ANGKAT SUMPAH TEPI KUBUR

JAKARTA 25 April – Peringatan terhadap kematian.

Demikian mesej yang cuba disampaikan oleh Datuk Bandar Makassar, Moh. Ramdhan Pomanto apabila memilih untuk mengadakan majlis angkat sumpah pelantikan pegawai di daerah itu berhampiran kawasan tanah perkuburan di sini.

Untuk itu, beliau telah mengarahkan penggali kubur supaya menggali beberapa liang lahad di Tempat Pemakaman Umum (TPU) Sudiang sebagai persiapan untuk majlis yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Selain peringatan tersebut, beliau mahu setiap pegawai memikirkan bahawa jawatan yang mereka sandang tidak akan bertahan lama atau boleh dibawa mati.

Media-media tempatan melaporkan, Moh. Ramdhan yang mesra dipanggil Danny itu berharap para pegawai yang dipilih untuk memegang jawatan penting di daerah itu tidak lalai daripada tanggungjawab mereka sebagai ‘hamba’ rakyat dan bertugas memberi layanan adil kepada masyarakat.

“Sudah lama rancangan ini kita atur dan saya tidak akan mengubah niat untuk me­lantik pegawai daerah ini di tepi liang lahad,” katanya ketika memantau proses penggalian liang lahad di TPU Sudiang di sini semalam.

Mengikut perancangan, ketika majlis pelantikan tersebut berlangsung, pegawai berkenaan akan berdiri bersebelahan liang lahad dan akan diberi kuliah umum oleh Moh. Ramdhan serta beberapa orang ustaz.

Bagaimanapun, majlis unik yang dirancang itu terpaksa dipindahkan ke Taman Makam Pahlawan (TMP) Panaikang selepas mendapat nasihat dan pandangan daripada seorang ulama tempatan, Sanusi Baco yang menyifatkannya sebagai tidak wajar kerana liang lahad hanya untuk orang yang meninggal dunia.

“Kita dengar nasihat dan pandangan kiai Sanusi. Kita menghargai nasihat itu, sebab itu kita pindahkan majlis ini ke TMP. Ini semua ada hikmahnya, temanya tetap di kubur tetapi untuk lebih elok kita pindah ke TMP,” ujar Moh. Ramdhan.

Moh. Ramdhan sebelum ini pernah mencetuskan kontroversi apabila mengadakan majlis pelantikan 435 orang pengetua dan guru besar sekolah pada akhir Mac lalu di sebuah kawasan pelupusan sampah di Antang, Makassar, menyebabkan beberapa orang guru pengsan kerana tidak tahan dengan bau busuk. – UTUSAN

#TANWIR – Ingat mati lagu Wali Band!

Artikel berkaitan: Malapetaka Kematian

No Comments

    Leave a reply