ANDAINYA LGBT BERKUASA…

Golongan LGBT adalah minoriti di dunia. Bukan hanya pada zaman ini, tetapi sepanjang zaman. Hanya segelintir yang menjadi LGBT. Selain itu, mereka tidak kelihatan, dan terdedah. Tersembunyi dalam kehidupan mereka masing-masing daripada pengetahuan masyarakat.

Mereka tersembunyi kerana, antara lain majoriti masyarakat tidak dapat menerima cara hidup mereka. Selagi mereka ini tersembunyi, masyarakat tidak akan menganggu mereka. Tetapi jika mereka tampil ke depan, dan tanpa segan silu mendedahkan diri mereka, dan cara hidup mereka, maka pasti masyarakat akan menolak.

Begitulah apa yang berlaku zaman berzaman hinggalah dunia masuk ke abad ke-21. Sebelumnya, di akhir abad ke-20, mereka sudah mula menampilkan diri di sana sini, walaupun terus mendapat tekanan masyarakat. Mereka muncul di Eropah Barat dan Amerika Utara.

Mereka menubuhkan lobi politik untuk mendesak masyarakat dunia mengiktiraf kehadiran mereka. Paling kuat ialah di New York , kota yang dianggap paling liberal di dunia. Maka akhirnya dalam tahun ini, tentunya dengan sikap masyarakat yang sudah berubah dan boleh meneriuma mereka, Presiden Barack Obama mengiktiraf perkahwinan sejenis.

Pengiktirafan presiden Amerika Syarikat yang akan menghadapi pilihan raya tentu didorong atas kuatnya lobi LGBT di negara itu, walaupun secara umumnya masyarakat di sana tetap menolak perkahwinan sejenis. Cumanya suara mereka sudah semakin lantang dan berupaya memberi tekanan sekurang-kurangnya di kalangan golongan politik liberal sendiri.

Pengiktirafan terhadap LGBT adalah sebahagian daripada sikap golongan liberal sekurang-kurangnya di negara-negara Barat. Di negara-negara bukan Barat, yang dipanggil liberal mungkin masih tidak sampai ke sikap sebegitu. Liberal yang mempunyai akar kata liberty adalah fahaman yang berdasarkan kepada kebebasan. Tetapi di Amerika Syarikat, liberalisme merupakan suatu fahaman jelas dalam spektrum politik kepartian di sana.

Liberalisme dianggap sebagai aliran sebelah kiri berbanding dengan konservatisme merupakan lawannya di sebelah kanan. Secara rasmi liberalisme adalah fagaman yang dianut oleh Parti Demokratik, dan konservatisme pula dipegang oleh Parti Republikan. Presiden Obama adalah dari kalangan Demokratik, sementara George W Bush adalah Republikan.

Di Amerika Syarikat, sokongan terhadap parti-parti politik ini tidaklah tetap kerana pengundi akan menilai calon dan pelbagai isu berkaitan pentadbiran negara dan bukannya semata-mata terhadap fahaman politik, sama ada liberalisme atau konservatisme.

Maka dalam politik Amerika sememangnya berlaku kontradiksi atau pertentangan pendirian dalam isu-isu masyarakat, namun akhirnya, usaha untuk meraih undi sebanyak mungkin bagi menang pilihan raya akan menentukan segala-galanya. Justeru, jika undi para golongan LGBT dan penyokongnya amat penting, maka pasti kehendak mereka akan dituruti.

Secara umumnya golongan liberal di Amerika Syarikat berada di bandar-bandar dan negeri-negeri maju seperti California dan kota-kota utama seperti New York, Washington, Boston dan Chicago. Umumnya, golongan terpelajar menyokong liberalisme berbanding konservatisme. Kebanyakan orang Yahudi terdiri daripada kalangan ini. Mereka juga menguasai universiti dan media serta dunia seni termasuk Hollywood.

Maka pertembungan berlaku dalam masyarakat Amerika, di satu pihak golongan liberal mendokong LGBT diberi hak menjalani kehidupan secara terbuka dan diiktiraf, sementara konservatif pula yang didokong oleh penganut Kristian kuat menolak. Ada antara mereka adalah radikal dan keras dalam penolakan terhadap LGBT.

Tetapi akhirnya bagi ahli politik, undi perlu diambil kira walaupun teras moral dan kepercayaan tetap dijunjung. Maka dengan pertimbangan demokratik secara umum, pengiktirafan Obama terhadap perkahwinan sejenis di New York lambat laun akan merebak ke seluruh Amerika Syarikat.

Lanjutan daripada itu, akhirnya juga pengiktirafan terhadap LGBT akan dianggap sebagai hak asasi manusia  Apa yang berlaku kemudian di Barat ialah keberanian ahli-ahli politik mereka mengaku diri mereka sebagai LGBT. Jika mereka ini berani berbuat demikian, maka ia menandakan bahawa para pengundi boleh menerima mereka.

Jika keadaan ini berterusan maka akan sampai masanya, seorang calon presdien atau perdana menrteri di negara-negara Barat akan berani menampilkan diri sebagai seorang LGBT/ Maka dari situlah boleh dilihat keadaan sesebuah negara yang dianggap telah dipimpin oleh seorang LGBT.

Maknanya apabila keadaan itu berlaku, tentulah LGBT tidaklagi bersembunyi atau menyorok. Masyarakat Barat terpaksa mengubahsuaikan diri dengan fenomena baru ini. Oleh kerana mereka yang selama ini tersembunyi dan kini tampil secara terbuka, susunan keharmonian masyarakat juga terjejas. Ketegangan pasti berlaku dan perbahasan mengenai perkara ini akan berlarut-larutan.

Jika satu hari, seorang calon presiden LGBT menang di Amerika Syarikat dan diikuti dengan lain-lain presdien atau perdana menteri di negara-negara Eropah, maka tuntutan supaya LGBT diiktiraf di seluruh dunia akan bergerak. Tentu scenario ini menakutkan umat beragama yang tidak dapat menerima LGBT sama sekali.

Oleh: Zin Mahmud

Tags: ,

No Comments

    Leave a reply