AMARAN KEPADA MENTERI YANG BERKUASA

 

Penasihat media dan komunikasi kepada Perdana Menteri, Datuk A Kadir Jasin memberi amaran kepada menteri dan pembantu menteri atas kesombongan yang ditunjukkan sejak Pakatan Harapan berjaya mengambil alih kuasa dari BN sembilan bulan lalu.

Amaran itu diberikan selepas PH mengalami kekalahan pertama sejak berakhirnya PRU ke-14 di mana imej BN dilihat semakin diterima oleh rakyat secara keseluruhannya atas banyak perkara yang berlaku.

Akibat terkejut dengan kemenangan tanpa diduga, pemimpin-pemimpin seolah-olah terlupa bahawa dalam ketika mana pun rakyat perlu diberikan perhatian dan bukannya menipu rakyat dengan alasan, perlukan masa yang lebih lama dan tidak dapat melaksanakan janji-janji akibat hutang yang ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu adalah tinggi.

Pada awalnya rakyat boleh menerima alasan tersebut, tetapi apabila memerlukan bantuan serta perhatian para menteri, tidak ada pihak yang sedia membantu untuk menyegerakan penyelesaiannya termasuklah kes-kes yang tidak melibatkan belanja yang besar.

Rakyat mula bersuara, sebelumnya peneroka boleh hidup selesa dengan harga komoditi yang mencukupi untuk perbelanjaan harian, kini rakyat mula mencemoh, menteri-menteri yang diberikan harapan tidak berbuat sesuatu untuk meningkatkan harga.

Begitu juga apabila terlalu lama kerajaan pimpinan PH bermain dengan harga bahan bakar yang tidak berubah. Hanya selepas lapan bulan memerintah, pada pertengahan Januari 2019 baru diapungkan semula harga petrol dan diesel berdasarkan mekanisme harga purata mingguan.

Apa yang menyedihkan, pada bulan Disember kerajaan dilaporkan berjaya memperoleh keuntungan yang besar kerana tidak menurunkan harga minyak selama tiga minggu. Harga minyak dunia mengalami penurunan yang banyak ketika itu.

Begitu juga dengan ketegasan Menteri Pengangkutan untuk tidak lagi memberikan diskaun kepada pesalah trafik sebagaimana diamalkan oleh kerajaan terdahulu. Selain diskaun membayar saman dalam tempoh lima belas hari, pesalah trafik juga tidak diugut untuk dibawa ke mahkamah atau dikenakan waran tangkap, kecualilah kesalahan tersebut tidak diselesaikan dalam tempoh yang agak lama.

Rata-rata rakyat semakin berani bersuara tetapi suara-suara mereka tidak didengar sebaik-baiknya oleh menteri. Suara rakyat bukanlah membantah secara biadab, mereka hanya mula bertanya bilakah janji-janji yang dibuat semasa berkempen akan ditunaikan. Rakyat bertanya, janji sebelum pilihan raya akan menghapuskan saman AES. Memang saman tertunggak sudah dihapuskan sehingga akhir Ogos lalu.

Mulai September 2018, saman disambung kembali dengan tidak ada lagi kompromi diskaun. AES kemudiannya dilaporkan terpaksa diteruskan kerana kerajaan terpaksa membayar ganti rugi yang besar kepada syarikat yang mengendalikannya, maka kos yang terpaksa ditanggung itu mestilah dipungut semula daripada pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan trafik sejak tarikh kuat kuasa baru.

Rakyat memerhati gelagat dan percakapan menteri. Naratifnya tegas dan dalam ketegasan itu memperlihatkan sikap angkuh dan sombong. Akhirnya, rakyat buat tak tahu, tetapi dalam hati bersungut, tunggulah saatnya, akan tahulah langit itu tinggi atau rendah.

Pengundi muda juga mula meluat. Mereka meluat kerana sebelumnya dijanjikan bahawa bayaran balik pinjaman pendidikan akan dihapuskan sekiranya PH menang. PH sudah menang, maka direncanakan semula kaedahnya. Ditetapkan mereka yang tidak mencecah pendapatan bulanan RM 4,000 boleh menangguhkan pembayaran balik, dan ketika itu, semua senarai hitam yang menghalang ke luar negara dikeluarkan. Lega sebentar.

Kelegaan sementara itu bertukar menjadi cemas apabila menteri menyifatkan mereka yang tidak membayar balik pinjaman sebagai tidak mempunyai nilai moral. Mereka marah lagi dan mendesak menteri mengotakan janji tapi dibalasnya, kerajaan tidak mampu kerana terpaksa menanggung jumlah yang besar.

Diam seketika, tetapi suasananya menjadi panas apabila PTPTN mengeluarkan arahan majikan diarahkan memotong gaji bulanan peminjam dengan kadar-kadar tertentu. Marah lagi, marah kerana menteri memungkiri janji.

Selain menghapuskan AES, PTPTN rakyat juga memerli PH kerana tidak membatalkan semua kutipan tol di semua lebih raya bertol. Semasa berkempen, orang yang paling lantang menggunakan ‘tol dihapuskan jika kami berkuasa’ dan ‘selepas ini, mereka yang berulang alik dari Simpang Renggam ke Johor Bahru’ boleh menarik nafas lega, boleh berjimat kerana ‘kami akan membayar tol’.

Pun tidak jadi sampai sekarang, kerana terpaksa berbelanja besar untuk membayar balik ‘perjanjian pelik’ yang dibuat sebelumnya, setiap tiga tahun konsesi lebuh raya boleh mengemukakan cadangan menaikkan kadar tol. Jika kerajaan tidak bersetuju, satu pampasan akan dibayar atau tempoh konsesi dilanjutkan.

Rakyat bersuara lagi, yang memulakan perjanjian ‘pelik’ itu bukan sesiapa, dia adalah orang yang sama, cuma bezanya dulu Perdana Menteri ke-4, kini Perdana Menteri ke-7. Imej PH kantoi lagi. PH semakin tidak dipercayai, dan untuk mententeramkan rakyat berikan alasan, kerajaan tidak mampu kerana terpaksa menangung hutang yang banyak, sebab kerajaan sebelum berbelanja mewah saperti ‘tidak mengukur baju di badan sendiri’.

Beberapa hari lalu dikhabarkan pula bahawa tariff air bersih akan dinaikkan pada tahun ini. Sebahagian negeri telah bersetuju manakala beberapa kerajaan negeri yang belum memberikan persetujuan, akan dirundingkan agar setuju. Nampaklah ada sesuatu yang hendak dikejar, tetapi berselindung di sebalik kata-kata, untuk dapat air bersih rakyat mestilah sanggup bayar.

Setelah sedar rakyat saperti ingin diperbodohkan, Menteri Tenaga, Air dan Sumber Asli membuat kenyataan baharu, rakyat perlu kasihan kepada kerajaan kerana membelanjakan wang yang banyak untuk menyediakan kemudahan air bersih, termasuk pemasangan dan penggantian paip-paip lama. Kerajaan sebelumnya cuba mempertahankan, tidak menaikkan tariff air sebaliknya berusaha mengurangkan kebocoran paip dan menyaman pihak yang mencuri air, termasuklah pihak industri.

Rakyat bukan memperoleh air bersih secara percuma. Rakyat membayarnya, tetapi kerana politik ada parti yang berjanji, ada pemberian air percuma bagi suatu tahap tertentu. Kemudian pemberian air percuma dihadkan kepada golongan miskin. Kini, PH tidak lagi akan memberikan air percuma, semua orang kena bayar harga air yang mereka gunakan.

Alasan menteri juga boleh dipersoalkan. Ia hampir sama dengan alasan yang pernah diberikan oleh Lim Guan Eng ketika menaikkan caj air di Pulau Pinang. Harga air yang tinggi adalah untuk mendidik pengguna menggunakan air secara bijaksana. Bukan mendidik pengguna, ia untuk mendapat keuntungan yang tinggi. Untung yang tinggi boleh pula digunakan untuk tujuan yang lain.

Namun alasa klise tetap akan dibuat. Kenaikan tidak akan membebankan, kecuali mereka yang berpendapatan tinggi dan tinggal di rumah-rumah besar. Kerajaan sebenarnya tidak memikirkan nasib kumpulan pertengahan. Merekalah yang semakin terhimpit dengan kenaikan yang dikatakan menteri ‘tidak membebankan’. Ia berlaku kepada golongan pertengahan apabila tariff elektrik distruktur semula, kerana makan banyak digunakan kadarnya semakin tinggi.

Itulah sebabnya dalam PRU ke-14 golongan pertengahan merasakan perlu memberikan peluang kepada PH untuk memerintah dengan harapan ada sinar di hujung terowong kalaupun tidak di tengah terowong. Setelah PH berjaya dengan sokongan pengundi muda dan kumpulan pertengahan, belum kelihatan ada sinar yang boleh melegakan. Rupa-rupanya janji manis yang dijaja itu semakin bergerak menjadi mimpi ngeri.

Mimpi ngeri itu dibungkam sehingga sampai ketikanya akan diletupkan sebagai tanda protes. Kini sudah ada mereka yang memprotes secara diam, walaupun pada zahirnya, masing-masing pemimpin parti yang baru berkuasa menyatakan, semakin ramai yang memohon untuk menjadi ahli. Tetapi, lebih ramai yang menjadi pemerhati. Mereka memerhatikan dari jauh, dan sesekali melontarkan rasa kecewa dalam media sosial.

Luahan kecewa dilakarkan secara kreatif, termasuklah dalam bentuk psikologi terbalik (reverse psychology), seruan tepuk dan lambung-pukul seolah-olah mendapat banyak hantaran bola tanggung. Bahkan, ada pula yang yakin, PH akan kalah kerana perokok tidak lagi memberikan sokongan.

Perokok saperti orang salah, diburu dan diberikan amaran serta diasingkan daripada bukan perokok. Hinanya seorang perokok di Malaysia sedangkan industri rokok tetap dibenarkan dan cukai yang dikutip oleh kerajaan juga tinggi. Tak apalah, menteri boleh lakukan apa yang dia suka. Sampai ketikanya, pengundi berhak melakukan apa yang dia suka. Kalau kalah jangan lagi menuding jari, kempen perkauman dan rakyat sudah dihasut untuk membenci.

Rakyat semakin pintar dan tahu menggunakan peluang. Rakyat bukan lagi badut yang boleh diarahkan untuk memakai pakaian yang terlalu besar dan memperagakan diri untuk majlis tertentu bagi menyeronokkan menteri. Rakyat sekarang sudah ada yang sanggup bercakap lantang menyuarakan rasa tidak senang mahupun meluahkan rasa benci.

Maka amaran A Kadir Jasin itu ada benarnya. Permintaan A Kadir Jasin ada lojiknya, menteri dan pembantu menteri janganlah sombong. Perdana Menteri kalau ke kampong, tidak perlulah menggunakan helicopter kerana rakyat memerhati, seolah-olah Perdana Menteri berjoli sedangkan rakyat susah hidup walaupun belum ditahap kebulur. Kalau dah rakyat kebulur baru mentri dan pembantu menteri nak tunjuk simpati, tunggulah takdir untuk dimufarakahkan.

Menteri yang bertanggunggjawab memperkasakan kehidupan petani dan nelayan, tidak perlulah merepek dengan macam-macam idea. Tidak payahlah menyuruh nelayan menanam pelbagai variati rambutan dan nenas di belakang rumah, kerana kebanyakan mereka tidak mempunyai tanah.

Pergilah melihat sendiri kawasan kediaman nelayan, rumah-rumah di air dan juga kawasannya berhimpit-himpit. Kalau yang mempunyai tanah, oklah juga. Bukan semua nelayan ada tanah, bahkan rumah-rumah mereka ada yang dibina sekadar yang termampu. Ada juga yang bocor sana dan bocor sini. Itulah kehidupan dan realiti daripada kebanyakan mereka.

Kalau dah harga kelapa sawit lebih murah dari harga belacan, tidak perlulah menteri cakap yang bukan-bukan, termasuk galakkan mereka menanam lain-lain tanaman. Keadaannya akan kembali sukar apabila harganya merudum dan tidak boleh dijual. Menteri-menteri kena ingat, pada suatu ketika apabila digalakkan menanam sayur-sayuran, maka sayur juga tidak ada harga. Apabila semua peneroka menanam musang king, harganya juga akan merudum kerana hasil banyak dan permintaan tidak meningkat.

Menteri-menteri yang diberikan elaun sara hidup bulanan puluhan ribu ringgit perlulah berfikir untuk menambahkan pendapatan rakyat, bukan membuli rakyat. Lapan bulan rakyat sudah merasakan peritnya dibuli oleh menteri dan pembantu menteri. Satu pun belum ada konklusi yang menarik, yang ada hampir semuanya menyakitkan hati dan meresahkan rakyat untuk berfikir dan meneruskan hidup.

Menteri-menteri tidak payahlah meneruskan mantera yang menjengkelkan. Rakyat sudah terasa muak dan mual, kerana rakyat ingin melihat apakah tindakan yang dapat membantu, bukan lagi kata-kata, berilah masa untuk untuk kami melakukan pembetulannya.

Lakukanlah pembetulan dari sekarang, kurangkan bercakap dan bertelagah, menuding jari dan dedah mendedah kesalahan kerajaan terdahulu. Bertindaknya sebelum terlambat, dalam keadaan nasi masih menjadi bubur, ia masih boleh dimakan, tetapi setelah ia basi dan berkulat, satu sen pun tidak ada lagi harganya.

Monosin Sobri

No Comments

    Leave a reply