ANCAMAN ALLAH SWT KEPADA ORANG YANG TIDAK ADIL.

Oleh: Abu Fattah

Bahasa dan Istilah.

Takrifan adil membawa beberapa maksud seperti menyebelahi pihak yang benar, meletakkan sesuatu pada tempatnya yang betul, menepati hak seseorang atau sesuatu dan tidak menyebelahi mana-mana pihak.[1] Oleh itu, orang yang tidak adil akan membawa maksud sebaliknya iaitu menyebelahi pihak yang tidak benar, meletakkan sesuatu pada tempat yang salah, tidak menepati hak seseorang atau sesuatu dan mempunyai sikap pilih kasih.

Sikap pilih kasih ialah sesuatu perbuatan sengaja terhadap orang lain dengan pembahagian berat sebelah atau melebihi dan mengurangi apa yang dibahagikan. Istilah tidak adil juga termasuk perbuatan seseorang yang mengambil hak orang lain. Tidak adil juga boleh di sama ertikan sebagai zalim kerana gagal meletakkan sesuatu di tempatnya dengan betul. Sebagai contoh, seorang suami yang mempunyai dua orang isteri iaitu seorang kurus dan seorang gemuk. Adakah adil si suami memberikan kedua-dua isterinya selembar kain yang sama bidang ukurannya?

Dalil dan Perbahasan Ulama.

Antara ancaman Allah s.w.t kepada orang yang zalim telah dinyatakan di dalam surah al-A’raaf ayat 41 yang bermaksud: “Disediakan untuk mereka hamparan-hamparan dari api neraka dan di atas mereka lapisan-lapisan penutup (dari api neraka). Dan demikianlah Kami membalas orang-orang yang zalim.” [2]

Perkataan hamparan-hamparan dan lapisan-lapisan penutup merupakan perumpamaan tentang luputnya mereka dari segala macam hal yang menyenangkan.[3] Seseorang, apabila ingin beristirehat, ia memerlukan alas untuk berbaring di tempat yang empuk. Ia perlu juga berlindung dari terik panas di tempat yang teduh. Kedua hal ini tidak diperoleh oleh para penderhaka itu kerana alas mereka adalah neraka dan atap yang melindungi mereka dari panas adalah api neraka juga.

Dalam satu hadis Nabi saw dikemukakan bahawa, “Sesungguhnya seksaan yang paling ringan dialami oleh penghuni neraka adalah satu bara api yang diletakkan di bawah telapak kakinya yang menjadikan otaknya mendidih.” Bayangkanlah bagaimana kalau ia berbaring di atas api dan berteduh di bawah api?[4]

Begitulah Allah s.w.t meletakkan orang-orang yang zalim di akhirat kelak. Nabi saw juga pernah bersabda yang bermaksud: Dari Jabir ra bahawa Rasulullah saw bersabda: “Takutlah kalian untuk berbuat zalim, sebab kezaliman itu mendatangkan kegelapan-kegelapan pada hari kiamat…”.                                                     (Hadis riwayat Muslim)

Itulah anjuran untuk menjauhi perbuatan zalim kerana perbuatan zalim itu termasuk dosa besar yang menyebabkan pelakunya memperoleh kesulitan yang besar dan seksaan yang pedih pada hari kiamat.[5]

Orang yang mengambil hak orang lain dengan sengaja atau tidak juga tergolong dalam orang yang tidak adil berdasarkan sabda Nabi saw yang bermaksud: Dari Aisyah ra bahawa Rasulullah saw bersabda, “Barangsiapa mengambil tanah orang lain sejengkal, maka tanah itu akan dikalungkan di lehernya dari tujuh lapis bumi.”

(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Seksaan seperti dikalungkan kepadanya dari tujuh lapis bumi menerangkan bahawa Allah swt menjadikan tujuh kali ganda seperti kalung yang ada di lehernya. Hal ini menggambarkan betapa besarnya dosa dan beban yang dipikulnya. Ancaman yang sangat keras bagi orang yang mengambil hak-hak orang lain. Serta, anjuran untuk segera menunaikan hak-hak kepada pemiliknya walaupun hanya sedikit.[6]

Apabila sebut sahaja keadilan maka kebanyakan berkisar kepada konsep kepimpinan dan kehakiman. Sebenarnya konsep keadilan ini ialah konsep yang menyeluruh kepada semua lapisan masyarakat. Kerosakan dalam keadilan boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira siapakah mereka. Setiap manusia itu mempunyai tanggungjawab ke atas sesuatu yang telah ditetapkan. Seorang pemimpin terhadap rakyatnya, seorang imam terhadap makmumnya, seorang bapa terhadap keluarganya dan seorang manusia terhadap dirinya. Setiap sisi manusia itu mempunyai kelemahan untuk melakukan ketidakadilan terhadap orang lain. Maka berwaspadalah dengan setiap keputusan dan tindakan kita agar tidak jauh terpesong dan zalim.

Ini bertepatan dengan hadis Nabi saw yang bermaksud: Ibnu Umar ra berkata, saya telah mendengar Rasulullah saw bersabda: “Setiap orang adalah pemimpin dan akan diminta pertanggungjawaban atas kepemimpinannya. Seorang ketua negara akan diminta pertanggungjawaban perihal rakyat yang dipimpinnya. Seorang suami akan ditanya perihal keluarga yang dipimpinnya. Seorang isteri yang memelihara rumah tangga suaminya akan ditanya perihal tanggungjawab dan tugasnya. Bahkan seorang hamba yang bertugas memelihara barang milik majikannya juga akan ditanya dari hal yang dipimpinnya. Dan kamu sekalian pemimpin dan akan ditanya (diminta pertanggungjawaban) dari hal-hal yang dipimpinnya.”

(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Pada dasarnya hadis ini menceritakan tentang etika kepimpinan dalam Islam iaitu tanggungjawab. Berlaku adil itu ialah salah satu tanggungjawab yang perlu ada dalam setiap manusia. Kegagalan dalam melaksanakan keadilan di dalam tanggungjawab yang diberikan akan menyebabkan rosaknya tanggungjawab yang diberikan dan balasan yang setimpal akan diperoleh di akhirat kelak.

Dengan demikian, perbuatan zalim menghapuskan kebaikan pelakunya. Sesuai dengan sebuah riwayat al-Baihaqi dengan sanad jayyid dari sekitar enam atau tujuh sahabat Nabi saw, mereka berkata, “Sesungguhnya, pada hari kiamat nanti seseorang akan diperlihatkan lembaran amalnya sehingga ia mengetahui bahawa dirinya selamat dari seksa neraka. Akan tetapi, orang-orang yang dizaliminya akan terus menuntutnya sehingga tidak tersisa lagi pahala kebaikan baginya sehingga dosa-dosa mereka dibebankan kepadanya.”[7]

Sejarah dan Peristiwa.

Sebuah kisah yang diceritakan dalam kitab Mukhtasar Bidayah wan Nihayah hasil penulisan Ibnu Katsir ada menceritakan kisah penduduk Madyan. Penduduk Madyan adalah satu kaum Arab yang tinggal di kota bernama Madyan. Kota tersebut terletak di daerah Ma’an di hujung daerah Syam dekat dengan laut tempat tenggelamnya kaum Lut. Mereka berasal dari keturunan Bani Madyan bin Madyan bin Ibrahim al-Khalil.

Penduduk Madyan adalah orang-orang kafir. Kehidupan biasa mereka adalah merompak dan menakutkan orang di jalanan. Mereka juga adalah seburuk-buruk manusia dalam urusan jual beli. Mereka menipu di dalam timbangan. Meminta tambahan semasa membeli dan mengurangkan timbangan semasa menjual. Lalu Allah swt mengutus seorang rasul dari kalangan mereka iaitu Nabi Shuaib as. Shuaib menyeru mereka untuk menyembah hanya kepada Allah dan tidak menyekutukanNya dan melarang melarang mereka melakukan perbuatan-perbuatan buruk mereka.

Sebahagian dari mereka beriman kepadanya, namun kebanyakan mereka masih kafir. Nabi Shuaib menasihati serta mengingatkan mereka tentang apa yang telah menimpa kaum Lut, mereka adalah kaum yang begitu dekat dengan mereka samada dari segi tempat ataupun masa. Namun mereka tetap enggan untuk menyambut seruan itu sehingga akhirnya Nabi Shuaib mendoakan kecelakaan untuk mereka, sedang Allah tidak akan menolak doa para rasulNya jika mereka meminta pertolongan atas orang-orang kafir. Mereka akhirnya ditimpa gempa yang begitu dasyat dan Allah swt menghujani mereka dengan panahan percikan api sehingga binasa.[8]

Hal kebinasaan ini bertepatan dengan firman Allah swt dalam surah al-A’raaf ayat 91 hingga 92 yang bermaksud, “Maka mereka dibinasakan oleh gempa, lalu menjadilah mereka mayat-mayat yang tersungkur di tempat masing-masing. Orang-orang yang mendustakan Nabi Shuaib (punah-ranah) seolah-olah mereka tidak pernah mendiami negeri itu. Orang-orang yang mendustakan Nabi Shuaib, merekalah orang-orang yang rugi.”[9]

Kaum Madyan antara kaum yang dibinasakan oleh Allah swt kerana keengganan mereka mempercayai utusan Allah melalui Nabi Shuaib as. Antara keburukan yang mereka lakukan ialah tidak berlaku adil dan jujur semasa melakukan urusan jual beli sehingga Allah menurunkan seorang rasul kepada mereka. Dan sebahagian daripada mereka juga tidak berlaku adil kepada diri mereka sendiri kerana tidak membenarkan kebenaran yang dibawa oleh Nabi Shuaib as yang akhirnya balasan Allah menanti mereka pada akhirnya. Perlakuan tidak adil ini sebenarnya memberi kesan besar kepada sesiapa sahaja terutama sekali kepada masyarakat kerana ianya salah satu bentuk penindasan dan penindasan salah satu perkara yang dilarang dalam Islam.

Bentuk Ancaman.

  1. Orang yang tidak berlaku adil akan mendapati dirinya diselimuti oleh api neraka.
  2. Digandakan di atas bahu mereka tujuh kali ganda bagi perbuatan mengambil hak orang lain.
  3. Hanya kegelapan yang akan dilihat di akhirat kelak bagi mereka yang berbuat zalim.

[1] Pusat Rujukan Persuratan Melayu. Dewan Bahasa Pustaka. http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=adil

[2] Sheikh Abdullah Basmeih. Tafsir Pimpinan ar-Rahman (Kepada Pengertian al-Quran). 2000. Darul Fikir: Kuala Lumpur. MS 351

[3] Keselesaan sehingga lalai dalam kehidupan harian yang menyenangkan.

[4] M. Quraish Shihab. Tafsir al-Misbah (Pesan, Kesan dan Keserasian al-Quran). Jilid 4. 2009. Penerbit Lentera Hati: Jakarta. MS 115

[5] Dr. Musthafa Dib al-Bugha. Syarah Riyadhush Shalihin Imam an-Nawawi. Jilid 1. 2010. Gema Insani: Jakarta. MS 381

[6] Ibid. MS 385

[7] Prof. Dr. Wahbah Az-Zuhaili. Ensiklopedia Akhlak Muslim (Berakhlak Terhadap Sesama & Alam  Semesta). 2014. PT Mizan Publika: Jakarta. MS 123

[8] Kisahislam.net (Kumpulan Kisah Teladan & Sejarah Islam). 6 Mei 2013. http://www.kisahislam.net/2013/05/06/ringkasan-bidayah-wan-nihayah-kisah-kaum-madyan-kaum-nabi-syuaib-alaihis-salam/

[9] Op.cit. Tafsir Pimpinan ar-Rahman. MS 366

No Comments

    Leave a reply