AMALAN MENGHINA ROSAKKAN MASYARAKAT

Tidak dapat dinafikan bahawa besarnya manfaat budi pekerti bagi membangun ummah atau bangsa. Sejarah juga membuktikan kemunduran dan kehancuran umat Islam terdahulu adalah disebabkan kebejatan moral dan kerosakan budi para pemimpinnya.

Justeru Shauki Beik pernah berkata:

Kekalnya suatu umat ialah kerana kekalnya budi pekerti yang baik dan luhur dan musnahnya suatu umat itu ialah kerana lenyapnya budi pekerti.

Lebih tepat lagi hadis-hadis menyebut bahawa tidak diutus Nabi Muhammad s.a.w melainkan untuk menyempurnakan budi pekerti yang mulia bagi umat manusia.

Sikap sopan dan berakhlak mulia suatu yang dituntut oleh agama dan masyarakat. Sikap yang sedemikian akan menjernihkan hubungan sesama manusia mengelak daripada timbulnya unsur-unsur yang boleh merosakkan perhubungan.

Allah s.w.t berfirman dalam surah al-Hujarat ayat 11 yang bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka, dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka, dan janganlah sesetengah kamu menyatakan keaiban sesetengahnya yang lain, dan janganlah pula kamu panggil memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah) sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.

Ayat ini amat besar sekali kepentingannya berhubung dengan kesopanan bermasyarakat. Segala perkara yang dilarang keras dalam ayat ini adalah perkara-perkara yang sering merosakkan hubungan dalam masyarakat.

Menghina orang lain itu bererti menghina dirinya sendiri juga. Sebab dengan perbuatannya menghinakan orang itu sahaja, sudah nyata lebih dahulu dialah yang hina. Orang yang dihina belumlah tentu entah hina entah tidak, tetapi perbuatan kita menghinakan orang itu sudah menjadi bukti atas kehinaan diri sendiri.

Sesungguhnya seseorang itu diukur dari akhlaknya. Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud:

Agama adalah hubungan interaksi yang baik.

Ucaplah kata-kata yang baik kepada manusia, bahkan lebih tepat jika kita berbicara sesuai dengan keadaan dan kedudukan serta harus berisi perkataan yang benar.

Dari hadis riwayat at-Tirmizi, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

Tidak ada sesuatu yang lebih berat dalam timbangan (amal) seseorang mukmin pada hari kiamat, melebihi akhlak yang luhur.

Oleh Moihd Shauki Abd Majid

No Comments

    Leave a reply