Aminuddin Baki

Berasal dari Chemor, Perak. Beliau dilahirkan pada 26 Januari 1926. Zaman persekolahannya bermula dari Sekolah Melayu Chemor dan kemudian diteruskan ke Sekolah Anderson, Ipoh, Perak.

Allahyarham melanjutkan pelajarannya ke Universiti Malaya Singapura pada tahun 1947. Kecermelangannya dalam pelajaran melayakkan beliau menerima anugerah Queen’s Scholarship dan seterusnya sebagai Queen’s Fellow di Universiti London.

Kerjayanya di bidang pendidikan bermula dengan menjadi guru di Sekolah Inggeris Sultan Yusof, Batu Gajah Perak dan Sekolah Anderson Ipoh, Perak pada tahun 1951-1952. Pada tahun 1953, Allahyarham juga pernah menjadi Pensyarah di Sultan Idris Training College, Tanjung Malim (kini Universiti Pendidikan Sultan Idris). Allahyarham juga pernah menjadi pensyarah sambilan di Kolej Islam Kelang tahun 1959.

Penglibatannya dalam pergerakan pelajar bermula sejak tahun 1946 apabila Allahyarham turut bersama menubuhkan Persatuan Pelajar Melayu Insaf (PERMI) di Ipoh yang kemudian dikembangkan ke seluruh Perak. Lanjutan dari itu, beliau bersama beberapa orang rakannya di Universiti Malaya, Singapura telah menaja penubuhan sebuah gabungan pelajar yang lebih besar iaitu Gabungan Pelajar-pelajar Melayu Semenanjung, ringkasnya (GPMS).

GPMS ditubuhkan secara rasmi dalam bulan Ogos 1948 di Kuala Lumpur dengan Abdul Wahab Ariff menjadi Presidennya yang pertama. Beliau turut menerajui GPMS sebagai presidennya yang kedua dan keempat. Beliau juga telah dilantik menjadi Penasihat GPMS untuk dua penggal iaitu antara tahun 1961-1962 dan tahun 1964-1965.

Ketokohan beliau dalam bidang pendidikan dan pandangan bernasnya dalam beberapa perkara yang bersangkutan dengan bidang tersebut menyebabkan beliau diberi penghormatan untuk menduduki beberapa jawatankuasa menggubal dasar pelajaran. Antaranya ialah Jawatankuasa Bernas 1951, Jawatankuasa Penyata Pelajaran Razak 1955, Jawatankuasa Rahman Talib 1960 dan Jawatankuasa Merancang Pelajaran Tinggi.

Beliau juga menganggotai Jawatankuasa Penyiasat Mogok Pelajar-Pelajar Sultan Idris Training College 1950, Pengerusi Jawatankuasa Menyiasat Kelemahan Murid-murid Melayu dalam memasuki Sekolah Menengah, Jawatankuasa Ejaan Melayu-Indonesia, Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka, Pengerusi Dewan Kebudayaan Tanah Melayu dan anggota Suruhanjaya Fullbright.

Seterusnya, beliau telah dilantik sebagai Ketua Penolong Setiausaha Kementerian dan Ketua Pegawai Pelajaran di Negeri Sembilan dan Selangor sebelum menjawat jawatan terakhirnya sebagai ketua Penasihat Pelajaran yang kini dikenali dengan Ketua Pengarah Pendidikan.

Dalam pada itu, antara sumbangan lain Aminuddin Baki adalah memperkenalkan Gerakan Obor. Program ini diperkenalkan selepas tiga tahun beliau menjadi Ketua Penasihat Pelajaran Kerajaan Malaysia. Gerakan ini merupakan siri ceramah beliau yang pertama hingga ketiga di mana Aminuddin menyuntik semangat kepada anak bangsa supaya terus gigih berjuang dalam memajukan pelajaran dan terus mengejar ilmu.

Selain itu, perananya dalam mengilhamkan Sistem Pendidikan Kebangsaan telah menghasilkan banyak kejayaan. Antara jawatankuasa-jawatankuasa yang disertainya telah memperakukan kewibawaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di peringkat sekolah hinggalah ke universiti dan sekali gus meletakkan Bahasa Melayu pada tarafnya yang hakiki.

Masalah keciciran pelajar-pelajar Melayu dari sekolah rendah ke sekolah menengah telah juga diatasi melalui syor-syor yang dikemukakan dalam Penyata Aminuddin Baki 1962. Perubahan yang lebih ketara ialah perngenalan sijil-sijil peperiksaan Lower Certificate of Education, Senior Cambridge dan seterusnya Higher School of Certificate kepada para pelajar di negara ini.

Seluruh tenaga yang digemblengnya dalam mendaulatkan ketuanan Melayu dalam semua bidang sama ada di bidang pendidikan, sejarah, Bahasa dan sebagainya telah dikagumi bukan sahaja oleh masyarakat tempatan malahan di peringkat yang terkemuka di Asia.

Beliau meninggal dunia dalam usia yang masih muda iaitu 39 tahun, pada 24 Disember 1965, beliau meninggalkan tiga putera hasil perkahwinannya dengan Puan Noraini bt Abu Bakar. Walaupun beliau telah lama meninggal dunia, namun jasa-jasa beliau tetap terus dikenang sehingga kini.

Sumber : yadim.com.my

No Comments

    Leave a reply