ANCAMAN ALLAH SWT KEPADA ORANG YANG BERBUAT FITNAH.

Oleh: Abu Fattah

Bahasa dan Istilah.

Perkataan ‘fitnah’ berasal daripada bahasa Arab yang bermaksud kekacauan, bencana, cubaan dan penyesatan. Atau dalam pengertian sehari-hari, kata fitnah ini sering dimaksudkan sebagai berita bohong atau tuduhan yang diada-adakan untuk membinasakan seseorang yang tidak sesuai dengan kenyataan atau kebenaran.

Kamus Dewan pula mendefinisikan fitnah sebagai tuduhan yang diada-adakan untuk memburukkan atau membencanakan seseorang.[1] Fenomena atau budaya fitnah memfitnah ini sebenarnya tidak hanya terjadi pada dunia hari ini sahaja tetapi telah berlaku sejak zaman Rasulullah s.a.w dan zaman sebelum Baginda lagi. Tujuan fitnah ini adalah semata-semata untuk menjatuhkan atau menghancurkan keamanan dan perpaduan yang ada demi memuaskan hati sang pembuat fitnah yang majoritinya berkaitan harta dan kekuasaan.

Dalil dan Perbahasan Ulama.

Firman Allah swt dalam surah an-Nur ayat 11 ialah salah satu wahyu yang diturunkan kepada Nabi saw dalam menyelesaikan berita fitnah yang berlaku kepada isteri baginda Aisyah ra. Kisah fitnah tersebut akan diceritakan dalam bab berikutnya sejarah dan peristiwa yang berkaitan. Firmannya bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong adalah dari golongan kamu. Janganlah kamu menganggapnya buruk bagi kamu bahkan ia adalah baik bagi kamu. Tiap-tiap seseorang dari mereka memperoleh apa yang dia kerjakan dari dosa itu. Dan siapa yang mengambil bahagian yang terbesar di dalamnya di antara mereka, baginya azab yang besar.”[2]

Ayat ini mengecam mereka yang menuduh isteri baginda tanpa bukti yang kukuh. Maksud ‘buruk bagi kamu bahkan ia adalah baik bagi kamu’ ialah kamu dapat membezakan siapa yang munafik dan siapa yang kuat imannya di tengah-tengah golongan sendiri. Kejadian tersebut telah memberi kesan kepada keluarga Nabi saw sehinggalah Allah menurunkan wahyu tersebut. Buruknya fitnah ini kerana ianya boleh memporak-perandakan keluarga sesiapa sahaja apatah lagi masyarakat yang besar.

Bagi yang menyebarkan fitnah pula, apa yang dijanjikan oleh Allah swt ialah mereka akan menerima balasan sesuai dengan kadar apa yang dengan sengaja dan sungguh-sungguh dia kerjakan dari dosa isu buruk itu. Dan siapa yang mengambil bahagian yang terbesar, yakni yang menjadi sumber serta pemimpin kelompok itu, dalam penyiaran berita bohong itu maka baginya azab yang besar di akhirat nanti.[3]

Dosa membuat fitnah ini lebih besar daripada membunuh kerana kesan fitnah ini sangat besar. Sedangkan pembunuhan sewenang-wenangnya adalah juga dilarang di dalam Islam dan hukuman qisas akan menanti kepada mereka yang membunuh apatah lagi perbuatan fitnah. Firman Allah swt dalam surah al-Baqarah sebahagian ayat 217 yang bermaksud: “…Dan berbuat fitnah lebih besar dari membunuh…

Kesan kedua daripada sifat fitnah ini ialah fitnah itu sendiri tergolong dalam perkara-perkara dusta. Kita dianjurkan untuk berhati-hati dalam perbualan seharian seharian kita kerana jika kita menyatakan perkara yang kita dengar sahaja maka ianya dianggap berdusta. Hal ini bertepatan dengan hadis Nabi saw yang bermaksud:

Dari Abu Hurairah ra bahawa Nabi saw bersabda, “Seseorang itu cukup dianggap berdusta kalau ia mengatakan segala apa yang didengarnya.

(Hadis Riwayat Muslim)

Mutiara hadis ini menjelaskan bahawa perintah mengklarifikasi berita dan tidak membenarkan setiap perkataan yang tidak jelas sumbernya. Ibnu Alan berkata, ‘Makna hadis dan atsar dalam bab ini adalah teguran agar tidak membicarakan setiap hal yang didengar. Kerana, yang didengar itu adakalanya benar dan adakalanya dusta. Apabila seseorang membicarakan setiap hal yang didengarnya, maka ia telah berdusta. Kerana, ia memberitahukan apa yang tidak ada.[4]

Doa Nabi Ibrahim agar di jauhi daripada fitnah juga terdapat di dalam al-Quran surah al-Mumtahanah ayat 5 yang bermaksud: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau jadikan pendirian dan keyakinan kami terpesong kerana tindasan orang-orang kafir, dan ampunkanlah dosa kami wahai Tuhan kami; sesungguhnya Engkaulah sahaja Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.[5]

Doa ini bagaikan menyatakan: Tuhan kami, jangan jadikan amal perbuatan, ucapan, dan keadaan sosial  kami buruk sehingga melahirkan kesan yang buruk bagi agama Islam, yang berakibat menjauhkan non muslim dari ajaran Islam dengan dalih, kalau ajaran Islam baik, tentu penampilan umatnya baik pula.[6]

Sejarah dan Peristiwa.

Berlakunya fitnah besar terhadap Saidatina Aisyah ra isteri Rasulullah saw semasa berlakunya peperangan Bani al-Mustaliq. Ceritanya bermula apabila Aisyah ra turut keluar bersama Rasulullah saw dalam peperangan tersebut setelah cabutan undi di kalangan isteri-isteri baginda menjadi miliknya. Begitulah kebiasaan yang dilakukan oleh Rasulullah saw bersama para isterinya.

Apabila mereka semua pulang dari peperangan itu mereka singgah di beberapa tempat. Di suatu tempat yang mereka singgah itu, Aisyah keluar untuk membuang air, lalu hilang kalung kakaknya yang dipinjamkan kepadanya. Kemudian dia berpatah balik mencari kalung itu di tempat keluar tadi. Tatkala itu kumpulan yang mengusung pengusungannya datang lalu mereka menyangka Aisyah berada di dalamnya. Mereka tidak perasan yang Aisyah tiada di tempat pengusungan itu kerana Aisyah seorang yang kecil yang tidak terasa berat tubuhnya.

Kemudian Aisyah kembali ke tempat persinggahan mereka setelah menemui kalungnya dan tiba-tiba mendapati tiada sesiapa di situ. Lalu dia pun duduk menunggu di situ dengan berharap mereka akan sedar kehilangannya dan akan kembali untuk mencarinya.

Ketika Aisyah menunngu sehingga tertidur, dia tersedar apabila mendengar suara Safwan bin al-Mu’attil beristighfar kerana menyedari bahawa Aisyah ra ialah isteri Rasulullah lalu beliau menjemput Aisyah menunggang untanya sambil diheret olehnya. Akhirnya Safwan tiba dengan Aisyah kepada pasukan mereka tatkala tentera-tentera Islam singgah di Nahr al-Zahrah. Apabila manusia melihat hal demikian mereka pun bercakap-cakap dengan berbagai ragamnya.

Si kotor Abdullah bin Ubay mendapat peluang untuk meniupkan kejahatannya. Lalu disebarkan racun kemunafikannya dan kedengkian yang bersarang dalam tulang rangkanya itu. Dia pun membawa cerita fitnah, disebar dan dijajanya merata tempat sehingga para sahabatnya berkerumun kepadanya untuk mendengar berita itu.

Berita tersebut sampai ke pengetahuan Rasulullah saw dan baginda meminta pandangan sahabat dan Saidina Ali mengisyaratkan supaya Aisyah diceraikan dan Usamah dan selainnya pula memberikan pendapat agar terus menerimanya sebagai isteri dan jangan mempedulikan kata-kata para seteru itu.

Pada masa yang sama Aisyah ra tidak mengetahui berita fitnah tersebut sehinggalah diberitahu oleh Ummu Mistah iaitu ibu kepada salah seorang yang terbabit menyebarkan berita fitnah itu. Aisyah tanpa membuang masa berjumpa dengan ibu bapanya dengan izin Rasulullah saw untuk memastikan berita tersebut. Lalu dia menangis dua malam dan sehari lamanya sehingga tidak dapat tidur kerana menangis. Aisyah ra menyerah diri kepada Allah dengan memberi perumpaan kata-kata bapa Nabi Yusuf yang bermaksud: “Kalau demikian, bersabarlah aku dengan sebaik-baiknya, dan Allah jualah yang dipohon pertolonganNya, mengenai apa yang kamu katakan itu.”[7]

Kemudian dia berpaling dan berbaring dan tatkala itu turunlah wahyu dan Rasulullah saw nampak riang dan tersenyum. Maka perkataan yang pertama sekali diucapkan oleh baginda ialah: “Allah telah membersihkan kamu.”[8]

Bentuk Ancaman.

  1. Setiap fitnah atau penyebaran fitnah tersebut akan mendapat balasan dengan nilai kadar yang sama dengan perbuatan fitnahnya. Semakin besar penglibatannya dalam sesuatu berita fitnah, semakin besar azab yang diterimanya.
  2. Dosa membuat fitnah itu lebih besar dari dosa membunuh.

[1] Pusat Rujukan Persuratan Melayu. Dewan Bahasa Pustaka. http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=fitnah

[2] M. Quraish Shihab. Tafsir al-Misbah (Pesan, Kesan dan Keserasian al-Quran). Jilid 8. 2009. Penerbit Lentera Hati: Jakarta. MS 490

[3] Ibid

[4] Dr. Musthafa Dib al-Bugha. Syarah Riyadhush Shalihin Imam an-Nawawi. Jilid 3. 2010. Gema Insani: Jakarta. MS 365

[5] Sheikh Abdullah Basmeih. Tafsir Pimpinan ar-Rahman (Kepada Pengertian al-Quran). 2000. Darul Fikir: Kuala Lumpur. MS 1496

[6] Op.Cit Tafsir al-Misbah (Pesan, Kesan dan Keserasian al-Quran). Jilid 13. MS 593

[7] Surah Yusuf ayat 18

[8] Al-Sheikh Safiyyu al-Rahman al-Mubarakfuri. Al-Rahiq Al-Makhtum Sirah Nabawiyyah SAW. 2016. Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia: Kuala Lumpur. MS 487

No Comments

    Leave a reply