AMALKAN POLITIK MATANG, ELAKKAN FITNAH

CALON BN di Dun Bukit Chandan, Maslin Sham Razman bimbang dengan perkembangan politik semasa terutamanya apabila tersebarnya fitnah serta serangan peribadi kepada calon bertanding.

Menurutnya, perkara sebegitu tidak wajar berlaku apatah lagi Malaysia kini sedang bersedia untuk menghadapi pilihan raya buat kali ke-14 dalam sejarah negara.

“Kalau dulu mungkin ada tsunami lain tapi kali ini ada tsunami bentuk berbeza pula iaitu tsunami fitnah. Kalau di peringkat BN, kita selalu mengamalkan politik matang.

“Kita berbicara perancangan masa hadapan, juga menerangkan kepada rakyat apa yang kita sudah buat selama ini. Jadi, sudah tentulah rakyat boleh nilaikan,” katanya.

Tambah beliau, isu terbaru yang tular di laman sosial mengatakan BN cuba menghalang beberapa calon daripada bertanding  sedangkan apa berlaku hanyalah kerana calon itu tidak mengikut peraturan ditetapkan SPR.

Katanya, beliau dan calon lain menyediakan segala syarat ditetapkan SPR dan calon BN dipertaruhkan tidak membelakangkan undang-undang terutamanya dalam proses penamaan calon.

“Kita di BN menjangkakan akan dihujani fitnah dari semasa ke semasa dan yang terbaru dalam kes itu. Jadi saya minta perlakuan menyebarkan berita-berita tidak benar seperti itu dihentikan.

“Saya minta pihak berkuasa termasuklah pihak polis melakukan siasatan terhadap perkara-perkara fitnah ini kerana ia boleh memporak-perandakan negara.

“Jadi, awas dengan perlakuan anda yang tidak mengikuti undang-undang. Pihak berkuasa akan memberi satu tindakan tegas kepada anda,” ujarnya.

Sumber Sinar Harian

No Comments

    Leave a reply