Aman Damai Bukan Sebuah Ungkapan

Dalam Islam keamanan atau kedamaian itu menjadi tunggak penting dalam kehidupan individu, bermasyarakat, dan bernegara. Sebanyak. 42 kali perkataan yang “bermaksud” kedamaian telah disebut di dalam al-Quran. Oleh itu, Rasulullah SAW telah mengajar setiap muslim supaya mengamalkan doa setiap kali selesai mengerjakan sembahyang. Doa yang diajar bermaksud: Ya Allah, Engkaulah Yang Maha damai Dari-Mu bersumber kedamaian dan kepada-Mu kembali kedamaian. Hidupkanlah kami dalam kedamaian dan masukkanlah kami ke syurga, negeri yang penuh kedamaian.

Bagaimanapun entah mengapa kata tersebut hanya mudah ditemui sama ada dalam bentuk lisan atau tulisan tetapi amat sukar untuk dipraktik dan dilihat di alam nyata.

Dari perspektif di luar lingkungan al-Quran pula, maksud dan hasrat membentuk kedamaian di dunia merupakan sesuatu yang penting dan perlu diutamakan. Bahkan semakin banyak pertubuhan dan individu yang sentiasa berusaha menjalankan misi perdamaian, termasuk Flotila Pembebasan Gaza yang menghadapi pelbagai dugaan dan rintangan dalam meneruskan hasrat memecahkan tembok sekatan oleh Israel sejak 1948.

Selain itu kita juga turut dihubungkan dengan sebuah ungkapan bahawa “Kemuliaan bagi Tuhan berada di tempat Yang Maha Tinggi dan semoga damai di bumi. Kedua-dua petikan itu masih belum mampu menegakkan sebuah kehidupan yang damai selagi manusia tidak memahami saripati maksudnya. Perkataan salam bererti damai. Kedamaian bermula dengan ketenangan ketenangan dalam diri seseorang, maka dari jiwa yang aman dan tenteram Itulah akan bercantum dalam satu interaksi yang membawa kepada keamanan dan kedamaian secara menyeluruh. Maka jika interaksi itu rosak, maka cita-cita tersebut mengalami kegagalan dan seluruh manusia berada dalam kesulitan yang besar

Kelahiran agama-agama dalam kehidupan manusia juga merupakan manifestasi keperluan manusia kepada sebuah kehidupan yang aman dan damai. Konteks aman dan damai yang diinstitusikan oleh manusia itu berakar kepada kehendak untuk hidup secara harmoni dan sejahtera. Allah SWT juga memberikan amaran bahawa: “Sekiranya ada di langit dan dibumi Tuhan-tuhan selain Allah, tentulah keduanya telah rosak binasa” (al-Anbiya ayat 22).

Kedamaian akan tersemat dari hati yang tulus ikhlas. Bermula dari hati yang tenang dan jiwa yang tenteram itulah al-Ghazali menjelaskan, “Siapa yang selamat hatinya dari hal-hal itu, maka akan selamat pula anggota badannya daripada segala kejahatan dan selamat pula hatinya daripada al-intikas (keterbalikan) dan al-in’ikas (tertolak ke belakang), dan dengan demikian dia akan datang menghadap Allah dengan hati yang Salim (selamat), seperti dilukiskan di dalam al-Quran menerusi surah As-syua’ra ayat 88-89 yang bermaksud, “Pada hari itu tidak akan berguna harta dan anak-anak, tetapi yang berguna adalah yang datang membawa hati yang salim paling (selamat daripada dosa dan noda).”

Al-intikas diertikan sebagai seorang yang sentiasa berada dalam ketundukan nafsu dan melihat apa yang dilakukan oleh orang lain sebagai sesuatu tindakan yang salah. Kemarahannya menjadi semakin memuncak apabila gerak hati dan nalurinya hanya berdasarkan penilaian sebelah pihak, tanpa memikirkan peraturan yang diterima secara sejagat. Al-in’ikas Ialah kerajaan yang menyongsang arus di mana orang yang berada dalam hierarki pemerintahan paling atas terpaksa menjadi hamba kepada rakyatnya. Kedudukan ini menyebabkan sesuatu keputusan tidak lagi dihormati dan setiap kali keputusan yang akan diambil, maka prosesnya perlu mendapat persetujuan rakyat. Ini adalah sebuah sistem janggal, kerana seseorang pemimpin itu diukur daripada wibawanya membuat keputusan dan melaksanakan amanah rakyat.
Tidak juga wajar seseorang “menyandang” sifat salam dan Islam kalau sesamanya tidak selamat daripada gangguan lidah dan tangannya. “Muslim adalah yang orang-orang muslim (lainnya) selamat daripada gangguan lidah dan anggota badannya.”Daripada namanya saja iaitu, Islam dapat diketahui bahawa agama itu mengharapkan hubungan harmoni dan kedamaian. Akan tetapi, tentu saja kedamaian tidak mungkin dapat tercipta apabila rasa damai tidak wujud dalam jiwa manusia.

Justeru, langkah pertama yang diajarkan Rasulullah SAW adalah menanamkan rasa aman pada jiwa masing-masing (peribadi), bukan daripada orang lain terlebih dahulu, tetapi daripada dirinya sendiri. Rasa aman tersebut bermula daripada nurani masing-masing sehinggalah ia membawa ke kancah kehidupan sosialnya.Jadi, mengapa ada di antara kita yang menolak hakikat kedamaian ini walhal kata-kata larangan ke arah kerosakan dan kekacauan itu bukan hanya datang daripada manusia sendiri (yang cintakan kedamaian, keamanan dan kesejahteraan) bahkan daripada Allah SWT?

Siapa kita untuk berkata “tidak” kepada “kedamaian dan keamanan”?

No Comments

    Leave a reply