ANCAMAN ALLAH SWT KEPADA ORANG YANG PECAH AMANAH

Oleh: Abu Fattah

Bahasa dan Istilah.

Takrifan pecah amanah membawa maksud perbuatan menyia-nyiakan atau melanggar amanah. Pemegang amanah pula ialah orang atau badan yang memegang, menguruskan dan melaksanakan sesuatu amanah. [1] Pecah amanah ialah sikap tidak bertanggungjawab yang boleh menimbulkan keraguan dan ketidakyakinan orang lain kepada pemegang amanah.

Pecah amanah berlaku apabila seseorang yang telah diamanahkan sesuatu tanggungjawab kepadanya menyalahgunakan tanggungjawab yang diberikan samada untuk dirinya, ahli keluarganya atau sesiapa yang ada kaitan dengannya. Selain itu pecah amanah ini biasanya berlaku seiring dengan penipuan dalam merealisasikan perbuatan terkutuk itu.

Dalil dan Perbahasan Ulama.                               

Amanah ialah kewajipan yang harus ditunaikan oleh seseorang sama  ada dari segi kebendaan atau bukan kebendaan kepada yang berhak menerimanya. Kewajipan kebendaan contohnya seperti mengembalikan hutang kepada orang telah meminjamkannya wang atau barang. Dalam hal ini, Allah swt berfirman  dalam surah al-Baqarah sebahagian ayat 283 yang bermaksud, “…Akan tetapi jika sebahagian kamu mempercayai sebahagian yang lain, maka hendaklah yang dipercayai itu menunaikan amanahnya (hutangnya) dan hendaklah ia bertaqwa kepada Allah Tuhan-nya.”[2]

Adapun bentuk amanah yang bukan berbentuk kebendaan seperti menyampaikan pesanan kepada seseorang atau seseorang yang telah diserahkan tugas dan tanggungjawab memimpin urusan orang Islam. Allah swt berfirman dalam surah al-Ahzab ayat 72 yang bermaksud, “Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.”[3]

Ayat ini sebenarnya masih berhubungan dengan ayat al-Quran sebelumnya yang berkaitan ketaatan kerana ia bagai menyatakan: Dan barang siapa yang tidak taat kepada Allah dan Rasul, apalagi setelah menerima amanah, mereka itu mendapat kerugian yang besar.

Para ulama berbeza pendapat tentang apa yang dimaksudkan oleh ayat tersebut dengan kata al-amanah. Ada yang  menyempitkan maknanya terbatas dalam perihal menentukan kewajipan keagamaan tertentu seperti Rukun Islam sahaja, ada juga memperluaskan maknanya sehingga meliputi semua beban keagamaan. Ada juga yang memahaminya dalam erti akal kerana dengannya manusia memikul tanggungjawab.

Ibn Asyur cenderung memahami kata amanah pada ayat ini dalam erti hakiki, iaitu apa yang diserahkan kepada seseorang untuk dipelihara dan ditunaikan sebaik mungkin serta menghindari segala bentuk penyia-nyiannya, baik secara sengaja mahupun kerana alpa dan lupa. Yang sengaja mempersia-siakan itulah yang dimaksudkan dengan perkataan dzaluman[4], sedang yang lengah dan alpa itulah dimaksudkan dengan kata jahulan[5].[6]

Sayyid Quthub menulis bahawa sesungguhnya penerimaan amanah  itu oleh manusia mempunyai risiko yang besar. Dengan menerimanya, ia telah memikul suatu beban tanggungjawab yang berat di atas bahunya. Dan kerana itu pula dia adalah menganiaya dirinya dan tidak mengetahui kemampuannya, jika dibandingkan dengan besarnya tanggungjawab yang bersedia dipikulnya. Jika dia berjaya memikulnya dan bangkit melaksanakan apa yang dituntut oleh amanah itu, maka dia telah mencapai satu peringkat yang mulia, suatu kedudukan yang sangat unik di antara makhluk-makhluk Allah.[7]

Secara keseluruhannya, pada awal surah ini Nabi saw diperintahkan agar tidak mengikuti kaum munafik dan para penderhaka dan pada akhir surah, mereka itu diancam dengan seksaan.[8]

Siapakah pula kaum munafik itu? Rasulullah saw telah memberikan jawapannya melalui hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah ra yang bermaksud: “Tanda orang munafik itu tiga perkara, jika berkata maka ia berdusta, jika berjanji maka ia mungkiri dan jika ia menerima amanah maka ia khianati.”[9]

Sejarah dan Peristiwa.

Nabi Adam as ialah manusia pertama yang mendiami syurga dan diberikan kepadanya segala keindahan syurga kepadanya. Akan tetapi penciptaan Adam as telah menyebabkan Allah swt menjauhkan Iblis daripada rahmatNya dan dicampakkan mereka ke dalam api neraka kerana keengganan mereka untuk sujud kepada Nabi Adam as. Lalu Iblis berjanji akan menjadi musuh utama kepada Adam dan seluruh keturunannya dan akan berusaha mengheret mereka bersamanya ke dalam api neraka.

Bermula tugas pertama mereka iaitu membisikkan kepada Nabi Adam as dan Hawa agar melanggar amanah yang telah ditetapkan oleh Allah swt iaitu tidak mendekati sepohon pokok yang ditetapkan oleh Allah berdasarkan firmanNya, “Dan kami berfirman: ‘Wahai Adam! Tinggallah engkau dan isterimu dalam syurga dan makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja yang kamu berdua sukai, dan janganlah kamu hampiri pokok ini; (jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu dari golongan orang-orang yang zalim’.”[10]

“Setelah itu maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepadanya dengan berkata: ‘Wahai Adam, mahukah aku tunjukkan kepadamu pohon yang menyebabkan hidup selama-lamanya dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap?’ Kemudian mereka berdua memakan dari pohon itu, lalu terdedahlah kepada mereka aurat masing-masing dan mereka mulailan menutupnya dengan daun-daun dari syurga; dan dengan itu derhakalah Adam kepada Tuhannya, lalu tersalah jalan (dari mencapai hajatnya).”[11]

Akhirnya Iblis berjaya mencari kelemahan manusia iaitu naluri ingin mempertahankan kehidupan dan mengekalkan kekuasaan lalu menggunakannya untuk menjerumuskan Nabi Adam as dan Hawa derhaka kepada Allah swt. Lalu “Mereka berdua merayu: ‘Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri; dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi.’ Allah berfirman: ‘Turunlah kamu semuanya dengan keadaan setengah kamu menjadi musuh bagi setengahnya yang lain, dan bagi kamu disediakan tempat kediaman di bumi, dan juga diberi kesenangan hingga ke suatu ketika (mati).’”[12]

Bentuk Ancaman.

  1. Orang yang pecah amanah pasti akan menerima seksaan di akhirat kelak.
  2. Mereka juga tergolong dalam orang-orang yang sangat rugi di akhirat kelak.
  3. Termasuk dalam golongan orang-orang munafik.

[1] Pusat Rujukan Persuratan Melayu. Dewan Bahasa Pustaka. http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=amanah

[2] K.H. Qamaruddin Shaleh. Ayat-ayat Larangan dan Perintah Dalam Al-Quran. 2002. Penerbit Diponegoro: Bandung. MS 239

[3] Sheikh Abdullah Basmeih. Tafsir Pimpinan ar-Rahman (Kepada Pengertian al-Quran). 2000. Darul Fikir: Kuala Lumpur. MS 1121

[4] Amat zalim

[5] Amat bodoh

[6] M. Quraish Shihab. Tafsir al-Misbah (Pesan, Kesan dan Keserasian al-Quran). Jilid 10. 2009. Penerbit Lentera Hati: Jakarta. MS 550

[7] Ibid. MS 553

[8] Ibid. MS 554

[9] Dr. Musthafa Dib al-Bugha. Syarah Riyadhush Shalihin Imam an-Nawawi. Jilid 1. 2010. Gema Insani: Jakarta. MS 365

[10] Op.cit. Tafsir Pimpinan ar-Rahman. Surah al-Baqarah ayat 35 MS 19

[11] Ibid. Surah Thaha ayat 120 -121 MS 798

[12] Ibid. Surah al-A’raaf ayat 23 – 24 MS 344

No Comments

    Leave a reply