ANEKDOT PILIHAN RAYA UMUM KE-14

 

 Hari ini adalah hari terakhir kempen Pilihan Raya Umum ke-14 boleh dilakukan dan malam esok seluruh rakyat Malaysia akan mengetahui keputusannya.

Sebelum kita berduyun-duyun hadir ke pusat pengundian untuk menentukan siapa dan parti manakah yang kita setuju untuk menerajui pemerintahan negeri dan negara untuk lima tahun akan datang, eloklah kita berfikir secara rasional apakah keputusan untuk memangkah itu datang dari keputusan yang bersandarkan fakta yang jelas atau hanya berdasarkan emosi tertentu.

Saperti pernah diperingatkan oleh seorang pendakwah bebas, kita tidak perlu bereksperimen atau hanya ingin mencuba ‘menukarkan kerajaan’. Sekiranya parti yang dipilih dalam PRU ke-14 tidak dapat melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik, kita akan membuat keputusan menukarkannya pada PRU ke-15.

Bagi pendakwah bebas yang terkenal, Ustaz Kasim Elias tindakan sedemikian merupakan sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku. Kesannya adalah amat memedihkan bukan untuk tempoh lima tahun, bahkan kesakitan selama lima minit pun begitu perit.

Tidak perlu kita memperjudikan masa depan dengan memilih parti yang tidak mempunyai perancangan yang jelas. Parti itu hanya sekadar ingin mendapatkan kuasa. Kuasa yang diinginkan itu hanya sekadar ‘membalas dendam’. Dendam itu berpunca daripada ‘perselisihan peribadi’ dan bukannya idealisme politik dan perjuangan ‘membela rakyat’.

Akibat ‘perselisihan peribadi’ maka teciptalah beberapa hujah yang mungkin boleh dikaitkan dengan permasalahan rakyat. Hujah itu kemudiannya disebarkan sebagai bahan kempen. Bahan kempen itu kemudiannya diinterpretasikan dalam pelbagai pendekatan, peluang dan ruang kempen secara terbuka.

Didakwa bahawa kenaikan kos sara hidup adalah disebabkan kenaikan harga barang. Kenaikan harga barang disalahkan dengan tindakan memperkenalkan cukai barangan dan perkhidmatan atau GST. GST diperkenalkan pada 1 April 2014, dan ini bermakna rakyat Malaysia sudah membayarnya selama empat tahun.

Apabila kita melihat kepada sejarah, kita belum menemukan satu kesimpulan yang jelas. Sebelum GST diperkenalkan, harga barangan dan perkhidmatan tidak pernah meningkat. Misalnya jika kita mengambil contoh, harga sepasang baju sekolah. Menjelang awal tahun, ibu bapa mengeluh tentang kenaikan harga pakaian sekolah. Ia sudah berlaku sejak sekian lama, bukannya selepas GST diperkenalkan.

Kita juga mungkin akan bertanya, kenapa isu ‘bread and butter’ begitu berpengaruh sekali ketika kempen PRU ke-12 sehinga ada di antara kita percaya bahawa harga barangan ditentukan oleh kerajaan yang memerintah. Pandangan itu hanyalah suatu keputusan yang bersifat utopia (khalayan) kerana kerajaan sebenarnya tidak berniaga, ataupun menjadi pembekal. Apa yang boleh dilaksanakan oleh kerajaan ialah mengadakan undang-undang anti pencatutan dan bukannya tidak boleh menentukan margin keuntungan seminimum mungkin.

Dalam sistem pemerintahan moden, kerajaan hanya bertindak apabila pembekal, pengedar dan peruncit melakukan kesalahan berdasarkan Akta Perihal Dagangan, termasuklah tidak mempamerkan harga jualan, menipu barangan sama ada ‘kurang timbangan’, kandungan bahan yang diragui (tidak dibenarkan) ataupun menyorok untuk tujuan mendapat keuntungan yang lebih besar.

Beberapa hari lalu misalnya, ada mesej menyeru kepada suri rumah untuk membeli barangan keperluan dan menyimpannya. Seruan itu dibuat agar berlakunya pembelian panik akibat spekulasi bahawa selepas keputusan PRU ke-14 diumumkan, suasana politik akan menjadi tegang dan boleh mencetuskan huru-hara.

Ia ada kaitan dengan jangkaan yang dibuat oleh seorang bekas Perdana Menteri yang ingin kembali berkuasa. Beliau pernah membayangkan, sekiranya parti pemerintah kalah, parti yang kalah enggan ‘menyerahkan kuasa’ kepada pihak yang menang. Parti berkenaan dikatakan akan menggunakan apa sahaja peluang dan alat yang ada, termasuklah mengisytiharkan darurat.

Ingatan itu disuarakan sekali lagi dua hari lepas. Ingatan itu menjadi igauan sebahagian suri rumah tangga sehingga mereka mula membeli dengan banyaknya, walhal suasana ‘huru-hara’ itu tidak mungkin berlaku sebagaimana pernah berlaku pada tahun 1969. Rakyat Malaysia tidak inginkan perkara saperti itu berulang, walaupun ada sedikit persamaan.

Pihak keselamatan sudah pun bersiap sedia. Mereka bertungkus lumus untuk memastikan setiap inci tanah air kita selamat. Selamat dari ancaman politik melampau sebagaimana berlaku hampir 50 tahun lalu. Dan, tentunya yang lebih penting ialah tidak berlakunya provokasi melampau sehingga boleh menjejaskan ketenteraman awam dan membangkitkan kemarahan atas apa pun isu. Semuanya boleh diselesaikan menerusi perundingan dan penggunaan undang-undang, bukannya dengan cara menabur fitnah dan menambahkan kebencian.

Saya juga tertarik dengan usaha parti yang mengambil bahagian dan orang perseorangan berkempen. Mereka sudah mula memahami bahawa dalam persekitaran yang mencabar, kempen hendaklah dilaksanakan secara berhemah dan bukan menimbulkan kebencian. Tetapi, tidak semua kempen dilaksanakan secara berhemah, terutama dalam kalangan parti-parti yang ingin ‘menonjol dan menukarkan kerajaan’.

Parti-parti tersebut bukan sahaja berkempen secara agresif, bahkan membawa perkara-perkara yang boleh menyebabkan pendengar terasa mual, benci dan seterusnya menjauhkan diri daripada parti berkenaan. Contohnya, apabila kes ‘kematian pejuang Memali’ disifatkan sebagai ‘mati katak’, ia telah membangkitkan kemarahan besar bukan sahaja sebuah parti politik bahkan ramai rakyat Malaysia yang mengatakan ia adalah ‘mati syahid’.

Dakwaan itu dianggap melampau. Akhirnya menimbulkan kesan boomerang. Ada juga penyokongnya mula meninggalkan podium parti dan berkempen menentang orang yang dikaguminya itu.

Tidak terkecuali dengan bantahan dan bangkangan. Ketika ini semakin banyak tersebar bahan-bahan yang sebelum ini menjadi ‘taboo’ didedahkan kepada umum. Ada video lama ditayangkan kembali untuk menunjukkan betapa paradoksnya pemikiran tokoh berkenaan sehingga digelar Raja U-Turn.

Ada juga kempen mengatakan, ketika pemimpin berkenaan memerintah, habis barangan yang ada di ‘dalam rumah dijual’ dan kini, terdedah secara meluas senarai barangan yang telah dijual. Penjualannya menyebabkan beberapa orang di antaranya menjadi kaya dan tersangat kaya. Orang itu jugalah yang akhirnya berusaha untuk merombak sistem yang ada dan berusaha gigih ‘membakar kelambu dalam rumah’ yang pernah mereka sama-sama bernaung dan mengumpul kekayaan peribadi.

Anekdot yang boleh disifatkan agak aneh turut dapat dikesan dalam beberapa hari terakhir kempen PRU ke-14. Ada kata-kata sinis. Ada kenyataan yang boleh disifatkan ‘fatwa sumbang’ dikeluarkan apabila ‘penjaga syurga mengarahkan N***b ke neraka’. Ia dilihat bukan sahaja bertentangan dengan keyakinan umat Islam bahkan ‘orang itu saperti lebih tahu’ dan ‘boleh menentukan’. Seolah-olah sedang bermimpi bahawa dirinya adalah malaikat dan juga ‘Tuhan’. Syurga dan neraka adalah milik Allah SWT dan bukannya milik ‘orang itu.’

Akhirnya, saya teringat kepada satu kesimpulan. Seseorang itu dibenci oleh kebanyakan orang bukan kerana namanya. Ia dibenci kerana kata-katanya yang menghina kebanyakan orang. Ia dibenci kerana tindakannya pepat di luar rencong di dalam.

Monosin Sobri.

No Comments

    Leave a reply