ANTARA MAHATHIR DAN ANWAR, SIAPA TERPERANGKAP (II)

Khabarnya, kelompok PPBM pro Dr Mahathir tetap tidak mahukan Anwar dan berbalas pendirian antara kelompok pro Anwar bahawa jawatan perdana menteri bukanlah ‘hak mutlak’ antara mereka berdua. Pendirian kelompok yang lain, Malaysia akan aman sekiranya, dua tokoh berkenaan tidak lagi hadir dalam lanskap politik Malaysia. Kelompok ini sudah cukup perit menanggung beban akibat pergaduhan atau krisis yang disebabkan oleh mereka berdua.

Rakyat sekarang memerlukan pemimpin yang tidak disimbahi oleh pelbagai imej buruk, termasuklah meninggalkan ‘bagasi berat’ kepada negara. Rakyat mahukan hidup mereka berubah dan mampu disejahterakan semula selepas terkurung lebih tiga bulan oleh virus pembunuh, COVID-19,  yang gagal ditangani pada peringkat awal kemunculannya oleh Pakatan Harapan.

Ramai melihat kemunculan COVID-19 sebagai ‘blessing in disguise’ kepada pembentukan Perikatan Nasional yang tidak pernah diduga oleh sesiapa pun atau karma politik PH kerana membohongi rakyat dengan manifesto bukan kitab suci. Bagi yang yakin dengan ‘peranan Tuhan’ memberikan tafsiran, COVID-19 adalah petunjuk , Pakatan Harapan bukanlah sebuah pemerintahan yang menjaga kebajikan rakyat. Pakatan Harapan terlucut kuasa kerana ‘telah dihukum oleh Tuhan’ apabila tersangat lupa diri dan sombong,  sanggup menghina agama, malaikat dan junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Tidak juga sesiapa pun menduga, selepas Dr Mahathir, orang yang menerajui pentadbiran Malaysia adalah Muhyiddin. Ia tidak semudah membuat ramalan bahawa Abdullah Ahmad Badawi akan menggantikan Dr Mahathir bila Perdana Menteri ke-4 meletakkan jawatan. Ini kerana, Abdullah sudah menduduki kerusi Timbalan Perdana Menteri selepas Anwar disingkirkan. Abdullah tidak mempunyai ‘sikap gelojoh’ sebagaimana Anwar. Anwar pernah bercadang dan merancang menentang Mahathir sebelum isu masalah moral dirinya dikaitkan.

Anwar pernah  membuat perancangan rapi selepas memenangi jawatan Timbalan Presiden UMNO bagi melengkapkan ‘pendakian kuasa’. Audio perancangan tersebut dapat didengar oleh Tun Daim Zainudin dan Tan Sri Sanusi Junid. Anwar  menggunakan kedudukannya untuk membina ‘kubu politik’ dalam UMNO dan juga dalam beberapa entiti antarabangsa,  termasuklah mempopularkan dirinya sebagai pemimpin Islam yang berpengaruh, dan mempunyai reputasi yang cemerlang di  jaringan  antarabangsa.

PM 9

Anwar  menyalurkan perbelanjaan yang besar bagi menjadikan International Institute of Islamic Thought (IIIT) yang berpengkalan di Virginia, Amerika Syarikat sebagai pusat penyelidikan Islam yang berpengaruh. Ia ditubuhkan pada tahun 1981, dan dipimpin oleh Anwar Ibrahim dan Prof Ismail Faruqi.

Kaedah yang mereka gunakan ialah ‘pengislaman ilmu’ dan di Malaysia ia dikembangkan secara meluas oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di mana Anwar adalah salah seorang yang terlibat ketika penubuhannya (1982).

Di UIA, Anwar turut menubuhkan International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC) yang terletak di Persiaran Tuanku Syed Sirajudin, iaitu di luar kampus UIA di Gombak. Semasa menjawat jawatan Menteri Kewangan, UIAM tidak dikawal oleh KPM sebaliknya diletakkan secara langsung di bawah Anwar.

Kementerian Pendidikan tidak mempunyai kuasa untuk mengawal dan menyelia UIAM, termasuk ISTAC dari segi pembangunan dan pembinaan kampusnya. Ketika itulah Anwar menggunakan sepenuh ‘kawalan’nya  kepada IIIHT, ISTAC  dan membina pengaruh politik.

Apabila meletusnya krisis Mahathir-Anwar, isu dana dan perbelanjaan UIAM (termasuk ISTAC) menjadi salah satu perkara yang dipertikaikan. ISTAC kemudiannya ditamatkan pada tahun 2008. Sejak itu ISTAC bukan lagi menjadi tempat wacana ilmu-ilmu Islam dan digelar sebagai “rumah hantu sakit jiwa’.

Legasi Anwar semakin dihilangkan setelah dipenjara. Anwar bangkit semula untuk menjadi ‘faktor pemersatu’ dalam parti-parti politik pembangkang menerusi penubuhan pakatan rakyat, iaitu bermula dengan Barisan Alternatif.

Selepas kedudukan BN tercabar dan berjaya dinafikan kuasa dua pertiga dalam Dewan Rakyat (PRU ke-12), Anwar menjadi fokus untuk membawa harapan menukarkan kerajaan. Tema-tema kebencian, kerakusan kuasa dan penyelewengan BN dijadikan bahan kempen sehinggalah PRU ke-13. Pakatan Rakyat berjaya buat pertama kalinya menolak BN di kedudukan undi popular paling rendah dalam sejarah politik Malaysia.

BN Logo

BN hanya mampu meraih kurang daripada separuh ‘keputusan pengundi’ dengan memiliki 45.74 peratus (4,322,129). Pakatan Rakyat memperoleh 53.29 peratus undi popular (5,035,611 undi) di Semenanjung manakala di peringkat kebangsaan BN peroleh 47.38 peratus (5,237,699 undi) berbanding Pakatan Rakyat 50.87 peratus (5,623,984 undi).

Ia dilihat sebagai titik kedua kemerosotan dan penyingkiran kuasa BN. Titik pertama ialah menafikan majoriti dua pertiga kuasa BN di Dewan Rakyat (PRU ke-12).

PRU ke-14 adalah kemuncak kepada perjuangan parti-parti politik pembangkang setelah berjaya menjatuhkan penguasaan BN selama lebih enam dekad. Kali ini, Dr Mahathir dilihat sebagai faktor yang mempengaruhi keputusan pengundi untuk memilih Pakatan Rakyat.

Namun, selepas teruja dengan kemenangan ‘tanpa diduga’ itu, Pakatan Harapan mula dilanda krisis dalaman. Tidak ada sehari pun dalam kamus politik Pakatan Harapan untuk tidak mengangkat kedudukan parti-parti masing-masing menjadi lebih dominan, bagi menentukan survival politik sendiri.

Perkongsian kuasa yang dibentuk oleh Dr Mahathir tidak menghasilkan ‘keharmonian falsafah dan perjuangan’ walaupun ada usaha untuk membina kerangka Malaysia Baharu. Kerangka itu tidak diterjemahkan dengan baik, komprehensif dan mampu membentuk model politik yang boleh diterima dalam konteks pemahaman dan tindakan terhadap ‘kebersamaan’.

Ia menjadi semakin bercelaru apabila PAN berusaha menjadikan Rahmatal Lil’alamin sebagai kerangka ‘hubungan antara agama’ dan pembentukan masayarakat politik sesuai dengan cita-cita Malaysia Baharu. Manakala dari gabungan PH mula memperkatakan mengenai kebersamaan sehingga terlahirlah Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) yang hanya sempat diberikan ‘nyawa’ beberapa bulan. Itu pun setelah PH berusaha mengatasi kegugupannya terhadap pembentukan Muafakat Nasional oleh PAS dan UMNO.

WKB dilancarkan pada 19 Oktober 2019 manakala pemeteraian Piagam Muafakat Nasional dibuat pada 14 September 2019. Kini, WKB yang dianggap sebagai ‘penyambung Wawasan 2020’ Dr Mahathir yang gagal, berada dalam kedudukan tidak sempat merangkak. Sudah ‘dimatikan’ oleh Dr Mahathir sendiri selepas ‘meletakkan jawatan’ sebagai Perdana Menteri ke-7.

PAN terperosok imejnya apabila penghinaan terhadap Islam dan institusi-institusi timbul secara terbuka tidak dapat direspon dengan berkesan. PAN  tidak berusaha  ‘mengawal kerosakan’ itu dengan cepat sebaliknya lebih berbentuk defensif, terutama  apabila kejelekan itu dimulakan oleh bukan Islam. Dari situ, PAN terus diyakini dipengaruh atau dikawal oleh DAP. PAN seterusnya dilabelkan oleh warganet sebagai ‘barua DAP’.

Kesannya, ia telah menambahkan ‘kebencian rakyat’ terhadap kepimpinan PH termasuk Dr Mahathir. Dr Mahathir, dalam banyak perkara turut menyindir sikap umat Islam yang kekal dengan pemikiran konservatif dan tidak berusaha mentafsirkan falsafah agama dalam konteks ‘semangat zaman’.

Dr Mahathir begitu tegar mengkritik  hukum hudud yang ingin dilaksanakan oleh PAS. Akibat keinginan PAS kepada pensyariatan undang-undang, Mahathir dilihat tidak memenuhi syarat sebagai seorang ‘negarawan’,  walaupun pernah mengisytiharkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam pada tahun 2001.

9 Pm

Dalam satu ucapan, Dr Mahathir berkata (Malaysiakini, 17 September 2002) “mereka yang menolak pendapat golongan yang terbesar antara orang Islam di negara ini, yang suka memecah-belah orang Islam, mencetus huru-hara, mereka ini tidak berhak untuk menyoal Islam atau tidaknya Malaysia,” dan kini, Dr Mahathir adalah ‘pemusnah’ kepada apa yang diisytiharkannya sendiri Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

Jika pada tahun 1988, Dr Mahathir dikatakan berjaya ‘memusnahkan UMNO dari dalam’ maka pada tahun 2018, beliau sedang berusaha untuk memusnahkan UMNO dari luar. Tahun 2020, tahun sasaran Wawasan 2020 yang gagal, Dr Mahathir menjadi arkitek yang sedang memusnahkan PH.

Misi sebenar Dr Mahathir sudah berjaya, iaitu menjatuhkan Najib dan BN. Cuma satu lagi misi yang menampakkan ada cahaya di hujung terowong,  itulah yang sedang dilakukan ketika ini. Sebab itulah ada yang beranggapan, selagi tidak ada penentuan kedudukan Mukhriz di dalam ‘jalur kemuncak kuasa’, Mahathir ‘tidak akan ‘bersara’.

Bertiup angin, Mahathir adalah calon perdana menteri sementara untuk kali kedua. Selepas enam bulan PH ‘merampas kuasa’, Dr Mahathir akan meletakkan jawatan dan diberikan kepada Anwar. Namun, tidak ramai yakin Dr Mahathir akan melakukannya, bahkan sebelumnya sudah termeterai ‘lafaz yang sama’.

Dr Mahathir akan mencari alasan yang lain, kalau sebelumnya perlukan masa lebih panjang untuk ‘membaiki kerosakan’ dan ‘selepas APEC’; mungkin kali ini, jaminan atau adanya ‘kontrak’ ditandatangani, Mukhriz berada dalam ‘jalur ke puncak kuasa’. Mukhriz diharap dapat meneruskan legasi politik dan ‘mengawasi perlakuan’ pihak-pihak tertentu untuk membongkar zaman Mahathir yang bobrok.

UMNO yang ditubuhkan pada tahun 1946 musnah ketika dipimpin oleh Dr Mahathir atas sikap dan kedegilannya tidak mahu mendengar ‘akar umbi’ hanya kerana takut terlucut kuasa. Dengan pengharaman UMNO (1988), Mahathir bersedia memulakan perjuangan baharu di atas keruntuhan UMNO itu dengan menubuhkan UMNO (Baru). Permulaan UMNO (B) dapat dibentuk berdasarkan acuan dan kehendak politik Dr Mahathir, maka itulah sebabnya, beliau boleh kekal begitu lama sebagai Presiden UMNO (1981-2003)  dan Perdana Menteri (1981-2003).

Dr Mahathir menggunakan ‘kesan perpecahan UMNO 1988’ sebagai kawalan untuk ‘mempertahan kuasa’ dan meminda beberapa peraturan termasuk ‘tidak ada pertandingan di peringkat jawatan tertinggi’ dan ‘mesti mendapat pencalonan sekurang-kurang 30 peratus daripada Bahagian di seluruh negara sebelum layak bertanding dalam mana-mana jawatan di peringkat pusat’. Budaya ini kemudiannya dikenali sebagai ‘warlord’ dan ‘power brooker’. Budaya ini terus kekal sehinggalah UMNO kehilangan dominasinya dalam politik dan sedang berhadapan dengan proses pemulihan yang terlalu lambat, dan masih terikat dengan nostalgia.

Anwar dan Mahathir cukup memahami budaya tersebut. Namun, antara Anwar dan Mahathir sikap ‘saling membunuh’ masih kental walaupun ada kecenderungan untuk saling bekerjasama sekali lagi selepas terlucut kuasa. Mungkinkah ‘galah Mahathir’ walaupun sejengkal dapat menjadikan ‘galah Anwar’ mampu mengait buah yang ranum di atas? Kemungkinan itu mungkin akan dapat ditelah selepas PH benar-benar mengumumkan siapakah sebenar calon perdana menteri yang bakal menerajui gabungan tersebut untuk menyingkirkan Muhyiddin dan Perikatan Nasional. Ia dijangka akan dibuat hari ini, 16 Jun 2020, sebagaimana diberitahu oleh Fahmi Fadhil minggu lalu.

(bersambung)

MONOSIN SOBRI

Editor's choice

No Comments

    Leave a reply