Siapa sangka selepas puluhan tahun UMNO menjadi musuh Pas, setelah Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) barulah Pas nampak siapa lawan, siapa kawan dalam memperjuangkan agama Islam.

Kerjasama Pas-UMNO bukan sandiwara atau wayang, sehinggakan tak termimpi oleh sesiapa yang membawa pengumuman rasmi jalinan kedua-dua parti bagi tujuan perpaduan ummah.

Ia semua atas prinsip kebersamaan mempertahankan Melayu, kedaulatan Raja-Raja Melayu dan Islam.

Dikupas peristiwa berikut yang dipercayai mencetuskan bibit-bibit permuafakatan Pas-UMNO sehingga membawa ke perjumpaan kepemimpinan Pas-UMNO di Menara Dato’ Onn, Kuala Lumpur kelmarin.

TITIK TOLAK DARI RUU 355?

Pembentangan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Pindaan 2016) atau RUU 355 di Dewan Rakyat pada April 2017 adalah hasil kesepakatan dan perpaduan antara Pas-UMNO.

Tanpa ada sokongan padu dari pemimpin UMNO tidak mungkin Pas boleh membawanya (RUU 355) ke Parlimen.

Walaupun pembentangan RUU 355 itu hanya bagi memperkasakan Mahkamah Syariah sedia ada dan cuma melibatkan orang Islam, namun apabila Penasihat DAP, Lim Kit Siang sendiri secara terbuka menentang usaha menambah baik un­dang-undang Islam itu, bukan sahaja Pas, malah orang Melayu pun curiga dengan tindak tanduk DAP.

Mengapa PKR, PAN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang mendakwa dirinya parti-parti Melayu menghalang pelaksanaan hukuman lebih berat dari pindaan akta itu?

Apabila Kit Siang membantah RUU 355 ini, semua ikut ‘melolong’ sahaja.

Bahkan, bantahan DAP disifatkan oleh Pre­siden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai melakukan kejahatan yang tidak boleh diizinkan oleh umat Islam.

“Maka, begitulah RUU 355 terus menghadapi gangguan syaitan besar dan kecil, sekurang-kurangnya mewas-waskan hati manusia,” kata Abdul Hadi menerusi tulisan di Facebook waktu itu.

Kalau hendak dikatakan gelisah kerana takut RUU 355 ini tem­piasnya terkena kepada orang bukan Islam, boleh diterima juga alasannya. Padahal ini tidak sama sekali akan berlaku.

Ia hanya tertakluk kepada orang Islam sahaja. Ahli-ahli Parlimen DAP ini tidak akan masuk Mahkamah Syariah pun. Kenapa takut sangat?

Amat sedih apabila melihat ‘drama’ tindak-tanduk Kit Siang dan beberapa orang kanannya dalam sidang Dewan Rakyat tempoh hari yang sanggup mencuri masa dan ‘mengumpan’ ahli Parlimen pembangkang lain yang bukan Islam untuk sama-sama membantah pembentangan RUU 355 itu.

‘PUKULAN’ DI PANTAI TIMUR

Banyak pihak dalam politik ‘tersentak’ dengan aura Pas dalam PRU-14. Daripada sebuah parti yang langsung tidak diberi harapan sehingga ada tergamak membayangkan Pas hanya akan melukut di tepi gantang, keadaan sebaliknya berlaku. Itu juga kehendak-Nya.

Pada 9 Mei tahun lalu me­nyaksikan kejayaan Pas yang ‘bukan kecil anak’. Terengganu kembali ke pangkuannya menerusi kemenangan 22 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu daripada 32 keseluruhan kerusi. Ini berbanding 14 kerusi pada PRU-13.

Pas turut mengekalkan pe­nguasaannya di Kelantan selepas memperoleh 28 kerusi. Di Kedah pula, Pas turut menggigit, biarpun cuma memperoleh 15 kerusi sementara tiga kerusi di Perak.

Dan meskipun hasrat Pas mahu menjadi king maker tidak kesampaian, tetapi ia tetap menjadi parti paling berpengaruh di Pantai Timur termasuklah memenangi 18 kerusi Parlimen.

Dengan Pakatan Harapan (PH) sendiri agak malap sumbunya di Pantai Timur, tiada siapa pun dapat menafikan bahawa Pas akan mengukuhkan lagi pengaruhnya pada masa akan datang.

HABIS MADU SEPAH DIBUANG?

ADA pihak mendakwa DAP sudah terlupa satu jasa besar Pas pada mereka.

Benarkah ketika PRU 2013, semua calon DAP dikatakan me­nuju ke pusat-pusat penamaan calon berserta dua surat watikah? Satu yang ditandatangani oleh DAP manakala satu lagi ditandatangani oleh Pas?

Ini kerana dikatakan DAP sendiri tidak pasti sama ada surat watikah parti itu sebagai sah memandangkan ia ditandatangani oleh Setiausaha Agung DAP yang tidak dilantik secara sah dalam pemilihan parti sebelumnya yang diisytiharkan dibatalkan?

Untuk rekod, pada Disember 2012, pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP diisytiharkan sebagai tidak sah oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) kerana melibatkan keha­diran ratusan perwakilan pengundi haram.

Malangnya, jasa Pas itu khabarnya tidak membawa sebarang makna kepada DAP. Orang Pas tidak akan lupa insi­den-insiden yang dicetuskan DAP terhadap mereka sehingga dilihat seolah-olah melukut di tepi gantang dalam pakatan pembangkang dahulu.

Antaranya, DAP Sarawak diberi autonomi untuk mengambil keputusan memutuskan hubungan bukan hanya dengan Pas malah dengan PKR di Sarawak yang diputuskan pada 27 Mac 2015. DAP Sabah turut memperlakukan serupa dengan Pas di negeri itu.

DAP juga mencari ikhtiar lain pula untuk keluar dengan membuat provokasi melampau terhadap Abdul Hadi dengan harapan Pas melayan provokasi itu dengan bertindak keluar dari PH.

Setelah usaha itu tidak berjaya, DAP memutuskan hubungan dengan Abdul Hadi seorang sahaja tetapi peliknya masih mahu ada ikatan dengan Pas. Dikatakan kempen dilakukan pihak tertentu supaya perwakilan Pas men­jatuhkan Presiden dalam Muktamar Pas ke-61.

Malah pada 2015, kerajaan Pulau Pinang yang dikuasai DAP memecat semua ahli Pas yang memegang jawatan dalam Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) di negeri itu.

Dan lebih kurang ajar lagi, DAP menidakkan laporan sekumpulan ahli Pas di kawasan Parlimen Kepala Batas bahawa mereka sukarela meletak jawatan.