di luar konteks.

Pemimpin politik yang beragama Islam, yang berada sebaris dengan bukan Melayu tidak berani menegur. Perkembangan di Kedah menjadi satu daripada beberapa insiden politik yang menakutkan orang Islam sendiri. Baru-baru ini, apabila cadangan menutup 13 premis jenis hiburan sepanjang bulan Ramadhan, orang bukan Islam bangkit mendesak agar ia diteliti semula dan kerana ingin menjaga persahabatan, pemimpin pembangkang di peringkat pusat sanggup memberikan arahan agar cadangan itu dibatalkan.

Perkara ini menggambarkan yang pembangkang masih belum menerima dan menghormati pentadbiran pemimpin Islam. Sebaliknya, pemimpin mereka sanggup mencabar pemimpin pusat agar melaksanakan cadangan itu secara menyeluruh sebelum negeri-negeri yang diperintah pembangkang melaksanakannya. Inilah dualisme politik yang berlaku di negara ini, kerana tidak berupaya berhadapan dengan rakan bukan Islam, kerajaan pembangkang menuding kepada kelemahan Kerajaan Pusat.

Kesucian al-Quran perlu dijaga iaitu dengan membacanya, umat Islam diwajibkan juga membersihkan diri. Membaca al-Quran pula mestilah dengan tartil, iaitu berdasarkan adab-adab dan termasuk dengan hukum-hukum tajwid. Seseorang itu perlu belajar memahami tanda-tanda tajwid yang terdapat di dalam al-Quran dan bagaimana cara untuk menyebutnya.

Untuk mentafsirkannya, seseorang itu bukan sahaja perlu mahir berbahasa arab, malahan wajib memahami konteks sesebuah ayat itu diturunkan kerana ayat-ayat al-Quran adalah wahyu dan setiap wahyu itu mempunya kisah di sebaliknya.

Kita juga memahami bahawa sebelum seseorang itu ingin membaca al-Quran, dia perlulah beriman kepada Allah dan mempercayai bahawa al-Quran merupakan sebuah kitab suci yang penuh dengan pengajaran yang benar iaitu bukanlah boleh dibaca sesuka hati, apatah lagi oleh mereka yang tidak beriman dan menolaknya.

Malah meniru dan membacanya untuk mengelirukan fahaman umat Islam juga dikecam. Ini sebagaimana ditegaskan oleh Saidina Ali kepada kumpulan yang membaca al-Quran dan menyalahgunakan. Saidina Ali menyifatkan perbuatan ini sebagai “kalimah yang benar tetapi dibaca dengan tujuan palsu”. Kumpulan ini adalah lebih sesat dan berbahaya daripada kumpulan Khawarij yang menjadi penentang umat Islam di zaman Saidina Ali Karamullahu Wajhah.

Kaum Khawarij ini menyalahgunakan al-Quran untuk kepentingan mereka. Mereka sanggup menggunakan al-Quran (satu ayat) untuk menolak hukum Islam daripada al-Quran itu sendiri; mereka menolak tindakan tahkim yang diambil pemerintah dan menyifatkan sesiapa yang menerima tahkim itu sebagai kufur dan keluar dari agama Islam.

Di sinilah bermulanya tuduhan kafir-mengkafir sesama umat Islam sehinggalah ke hari ini. Kesempatan ini seterusnya digunakan pula oleh musuh Islam untuk melemahkan perpaduan Islam.

Dipetik daripada buku Membuktikan Erti Kasih Sayang oleh: Aziz Jamaludin Mhd. Tahir

No Comments

    Leave a reply