ANCAMAN AJARAN SESAT TERHADAP KEHIDUPAN

Slogan kumpulan tertentu berkumandang dengan riuhnya: Anda mesti jatuhkan kerajaan sebelum boleh membangunkan daulah Islamiyah

Pun ada juga pendekar politik yang bertindak secara sumbang menyeru agar menukarkan pemerintah, terutamanya Perdana Menteri atas alasan banyak melakukan kesilapan sehingga rakyat menderita hidupnya.

Dua pegangan tersebut membawa kepada satu kesimpulan, undang-undang perlu diketepikan asal tujuan dan matlamat tercapai. Ia suatu kebenaran tindakan kepada sebuah falsafah politik yang dibangunkan oleh seorang diplomat berbangsa Itali pada tahun 1532 dengan doktrin “matlamat menghalalkan cara.”

Diplomat tersebut ialah Nicholo Michiaveli. Lahir pada 3 Mei 1469 dan meninggal pada 21 Jun 1527 ketika berumur 58 tahun di Florence, Itali. Michiavelli mengagumi falsafah politik klasik Aristotle, Plato dan Leornando da Vincci (yang juga terkenal sebagai pelukis).

Tujuan atau matlamat menghalalkan cara menulis kaedah kekuasaan politik tersebut dalam bukunya yang terkenal, iaitu The Prince. Bagi membentuk sebuah negara yang berkesan, kekejaman wajar dilakukan untuk mencapai tujuan yang dikehendaki.

Bagi mendapatkan kuasa menerusi strategi tersebut, persoalan moral dan agama hendaklah diketepikan. Machiavelli menjelaskan: Sesiapa yang mempercayai kepada “kejujuran” orang lain,  maka ia sebenarnya sudah kalah. Agar tidak tewas atau kalah, orang itu harus tidak percaya kepada sesiapa.

Doktrin ini kemudiannya menjadi sesuatu yang unggul dan kerana itulah berlakunya pelbagai pembunuhan dan tragedi politik sejak manusia menghuni bumi.

Doktrin sebelumnya yang dibawa oleh Islam menjadi semakin ditinggalkan oleh segelintir umat Islam sendiri kerana terlalu mahukan kekuasaan. Ketika hayatnya, Nabi Muhammad SAW menerapkan prinsip: Janganlah kamu berprasangka buruk kepada orang lain, kerana prasangka buruk itu adalah berdosa. Anggaplah semua ornag itu baik seperti dirimu sendiri.

Kemunculan ajaran sesat membawa kepada perspektif yang sama. Ajaran sesat dalam bahasa Inggeris dipanggil heresy manakala dalam bahasa Arab berpangkalkan istilah bida’ah. Secara harfiahnya, bida’ah membawa maksud “memulai”.

Menurut Oxford English Dictionary, heresy ialah “pandangan atau doktrin teologi atau keagamaan yang dianggap berlawanan atau bertentangan dengan doktrin gereja Katholik atau Othordoks.” Berdasarkan maksud itu, ajaran sesat merupakan pandangan atau doktrin dalam falsafah, politik, ilmu maupun seni yang berbeza dengan apa yang diterima sebagai sesuatu yang umum atau berwibawa.

Pertembungan kaedah memperoleh dan mengekalkan kuasa itu menyebabkan berlakunya keadaan kacau nilai. Nilai yang dimaksudkan sesuatu peraturan yang diterima umum sebagai sesuatu yang baik dan mengikatnya ke dalam satu bentuk kesatuan. Ia seumpama “seberkas lidi” dan apabila sebatang lidi berada di luar ikatan “seberkas lidi” maka, yang di luar itu dianggap janggal.

Bila semua ikatan itu terburai, maka “seberkas lidi” tidak lagi memberikan apa-apa kekuatan. Lidi-lidi yang terpencar itu mungkin mudah dipatahkan kecualilah ianya bersatu kembali. Inilah yang dapat digambarkan apabila terdapatnya sekumpulan penganut agama bergabung sesama sendiri untuk mengumpulkan kekuatan bagi menumbangkan sesebuah organisasi, terutamanya kerajaan.

Hal ini dilihat sebagai sesuatu yang terkeluar daripada bingkai moral oleh seorang intelektual Islam zaman pertengahan, iaitu lebih 400 tahun sebelum kelahiran Nicholo Machiavelli, iaitu al-Ghazali (1058-1111). Bagi al-Ghazali, matlamat menghalalkan cara merupakan satu kaedah politik yang melampau dan perlu dielakkan kerana masih banyak cara untuk membolehkan pemerintah membuat pembetulan sekiranya menzalimi rakyatnya.

Kaedah yang disarankan ialah mendampingi golongan pemerintah (umara) dan ulama mestilah pandai menggunakan strategi supaya tidak terjerumus ke kancah kekusutan ataupun kepemihakan kekuasaan. Ulama jenis itu dinamakan sebagai ulama syu’, iaitu ulama  yang terpesona dengan gelaran dan pengiktirafan oleh pemerintah, kerana ulama sedemikian sanggup melakukan kerosakan demi kedudukan.

Strategi berikutnya, menggunakan kaedah menasihati pemimpin agar prihatin kepada rakyat kebanyakan dengan menyedarkannya bahawa, tanpa rakyat pemimpin tidak akan mempunyai kuasa. Kuasa sebenar adalah di tangan rakyat, dan jika rakyat tidak inginkan pemimpin berkenaan terus berkuasa, rakyat boleh menghantar isyarat kepadanya.

Isyarat yang jelas ialah menyatakan kesalahan seseorang pemimpin. Seseorang pemimpin yang mendengar rintihan dan masalah rakyat akan melakukan kaedah pembetulan, jika pemimpin terus berdegil, ia boleh disingkirkan menerusi kuasa pemilihan.

Malaysia mengamalkan sistem politik yang diputuskan oleh kuasa rakyat. Ini bererti, keabsahan seseorang pemimpin adalah berdasarkan keputusan rakyat. Maknanya, kemunculan pihak tertentu untuk mendesak pemimpin berundur bukanlah merupakan keputusan rakyat. Rakyat akan menentukannya berdasarkan proses pilihan raya.

Kemunculan gerakan menyingkirkan Perdana Menteri yang dimulakan oleh parti-parti pembangkang selepas pilihan raya adalah satu bentuk kezaliman kepada sistem politik yang turut memberikan mereka sedikit kuasa. Kumpulan itu sebenarnya sedang berusaha membuli rakyat untuk kepentingan sendiri, yakni memperbodohkan peraturan dan nilai yang turut mereka terima pada awalnya.

Golongan itu sebenarnya dilihat oleh al-Ghazali sebagai kumpulan yang zalim, yang boleh disamakan dengan ajaran sesat. Demi sesuatu matlamat, kumpulan berkenaan sanggup melakukan pendustaan dan menghina sebahagian rakyat yang mengambil bahagian dalam proses demokrasi.

Bagi golongan ini, demokrasi adalah kebebasan tanpa batas. Walaupun dianggap bebas, sebenarnya keinginan mereka tidaklah boleh dianggap bebas, masih berbingkaikan rasa benci dan marah akibat tidak memperoleh apa yang dihajatinya. Inilah realiti politik kacau nilai. Realiti politik yang tidak mengendahkan peraturan dan moral.

Golongan ini akan menggunakan apa sahaja saluran yang ada untuk menaja “keburukan pemerintah” sebagai “bayangan atau kepalsuan”. Tanpa mempunyai bukti yang kuat, hanya bersandarkan pandangan dan pendapat, mereka berusaha menggariskan pembingkaian minda seolah-seolah pemimpin yang disasarkan itu benar-benar bersalah. Dilakukan secara berulang-ulang dan bersiri sehingga persepsi umum kesemuanya buruk.

Inilah juga yang dilakukan oleh kumpulan ajaran sesat apabila melihat kumpulan yang menentang ajarannya sebagai “musuh yang perlu dihapuskan”. Kemunculan kumpulan militant DAESH semacam memberikan kita satu bentuk manifestasi, bahawa doktrin Miachiavelli semakin unggul dan wajar ditegakkan.

Begitu juga dengan Konggress Rakyat. Dahulunya mereka saling bermusuh, tetapi kerana ada agenda tertentu, mereka sanggup berganding tenaga memburuk-burukkan sistem dan orang yang sedang berkuasa. Inilah yang boleh dinamakan sebagai satu bentuk ajaran sesat, yang bukan sahaja merosakkan nilai kehidupan bahkan boleh mengancam ketenteraman awam.

Bagi al-Ghazali, kemaslahatan agama dan rakyat sepatutnya menjadi agenda utama. Kumpulan yang mahu “menggulingkan pemimpin” bukan untuk membangunkan kemaslahatan umat dan negara, lebih menjurus kepada memenuhi ego dan dendam kerana keinginannya terhalang.

Mereka juga turut merasa suasana hariannya semakin terdesak kerana melakukan kaedah “matlamat menghalalkan cara” adalah lebih cepat berbanding menunggu proses penentuan selanjutnya. Inilah yang al-Ghazali amat bimbang, usaha menjatuhkan pemimpin dengan kaedah bebas nilai akan menyebabkan masalah lebih besar.

Seperti mana diakui oleh seorang pemuda yang menjadi katalis kepada kebangkitan Revolusi Mesir pada tahun 2011, Whael Ghonim. Ketika Mesir dilanda kemarahan rakyat akibat cengkaman pemerintahan dictator Hosni Mubarak di akhir pemerintahannya selama lebih 30 tahun, beliau menggunakan media sosial untuk menyemarakkan kebangkitan anak muda agar menjatuhkannya.

Akhirnya, Hosni Mubarak berundur ekoran saban Jumaat berlakunya kemarahan rakyat di Dataran Tahrir. Selepas kejatuhan Hosni, Mesir memulakan pilihan raya demokrasi pertama, dan sayap politik Ikhwanul Muslimin menang. Bagaimanapun, kemenangan Ikhwanul Muslimin tidak lama, Mohamed Morsi disingkirkan oleh seorang tentera, yang ketika itu menjawat jawatan sebagai menteri.

Jeneral al-Sisi berusaha menghidupkan semula kaedah eleganitarisme Mubarak dengan melakukan pindaan perlembagaan dan mengharamkan Ikhwanul Muslimin, termasuk mendakwa Mohamad Morsi. Setelah beberapa tahun berlaku, Whael Ghonim kesal dengan apa yang berlaku, Mesir jauh daripada tenteram dan kehidupan rakyatnya menjadi lebih baik. Usaha menjamin keselamatan dan kehidupan rakyat dengan lebih baik semakin sukar, dan belum muncul walaupun sekadar kembali kepada zaman sebelum revolusi.

Apa yang sedang berlaku dan dimulakan di Malaysia seharusnya tidak akan berakhir sebagaimana kroniknya revolusi Mesir, matlamat sudah tercapai tetapi rakyatnya masih dibelenggu resah dan getir. Kehidupan mereka bukan semakin menarik, bahkan seringkali tergelincir daripada nilai sejahtera.

Oleh: Kamarun KH

No Comments

    Leave a reply